webnovel

Roh Hantu

Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Cik, bagaimana Cik tahu?" Datuk Tubo bertanya. "Betul, selepas pengeksploit Huang itu membina sebuah makam dan mendirikan makam buat dirinya, dia meninggaldunia tujuh hari kemudian. Apa yang berlaku tidak lama selepas itu, seluruh ahli keluarganya yang melebihi 10 orang telah meninggal dunia seorang demi seorang dalam masa tidak sampai setahun. Semua orang di kawasan itu bercakap mengenai fenomena aneh yang berlaku dalam keluarga Huang. Huang... lelaki tak guna itu telah membina makam besar dan menguburkan seluruh ahli keluarganya di situ."

"Oh, semua itu berlaku kerana ada roh hantu baharu di dalam Tokong Lampu Berhantu. Sebab itulah seorang pertapa telah membeli tokong itu dan memagar kawasan sekitarnya untuk mencegah roh hantu daripada mengganggu orang lain. Tetapi, masih ada orang yang meruntuhkan tokong dan kemudian membina makam di atasnya. Tindakan ini bagaikan mencari nahas untuk mereka sendiri. Roh hantu dapat mengikut aura dari batu nisan dan menjejaki pemilik serta ahli keluarganya untuk menyedut tenaga roh dari dalam diri keluarga pelaku itu. Kematian seluruh ahli keluarganya masih boleh dikira sebagai bernasib baik kerana bukan semua generasi kesembilan dalam keluarga itu meninggal dunia." Bulu Lembut menjawab. Semua perkara yang dia telah ketahui tentang rahsia tokong ini tidak sepatutnya disembunyikan daripada orang biasa. Sebab itulah dia menceritakan semua perkara yang dia tahu kepada mereka.

Datuk Tubo terdiam untuk beberapa ketika sebelum merenung ke arah Bulu Lembut sambil berkata, "Tahayul! Wahai anak muda, kamu harus percaya kepada sains. Pengetahuan ialah lilin yang menerangi jalan kita dalam kegelapan. Jangan belajar daripada orang yang percayakan perkara tahayul." Datuk Tubo membalas dengan penuh gaya.

"Chi~~" Shuhang tidak dapat menahan dan ketawa berdekah-dekah.

Walau bagaimanapun, selepas habis ketawa, dia mula terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Adakah kepercayaan kepada perkara tahayul itu muncul begitu sahaja? Atau, wujudkah satu kebetulan yang tidak disengajakan muncul selari dengan cerita yang dia dengar sebentar tadi?

Wajah Bulu Lembut dengan serta-merta bertukar menjadi merah kerana dia menahan rasa malu dan janggal. Adakalanya dia akan berasa sedih sekiranya cerita yang dia sampaikan telah dipermainkan seperti itu.

Tetapi dia bernasib baik kerana Datuk Tubo tidak bercakap lagi tentang topik itu. Beliau seorang lelaki tua dengan mulut becok dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang hal-ehwal dunia.

Shuhang dan Bulu Lembut berehat di rumah datuk Tubo sehingga jam menunjukkan pukul sembilan malam. Dua orang tetamu dan tuan rumah itu kelihatan gembira.

Song Shuhang dan Bulu Lembut meminjam motosikal Tubo dan kembali ke hotel.

"Mari kita tidur lebih awal." Song Shuhang merasakan selepas seharian menelusuri sekitar bandar, badan serta otaknya sudah keletihan. Selepas mengucapkan selamat malam kepada Bulu Lembut, dia masuk ke biliknya untuk berehat.

Bulu Lembut tersenyum manis sambil melambai.

❄️❄️❄️

"Tuan, bangunlah. Bangun!" Saat Song Shuhang sedang tidur sambil diulit mimpi, tiba-tiba dia berasa seperti dadanya mula sesak. Selepas itu, satu tangan yang kecil menampar mukanya.

"Hmm? Biarkan saya tidur lagi, saya letih." Song Shuhang mengibas dengan kuat dan kemudian menampar tangan di hadapan wajahnya itu.

"Tuan, sudah hampir masanya. Bangun." Sepasang tangan kecil itu memicit muka Shuhang dengan kuat.

Tangan yang menyentuh wajah Shuhang itu terasa sejuk dan berasa selesa apabila wajahnya disentuh begitu.

Shuhang yang sedang tidur nyenyak membuka matanya dengan malas dan tidak lama kemudian, dia melihat seorang wanita yang sangat cantik duduk di atas dadanya dalam posisi yang menggoda.

Dengan dada yang besar, pinggang langsing dan kaki panjang. Ditambah pula dengan rambut hitam mengurai sehingga ke pinggang dan Shuhang dapat merasakan punggung kecil sedang duduk di atas dadanya... Orang itu adalah Bulu Lembut.

