webnovel

"Penipu! Penipu besar!"

Laungan penuh kemarahan berlegar di udara, berserta dengan langkah kaki seseorang melarikan diri .

Zhang Xuan mengangkat kedua belah tangannya sambil berkata "Saya? Penipu? Tidak sama sekali! Saya merupakan seorang guru akademi! Saya cuma ingin menjadikan kamu anak murid saya. Tergamak kamu menggelarkan saya seorang penipu besar, seolah-olah saya ini seorang penjenayah..."

Setelah selesai berkata-kata, Zhang Xuan teringat akan pesanan pengarahnya, "Ini sudah kali ketujuh belas! Jika kamu gagal untuk mencari anak murid hari ini, kamu harus meninggalkan tempat ini esok!"

Sebenarnya, Zhang Xuan tidak berasal daripada dunia ini. Dia hanyalah seorang pustakawan biasa di sebuah sekolah menengah. Sebelum tiba ke dunia ini, perkara terakhir yang diingatinya adalah sebuah api yang menyala dengan tersangat marak, mengakibatkan dia jatuh pengsan. Setelah sedar, dia telahpun berada di dunia ini.

Dunia ini persis dengan dunia yang diceritakan dalam novel, di mana seni bela diri diagung-agungkan dan yang kuat menjadi raja!

Pada permulaannya, dia beranggapan bahawa dia hanyalah akan menjadi seorang yang tidak berguna dan bakal ditinggalkan oleh tunangnya. Kemudiannya, dia bercadang untuk membuktikan bahawa tanggapan mereka adalah salah sama sekali dan hidupnya selepas itu bakal baik-baik sahaja….. Namun kesemua itu merupakan angan-angan sahaja. Setelah tiba ke sini, dia menyedari bahawa dia bukanlah seorang anak murid tetapi seorang guru!

Guru yang paling teruk di akademi ini!

Kelas-kelas guru lain sentiasa dipenuhi dengan pelajar sehinggakan tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menempatkan semua orang. Sebaliknya, kelasnya langsung tidak mempunyai seorang pelajar pun.

Pada awalnya, dia telah berjaya menarik minat beberapa orang untuk menyertai kelasnya dengan susah payah. Tetapi, mereka melarikan diri dan menggelarnya "penipu" tidak lama kemudian!

Kesemua ini berlaku kerana beberapa perkara. Pertama sekali, tubuh manusia yang diambil alih oleh Zhang Xuan merupakan guru yang paling lemah di kampus ini. Dia bukan sahaja tidak mahir dalam memilih bakat untuk dilatih, malah telah mendidik dengan cara yang salah sehingga mengakibatkan pertapaan salah seorang pelajarnya menjadi liar!

Kejadian ini seumpama seorang doktor yang menyebabkan pesakit mati di bawah rawatannya! Reputasinya selepas insiden tersebut lesap begitu sahaja dan dia mula dibenci oleh semua orang. Murid-murid baru di akademi pun mula menjauhinya kerana khuatir akan ditimpa nasib yang sama jika mereka menjadi anak muridnya.

Rekod buruk serta ketiadaan pelajar telah mengakibatkannya mendapat tempat terakhir di dalam Peperiksaan Kelayakan Perguruan pada tahun lepas. Malahan, dia juga merupakan orang pertama dan satu-satunya dalam sejarah akademi untuk mendapat kosong markah.

Kemurungan telah mengakibatkannya bergantung pada arak untuk memendam keperitan hidupnya. Akhirnya, seperti yang diinginkan olehnya sendiri, dia telah mati. Namun, kematian ini memberikan peluang kepada Zhang Xuan untuk mengambil alih tubuhnya.

Pada permulaan semester baru, pihak akademi telah memberikannya kata dua. Jika dia tidak dapat memujuk seorang pun pelajar untuk menyertai kelasnya pada penghujung tahun ini, kelayakannya sebagai seorang guru akan dibatalkan.

