webnovel

Boleh Kamu Tutup Pintu?

Editor: EndlessFantasy Translation

Rong Rui hanya terdiam. Fikirannya agak rumit apabila memikirkan Su Qianci. Rong Rui sentiasa berasa bersalah kepada sepupunya itu. Dahulu, dia telah membantu Tang Mengying melakukan pelbagai perkara jahat yang menjadi permulaan kepada semua perkara yang terjadi ini. Rong Rui tahu dia telah menyumbang kepada permulaan musibah ini. Selama bertahun-tahun, dia cuba untuk menebus kesalahannya itu dengan berlari ke sana sini bersama Cheng You bagi membantu Syarikat Li. Mereka sangat sibuk setiap hari. Tetapi setiap kali dia melihat susuk tubuh Su Qianci keseorangan di bilik pejabat presiden, dia berasa amat sedih. Su Qianci hanya seorang wanita.

Tiba-tiba Cheng You menariknya lalu mengebilkan mata dan berkata, "Saya lapar."

Rong Rui tersenyum. "Saya pergi belikan kamu makanan. Tunggu saya."

"Okey."

Sebaik sahaja Rong Rui keluar dari wad itu, jururawat masuk dengan membawa seorang bayi yang sedang menangis. Cheng You sedikit panik. Dia segera membetulkan kedudukannya dengan susah payah. Bayi itu kemerahan, berkedut dan kecil. Cheng You mengambilnya dari jururawat dengan berhati-hati, tetapi anaknya itu terus menangis dengan lebih kuat.

"Jangan menangis." Cheng You mendukungnya dengan berhati-hati, tetapi bayi itu terus menangis dengan wajah yang bertambah kemerahan dan berkedut. Cheng You hampir turut menangis, "Kenapa dia menangis dari tadi? Dia laparkah?" 

Jururawat itu ketawa kecil. "Ya, hanya perlu beri dia susu."

Cheng You meletakkan bayi itu di atas ribanya. Sebelah tangan memegang anaknya manakala sebelah lagi mengangkat bajunya. Apabila melihat jururawat itu merenungnya, pipi Cheng You bertukar kemerahan dan dia berkata, "Boleh kamu tutup pintu?"

Jururawat itu ketawa. Cheng You mengangkat bajunya dan menyumbat putingnya ke mulut anaknya. Sebaik sahaja bayi itu menghisap putingnya, dia berhenti menangis. Tetapi selepas seketika, tangisannya kembali.

"Ah, kenapa saya tak ada susu? Bukankah ia memang akan terus ada selepas bersalin?" Cheng You mengurut payudaranya dan bayi itu menangis semakin kuat.

"Itu normal, biarkan dia hisap lebih lama."

"Terima kasih." Cheng You merasakan situasi itu agak payah. Apabila jururawat itu keluar dan menutup pintu, dia mengurut payudaranya dengan lebih kuat, sehingga akhirnya sedikit susu keluar. Dia meletakkan putingnya kembali ke mulut anaknya, tetapi anaknya itu hanya menghisap sedikit sebelum mula menangis lagi. Cheng You panik dan berasa mahu menangis. Dia melihat telefon di sebelahnya dan mahu menelefon suaminya untuk kembali ke situ.

Tiba-tiba pintu wad itu diketuk dan satu susuk tubuh yang ramping dan tinggi masuk ke dalam. Cuaca di luar sangat panas, jadi Su Qianci memakai baju tanpa lengan berwarna merah jambu yang nipis. Rambut ikal mayangnya yang panjang diikat tocang dan dia tidak memakai sebarang mekap. Wajah tanpa solekannya sudah cukup cantik. 

Sebaik melihat penyelamat itu, Cheng You terus menjerit, "Susu, tepat pada masanya. Saya tak ada susu dan anak saya asyik menangis saja. Apa patut saya lakukan!"

Shuang Yu mengikut Su Qianci masuk ke dalam. Sebaik mendengar kata-kata Cheng You, Su Qianci meletakkan minuman kesihatan yang dibawanya dan mengeluarkan pam susu dari begnya.

"Ini dah dicuci. Saya tahu kamu akan mengalami masalah ini. Mari, biar saya pegang dia." Su Qianci mengambil bayi itu dan menghayunkannya dengan lembut. "Comelnya, besar nanti mesti cantik."

Shuang Yu mengambil pam susu itu dan memberikannya kepada Cheng You.

Cheng You terharu dengan Su Qianci, tetapi tiba-tiba mendongak. "Macam mana kamu tahu dia perempuan?"

Su Qianci menjeling ke arah kain bedung bayi itu dan berkata, "Merah jambu."

Bab berikutnya