webnovel

Tidak akan Bertahan Lama

Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci yang dapat merasakan pandangan penuh benci Tang Mengying terus menoleh ke arahnya. Sebaik sahaja Su Qianci menoleh, kebencian dan cemburu yang kelihatan di mata Tang Mengying hilang serta-merta, digantikan dengan senyuman yang lemah lembut.

Sungguh fleksibel.

"Saya senang hati tengok kamu semakin pulih. Su Qianci, saya akan datang lagi melawat kamu. Hari ini hari pertama saya bekerja sebagai setiausaha abang Li Sicheng. Saya perlu pergi sekarang."

Setiausaha Li Sicheng? Pada kehidupan lalu, Tang Mengying telah menggunakan identiti tersebut untuk memberi cadangan kepada Su Qianci mengenai kesukaan Li Sicheng di tempat tidur, cara untuk membuatkan Li Sicheng sentiasa di rumah, serta memberitahu tempat Li Sicheng berada dan menyuruh Su Qianci mengintipnya. Pada mulanya, Su Qianci percaya pada Tang Mengying. Namun, setiap cadangan itu membuatkan Li Sicheng semakin tidak menyukai Su Qianci, hingga akhirnya lelaki itu mengelak berjumpa dengannya dan tidak pulang ke rumah. Manakala Tang Mengying pula sentiasa berada di sisi Li Sicheng, dan membuatkan semua orang percaya dia adalah Puan Li yang sebenar.

Sekarang, perempuan ini sekali lagi menjadi setiausahanya? Hati Su Qianci terasa pedih tetapi dia cuba berpura-pura terkejut. "Kamu jadi setiausaha Li Sicheng?"

Tang Menging mengangguk dan berkata sambil tersenyum, "Ya."

"Baguslah. Dia ada masalah perut dan tidak boleh tidur tanpa makan apa yang saya masak. Kamu perlu beritahu dia untuk makan lebih kerap," kata Su Qianci sambil tersenyum, tetapi sebenarnya dia hanya menipu. Hanya sekali Su Qianci masak untuk Li Sicheng.

Walau bagaimanapun, sebaik mendengar kata-kata Su Qianci, senyuman Tang Mengying terus hilang. "Saya tak tahu kamu pandai memasak."

"Saya tak pandai. Tapi Li Sicheng kata apa saja yang saya masak kelihatan enak di matanya." Su Qianci kemudiannya menundukkan kepalanya, tersipu-sipu malu.

Qin Shuhua berasa senang hati apabila mengetahui anak dan menantunya mempunyai hubungan yang baik. Dia berfikir untuk melupakan sahaja pilihannya yang dahulu. Walaupun dia lebih menyukai Tang Mengying, anak lelakinya tidak pernah berkata sesuatu seperti itu di hadapan Tang Mengying.

Qin Shuhua mengusik sambil tersenyum, "Tak perlu malu."

Wajah Su Qianci menjadi lebih merah dan dia menjeling ke arah Tang Mengying. Tang Mengying kelihatan tidak selesa dan berlalu pergi dengan segera, sambil berkata dia akan lambat ke tempat kerja. Sewaktu melangkah keluar dari wad, dia mengenggam penumbuk dan mengetap giginya.

'Su Qianci, kau tunggu. Kebahagiaan kau tak akan bertahan lama. Kali ini aku dan ambil nyawa anak kau. Selepas ini, aku akan ambil suami kau pula.'

Qin Shuhua terus menemani Su Qianci di situ dan hanya pergi apabila jururawat datang untuk menggantikan dripnya. Su Qianci tertidur kembali dan terjaga di waktu tengah hari. Sebaik membuka matanya, dia melihat seseorang sedang duduk di sebelah katil. Pada mulanya Su Qianci terkejut, tetapi kemudian menyedari orang itu adalah Li Sicheng.

Li Sicheng berhenti menaip di komputer ribanya dan menoleh ke arah Su Qianci. "Saya buat kamu terjaga?"

Su Qianci menggeleng dan cuba untuk bangun dari katil. Namun, sebaik sahaja dia bergerak, dia tiba-tiba berasa pening dan hampir terjatuh. Li Sicheng dengan segera menyambutnya. Sebelah tangannya memegang lengan Su Qianci, dan sebelah lagi memeluk pinggangnya. Su Qianci dapat merasakan kehangatan kulit lelaki itu.

Su Qianci berasa agak tidak selesa. Dia cuba melepaskan diri dan berkata,

"Saya... Saya mahu ke bilik air."

"Baik, mari kita pergi."

Su Qianci terkejut.

Mari kita pergi?

Lelaki itu mahu membawanya? Su Qianci mendongak dan daripada wajah itu, dia mendapati Li Sicheng tidak bergurau.

Bab berikutnya