Hari ini, telahpun 17 pelajar baru yang singgah di bilik darjahnya. Malangnya, sebaik sahaja mereka mendapat tahu namanya, mereka berlari lintang-pukang seperti seorang gadis yang terserempak dengan lelaki miang.

"Nampaknya saya harus mencari jalan untuk memujuk mereka!"

Sedang dia memikirkan cara untuknya menarik pelajar, dia terlihat seorang gadis sedang terpinga-pinga di pintu masuk bilik darjahnya.

"Tumpang tanya, adakah ini kelas Guru Lu Xun?"

Gadis tersebut mempunyai ciri-ciri yang anggun diiringi dengan suara merdu.

Lu Xun adalah guru yang terkenal di akademi tersebut. Kelasnya sentiasa dipenuhi pelajar, malah boleh dikatakan bahawa kebanyakan pelajar memilih untuk datang ke akademi semata-mata untuk menuntut ilmu dari beliau.

"Kamu akan menjadi milikku!" Mata Zhang Xuan membara melihat mangsa mendekati perangkapnya.

Sambil cuba untuk mengingati segala kaedah untuk bertenang dalam hidupnya yang lepas, dia duduk di kerusinya dengan senyap sambil bergaya seakan-akan seorang pakar, "Kamu mahu menjadi anak murid beliau?"

Gadis muda itu mengangguk-angguk, mata hitamnya penuh dengan kekaguman. "Dengarnya, Guru Lu Xun merupakan guru yang terulung di Akademi Hongtian. Kesemua murid yang diajarnya telah menjadi orang terkenal. Seseorang itu seharusnya berbangga jika diberikan peluang untuk mengikuti kelasnya!"

"Khabar angin tidak selalunya mencerminkan kebenaran. Seorang guru ibarat kasut, apa yang penting adalah betapa padannya ia dengan kaki kita! Tidak kiralah betapa tinggi kebolehannya untuk mengajar, jika teorinya tidak sesuai dengan kemahiran kamu, bukan sahaja kamu akan susah untuk maju, bahkan kekuatan kamu mungkin akan merosot! Walaupun seorang guru itu tidak terkenal, jika teori beliau sesuai untuk kamu, kamu dapat maju dengan cepat dan pertapaan kamu akan meningkat dengan banyaknya!"

"Benarkah... saya teringat bahawa abang saya pun pernah berkata demikian dahulu!" Gadis muda itu berfikir untuk seketika, keraguan mula timbul di matanya yang cantik jelita. "Tetapi, saya tidak tahu pelajaran apakah yang sesuai untuk saya!"

Menyedari bahawa gadis ini sudah termakan perangkapnya, Zhang Xuan dipenuhi dengan harapan. Dia teragak-agak untuk seketika sambil terfikir tentang cendekiawan bijaksana seperti Karl Marx dan Friedrich Engels. Dia menunjukkan raut wajah yang mencerminkan kerumitan sambil berkata "Perjumpaan kita boleh dikira sebagai takdir. Begini, saya juga seorang guru di akademi ini. Saya boleh membantu untuk memeriksa tulang, bakat dan personaliti kamu dan kemudiannya mencadangkan guru yang sesuai untuk kamu!"

"Kalau begitu, saya hargainya, tuan!" Dia tidak sangka akan terjumpa seorang guru yang rela membantunya sebegini. Gadis itu mengangguk kegembiraan.

"Tunjukkan dulu pertapaan kamu!"

Mata Zhang Xuan terbuka separuh, memberikan isyarat kononnya dia tidak kisah akan kuat atau lemahnya pertapaan gadis itu.

"Baik!"

Huuuuuuuuuuu!

Dalam masa yang singkat, seluruh bilik dipenuhi dengan bunyi siulan hasil daripada tekanan gelombang daripada buku lima gadis tersebut. Gelombang yang bertubi-tubi mula menyelebungi badannya. Tenaga batin gadis tersebut terus berkumpul tanpa sedikitpun bertempiaran, tenaga yang kuat tetapi tersembunyi. Ini menunjukkan bahawa dia mempunyai asas yang sangat kukuh.

