webnovel

Tidak Mampu Lagi Menerima Cinta Itu

Editor: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng mengangguk dan meletakkan dua bantal di belakang pinggang Su Qianci untuk membuatkan dia lebih selesa. Kemudian dia menyediakan bubur untuk isterinya itu.

Su Qianci memeluk selimut dan tidak dapat menahan air matanya daripada terus mengalir. Melihat lelaki itu di hadapannya, hatinya terasa sungguh pedih. Li Sicheng tidak pernah melayan seseorang sebaik itu, malah dengan Atuk juga tidak. Lelaki itu memang benar-benar mencintainya. Tetapi, dia sudah tidak mampu lagi menerima cinta itu.

"Li Sicheng." Su Qianci menggigit selimutnya dan memegang lengan suaminya.

Li Sicheng menjawab tanpa berpaling, "Ya?" Suaranya jelas kedengaran lega kerana isterinya telah selamat.

Mendengar suara itu, Su Qianci memeluk selimutnya dengan lebih erat dan memanggil lagi, "Li Sicheng…"

"Ya." Li Sicheng berpaling untuk memandangnya dan menyedari wajah Su Qianci basah dengan air mata. Dia meletakkan bubur itu di atas meja. "Kamu dah selamat sekarang. Jangan menangis." Dia cuba menyapu air mata isterinya seperti yang selalu dilakukannya, tetapi Su Qianci mengelak tangannya dan menyembamkan wajahnya ke dalam selimut. Li Sicheng menyangka Su Qianci masih dalam ketakutan.

Tetapi sebenarnya bukan begitu… Sebaliknya dia takut jika…

"Mari, makan bubur ini sedikit." Li Sicheng mengangkat muka Su Qianci dan menyuapkan bubur kepadanya. Su Qianci membuka mulut dan makan bubur itu. Tetapi walaupun demamnya sudah hampir sembuh, seleranya masih tiada. Su Qianci mengambil masa 20 minit untuk menghabiskan semangkuk bubur itu. Li Sicheng yang cukup sabar menyuapnya memaksa Su Qianci untuk makan semangkuk lagi. Su Qianci memaksa dirinya untuk makan, tetapi selepas dua suap, dia sudah tidak dapat menelannya lagi. Akhirnya Li Sicheng berputus asa dan meletakkan bubur itu di atas meja.

"Saya nak pergi bilik air."

"Okey." Li Sicheng mengambil jaket yang dibawanya untuk Su Qianci dan meletakkannya di atas bahu isterinya itu. Kemudian dia mendukung Su Qianci ke bilik air. Su Qianci telah dipindahkan ke bilik VIP yang mempunyai bilik air peribadi. Selepas Su Qianci selesai, Li Sicheng mendukungnya kembali.

"Saya perlu basuh tangan…"

"Nanti kamu basah. Guna tisu basah ini saja." Li Sicheng meletakkan Su Qianci ke atas katil dan menghulurkan tisu basah.

Pipi Su Qianci sedikit kemerahan ketika dia mengelap tangannya. "Comot betul!"

"Kamulah itu," kata Li Sicheng sambil mengangkat keningnya.

Su Qianci mencampakkan tisu basah yang digunakannya ke dalam tong sampah sebelum merenung dahi Li Sicheng. "Apa yang terjadi kepada dahi kamu?"

"Saya terlanggar sesuatu." Li Sicheng cuba menanggalkan jaket yang dipakai isterinya. "Rehatlah."

Su Qianci tahu Li Sicheng cuba menukar topik lalu mendesak, "Tak nampak macam terlanggar sesuatu pun."

"Nasib saya malang. Ia berdarah, jadi saya perlu tampal balutan kasa padanya." Suara Li Sicheng kedengaran tenang dan agak tidak berdaya.

Su Qianci memutuskan untuk mempercayai kata-kata itu buat sementara. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu menanggalkan jaket yang dipakainya. "Rong Haiyue… Rong Haiyue yang selamatkan saya."

"Ya, saya tahu."

"Mana dia sekarang? Dia ditembak kan? Saya dengar dia kehilangan banyak darah dan ada di ICU."

"Saya dah pergi tengok dia. Keadaan dia lebih baik daripada kamu."

Sebagai seorang bekas tentera, lelaki itu jauh lebih kuat daripada Su Qianci.

Bab berikutnya