webnovel

Kembali Menjadi Pembantu Saya

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Seawal jam lima pagi, anak mereka sudah mula menangis. Cheng You mahu tidur jadi dia memanggil suaminya. "Rong Rui!"

"Ya," jawab Rong Rui yang berbaring di sebelahnya. Cheng You melihat lelaki itu segera bangun dan mengambil anak mereka dari katil bayi di sebelahnya. Dia mendengar tangisan anaknya semakin perlahan lalu tidak menghiraukannya dan kembali tidur sambil memeluk selimut.

Apabila Cheng You terjaga sekali lagi, hari sudahpun siang. Dia menggosok rambutnya yang kusut-masai dan memandang sekeliling. Suami dan anaknya tiada di situ. Selepas mandi, dia membuka pintu dan mendengar suara seorang wanita dari ruang tamu.

Cheng You segera berjalan ke arah ruang tamu sebelum melihat anaknya sedang dipegang oleh Su Qianci. Tetapi ada seorang lagi lelaki yang turut duduk di sofa itu.

Belum sempat dia melihat lelaki itu dengan jelas, dia ditolak ke dalam oleh Rong Rui. Rong Rui sedang memandangnya dengan pandangan tidak senang. "Pergi salin pakaian. Kita ada tetamu." 

"Oh!" Cheng You sedang memakai baju tidur nipis yang seksi. Mendengar kata-kata suaminya, dia menggosok hidungnya lalu berjalan kembali ke dalam bilik. Selesai menukar pakaian, dia keluar dan melihat anaknya masih bersama Su Qianci. Anaknya merenung Su Qianci dengan penuh minat dengan matanya yang kuning jingga.

Cheng You menoleh ke sofa di sebelah Su Qianci dan melihat seorang lelaki sedang duduk bersama Rong Rui. Lelaki itu memakai sut yang kemas dan mempunyai wajah yang kacak. Pandangannya kelihatan lebih lembut berbanding empat tahun lalu.

Sebaik menyedari siapa lelaki itu, mata Cheng You terbeliak dan dia terus menjerit gembira, "Boss?!"

Mendengar suara Cheng You, Li Sicheng terus menoleh dan memandangnya. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang emosi seperti biasa. Tetapi ini ialah Li Sicheng! Memang benar-benar Li Sicheng!

Cheng You terkejut dan segera berlari ke arah bosnya. "Siapa saya?"

Li Sicheng mengangkat keningnya dan bertanya, "Kamu tanya saya?"

"Ya Tuhan, memang bos!" Cheng You berasa amat gembira dan terharu sehingga matanya mula kemerahan. Dia duduk di sofa bersebelahan dan memandang Li Sicheng. "Berita ini dah tersebar, tapi saya masih rasa bagai bermimpi dapat lihat kamu dengan mata sendiri. Bos, kamu dah kembali akhirnya!"

Rong Rui tidak membenarkannya pergi ke rumah keluarga Li. Tiada sebab lain, hanya kerana rumah lama keluarga Li itu terlalu jauh dari rumah mereka. Cheng You amat marah sehingga menghentak-hentakkan kakinya. Syukurlah walaupun dia tidak dapat pergi, kini mereka datang ke rumahnya tanpa disangka-sangka.

Cheng You melihat Li Sicheng seakan tersenyum nipis melalui pandangannya. Kemudian lelaki itu bertanya, "Saya dah kembali, jadi kamu mahu kembali juga?"

Cheng You berasa bingung. "Apa?" Bukankah dia memang sentiasa ada di sini?

Li Sicheng tiba-tiba menyedari dia sudah menjadi seorang yang penyabar. Dia menjelaskan, "Kembali menjadi pembantu saya. Saya rasa tak biasa dengan pekerja baru."

"Baik!" Mata Cheng You bersinar-sinar ketika dia terus bersetuju tanpa teragak-agak. "Saya hampir mati duduk di rumah saja!"

"Tak boleh," halang Rong Rui. "Anak kita masih menyusu. Dia juga baru berumur satu bulan."

"Saya tak cakap saya akan kembali bekerja sekarang. Saya akan bekerja apabila anak kita dah besar sedikit. Terlalu sukar untuk saya duduk di rumah saja."

Tambahan pula, sekarang Rong Rui yang melakukan segala kerja rumah seperti mengemas, membasuh pakaian, menukar lampin dan menyuap anak mereka makan… dan jika Cheng You membuat sedikit kerja, Rong Rui akan menjadi marah. Akhirnya Cheng You hanya bermain permainan video, bercakap dengan anaknya dan memasak. Selain itu tiada apa-apa yang boleh dilakukannya. Jika berterusan begini, dia merasakan dirinya akan menjadi gila!