webnovel

Helo, Maharaja

Editor: EndlessFantasy Translation

Xiao Meng dan Ji Chengxue terkejut apabila mereka melihat orang yang baru tiba itu. Keraguan jelas terbayang di mata mereka.

"Tuanku?! Kenapa Tuanku datang ke sini?" Xiao Meng cepat-cepat berdiri dan maju ke arah maharaja untuk bertemu dengannya. Ekspresi terkejut di wajahnya masih belum hilang. Tak ada sesiapa pun yang menjangka maharaja itu sendiri akan melawat restoran yang terletak di lorong itu.

"Paduka Anakanda dan rakyat menyambut kehadiran Paduka Ayahanda Maharaja1." Ji Chengxue juga berdiri dan memberi hormat kepada lelaki tua itu.

Walaupun rambut lelaki tua itu dah beruban, keadaan mentalnya masih baik. Dia memakai jubah yang cantik dan rambutnya dikemaskan dengan penyepit rambut jed hijau. Dengan menyilangkan tangan di belakang badannya, dia memancarkan aura yang hebat dan berbudi pekerti.

"Jeneral Xiao? Chengxue? Kamu makan di restoran ni juga? Makanan di sini nampak macam sedap." Ji Changfeng memberikan senyuman kecil sambil melangkah masuk ke dalam kedai. Dia batuk ketika dia sedang berjalan dan tubuhnya bergoyang dengan setiap langkah yang diambil. Dia nampak seperti hampir separuh mati.

Xiao Meng dengan lekas menyokong badannya kerana dia takut maharaja akan mengalami kecederaan.

"Tuanku, kenapa Tuanku datang ke sini berseorangan? Ini tak selamat. Walaupun ahli-ahli pakar daripada kaum kerabat yang bersembunyi dalam kota diraja dah berundur, kita tak tahu kalau ada lagi yang masih bersembunyi." Xiao Meng berkata dengan cemas.

Maharaja hanya melambai untuk menunjukkan dia tak kisah dan berkata, "Tak apa. Pada masa dulu, Beta masih dianggap sebagai seorang yang dikagumi oleh seluruh dunia. Walaupun Beta dah tua, tak ada sesiapa yang berani mendekati Beta. Beta datang ke sini hari ini untuk bercakap tentang makanan saja."

Maharaja duduk di atas kerusi dan meninjau persekitarannya. Ruang dalam restoran itu tak besar. Terdapat beberapa buah meja yang disusun dengan kemas dan hiasan dalam restoran itu pun memberikan unsur keselesaan. Restoran itu boleh menambat hati seseorang.

Maharaja menghidu udara di sekelilingnya dan pandangannya beralih ke arah meja yang diduduki oleh Xiao Meng dan Ji Chengxue sebelum ini. Matanya bersinar dan dia berkata, "Aroma wain ni benar-benar pekat. Adakah wain lazat ni lebih baik daripada Wain Nektar Berhias Permata?"

"Ya, Tuanku. Inilah wain yang eksklusif di restoran ni, Wain Jed Penyejuk Hati. Sebalang berharga lima belas kristal," kata Xiao Meng sambil mengangguk kepalanya.

"Lima belas kristal... mahalnya. Tapi Beta lagi nak cuba rasanya sekarang. Mana taukenya? Beta nak jumpa dengannya dan pesan hidangan pada masa yang sama." Kata maharaja.

Ouyang Xiaoyi melihat maharaja dengan malu dan matanya terbeliak. Apabila dia mendengar kata-kata beliau, dia berpaling ke tingkap dapur dan menjerit, "Tauke busuk, Nenda Maharaja nak jumpa kamu."

"Hmm? Siapa?" Suara Bu Fang yang acuh tak acuh itu kedengaran dari dapur dan disertai dengan bunyi goreng kilas.

"Nenda Maharaja." Kata Ouyang Xiaoyi sekali lagi dengan bersungguh-sungguh.

"Oh, biarlah dia tunggu." Bu Fang membalas dengan acuh tak acuh dan membuatkan Ouyang Xiaoyi terkesima.

Loli kecil itu sangat geram. Apabila dia bercakap dengan Bu Fang, dia berasa seperti mahu muntah darah kerana terlalu geram.

Orang yang nak berjumpa dengannya ialah maharaja, orang nombor satu dan juga pemerintah tertinggi dalam Empayar Bayu. Biar betul dia suruh maharaja tu tunggu?

Ji Changfeng dan orang yang lain telah mendengar perbualan antara Bu Fang dengan Ouyang Xiaoyi dan ekspresi wajah mereka sangat menarik.

Xiao Meng dan Ji Chengxue tak tahu bagaimana nak menjawab. Dalam hati mereka, mereka berkata, 'Tauke Bu ni... Dia memang sentiasa aneh. Dia langsung tak beri muka pada maharaja.'

Sebaliknya, Ji Changfeng berasa lucu dan menganggap situasi itu menarik. Kalau cef-cef biasa mendengar gelarannya, mereka dengan serta-merta akan datang untuk menyanjungnya. Dia tak pernah alami kes seperti Bu Fang yang mana dia tak dipedulikan langsung.

"Kelakuan tauke ni... memang menarik." Ji Changfeng tersenyum kecil sambil mengusap janggutnya.

Xiao Meng dan Ji Chengxue juga tersenyum kecil.

Akhirnya, selepas beberapa minit, Bu Fang keluar dari dapur. Dia memegang sepinggan Tulang Rusuk Masakan Masam Manis di dalam tangannya. Aroma pekat daripada daging tulang rusuk itu tersebar ke seluruh restoran. Warna kuning keorenan Tulang Rusuk Masakan Masam Manis itu sungguh lazat.

