webnovel

Cikgu Renshui Tercedera

Editor: EndlessFantasy Translation

Pada pendapat Song Shuhang, dua kotak ubat itu mungkin mengandungi pelbagai benda yang ganjil. Sekurang-kurangnya, dia rasa kandungan kotak itu bukan benda yang mahal. Oleh itu, dia menjawab dengan bersahaja, "Kalau macam tu, saya ucapkan terima kasih dulu. Oh ya, awak ada tak akaun laman web tempahan tiket?"

Bulu Lembut menggelengkan kepala. Dia tidak pernah perlu menempah apa-apa, tidak kira sama ada tiket penerbangan atau tiket kereta api. Keluarganya mempunyai ramai orang gaji yang bekerja untuk Pulau Roh Kupu-kupu.

"Kalau macam tu, beri saya kad ID awak dan saya akan menempah tiket menggunakan akaun saya," kata Song Shuhang.

"Okey!" Bulu Lembut menyerahkan kad ID dan bertanya, "Senior Song, bolehkah saya pergi ke balkoni dan tengok-tengok kawasan sekeliling?"

"Anggaplah ini rumah awak. Buat saja apa yang awak nak." Song Shuhang tersenyum. Baik dan sopannya gadis ini! Tetapi, sayangnya, dia seorang Chuunibyou.

Bulu Lembut tersenyum malu-malu, dan cepat-cepat berjalan ke balkoni dan memandang ke luar bilik.

Balkoni ini menghadap arah timur, dan ada jalan besar dan taman sekolah di luarnya, tiada apa yang menghalang pandangan. Oleh itu, walaupun ini hanya tingkat dua, seseorang itu boleh melihat pemandangan yang luas di sini.

Bulu Lembut memandang Song Shuhang dengan teliti, dan kemudian secara sembunyi-sembunyi dia menggunakan sihir kecil yang menghalang perubahan tenaga supaya perbuatan dia seterusnya tidak akan dikesan oleh 'Senior Song'. 

Dia bersiap sedia kemudian senyap-senyap mengeluarkan sepasang kanta sentuh daripada koceknya dan memakainya.

Jangan memandang rendah terhadap kedua-dua benda ini. Ini merupakan alat sihir yang ditapiskan oleh Yang Berhormat Roh Kupu-kupu baru-baru ini—Naik ke Aras yang Lebih Tinggi, Jika Ingin Memandang Lebih Jauh1.

Namanya sedikit panjang, dan ini merupakan versi baru 'Mata Seribu Batu'.

Selepas memakai kanta sentuh ini, seperti yang disebut dalam puisi itu, tahap penglihatan menjadi setinggi langit dan kamu boleh memandang ke bumi dengan penglihatan dewa.

Ini merupakan tanda kasih sayang seorang ayah kepada anak perempuannya yang, dia tahu, selalu sesat jalan. Dengan senjata sihir ini, anak perempuannya boleh mencari jalan yang betul dengan memandang ke bawah dari langit. Alat ini dipenuhi dengan kasih sayang seorang ayah.

Nampaknya memang benar kata pepatah, anak perempuan merupakan kekasih ayahnya dalam hayat yang sebelumnya.

Kalau berkenaan anak lelakinya, Yang Berhormat Roh Kupu-kupu tidak akan berfikir panjang. "Awak tak rasa malu apabila sesat jalan? Kalau tak dapat cari jalan, awak tak boleh hapuskan saja semua benda yang menghalang jalan awak dan terus ke destinasi? Berani untuk maju ialah tarikan romantik seorang lelaki!"

Jauh berbeza sekali.

Bulu Lembut, dengan menggunakan penglihatan dewa yang dibekalkan oleh alat sihir, dengan cepat dapat mengesan lokasi apartmen guru dalam Kolej Jiangnan. Dia memeriksa data, dan berjaya menemui Cikgu Renshui, seorang lelaki tinggi yang memakai cermin mata berbingkai hitam.

Pada masa ini, Cikgu Renshui yang tidak bersalah…sedang tidur petang dengan anak perempuannya yang berusia enam bulan.

