webnovel

Kejutan yang Tidak Dijangka (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Kamu ada calon wakil yang sesuai?" tanya Jun Wu Xie.

Fan Jin tersenyum pahit dan menggelengkan kepalanya. "Dalam kalangan mereka yang menyertai kejohanan ini tahun lepas, agak ramai yang sudah tiada. Saya juga tak tahu berapa ramai yang masih ada itu akan kembali ke sini."

Sebelum ini, Lu Wei Jie dan Ning Xin telah mewakili Akademi Zephyr dalam Kejohanan Pertempuran Roh. Lu Wei Jie telah dihalau dari Akademi Zephyr dan Ning Xin pula sudah mati dengan tubuhnya berkecai. Dalam kalangan peserta yang masih ada pula, Fan Jin menjangkakan mereka tidak akan pulang kerana para pelajar ini berbakat tinggi dan tidak perlu berada di Akademi Zephyr untuk terus berjaya. Kini keadaan Akademi Zephyr sudah agak teruk. Pasti para pelajar itu sedang memikirkan untuk berpindah ke akademi lain.

"Satu-satunya wakil yang saya boleh fikirkan ialah diri saya sendiri," kata Fan Jin sambil mengangkat bahu. Kematian ayahnya dan keadaan akademi yang huru-hara, semua ini terbeban di atas bahunya. Tekanan yang menyesakkan ini hampir menguasainya tetapi dia perlu tetap teguh berdiri. Kalau tidak, segala darah dan keringat yang dicurahkan oleh ayahnya akan menjadi sia-sia.

Jun Wu Xie mengangkat keningnya dan memandang wajah Qiao Chu dan yang lain. Seperti yang dijangka, dia telah menemui jawapan yang dicarinya di mata mereka. 

"Kalau tak ada calon, masukkan saja kami," kata Jun Wu Xie dengan tenang.

Fan Jin merenung Jun Wu Xie dengan perasaan tidak percaya.

"Ap.. apa kamu kata?"

"Hah? Kenapa? Kamu tak rasa kami layak? Janganlah macam tu. Kalau kamu hantar kami, saya jamin kita akan dapat beberapa kedudukan tertinggi," kata Qiao Chu sambil ketawa. Dia memaut bahu Fan Jin, menunjukkan kemesraan persahabatan.

"Kamu… kamu semua sanggup tolong saya?" tanya Fan Jin. Dia tidak tahu jika dia telah tersilap dengar. Tidak lama selepas dia sedar, Fan Zhuo ada memberitahu yang dalam beberapa hari lagi dia akan meninggalkan akademi itu bersama-sama Jun Wu Xie dan yang lain. Fan Zhuo tidak memberitahu butirannya dengan jelas dan Fan Jin juga tidak mahu terlalu banyak bertanya. Walaupun mereka bukan adik-beradik kandung, Fan Jin sudah pun menerima Fan Zhuo sebagai adiknya. Jadi dia langsung tidak membantah keputusan Fan Zhuo.

Setelah mendengar Jun Wu Xie dan yang lain meminta untuk menyertai Kejohanan Pertempuran Roh Besar-besaran sebagai wakil Akademi Zephyr, hati Fan Jin terus bersemangat.

Dia tahu kekuatan bertempur Hua Yao dan rakan-rakannya yang menakjubkan. Jangan kata Kejohanan Pertempuran Roh antara akademi, di dalam dunia ini pun berapa ramai yang mampu menandingi mereka?

Kalau mereka benar-benar menyertai kejohanan itu, Akademi Zephyr pasti mampu mencapai keputusan yang mencapai tahap di luar jangkaan!

Selagi mereka mendapat salah satu tempat tertinggi, pasti Akademi Zephyr akan terus ditarik keluar dari kancah kemusnahan. Pelajar-pelajar dan guru-guru juga pasti berebut-rebut mahu menyertai akademi ini!

Memikirkan semua ini, mana mungkin Fan Jin tidak teruja?

"Membantu kamu ibarat membantu diri kami juga," kata Jun Wu Xie sambil memandang Fan Jin. Dengan cara ini, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat. Akademi Zephyr boleh memulihkan reputasi dan pada masa yang sama, mereka mempunyai alasan untuk masuk ke Negara Yan secara sah.

"Hebatnya! Saya akan buat persediaan sekarang. Memandangkan tahun ini Akademi Zephyr tidak mengadakan Kejohanan Roh Pertempuran Tahunan, kita tak akan ada masalah dengan kedudukan pelajar." Fan Jin tersenyum ikhlas dari hatinya buat pertama kali setelah dia kembali sedar. Tadinya dia bergelut dengan kemurungan dan kini dia sudah dapat melihat sinar harapan.

Melihatkan wajah Fan Jin berseri-seri dengan senyuman gembira, Jun Wu Xie menundukkan matanya.

Sama ada secara tidak sengaja atau dia memang berusaha melakukannya, sejak kembali sedar, Fan Jin tidak pernah sekali pun menyebut tentang Ning Rui atau Gongcheng Lei. Fan Zhuo sudah pun memberitahu mereka yang dua orang itu telah dipenjarakan tetapi Fan Jin berkelakuan seolah-olah dia tidak tahu apa-apa. Dia langsung tidak bercakap tentang mereka atau pergi bertemu dengan mereka walau sekali.

Selagi dia tidak menyebutnya, yang lain juga tidak berkata apa-apa tentang hal ini.

Bab berikutnya