webnovel

Mari Bercerai

Editor: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng menyedari Su Qianci yang cuba menguatkan diri dan hatinya sedikit tersentuh. Tetapi, sebaik melihat kertas kerja di dalam tangan wanita itu, matanya mengecil.

"Apa itu?"

Separuh sedar, Su Qianci segera cuba menyembunyikan fail di tangannya. Namun, dia terhenti dan berasa tapak tangannya berpeluh dan jantungnya berdegup kencang. Dia berasa amat gementar. Li Sicheng bukan seorang yang pandai mengawal kemarahan. Jika dia beritahu segalanya, berkemungkinan lelaki itu akan mengamuk. Mungkinkah dia akan mencekiknya?

Tetapi, Su Qianci memerlukan kontrak ini untuk melindungi dirinya. Dia sangat takut kejadian hari ini akan berulang lagi kelak.

Setelah berfikir seketika, Su Qianci menunjukkan kontrak tersebut lalu berkata, "Saya rasa kita perlu berbincang." Su Qianci menjeling ke arah tubuh Li Sicheng yang hampir sempurna itu lalu berdiri dan berkata, "Kamu pakai baju dulu. Saya akan tunggu di ruang tamu."

Su Qianci dengan pantas keluar dari bilik itu sebelum sempat Li Sicheng berkata apa-apa. Li Sicheng berasa sedikit terhibur melihat Su Qianci berlari seperti anak kecil. Dia berasa moodnya lebih baik sekarang. Dia menyarung pakaian malam dan turun ke bawah. Sewaktu dia memandang Su Qianci, dia menyedari wanita itu kelihatan gelisah. Su Qianci terus berdiri apabila melihatnya.

Pandangan Li Sicheng menjadi semakin lembut. Mengapa wanita ini sangat penakut? Dia memikirkan kembali cara wanita itu memandangnya sejak hari pertama mereka berkahwin, dan dia dapat merasakan Su Qianci sentiasa dalam ketakutan. Walaupun dia tidak tahu mengapa Su Qianci takut kepadanya, rasa takut tersebut kelihatan tidak dibuat-buat. 'Perempuan penakut seperti ini kau anggap boleh berlaku curang?' fikir Li Sicheng seolah-olah memarahi dirinya sendiri.

Li Sicheng yang mula menyesal atas kelakuan kasarnya terhadap wanita itu tadi berkata dengan nada yang lembut, "Ada apa?"

Su Qianci memandangnya dengan takut-takut. Dia menyedari angin lelaki itu telah menjadi lebih baik, tetapi masih berasa gementar. Dia menelan air liurnya sambil duduk dan menghulurkan sebatang pen. Li Sicheng melihat ke arah dokumen yang dipegang Su Qianci, membaca tajuknya dan terdiam.

Dengan serta merta, Su Quanci menyedari Li Sicheng sangat berbahaya ketika ini. Lelaki itu tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi suhu di sekeliling mereka terasa turun mendadak. Su Qianci hampir tidak dapat bernafas dan tergagap, "Saya rasa kita tidak sesuai hidup bersama".

"Jadi, kau nak bercerai?" Suara Li Sicheng rendah tanpa sebarang emosi.

Suara Su Qianci seperti tersekat di kerongkong. Mata dingin Li Sicheng yang memandangnya menambah rasa gementar yang sedia ada. Dia cuba melawan rasa takut itu lalu mengangguk dan berkata perlahan, "Saya tahu kamu benci saya, tapi kamu tidak boleh ingkar kemahuan atuk. Jadi, saya rasa kita tunggu dulu selama setahun kemudian barulah bercerai. Pada masa itu, kita boleh katakan ia berlaku kerana saya tidak boleh mengandung dan buat ia kelihatan benar. Pada waktu itu, atuk tidak akan ada sebab untuk menyalahkan kamu."

"Kau sudah fikir masak-masak?"

Suara Li Sicheng masih rendah. Su Qianci tidak dapat meneka apa yang sedang bermain dalam fikirannya. Lelaki itu seolah-olah sebuah mesin. Su Qianci menguatkan dirinya untuk mengangguk dan melihat terus ke mata Li Sicheng dengan tegas, "Ya."

Bab berikutnya