webnovel

Tidak Dibenarkan Bermesra Di Tempat Awam

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci dapat merasakan pandangan tajam daripada tiga perempuan keluarga Tang, tetapi dia kekal tenang dan membelek-belek menu tersebut. Li Sicheng yang duduk di sebelah Su Qianci turut melihat menu itu dan mula berkerut. Dia melontarkan pandangan yang dingin ke arah Tang Mengying.

Jantung Tang Mengying berdegup laju tetapi dia berpura-pura tidak menyedarinya, dan mula bercerita mengenai sejarah restoran tersebut. "Ini pasti kali pertama Qianci datang ke tempat sebegini. Restoran ini dimiliki oleh keluarga diraja Austrian..."

Selepas Tang Mengying selesai bercerita, Su Qianci mengangguk dan bertanya, "Mengying, kamu tahu bahasa Jerman?"

"Sudah tentu," jawab Puan Tang dengan cepat, kelihatan tidak sabar. "Tang Mengying kami terkenal dengan kebolehannya dengan pelbagai bahasa. Dalam keluarga kami, kami sangat tegas dengan pembelajaran anak-anak. Mengying bukan sahaja mampu bertutur dalam Bahasa Jerman, tetapi juga Bahasa Jepun dan Perancis. Bila-bila masa saja dia boleh jadi jurubahasa untuk bahasa-bahasa itu. Betulkan, Tang Zhenghao?"

Tang Zhenghao kelihatan kurang senang dengan percakapan isterinya. Puan Tan kelihatan menyedari dia telah berkelakuan tidak baik dan berhenti bercakap.

Tang Mengying dengan segera berkata, "Ibu, janganlah sebut tentang itu."

Tang Mengqing mengangguk dan berkata, "Betul. Saya dengar Su Qianci membesar di rumah anak yatim, jadi tak mungkin dia dapat bertutur dalam bahasa Jerman. Biar saya tolong buat pesanan untuk dia." Kemudian, Tang Mengqing merampas buku menu daripada tangan Su Qianci.

Wajah Qin Shuhua berkerut dengan kelakuan yang ditunjukkan oleh keluarga Tang.

Apa yang mereka cuba lakukan? Memalukan menantunya untuk menjatuhkan air muka keluarga Li?

Ketika dia sedang berasa sangat marah, Qin Shuhua melihat Su Qianci tersenyum ke arah Tang Mengqing dan berkata, "Saya boleh lakukannya."

Kemudian, dia menunjukkan menu itu kepada Li Sicheng dan berkata dengan lembut, "Sayang, kamu mahu cuba Himmel und erde?"

Sayang….

Perkataan yang ringkas itu membuatkan Li Sicheng terasa bagai bermimpi. Dia menyukainya. Li Sicheng bergerak merapati isterinya itu dan meletakkan tangannya di atas tangan Su Qianci yang sedang memegang menu.

Su Qianci segera menyedari riak wajah semua orang telah berubah. Dia mendongak dan melihat wajah cantik Tang Mengying sedang tersenyum lembut. Namun kebencian dan cemburu yang mendalam tersembunyi di dalam matanya. Su Qianci tersenyum dan menunjuk hidangan lain, "Saya nak pesan Thüringer Rostbratwurst juga. Apa pendapat kamu?"

"Okey." Mendengar suara Li Sicheng yang dalam di sebelah telinganya, Su Qianci tiba-tiba menyedari jarak mereka duduk kurang daripada satu inci. Dia dapat merasakan nafas lelaki itu yang hangat pada wajahnya, dan membuatkan dia sedikit geli…. Wajah Su Qianci tiba-tiba merah padam dan berfikir untuk menjarakkan kedudukan mereka sedikit. Walau bagaimanapun, dia menghentikan niatnya apabila memikirkan pandangan semua orang.

Li Sicheng bergerak lebih dekat dan berbisik, "Sebutan kamu hebat, lebih baik daripada mereka yang asyik berbangga."

Su Qianci berasa bingung. Adakah Li Sicheng cuba menolongnya? Su Qianci menjeling ke arah perempuan-perempuan keluarga Tang dan mendapati wajah mereka kelihatan jengkel.

Manakala Qin Shuhua pula kelihatan lebih gembira dan menggesa, "Kamu berdua perlu cepat. Jangan biarkan orang luar gelakkan kamu."

"Betul. Tidak dibenarkan bermesra di tempat awam," kata Li Beixing.

Bab berikutnya