webnovel

Tak Perlu Takut Kerana Saya Ada di Sini

Editor: EndlessFantasy Translation

Aktiviti yang dimaksudkan Li Sicheng sememangnya menyeronokkan. Rambut Su Qianci yang diikat gaya ekor kuda meliang-lintuk ditiup angin ketika dia memandang ke bawah. Dia sedang berdiri di sebelah pintu kabin dan merasakan seluruh tubuhnya menggeletar. Namun keterujaan menguasai dirinya. "Adakah kita akan jatuh dan mati?"

Li Sicheng menyengetkan mulutnya dan berkata tenang, "Tak adalah. Saya akan pastikan kita mendarat di bawah."

Seorang anggota bertanya, "Kamu dah sedia?"

"Ya!"

"Gadis yang berani! Lindungi wanita yang bagus ini ya, tuan!"

Li Sicheng memandang wajah Su Qianci yang amat teruja bercampur gementar, dan merasakan hatinya cair. Dia mengangguk kepada staf itu.

"Takutnya… Ini sungguh mendebarkan, Encik Li!"

"Apa kamu panggil saya?"

"Abang… Ahhhh!!" Su Qianci menjerit sepenuh hatinya dan tidak berani untuk membuka mata. Penerjunan itu amat menakutkan dan membuatkan seluruh tubuhnya menggeletar.

Satu sentapan dirasakan ketika payung terjun mula terbuka, lalu memperlahankan kelajuan penerjunan mereka. Li Sicheng memegang lengan Su Qianci dengan sebelah tangannya dan berbisik dengan suara yang menawan, "Tak perlu takut, sebab saya ada di sini."

Suara itu seolah-olah memberi kuasa ajaib yang menenangkan Su Qianci. Dia berhenti menggeletar dan membuka matanya, lalu pandangan pertamanya ialah lelaki di sebelahnya yang berada bertentangan dengan cahaya. Wajah lelaki itu tiada perasaan seperti biasa, seolah-olah dia bukannya sedang tergantung di atas udara. Su Qianci berasa sedikit malu. Namun dia tidak tahu impak yang diberikan wajahnya pada ketika itu kepada Li Sicheng. Matahari memancarkan cahaya emas ke wajah Su Qianci yang cantik. Li Sicheng berharap saat ini akan berterusan sehingga sepuluh ribu tahun lamanya.

Su Qianci berasa malu apabila terus ditenung, lalu memalingkan mukanya dan berteriak, "Cantiknya! Tengok itu!"

Li Sicheng melihat pemandangan di bawah mereka sambil tersenyum. Gunung-ganang tersusun megah, dan di hujungnya kelihatan lautan biru yang luas terbentang. Burung camar berterbangan di atasnya. Kemudian mereka melalui satu awan yang menghalang pandangan mereka dan membuatkan pemandangan di sekeliling kelihatan misteri.

Li Siheng menjawab, "Ya, sangat cantik." Walau bagaimanapun, ia tidak secantik senyuman kamu.

Su Qianci tidak mendengar jawapan Li Sicheng kerana terlalu terpesona dengan pemandangan yang dilihatnya. Ini adalah kali pertama dia dapat melihat pemandangan sehebat ini sepanjang dua kehidupannya. Tetapi yang paling tidak dijangka adalah kehadiran Li Sicheng di sebelahnya. Pada kehidupan lalu, Su Qianci langsung tidak dapat membayangkan dapat menikmati saat seperti ini walaupun hanya dalam mimpi, tetapi sekarang ia adalah nyata…

"Sayang," Li Sicheng memanggilnya dengan suaranya yang matang.

Su Qianci merasakan seperti terdengar sesuatu, tetapi dua saat kemudian barulah dia tersedar suaminya itu memanggilnya. Sebaik dia menoleh ke arahnya, Li Sicheng terus menciumnya bibirnya. Kejutan itu membuatkan matanya terbeliak dengan perasaan tidak percaya…

Bab berikutnya