Inilah yang dipanggil pucuk dicita ulam mendatang. Dia asyik memikirkan tentang Bulu Lembut dan kini Bulu Lembut telah masuk ke mimpinya semasa dia tidur.

Dia telah bersama dengan Bulu Lembut dan mengagumi kecantikannya sepanjang hari. Jadi, tidak salah sekiranya dia bermimpi tentang Bulu Lembut semasa dia tidur walaupun mimpi itu cuma samar-samar. Sebab itulah Song Shuhang tertawa dan terus menyambung tidurnya.

"Tuan, bangunlah." Sepasang tangan Bulu Lembut memicit pipi Shuhang dengan kuat.

'Alamak' , ini bukan mimpi. Bulu Lembut telah naik ke atas katilnya pada waktu tengah malam.

Dan perkara yang lebih penting lagi, hanya dia seorang sahaja yang ada kad akses bagi bilik itu. Jadi bagaimana Bulu Lembut boleh masuk ke dalam biliknya? Bilik ini juga terletak di tingkat dua puluh tiga!

Shuhang memandang ke arah jam. Sekarang baru sahaja pukul 11 malam.

'Cik, perbuatan memanjat ke atas katil saya pada waktu tengah malam begini sebenarnya tidak patut dibuat.'

"Kenapa datang ke sini?" Song Shuhang cuba bertenang dan bertanya kepada Bulu Lembut.

"Mari kita pergi ke Tokong Lampu Berhantu." Balas Bulu Lembut. "Lebih mudah untuk kita cari roh hantu pada waktu tengah malam begini."

'Apa? Roh hantu?

'Cik, anda mengembara dari jauh ke Bandar J dan mencari Tokong Lampu Berhantu hanya untuk menangkap roh hantu itu?

'Cik cuba nak memainkan sayakah?!'

Dia menganggap Bulu Lembut datang ke Tokong Lampu Berhantu untuk melakukan urusan penting. Tetapi dia tidak menyangka seseorang sanggup melalui perjalanan yang jauh hanya untuk menangkap roh hantu.

"Baiklah, baiklah. Saya akan bangun dengan segera. Bolehkah awak turun dari badan saya dahulu?" Song Shuhang tersenyum pahit. Lagipun, dia seorang lelaki dengan tindak balas lelaki yang normal.

Dengan kecantikan wanita seperti Bulu Lembut yang duduk di atas badannya itu, tubuh badannya telah memberi tindak balas sejak dari awal lagi. Biar betul! Adakah wanita ini tidak takut sekiranya naluri kelelakian Shuhang akan mengambil alih minda warasnya?

Erm... mungkin Bulu Lembut memang tidak berasa takut. Dengan keupayaannya yang dapat menumpaskan lima orang kaki mabuk dengan tendangan kilatnya itu, sekiranya naluri pemangsa Song Shuhang mengambil alih, dia pasti akan ditumpaskan dengan mudah sahaja.

Bulu Lembut melompat bangun dari badan Shuhang dengan libas badan yang indah di udara sebelum mendarat di sisi katil tanpa menghasilkan bunyi walaupun sedikit.

Shuhang berdiri dengan lemah dan menukar pakaiannya di bilik mandi sambil menyapu mukanya untuk menyegarkan dirinya. Memandangkan dia sudah sampai ke Bandar J untuk menemani Bulu Lembut, apa salahnya jika dia membahayakan nyawanya dan mengikut sahaja idea gila Bulu Lembut itu.

"Kita akan menaiki motosikal untuk ke sanakah?" Shuhang bertanya.

"Ya." Bulu Lembut menganggukkan kepalanya sambil menarik beg besar.

Song Shuhang bertanya, "Kalau begitu, awak tidak kisah sekiranya perlu membawa beg besar seperti itu?"

Bulu Lembut mengangkat tangannya yang kecil itu. Beg besar itu kelihatan ringan seperti bulu kapas saat dia mengangkatnya. "Tak ada masalah, beg ini tak memakan ruang yang besar."

Song Shuhang sekali lagi merasa lemah pada lututnya.

Dia gembira kerana naluri pemangsanya tidak mengambil alih. Sekiranya dia gagal mengawal diri, seorang lelaki bernama 'Song Shuhang' akan ditemui TDP- Terbunuh dalam Pertempuran.

❄️❄️❄️

Bunyi enjin motosikal yang kuat itu pasti mengganggu mimpi orang lain pada waktu tengah malam ini. Song Shuhang memecut dengan pantas dan meninggalkan kawasan hotel itu dengan cepat.

