webnovel

Berhati-hati

Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas beberapa ketika, Li Sicheng akhirnya melepaskan Su Qianci dengan berat hati.

"Kunci pintu dan tingkap. Hati-hati di rumah."

"Okey."

"Esok Nenek Rong akan datang. Minta tolong dia pindahkan barang kamu ke bilik kita."

"Okey."

"Duduk di rumah dan tunggu saya balik."

"Okey."

"Saya dah nak pergi ni."

"Okey."

Li Sicheng membelai rambut Su Qianci dengan penuh kasih sayang, sebelum mengangkat beg pakaiannya dan berjalan menuju kereta Cheng You.

Melihat lelaki itu berlalu pergi, Su Qianci berasa gembira dan sedih pada masa yang sama. Dia masuk kembali ke dalam rumah, mengambil komputer riba dan naik ke biliknya. Dia kemudian terlihat ada panggilan tak berjawab daripada Lu Yihan dan Song Yifan.

Dia terus menelefon Lu Yihan, tetapi lelaki itu tidak menjawab panggilan.

Kemudain dia menelefon Song Yifan, dan panggilannya diangkat dengan cepat, "Helo, Qianci,"

"Pak Cik Song."

"Kamu ada masa seminit? Saya nak cakap tentang sesuatu."

"Baiklah."

"Kamu ada masa lapang dua belas haribulan ini? Apa kata kamu datang tonton konsert saya di ibu kota?"

"Ibu kota?"

"Ya. Kita akan bertolak pada waktu tengah hari, hari Jumaat, dan balik pada petang Ahad, empat belas haribulan." Kata Song Yifan. Seolah-olah takut Su Qianci akan menolak, dia cepat-cepat menambah, "Kalau kamu tak ada masa, tak apa…"

"Saya mahu pergi," Su Qianci mencelah. "Lagipun Li Sicheng tak ada di rumah, jadi agak bosan juga duduk di rumah seorang diri."

"Ya?" Song Yifan kedengaran terkejut.

"Petang Jumaat ini saya tak ada kelas. Pukul berapa kita mahu jumpa?"

"Pukul 3 petang. Saya akan tempah penerbangan untuk kamu."

"Baguslah."

"Jumpa nanti."

Setelah meletakkan telefon, Su Qianci berfikir. Mungkin ini perasaannya saja, tapi dia merasakan yang Song Yifan begitu berhati-hati dengannya. Adakah dia juga syak yang Su Qianci ialah anak kandungnya? Sambil berbaring di atas katil, Su Qianci merenung kosong pada siling. Ayah. Perkataan yang janggal...

Apabila Su Qianci pergi ke universiti keesokan harinya, ramai orang yang memandangnya. Su Qianci tidak mempedulikan semua pandangan yang tertumpu padanya, dan mendapati hal yang katanya skandal dia itu, sudahpun dilupakan. Sebaliknya, topik paling hangat ialah #SidangMediaPuanLi. Seorang gadis sengaja duduk di sebelah Su Qianci, menjeling telefonnya dan menyentuh sebatang pen ke meja Su Qianci.

Pen itu jatuh ke lantai. Gadis itu cepat-cepat membongkok untuk mengambilnya sambil meminta maaf. "Maaflah, saya tak bermaksud nak buat begitu."

Su Qianci memalingkan kepalanya, senyum pada gadis itu dan berkata, "Tak mengapa."

Gadis itu pura-pura terkejut dan berkata, "Kamu Su Qianci?"

"Ya."

"Ya tuhan, saya berpeluang jumpa dengan Puan Li, seorang legenda. Saya dengar kamu akan adakan sidang media dalam masa beberapa hari lagi. Saya harap kamu berjaya."

"Pandainya berpura-pura. " Kedengaran satu suara nyaring yang mencemuh, "Kalau nak pergi, cakap sajalah. Melampau sungguh sampai buat begitu."

Gadis itu berasa malu dan memandang Su Qianci. Dia menyangkakan Su Qianci akan bersikap dingin, sama seperti beberapa hari lalu. Tetapi Su Qianci hanya tersenyum dan berkata, "Kalau kamu ada masa terluang hari itu, marilah sertai kami."

Mendengarkan kata-kata ini, ramai gadis di dalam kelas itu jadi berseri-seri dan mendekati Su Qianci. Dia mengeluarkan beberapa keping kad jemputan dan berkata, "Saya tak bersedia beberapa hari lalu, jadi saya tak menjemput kamu. Ini kad jemputannya. Kamu boleh bawa rakan-rakan kamu datang bersama."

Kad jemputan itu bertindak seperti magnet di kalangan gadis-gadis itu, dan lenyap dalam masa seminit. Sambil tersenyum, Su Qianci kelihatan licik. Perempuan memang suka bergosip. Dalam peperangan tanpa pertumpahan darah ini, hanya reputasi yang menjadi taruhan. Memandangkan Tang Mengying mahu memusnahkan reputasi Su Qianci, gadis itu terpaksa melawan dan memberikan balasan setimpal.

Bab berikutnya