"Baiklah, saya dapat merasakan kamu adalah seorang yang giat berlatih dengan gigih. Asas kamu kukuh dan potensi kamu teramat tinggi. Kamu adalah bakat yang sukar dijumpai!"

Setelah gadis tersebut selesai menunjukkan rutin tumbukannya, Zhang Xuan mengangguk tanda puas hati.

Dia mula meniru gaya penilik nasib. Kata-katanya tidak mempunyai maksud yang jelas, malahan boleh memberi erti yang berbeza-beza. Sesiapa yang mendengarnya akan mendapati bahawa ianya sukar untuk dipersalahkan, malah akan terkejut akan ketepatan kata-kata tersebut.

"Kekuatan kaki kamu seumpama naga yang membelit mangsanya. Pergerakan kamu seakan sungai yang deras, penuh dengan kekuatan. Asalkan kamu terus berlatih dengan gigih, masa hadapan kamu pastinya cerah…"

"Guru, sebenarnya kaki saya telah cedera. Doktor memberitahu bahawa ia seakan sudah tempang…" Perempuan tersebut menyampuk sambil memandangnya dengan mata yang penuh syak wasangka.

"Cedera….." muka Zhang Xuan mula menjadi merah. Namun, sikapnya yang bermuka tembok membuatkan lain sukar untuk membaca riak wajahnya. Dia tetap terus mengarut, "Kamu fikir saya tidak tahu? Saya sudahpun mengetahuinya dari saat kamu bermula lagi! Saya cuma berkata begitu kerana… sesuatu hanya akan dapat dilahirkan semula setelah menempuh kematian! Walaupun kaki kamu cedera, kamu diberkati dengan satu peluang yang tidak disangka-sangka. Kamu belum mengerti, pergerakan kaki kamu akan menjadi kekuatan yang terulung! Orang lain hanya mampu mencemburui kamu!".

Dalam pemikiran Zhang Xuan, dia akan terus merepek dan mengarut asalkan sahaja dia mendapat seorang murid baru.

"Peluang? Guru, peluang apakah ini?" mata gadis tersebut mula bercahaya.

Setelah kakinya tercedera, dia sentiasa merasa rendah diri jika dibandingkan dengan orang lain dan ini mengakibatkannya tidak yakin pada diri sendiri. Dia tidak pernah terfikir bahawa kemalangan ini sebenarnya merupakan sesebuah rahmat.

"Peluang ini akan membolehkan kamu mencapai kemuncak dalam jangkamasa yang terdekat. Malahan, tidak mustahil untuk kamu menjadi yang terbaik di kalangan pelajar-pelajar baru. Potensi kamu teramat luar biasa, bakat yang belum pernah muncul dalam sejarah. Tetapi….." kata-kata Zhang Xuan tidak disempurnakan. Sekarang, dia cuma perlu memetik ajaran daripada buku panduan 'Penumbuk Buddha'.

Sebaik sahaja mendengar dia mempunyai bakat yang mampu membolehkannya menjadi yang terbaik di antara pelajar baru, muka perempuan tersebut mula menjadi merah padam. "Tetapi apa?" dia terus bertanya

"Tetapi…." Zhang Xuan mengeluh. Keluhan itu bagaikan memberitahu bahawa bakat gadis itu bakal terbazir begitu sahaja. "Di dalam akademi ini, tidak ramai guru yang mampu mengenalpasti bakat dan peluang sebegini. Termasuk saya, cuma 3 guru sahaja yang boleh berbuat sedemikian. Namun, 2 daripadanya sudahpun berhenti menerima anak murid sejak 3 tahun lalu. Jadi..... ia agak sukar untuk saya bertanyakan mereka…"

"Berhenti menerima anak murid?" Pada mulanya, gadis ini mempunyai harapan yang tinggi tetapi wajahnya bertukar muram selepas mendengar kata guru tersebut. Lantas, dia teringat sesuatu dan berkata " Mereka tidak lagi menerima anak murid tetapi, adakah tuan...masih menerima?"