Arahan datuk Tubo yang mereka ikuti itu membawa mereka masuk ke dalam kawasan hutan dengan pantas. Ia tidak sukar untuk dicari tetapi tempat itu kini menjadi sebuah makam. Sebab itulah tidak ada yang tahu di mana lokasi Tokong Lampu Berhantu.

Motosikal itu tidak dapat bergerak lagi dan mereka hanya boleh berhenti serta menyambung perjalanan dengan berjalan kaki.

"Adakah awak perlukan bantuan saya?" Shuhang bertanya.

"Tak ada, Tuan. Roh hantu biasa tidak akan melakukan apa-apa pada saya. Saya akan selesaikan urusan ini dengan cepat. Tuan boleh berdiri di sini untuk mengawasi saya," Bulu Lembut tertawa gembira.

Semasa mereka sedang berbual, mereka tiba di tempat pengebumian Huang Dagen dan ahli keluarganya.

Makam dengan reka bentuk kerusi besar pernah menjadi popular pada lima puluh hingga enam puluh tahun lalu. Huang Dagen seolah-olah tahu dia dan ahli keluarganya akan mati. Jadi, dia membina makam yang sangat besar dan cukup untuk mengebumikan empat belas orang dari empat generasi keluarganya.

Memandangkan waktu sudah tengah malam, persekitaran kubur kelihatan agak menyeramkan.

Song Shuhang menggenggam bajunya lebih rapat ke badannya tanpa dia sedar sambil berkata, 'Tiada hantu yang akan muncul, bukan?'

Bulu Lembut pula sudah mula melakukan tugasnya.

Saat dia membuka beg besarnya itu, satu kilauan bersinar dari dalam. Song Shuhang dapat melihat lapisan batu jed ditindan. Bilangannya mungkin mencecah ratusan atau lebih!

Terdapat juga loceng ungu besar yang seolah-olah menyerupai tembaga, tapi ia bukan tembaga. Loceng itu juga kelihatan seperti emas, tetapi ia juga bukan emas. Walau bagaimanapun, dia merasakan loceng itu mesti mempunyai nilai yang tinggi!

"Hu!" Bulu Lembut menghembuskan nafasnya dengan halus dan rambut hitam mengurainya melambai kuat seperti ditiup angin walaupun tidak ada angin pada masa itu.

Kemudian, Bulu Lembut mencapai ke arah begnya. Dia mengeluarkan beberapa batang logam dan mencucuknya ke tanah dalam bentuk bulatan yang mengelilingi makam besar itu. Batang logam ini juga kelihatan mahal. Seterusnya, dia mengeluarkan kertas azimat yang terikat dengan kord dan melilitnya di sekitar rod logam perak itu.

Bukan itu sahaja, dia juga mengeluarkan beberapa jenis serbuk dan menaburnya di sekitar makam. Hampir mustahil untuk Shuhang tahu serbuk apa yang Bulu Lembut gunakan. Tetapi setiap satunya memancarkan cahaya malap selepas ditaburkan dan menjadikannya kelihatan sangat cantik.

Song Shuhang kemudian menemui beberapa batu bersih dan duduk sambil di tepi makam itu melihat Bulu Lembut yang sibuk bekerja.

Tanpa dia sedar, kelopak matanya kembali menjadi berat dan dia pun tertidur.

Tanpa mengetahui berapa banyak masa yang telah berlalu, ketika Song Shuhang membuka matanya sekali lagi dengan kepala yang bingung, dia melihat Bulu Lembut menari dengan gerakan yang anggun di sekitar makam itu. Dia menari di sini pada waktu tengah malam, wanita ini memang ada sebuah hobi yang unik!

Eh? Di sisi Bulu Lembut, ada dua cahaya lampu hijau berkerlipan yang seolah-olah menemani Bulu Lembut semasa dia menari. Pemandangan itu sangat menakjubkan. Satu perkara yang tidak menepati situasi itu ialah latar belakangnya yang menyeramkan. Makam itu menyebabkan adegan yang menakjubkan itu kelihatan aneh.

Adegan seperti itu perlu direkodkan sebagai cenderahati buat Shuhang!

Selepas itu, Shuhang mencapai ke dalam poket untuk mengambil telefonnya. Tindakan Song Shuhang itu memang sangat berani. Biasanya, apabila seseorang melihat adegan sebegini, reaksi pertama pastinya reaksi takut sehingga terkencing dalam seluar tanpa mereka sedari. Tetapi Shuhang mahu merakam suasana aneh dan seram yang dia sedang saksikan itu.

Memandang dia masih berada dalam keadaan separuh sedar, jari-jemarinya yang keras itu secara tidak sengaja menyebabkan telefon itu meluncur keluar dari poket dan terjatuh ke atas tanah.

Cahaya dari skrin telefonnya menyuluh ke arah satu objek yang aneh di sebelah kakinya.