webnovel
avataravatar

Seperti Perempuan Gila

Editor: EndlessFantasy Translation

Fu Lengbing berjalan ke arah Yu Lili sambil memegang segelas minuman dan tersenyum. "Yu Lili, kan?"

Sebaik melihat wajah tampan Fu Lengbing, Yu Lili menaikkan keningnya dan memandang Liu Anan sambil tersenyum sinis.

Di tepi Liu Anan, seorang lelaki cuba memberinya sepotong kek. Liu Anan yang tidak menyedari hal tersebut terlanggar kek itu dan mula menjerit marah. "Apa masalah kau? Tengok baik-baik ke mana kau mahu pergi."

Lelaki itu terkejut lalu segera mengelap krim kek itu yang terkena pada Liu Anan.

"Macam perempuan gila," kata Yu Lili dengan nada mengejek, sambil mengambil gelas dari tangan Fu Lengbing.

Fu Lengbing menggeleng kepalanya. "Dia sentiasa begitu."

"Saya dengar kamu berdua pernah ada hubungan. Tidak baik kata begitu tentang bekas kekasih kamu."

"Itu dahulu. Sekarang ada gadis cantik di hadapan saya, tidak susah untuk saya pilih."

Melihat wajah kacak Fu Lengbing, Liu Anan menjadi lebih marah. Penumbuknya digenggam. Tak guna Yu Lili! Perempuan murahan itu cuba untuk mencuri teman lelakinya!

Ketika sedang menggenggam erat gelas di tangannya dalam kemarahan, Li Anan terlihat satu susuk tubuh yang tinggi. Lelaki itu memakai suit ala navy yang jelas buatan tangan dari Itali. Liu Anan terus terkesima memandangnya. Lelaki itu memakai sepasang kaca mata tanpa rim dan mempunyai senyuman yang manis di wajahnya. Dia sedang bercakap dengan seorang lelaki lain, dan beberapa orang gadis mengelilinginya sambil memandang dengan kagum.

Itu… Lu Yihan? Bagaimana dia boleh menjadi sehebat ini?

Liu Anan menjeling ke arah Yu Lili dan teringat kisah cinta mereka.

Oleh kerana kamu merampas lelaki kepunyaan saya, jadi saya akan rampas kepunyaan kamu pula.

Liu Anan berjalan ke arah Lu Yihan dengan senyumannya yang paling manis dan menarik. Ramai lelaki memandang ke arahnya, dan Lu Yihan tidak terkecuali. "Lu Yihan, sudah lama kita tak bertemu."

Lu Yihan tersenyum ke arah Liu Anan. "Betul kah? Tapi saya sering lihat kamu di Weibo. Sekarang kamu dah terkenal, boleh beri tandatangan kamu kepada saya?"

Sebaik mendengar kata-kata itu, senyuman Liu Anan terus hilang. Cerita pengguguran yang dilakukannya sewaktu di sekolah menengah telah tersebar luas dan ia bukan rahsia lagi. Kebanyakan kawan sekolahnya sudah tahu mengenai hal itu. Disebabkan itu ramai lelaki cuba untuk mengajaknya keluar kerana mereka menganggap dia perempuan yang 'mudah'. Tetapi Lu Yihan merupakan orang pertama yang berani bercakap tentang perkara tersebut.

Sebaik menyedari riak wajah Liu Anan berubah, Lu Yihan bertanya dengan nada risau, "Kamu tidak sihat? Muka kamu kelihatan pucat."

"Betul. Kamu perlu pergi ke hospital jika tidak sihat," kata seorang gadis berhampiran mereka.

"Mungkin ia komplikasi selepas pengguguran?"

Mereka yang berada di situ ketawa dan memandang Liu Anan dengan pandangan berbeza daripada sebentar tadi. Liu Anan tidak mampu lagi untuk kekal tenang. Ketika dia menggeletar menahan marah, ketawa mereka tiba-tiba terhenti.

Lu Yihan turut mengalihkan pandangannya ke arah pintu masuk dewan itu. Yu Lili yang sedang memerhati Lu Yihan jelas dapat melihat kekaguman di mata lelaki itu. Sejak dahulu, Lu Yihan merupakan seorang yang hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kerjanya, dan Yu Lili tidak pernah melihatnya berminat dengan sesuatu seperti ini. Yu Lili menuruti pandangan mata Lu Yihan dan tiba-tiba terasa sesak.

Itu dia...

Bab berikutnya