webnovel

Puan Li Sentiasa Nampak Cantik

Editor: EndlessFantasy Translation

"Angsa hanya akan ada satu pasangan sepanjang hidupnya sehingga ia mati. Jika salah satu daripada mereka mati, pasangannya akan hidup sendiri." Selepas menjelaskan, pemilik itu melihat riak Li Sicheng sebelum menyambung, "Batu jed di atas kedua-dua angsa juga sangat sama. Jarang dapat jumpa dua bentuk yang sangat sama seperti ini. Lihatlah reka bentuknya, hampir langsung tiada beza. Disebabkan Puan Li suka, Encik Li patut belinya."

Su Qianci sangat sukakannya, lebih-lebih lagi selepas mendengar penjelasan pemilik itu.

"Bungkuskannya untuk kami," kata Li Sicheng.

Su Qianci memandangnya dan bertanya, "Kamu akan pakai?"

"Ia bukan saja loket, tapi boleh juga dijadikan pin. Encik Li, mari saya tunjukkan bagaimana untuk memakainya dengan tidak kelihatan keperempuanan." Pemilik itu mengeluarkan alatannya dan mengubah loket itu menjadi pin.

Li Sicheng sebenarnya tidak begitu menyukai angsa itu. Ia terlalu keperempuanan, jadi bagaimana dia mahu memakainya? Walau bagaimanapun, Su Qianci jarang menyukai barang kemas, jadi dia memutuskan untuk membelinya sahaja. Su Qianci mengambil pin itu dari pemilik kedai dan menyarungkannya pada bahagian kiri kot Li Sicheng.

"Nampak hebat," katanya sambil tersenyum lalu memakai rantai bersama loket angsa tadi. "Macam mana?"

"Cantik," kata Li Sicheng tanpa berfikir.

Su Qianci memuncungkan bibirnya. "Kamu tak fikir pun."

Li Sicheng menambah, "Puan Li sentiasa nampak cantik."

Pekerja-pekerja kedai itu berasa sangat cemburu melihat pasangan itu. Namun pemilik kedai telah melihat pelbagai perkara sepanjang hidupnya. Dia menguruskan bayaran Li Sicheng kemudian mengucapkan selamat jalan kepada pasangan itu dengan penuh hormat.

Su Qianci berlegar-legar di seluruh pusat membeli-belah itu tetapi tidak mendapat idea tentang hadiah yang mahu diberikan kepada Atuk. Wajahnya mula berkerut.

"Tak perlu tergesa-gesa. Masih ada beberapa hari lagi."

Su Qianci berasa tertekan kerana teringat Atuk tidak pernah menyukai hadiahnya pada kehidupan lalu. Tiba-tiba dia mendapat satu idea lalu memandang Li Sicheng dengan mata yang bersinar. "Encik Li, saya ada idea."

"Apa dia?"

"Saya nak buatkan Atuk buah pic untuk panjang umur."

"Buah pic untuk panjang umur?"

"Ya!"

Su Qianci cuba membayangkan saiz pic itu dengan tangannya. "Pic sebesar ini, tapi sebenarnya ia roti. Kalau saya buatnya sendiri, Atuk akan gembira?"

"Ya."

"Jadi dah muktamad."

Su Qianci menghembus nafas lega. "Tapi ia tak nampak murah sangatkah? Atau saya patut bagi Atuk benda lain?"

"Idea kamu tak pernah murah."

Jika Su Qianci membuat sesuatu dengan tangannya sendiri, pasti Atuk akan sangat menghargainya. Pandangan Li Sicheng menjadi lembut ketika dia mengelus rambut isterinya. "Disebabkan kamu dah dapat idea, jom kita ke rumah Ou Ming."

"Ou Ming?" Dia hanya berjumpa Ou Ming beberapa kali sahaja dan hanya sekali bercakap dengannya. Kali terakhir adalah sewaktu dia keguguran…

"Ya, dia sedang buat persiapan untuk lamar teman wanitanya, sebab itulah dia mendedahkan hubungan mereka."

"Teman wanita? Yu Lili?" Mata Su Qianci terkebil-kebil. "Dia tak akan terima lamaran itu."

Li Sicheng menoleh ke arahnya. "Kamu kenal betul dengan dia."

"Dulu kami rakan sekelas selama tiga tahun." Lebih penting lagi, dia sangat tahu Yu Lili tidak pernah mengahwini Ou Ming. Malah lelaki itu... adalah pembunuhnya!

Bab berikutnya