"Sudah tentu. Tetapi, seperti yang kamu boleh lihat, saya tidak berminat terhadap reputasi mahupun kekayaan. Malahan saya tidak mempunyai banyak masa terluang!" Raut wajah Zhang Xuan seolah-olah menandakan yang dia sedang membuat pilihan yang amat sukar. "Jika kualiti sebuah batu jed tidak menepati piawaian saya, saya tidak akan mengambilnya biarpun ditakdirkan kita bertemu."

"Guru!"

Belum pun Zhang Xuan mampu menghabiskan ayatnya, gadis tersebut telahpun berlutut di lantai sambil menunduk hormat. "Saya tahu tuan ini seorang yang mulia, tetapi tolonglah terima saya sebagai anak murid tuan! Saya akan berlatih dengan gigih supaya tidak mengecewakan tuan!"

Hati Zhang Xuan dipenuhi kegembiraan, namun raut wajahnya tetap menunjukkan perasaan dilanda kesukaran, "Nampaknya terdapat jodoh di antara kita, namun….mungkin kamu sudahpun tahu, saya sukakan ketenangan…"

"Sebagai anak murid tuan, saya berjanji tidak akan menganggu kecuali ianya melibatkan kecemasan!" Apabila melihat muka Zhang Xuan yang seakan hendak tidak hendak, gadis itu mula mengangguk kepalanya dengan muka yang ikhlas.

"Jika dibandingkan dengan guru-guru lain, saya tidak mempunyai ramai murid. Jadi, saya juga tidak mempunyai banyak kelengkapan pelajaran. Tambahan pula, kamu mungkin dikritik orang lain…." sambung Zhang Xuan.

"Benarkah... Saya dengar bahawa kelengkapan pelajaran itu penting…" Gadis itu mula merasa ragu

Jumlah kelengkapan yang boleh dituntut oleh seorang guru daripada akademi adalah tergantung kepada jumlah pelajar yang dipunyai, prestasi mereka dan banyak faktor lain. Tanpa kelengkapan yang mencukupi, ianya sukar untuk seseorang memperkasakan tahap pertapaannya.

"Ahem, saya cuma berkata sedemikian untuk menguji kamu. Memandangkan kamu sudah bertekad dan ikhlas untuk berguru dengan saya, dengan berat hatinya saya akan menerima kamu sebagai anak muridku!"

Apabila Zhang Xuan mula merasakan unsur keraguan daripada gadis tersebut, dia lantas berkata "Ini token pengenalan kamu!"

"Cepatnya?"

Gadis tersebut tidak menyangka bahawa guru itu akan menukar nadanya secepat membelek halaman buku. Gadis itu masih dalam keadaan terkejut apabila dia menghulurkan kad pengenalannya kepada Zhang Xuan. Baru sahaja dia hendak mempertimbangkan semula keputusannya, Zhang Xuan telah pun menarik tangannya lalu menghiris dengan pisau yang tajam. Setitik darah jatuh ke atas token jed tersebut.

Weng!

Cahaya berkedipan.

"Ah…"

Perempuan tersebut kebingungan.

Bukankah guru tersebut berkata bahawa dia perlu menilai dengan teliti tentangnya? Tanpa mempedulikan reputasi dan kekayaan? Jika begitu, mengapakah begitu cepat sekali pergerakannya…. Sehinggakan pisau pun sudah disediakannya terlebih dahulu?

"Mulai hari ini, kamu adalah anak murid saya!" Selepas pengesahan melalui pemberian darah selesai, Zhang Xuan menarik nafas lega. Kemudian, dia kembali menunjukkan gaya pakar yang unggul, "Siapakah nama kamu?"

"Guru, nama saya Wang Ying!"

Wang Ying menyedari bahawa dia tidak lagi dapat menarik balik pilihannya untuk berguru dengan Zhang Xuan, maka dia sekadar mengangguk kepalanya tanpa berkata apa-apa lagi.

"Ambil token pengenalan ini dan pergilah tuntut buku dan juga tilam kamu. Sementara itu, dapatkan juga tempat tinggal. Kelas kita akan bermula esok. Jumpa saya di sini!"