"Ini Tulang Rusuk Masakan Masam Manis, Tuanku. Selamat menjamu selera." Kata Bu Fang sambil meletakkan pinggan itu di atas meja Ji Chengxue.

Kemudian dia berpusing dan memandang ke arah lelaki tua yang duduk di atas kerusi itu. Dia berkata di dalam hatinya, 'Ini mesti Nenda Maharaja yang Xiaoyi sebut tadi.'

"Helo, Maharaja." Kata Bu Fang tanpa ekspresi.

Semua orang terkejut. Maharaja terkaku seketika dan mula tertawa sambil mengusap janggutnya.

"Helo, anak muda. Kamu ke tauke restoran ni? Apa nama hidangan tadi tu? Baunya sangat enak." Senyuman lembut terukir di wajah maharaja apabila dia melihat Bu Fang. Memang aneh tauke restoran ini.

"Oh, nama hidangan ni Tulang Rusuk Masakan Masam Manis. Ini hidangan paling mahal di restoran buat masa ini." kata Bu Fang.

"Tulang Rusuk Masakan Masam Manis... Dengan bau yang lazat seperti tu, Beta tak sabar nak makan. Bagus." Maharaja mengangguk kepalanya sambil ketawa.

"Menu ada di belakang Tuanku, beritahu Patik apa yang Tuanku mahu makan. Wain Jed Penyejuk Hati terhad kepada tiga balang setiap hari dan hanya tinggal sebalang saja untuk hari ni." Kata Bu Fang sambil menunjuk ke arah menu yang terletak di belakang maharaja.

Maharaja terkejut seketika. Dia menoleh ke belakang dan melihat menu yang terpampang pada dinding. Harga bagi semua hidangan pun mahal-mahal belaka.

Maharaja mengerut dahinya dan batuk beberapa kali. Kemudian dia bertanya, "Menarik, semangkuk Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi berharga sepuluh biji kristal. Tulang Rusuk Masam Manis... lima puluh kristal untuk satu hidang. Kenapa hidangan-hidangan ni dijual dengan harga yang mahal?"

"Ada sebabnya kenapa harganya sangat mahal. Restoran kami ada standard yang ketat bagi bahan-bahan yang digunakan, proses pengendalian dan proses memasak. Hidangan kami bukan saja lazat, ia juga boleh menggalakkan peredaran dan perkembangan daya tulen dalam tubuh seseorang pertapa. Harga ni... berpatutan." Kata Bu Fang tanpa sebarang perasaan.

"Hidangan kamu boleh meningkatkan pertapaan? Daging binatang buas pun akan hilang sebahagian besar daripada tenaga semangatnya selepas dimasak. Bagaimana kamu boleh memasak hidangan yang dapat meningkatkan pertapaan?" Tanya maharaja dengan ragu-ragu.

Bu Fang secara tak sengaja melirik ke arah maharaja dan berkata dengan cemas, "Itu rahsia."

Kof kof kof... Xiao Meng dan orang lain batuk beberapa kali. Suasana menjadi agak janggal disebabkan jawapan Bu Fang itu tadi.

Tetapi maharaja mengangguk kepalanya. "Kamu mungkin ada kaedah pengendalian dan memasak yang khas. Ia memang satu rahsia dan tak boleh dibongkarkan begitu saja."

"Anak muda, hidangkan Beta setiap makanan yang ada di sini. Izinkan Beta untuk rasa hidangan yang kononnya boleh menggalakkan peredaran daya tulen." Kata maharaja sambil mengusap janggutnya sambik dia memandang Bu Fang dengan tenang.

"Baiklah, tunggu sebentar. Patik akan masak hidangan Tuanku apabila selesai menyediakan hidangan mereka." Bu Fang menjawab dengan selamba dan dia mengangguk kepalanya sebelum menuju ke dapur.

Kali ini, raut wajah maharaja menjadi masam dan tak berpuas. Dia bertanya, "Kenapa kamu tak masak Beta punya dulu?"

"Restoran ini mengamalkan dasar siapa dulu, dia yang dapat." Bu Fang menjawab sebelum berpaling dan masuk ke dapur.

"Kof kof… Tauke Bu, kami tak kisah kalau makanan kami dihidangkan kemudian. Sila masak hidangan Tuanku dulu." Kata Xiao Meng dengan serta-merta sambil terbatuk-batuk.

Bu Fang melirik ke arah Xiao Meng tanpa emosi dan berkata, "Saya dah cakap ini peraturan restoran. Siapa dulu, dia yang dapat.. Sebab kamu pesan dulu, saya akan memasak hidangan kamu dulu."

Selepas Bu Fang selesai bercakap, dia masuk ke dapur dan terus memasak hidangan mereka.

Xiao Meng terkejut dengan kata-kata Bu Fang. Dia tak tahu nak buat apa bila dia melihat Bu Fang.

Hilang senyuman di wajah maharaja dan dia merenung ke arah dapur sambil mengetuk meja dengan jari-jemarinya. Dia hanya berkata, "Kelakuan dia tu memang aneh, tapi perilaku seseorang itu mesti berdasarkan kekuatan. Beta akan beri peluang kepadanya. Kalau hidangannya tak dapat menarik perhatian Beta, maka restoran ni perlu terus berhenti operasi."

Memandangkan dia seorang maharaja, dia boleh buat apa saja. Sebagai pemerintah tertinggi, pernahkah dia tak dipedulikan oleh orang lain seperti ini? Sifat acuh tak acuh Bu Fang juga membuat maharaja rasa kurang senang.

Hati Xiao Meng dan Ji Chengxue tiba-tiba berdegup kencang. Mereka tahu yang maharaja sedang marah.

---

Bab berikutnya