webnovel

Saya Cintakan Kamu, Selama-Lamanya…

Editor: EndlessFantasy Translation

0Walau bagaimanapun, Su Qianci tidak berani untuk menyentuhnya… Li Sicheng sedang berlumuran darah yang amat banyak. Suaminya terbaring di atas lantai itu tanpa sebarang suara. Malah nafasnya juga kedengaran sangat lemah. "Apa patut kita buat…" Su Qianci terus menangis. "Hantar dia ke hospital. Cepat!"

Rong Haiyue mahu melakukannya tetapi bingung bagaimana dia harus bermula.

"Jangan gerakkan dia!" Polis wanita itu memberi amaran. Kemudian dia mencangkung untuk memeriksa Li Sicheng sebelum memberitahu, "Banyak tulang yang patah. Jangan gerakkan ia. Kalau tulang tercucuk pada organ dalaman, teruk akibatnya."

Api semakin marak dan sekali sekala kedengaran bunyi letupan kecil di sana sini. Bau bahan terbakar yang menyakitkan hidung terus merebak.

"Bahaya… bawa isteri saya keluar dulu…" kata Li Sicheng dengan lemah. "Bawa dia keluar dulu, tolong…"

"Tidak… Jangan…" kata Su Qianci sambil menangis. "Kita mesti keluar bersama-sama. Saya tak mahu kamu mati, anak kita tak boleh membesar tanpa ayah. Saya merayu. Bawa suami saya keluar dan selamatkan dia, tolonglah!"

Su Qianci hampir melutut di hadapan mereka. Rong Haiyue segera membantunya bangun lalu merenungnya dengan tajam, kemudian memujuknya supaya bertenang, "Dengar sini, situasi sekarang sangat bahaya. Api terlalu marak. Kalau kita mahu keluar, hanya sekarang masanya. Saya akan bawa kamu keluar dulu, kemudian saya akan datang kembali dengan cik polis ni untuk bawa Li Sicheng keluar. Saya janji akan bawa Li Sicheng hidup-hidup, okey?"

"Betul?" Su Qianci menyapu air matanya lalu memandang Li Sicheng.

Li Sicheng mengangguk kepada isterinya. "Lindungi anak-anak kita dulu. Saya… akan keluar sekejap lagi."

"Tapi…"

"Tak ada tapi-tapi!" Rong Haiyue hampir menjerit. "Kalau kamu mahu suami kamu hidup, kamu mesti keluar dulu! Bila kamu dah keluar dengan selamat, barulah hati kami senang!"

Su Qianci berhenti menangis lalu mengangguk. Pandangannya masih tertancap pada suaminya. Li Sicheng turut memandangnya. Cahaya api menyinari mata yang biasanya dingin dan tajam itu. Kelihatan seolah-olah beribu-beribu bintang berada di dalam sepasang mata itu.

"Su Qianci…" Suara Li Sicheng amat lemah. Su Qianci kembali menangis sebaik mendengarnya, tetapi cuba bertahan sambil mengetap gigi dan memandang suaminya itu. Li Sicheng memandangnya dengan pandangan penuh sayang yang terpancar melalui matanya. Lelaki itu berkata, "Saya cintakan kamu, selama-lamanya…"

Sesuatu seolah keluar meninggalkan hati Su Qianci. Ia terasa kosong, amat kosong…

Api semakin tidak terkawal. Sebahagian besar bangunan itu telah hangus dijilat api sehingga hampir tiada tempat lagi untuk mereka pergi. Tang Zhenghao amat bijak memilih tempat. Mereka sedang berada di tengah-tengah kilang terbiar itu.

Mereka beratus kaki jauhnya dari mana-mana tempat yang selamat. Asap hitam mula menebal dan Su Qianci hampir pengsan. Walaupun telah menutup hidung dan mulutnya, dia masih dapat menghidu asap hitam yang semakin merebak itu.

Rong Haiyue mengetap giginya lalu berbisik, "Tahan nafas kamu!"

*****

Rong Xuan masih berdiri di tempat yang sama ketika sebuah kereta tiba.

Kereta polis!

Beberapa pegawai polis datang ke arahnya dan bertanya sesuatu. Kemudian mereka meninggalkan seorang polis untuk menjaga Rong Xuan sebelum menghampiri kilang terbiar itu secara diam-diam. Walau bagaimanapun, belum sempat mereka tiba di kilang itu, kedengan bunyi letupan yang amat kuat. Cahaya api yang amat marak itu membuatkan pandangan Rong Xuan kabur.

Bab berikutnya