Mungkin ada orang yang akan salah anggap, oleh itu umur anak perempuannya perlu ditekankan! Biar kita menjelaskan sekali lagi, anak perempuannya 'baru berusia enam bulan'!

Semua benda berjalan dengan lancar, seolah-olah seperti kehendak Tuhan!

'Dah dapat!' Bulu Lembut sangat gembira. Dia melekapkan kedua-dua tapak tangannya, 'Maaf, maaf, saya betul-betul minta maaf. Saya akan membalas jasa awak nanti, tapi sekarang tolonglah terseliuh kaki dan masuk hospital.'

Di antara tapak tangannya, sekeping azimat emas berkilauan. Sihir dan azimat merupakan alat pakai buang, tapi ada alat bertaraf tinggi yang boleh diguna berulang kali.

Alat yang dipegang oleh Bulu Lembut pastinya alat bertaraf tinggi.

Bulu Lembut mempunyai ayah yang sangat berada, oleh itu dia mampu membazirkan azimat bertaraf tinggi seperti ini.

Tidak mudah untuk membuat azimat-azimat yang bertaraf tinggi. Azimat seperti ini boleh digunakan berkali-kali, tetapi tidaklah kekal selama-lamanya. Jumlah penggunaan adalah terhad. Apabila seorang pertapa biasa memperolehi azimat bertaraf tinggi, dia akan mengira bilangan penggunaannya dan berhati-hati supaya azimat itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya!

Kuasa azimat emas diaktifkan di bawah kawalan Bulu Lembut.

Dalam apartmen guru yang jauh dari sini.

Semasa Cikgu Renshui sedang tidur, dia tiba-tiba ditolak oleh sesuatu daya dan terjatuh dari katil.

Malangnya, kakinya akan mudah terseliuh dalam posisi seperti ini.

Oleh itu..."Bang!"

"Krak". Kedengaran seperti sesuatu telah terseliuh.

"Aduh!" Cikgu Renshui terjaga dengan berpeluh sejuk dan bunyi mengerang terkeluar dari mulutnya dengan perlahan. Hujung kaki yang terseliuh menjadi merah dengan cepat. Tetapi untuk mengelakkan anak perempuan kesayangannya terjaga, dia mencengkam selimut, mengetap giginya dan menahan suaranya. Begitulah kasih sayang ibu bapa.

Sambil mengetap giginya, Cikgu Renshui mula menggosok hujung kakinya dengan cepat. Jelaslah dia amat berpengalaman. Dia tidak rasa dia perlu pergi ke hospital untuk kaki terseliuh sebegini. Dengan hanya menggosok Minyak Bunga Merah dan tidur sekejap, dia akan sembuh sepenuhnya pada esok pagi.

Selepas menggosok sebentar, Cikgu Renshui berdiri di atas satu kaki dan melompat ke peti ais sambil menyandar pada dinding untuk mengambil Minyak Bunga Merah dan beberapa ketul ais untuk membuat jaram sejuk.

Tetapi…sihir Bulu Lembut belum berakhir lagi. Matlamatnya adalah memasukkan cikgu malang itu ke dalam hospital!

Cikgu Renshui ingat dia jatuh dari katil secara tidak sengaja, tetapi dia tidak tahu bahawa ia disebabkan oleh sesuatu daya misteri yang ingin membuatkan kakinya terseliuh dengan teruk sehingga dia perlu masuk hospital. Oleh itu, dia tidak tahu betapa bahayanya untuk dia melompat di atas satu kaki sambil menyokong badannya dengan memegang dinding—cara dia bergerak ke depan mungkin akan mengakibatkan kakinya terseliuh lagi.

Cikgu Renshui melompat-lompat, dan tiba-tiba hilang keseimbangan.

"Krak!" Kali ini bunyi tulang patah kedengaran…kakinya yang satu lagi terpatah, lebih teruk daripada kaki yang tadi.