Zhang Yuan mengibaskan tangannya.

"Baik!" Wang Ying mengangguk dan terus beredar.

'Huu, saya sudah berjaya memujuk seorang!"

Selepas mengesahkan gadis itu sebagai anak muridnya, Zhang Xuan menarik nafas lega dan tersenyum.

Sememangnya, ini bukanlah sebuah tugas yang mudah. Jika bukan kerana kaedah menenangkan diri yang dipelajarinya daripada internet, pastinya susah untuk dia berjaya pada hari ini.

Dengan seorang anak murid, dia dapat menyelamatkan diri daripada dipecat. Zhang Xuan merasakan beban di hatinya menghilang dan jiwanya tenang. Obsesi yang terpahat di dalam pemikirannya beransur-ansur hilang.

"Berehatlah dengan tenang, sekarang saya menguasai tubuhmu, saya akan terus hidup dengan jayanya bagi pihak anda!"

Zhang Xuan yang sebelumnya mati disebabkan kegagalannya mendapatkan anak murid. Oleh demikian, kekesalan beliau telah memerangkapnya di dunia ini. Setelah anak murid berjaya dimiliki, obsesinya yang terakhir sudahpun hilang. Pada saat ini, Zhang Xuan dianggap telah memiliki kekuasaan mutlak terhadap tubuh badan tersebut.

Boom!

Setelah mendapat kawalan mutlak terhadap badan tersebut, Zhang Xuan bercadang untuk terus mendapatkan beberapa orang lagi pelajar menjadi anak muridnya. Tetapi, tiba-tiba dia merasakan gegaran di dalam kepalanya. Dia seakan-akan sedang mendengar bunyi loceng purba dipalu.

"Syurga dan bumi sememangnya kejam, memperlakukan semua hidupan ibarat anjing.."

"Matahari terbenam dan rembulan hilang sinarnya, sesuatu ketidaksempurnaan muncul di antara syurga dan bumi…"

Boom!

Segala pedoman yang didengari telah mengejutkannya. Ini diikuti dengan kemunculan sebuah istana yang besar di dalam benak fikirannya. Pada dinding istana tersebut, tertulis 3 perkataan yang bersinar terang.

Perpustakaan Jalan Syurga!

Zhang Xuan membuka pintu perpustakaan tersebut dan melangkah masuk. Kelihatan rak-rak buku yang tidak terhingga banyaknya berdiri megah, terisi dengan pelbagai jenis buku. Penghujung perpustakaan tersebut tidak kelihatan dari pandangan mata.

"Mungkinkah ini merupakan hadiah untuk mereka yang mengatasi batasan? Sebuah perpustakaan? Jahanam, dari dulu lagi saya merupakan seorang pustakawan, mana mungkin saya ditakdirkan untuk menjalani nasib yang sama di dunia ini juga!"

Hadiah yang diterima oleh orang lain adalah seperti jam dinding kuno, sistem ataupun apa juga perkara yang memberi kekuatan tidak terhingga. Tetapi, hadiah yang diterimanya merupakan sesebuah perpustakaan?' Zhang Xuan mula terasa hendak pitam.

Perpustakaan? Untuk apa? Di dalam pertarungan-pertarungan akan datang, takkan saya hendak melempar buku apabila orang lain kesemuanya melempar pedang ke arah saya?

"Biar saya lihat buku-buku apakah ini."

Dengan pasrah, Zhang Xuan menghulurkan tangannya untuk mengambil sebuah buku daripada rak. Namun, tangannya menembusi rak buku tersebut dan dia hanya menggenggam udara.

"Kamu berguraukah? Kamu kurniakan saya sebuah perpustakaan tapi kamu menghalang saya daripada mengambil dan membaca bukunya, apa sebenarnya yang kamu mahu?"

Zhang Xuan tidak mampu berkata apa-apa. Dia terasa seakan ingin menangis tetapi tiada air mata yang mengalir.

Bab berikutnya