webnovel

Sejarah Keluarga Tigui Pine

Editor: EndlessFantasy Translation

"Bahaya akan sentiasa ada, Encik Pine, dan setiap peluang datang bersama risiko masing-masing," kata Roland, sambil cuba mengingat kembali semua maklumat yang disampaikan oleh pembantu menterinya tentang Tigui Pine. "Awak mewarisi pangkat daripada ayah awak, bukan? Dia dulu seorang kesateria dan dianugerahkan pangkat serta sebidang tanah kerana keberaniannya dalam pertarungan."

"Benar, Tuanku," kata Tigui sambil mengangguk.

"Pertarungan tersebut juga berlaku semasa Bulan Kunjungan Iblis, pertarungan terhormat bagi membela nasib orang tidak bersalah. Pada tahun itu, sebilangan makhluk iblis tidak sengaja merempuh barisan pertahanan kita melalui Sungai Air Merah dan memasuki daerah pendalaman Rantau Barat. Ayah awak terserempak dengan kawanan makhluk itu semasa dia sedang meronda. Dia tahu Pekan Sempadan kini terdedah tanpa pertahanan jadi walaupun itu bukan tugas dia, dia tetap memilih untuk menyerang makhluk itu. Dia tidak berundur dan mencari bantuan dahulu seperti yang akan dilakukan kebanyakan orang," cerita Roland sambil memerhatikan Tigui. "Beta percaya awak sendiri lebih tahu apa yang berlaku seterusnya. Dia dan pembantunya mengumpulkan orang-orang pekan lalu menyerbu dan membunuh makhluk-makhluk itu."

"Benar, Tuanku," kata Tigui dengan mata bercahaya apabila mendengar Putera Roland menceritakan keberanian ayahnya. "Salah seekor makhluk itu begitu besar, seperti kacukan rusa jantan dan seladang. Batang kakinya lebih besar daripada batang pokok dan semasa ia berlari, tanah akan bergegar di bawahnya. Jika Patik yang berada di situ pada waktu itu, Patik tak akan mampu menghadapi mereka."

"Tetapi ayah Patik dapat lakukannya. Dia berdiri berhampiran sebatang parit cetek dan mengumpan makhluk iblis itu mendekati dia. Sebaik sahaja makhluk itu meluru ke arahnya, dia terus berbaring di dalam parit cetek itu sambil memegang lembingnya menghala ke langit. Makhluk yang kononnya sangat kuat itu rupanya bodoh dan tidak nampak bilah lembing itu terjulur keluar dari tanah. Semasa ia melanggar lembing itu, perutnya tersiat dan memuntahkan segala isi perutnya ke atas ayah Patik yang sedang berbaring dalam parit itu. Hingga ke hari ini, Patik masih menyimpan tanda kenang-kenangan daripada pertarungan itu, iaitu satu tanduk gergasi yang kini tergantung di atas pendiang api Patik."

Roland menghirup tehnya dan berkata tenang, "Pertarungan itu begitu luar biasa. Ayah awak mempunyai keyakinan, kekuatan, dan keberanian seorang kesateria. Joe Kohl, yang menganugerahkan pangkat dan tanah kepada ayah awak, masih seorang Earl di Kubu Longsong pada masa itu. 25 tahun kemudian, dia dinaikkan pangkat menjadi Duke oleh Ayahanda Beta, Raja Wimbledon III. Dia dilantik sebagai Penjaga Sempadan Selatan dan bidang kuasanya menjangkau ke seluruh Wilayah Selatan. Jadi sudah tiada pemerintah di Kubu Longsong yang menyokong ayah awak. Selepas Joe Kohl menerima pelantikan baru itu, dia menjadi duri dalam daging bagi Duke di Kubu Longsong pula apabila dia tinggal di bahagian timur Kubu Longsong."

"Tuanku benar-benar arif dengan masalah keluarga Patik," Tigui berkata sedih sambil mengeluh. "Tuan Joe tidak sehaluan dengan Duke Ryan, pemerintah Kubu Longsong. Pangkat Earl yang dimilikinya juga bukan dikurniakan oleh Duke Ryan. Ayahanda Tuanku yang mengurniakan pangkat Earl itu, jadi dia bukan orang bawahan Duke Ryan, sama ada melalui keluarga mahupun pertalian darah."

'Ini permainan politik,' Roland berfikir dalam diam. 'Ia muslihat Raja Wimbledon III bagi menyeimbangkan dua kuasa.'

Bagi memahami sejarah politik yang berselirat antara dua keluarga ini, Roland telah menghabiskan masa sehari suntuk bersama Pembantu Menteri Barov.

Hak milik tanah serta bidang kuasa antara golongan bangsawan sangat mengelirukan. Sepatutnya seorang tuan tanah mempunyai kuasa ke atas bangsawan bawahan yang menetap di tanahnya. Tetapi hakikatnya ia sukar untuk diamalkan, seperti yang ditunjukkan melalui kemelut antara Joe Kohl dan Duke Ryan. Walaupun Joe Kohl mempunyai tanah di Rantau Barat di bawah Duke Ryan, dia dilantik secara langsung oleh Raja dan bukan Duke Ryan. Rakyat juga menghormati Joe Kohl dan Duke Ryan secara sama rata.

Selepas Joe dilantik sebagai Duke di Rantau Selatan, Raja tentu akan menyelitkan pengintip baru di tanah Baginda, dan ini cara biasa untuk mengekalkan kestabilan politik.