"Aduh!" Cikgu Renshui terjatuh dengan kuat. Kedua-dua matanya terbeliak, nafasnya seolah-olah tertahan dan air matanya mula mengalir. Air mata seorang lelaki tidak akan mengalir kecuali dia sangat sedih.

Selepas memandang kakinya—satu terseliuh dan satu lagi patah—air matanya mengalir.

Namun, dia tidak dapat membuat apa-apa tentangnya kecuali menerima nasib malangnya.

Selepas seketika, dia mengeluarkan telefon bimbitnya dengan berhati-hati, menelefon isterinya dan meminta pertolongan. Isterinya juga merupakan guru di Kolej Jiangnan.

Oleh kerana anak perempuannya berada di rumah, dia tidak boleh menelefon 120 untuk mendapatkan ambulan ke hospital. Dia perlu menunggu isterinya balik ke rumah dan menjaga anak perempuannya.

Selepas mendengar cerita bagaimana suaminya terseliuh kedua-dua kakinya, isteri Cikgu Renshui berasa bimbang tetapi juga geli hati.

Selepas mendapatkan cuti pendek, dia bergegas ke rumahnya…

Selepas bercakap dengan isterinya, Cikgu Renshui menelefon pihak sekolah dan meminta mereka membatalkan tiga kelas pada petang esok. Dia pasti perlu tinggal di hospital kerana kedua-dua kakinya tercedera, oleh itu dia patut memaklumkan pihak sekolah untuk menyusun semula kelas-kelasnya. 

"Selesai." Bulu Lembut mengangguk puas hati dan menyimpan balik azimat emas itu.

Dengan cara ini, matlamatnya tercapai.

Cikgu Renshui sudah meminta cuti, oleh itu esok petang tidak akan ada kelas.

Jika esok tidak ada kelas, maksudnya Song Shuhang akan ada masa lapang.

Jika Song Shuhang ada masa lapang, maksudnya dia boleh menemaninya ke Bandar J.

Tengok, semudah itu sahaja!

Selepas menyelesaikan perkara itu, mood Bulu Lembut sangat baik.

Selepas itu, dia masuk ke bilik, dan nampak Song Shuhang sedang menempah tiket kereta api untuknya di atas talian.

"Senior Song, apa kata awak tempah satu tiket untuk diri awak sendiri? Mungkin esok petang awak tidak ada kelas?" Bulu Lembut menundukkan kepalanya ke depan dan bercakap dengan suara yang lembut.

"Haha, okay, saya akan menempah satu lagi tiket jika saya tidak ada kelas esok." Song Shuhang ketawa.

Selepas habis bercakap…

"Ding dong!"

Sebuah mesej telah dihantar daripada Rangkaian Kampus.

"Sila beri perhatian, pelajar Kursus Kejuruteraan Mekanik Kumpulan 19, Kelas 43, Fakulti Rekabentuk Mekanikal dan Pembuatan: Cikgu Renshui telah mengalami kecederaan dan dimasukkan ke dalam hospital, oleh itu kami telah menukarkan kelas 'Statistik Matematik' petang esok kepada kelas 'Inggeris Kolej' Profesor Smith. Sila kongsi berita ini dengan pelajar yang lain dan buat persediaan sewajarnya! Terima kasih."

Mesej pendek ini dihantar tiga kali.

Malah, ia akan dihantarkan semula pada setiap jam nanti.

Pihak pengurusan Kolej Jiangnan selalu bertindak dengan cepat dan cekap! Mereka hanya memerlukan satu dua minit selepas Cikgu Renshui meminta cuti untuk mengeluarkan mesej ini!

"Cikgu Renshui tercedera? Kebetulannya. Tapi kelas esok ditukar kepada kelas Inggeris Profesor Smith…saya kena ambil semula kelas lelaki tua yang bosan ni ke?" Song Shuhang bergumam.

Bulu Lembut yang sedang berdiri di belakangnya tiba-tiba mula menangis.

Buat jahat dibalas jahat!

Tetapi sebagai orang Pulau Roh Kupu-kupu, dia tidak akan mengalah dengan begitu sahaja, tidak mungkin!

Bab berikutnya