"Maksudnya apabila tanah itu diwariskan kepada awak, ia sudah tandus kerana tidak diusahakan dan tidak membawa apa-apa keuntungan lagi," Roland berkata sepatah demi sepatah. "Tetapi sekarang, ada peluang baru untuk awak."

"Peluang…baru?"

"Beta pasti awak tahu tentang kebuluran yang berlaku dua tahun lalu. Kubu Longsong sengaja mencatu bekalan makanan untuk Pekan Sempadan kerana kita tidak berikan penghasilan bijih mencukupi. Tahun ini, kita menghadapi masalah yang sama. Runtuhan yang berlaku di Lombong Cerun Utara menyebabkan penghasilan bijih tahun ini juga merosot dan kita terpaksa bertahan daripada serangan makhluk iblis dengan tembok kota kita yang baru dibina itu. Peperangan kali ini tentu hebat dan mencabar, tetapi seperti yang Beta katakan tadi, setiap peluang datang bersama risiko masing-masing."

"…"

Tigui sudah boleh mengagak maksud puteranya ini. Dia mengerutkan dahi tetapi tidak berkata apa-apa.

"Beta lihat awak bukan seperti orang bangsawan biasa," kata Roland sambil tersenyum. "Orang bangsawan tak akan memakai pakaian seperti awak, mereka tak akan masuk ke dalam hutan dan tangan mereka tak akan bercalar-balar tersagat duri seperti tangan awak. Encik Pine, awak mewarisi kemahiran ayah awak, bukan? Kemahiran pertarungan seorang kesateria."

Roland pasti dia mempunyai kemahiran bertarung yang diwarisi daripada ayahnya dan masih mengamalkannya. Jika tidak, dia tidak akan menghabiskan begitu banyak masa di dalam Hutan Kabut. Menurut maklumat yang diberikan Barov, Tigui Pine menghabiskan sekurang-kurangnya tiga hari seminggu dalam Hutan Kabut selepas dia datang ke Pekan Sempadan. Setiap kali masuk, dia akan membawa peralatan lengkap dan sekumpulan pemburu kerana dia tidak mampu mengupah pembantu. Sesetengah orang memang suka bertarung, dan Tigui Pine ternyata salah seorang daripadanya.

"Beta mahu menawarkan awak peluang untuk mengembalikan kehormatan ayah awak, dengan pedang dan keberanian yang awak miliki. Beta akan anugerahkan sebidang tanah di belah timur Pekan Sempadan, sesuai dengan taraf seorang Viscount jika awak menunjukkan prestasi bagus dalam peperangan itu nanti."

Ia perkara yang jarang dibuat, tetapi tawaran itu tetap sah. Seorang putera yang cukup usia berhak untuk menganugerahkan gelaran Viscount, Baron, dan kesateria secara rasmi kepada sesiapa pun. Namun begitu, Roland jarang menganugerahkan gelaran kepada rakyat pemerintah lain kerana dikhuatiri seolah-olah tidak menghormati pemerintah mereka. Dia juga bimbang berasa janggal jika tawarannya ditolak. Tetapi Roland tidak lagi peduli tentang semua itu. Kuasa penyembuhan Nana lebih penting untuk difikirkan berbanding budi bahasa. Memandangkan Joe Kohl tidak membawa keluarga Pine bersama dia bila dia dilantik sebagai Penjaga Sempadan Selatan, keluarga Pine kini dibiarkan terkontang-kanting tanpa pemerintah.

Akhirnya Tigui membuka mulut. "Tuanku, izinkan Patik menghantar Nana balik ke Kubu Longsong. Tiada sesiapa pernah menewaskan makhluk iblis itu di sini, dan Patik tidak mahu mempertaruhkan nyawa anak Patik kalau-kalau kita kalah nanti."

"Encik Pine, seperti yang Beta katakan tadi, bahaya akan sentiasa ada. Awak pernah terfikir apa akibatnya jika orang Kubu Longsong dapat tahu Nana ialah ahli sihir? Gereja Inggeris mempunyai pengaruh hebat di sana, tidak seperti di sini. Mereka ada paderi dan pengintip di mana-mana. Beta sendiri tak akan dapat selamatkan dia kalau rahsia dia terbongkar."

Roland berhenti seketika sebelum menambah, "Pekan Sempadan tidak akan tewas kerana Beta sendiri akan berlawan bersama-sama rakyat Beta di tembok kota setibanya Bulan Kunjungan Iblis nanti. Musuh kita hanya haiwan yang termutasi, bukannya makhluk iblis yang tidak dapat dikalahkan. Ayah awak sendiri pernah menewaskan mereka tanpa apa-apa alatan istimewa mahupun perlindungan. Sekarang kita ada tembok kota yang tinggi antara kita dan mereka. Jika kita… jika kita benar-benar berada dalam bahaya, Beta akan terus hantar Nana pergi dari Pekan Sempadan ini ke tempat yang selamat," Roland menarik nafas. "Anna juga. Beta akan sediakan sebuah bot di jeti. Beta berjanji mereka akan selamat."

"Kalau begitu… Patik menyerahkan kepercayaan kepada Tuanku," kata Tigui Pine. Dia berjalan selangkah ke hadapan lalu melutut di hadapan Roland, dan memberi tabik hormat gaya seorang kesateria. Tigui berikrar, "Patik akan berjuang di samping Tuanku."

...

Roland dan Anna memerhati Tigui Pine membawa Nana keluar istana untuk pulang. Sesudah itu, Anna memalingkan muka ke arah Roland sambil mengangkat sebelah kening.

"Tuanku bermimpi atau apa? Patik tidak akan meninggalkan Pekan Sempadan."

Bab berikutnya