webnovel

Terlupa Merujuk Panduan

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Setelah selesai bertekak dengan Ye Xiu, Chen Guo akhirnya mengalah. Dia sedar yang dia takkan dapat memasuki mana-mana 'dungeon' selagi belum mencecah tahap 5. Pada akhirnya, dia mencuba untuk menyelesaikan misi-misi awal seorang diri. Ini tindakan yang membolehkan dia mendapat 'experience' dengan lebih cepat jika dibandingkan dengan hanya membunuh raksasa-raksasa kecil.

Di tengah-tengah kesibukannya, Ye Xiu berpaling untuk melihat watak di skrin Chen Guo.

"Hmmm, Chasing Haze? Di mana pernah saya lihat nama ini ya?" tanya Ye Xiu.

Chen Guo hampir sahaja menghantukkan kepalanya ke skrin komputer. "Ini nama watak saya di akaun utama! Pelupa!"

"Oh, baru saya ingat!" jawab Ye Xiu dengan selamba. Dia segera berpaling semula ke arah skrin miliknya dan tidak berkata apa-apa lagi.

Chen Guo melihat ke arah skrin Ye Xiu. "Dia hanya bertarung di Perkuburan Rangka sahaja. Dengan kebolehannya, 'dungeon' ini sepatutnya tidaklah sesukar mana. Kenapalah dia menumpukan perhatian sampai macam itu sekali?"

Raksasa-raksasa di Perkuburan Rangka boleh muncul secara tiba-tiba sahaja, kerana itulah Ye Xiu perlu memberikan sepenuh perhatiannya. Raksasa tulang rangka boleh muncul dari lokasi yang tidak dijangka, ataupun tiba-tiba bangkit dari bawah tanah. 'Dungeon' ini direka khas untuk menguji tahap konsentrasi dan kepantasan reaksi para pemain. Apatah lagi, kumpulan Ye Xiu hanya berempat sahaja, maka tahap konsentrasi mereka haruslah berada di paras tinggi setiap masa.

Chen Guo mula mengerti, dan tidak lagi menunjukkan kemarahannya pada Ye Xiu.

Pada waktu ini, server kesepuluh Glory baru sahaja dibuka selama sehari. Terdapat pemain-pemain baru di merata-rata tempat, ini memerlahankan usaha Chen Guo untuk menyelesaikan misi-misinya. Bahkan pemain handalan seperti Ye Xiu pun memerlukan dua jam untuk menyelesaikan semua misi awalan, sudah tentulah Chen Guo memerlukan masa yang lebih panjang lagi.

Di tengah-tengah misinya, dia terdengar suara Ye Xiu mengatakan "Saya dah agak akan jadi macam ni!"

Chen Guo naik marah semula. "Adakah dia sedang mengejek saya?"

Tetapi apabila dia berpaling, dia melihat Ye Xiu sedang sibuk menyelesaikan 'dungeon' bersama teman-temannya.

"Dia bercakap dengan dirinya sendiri ke?" tanya Chen Guo dalam hati. Dia memilih untuk tidak mempedulikan Ye Xiu dan terus membunuh raksasa-raksasa dengan senyap.

Ye Xiu dan teman-temannya sedang melangkah dengan berhati-hati. Seven Fields dan rakan-rakannya masih belum menyesuaikan diri dengan kesukaran 'dungeon' ini lagi. Mereka agak takut dengan kemunculan raksasa-raksasa rangka yang boleh datang secara tiba-tiba sahaja.

Apabila bos 'dungeon' tersebut berjaya ditewaskan, Sleeping Fields dan rakan-rakannya sudahpun basah kuyup dengan peluh. Seperti kebiasaannya, jika bukan kerana kepimpinan Ye Xiu, mereka pasti akan gagal untuk menyelesaikan 'dungeon' ini.

Sebenarnya, ini bukanlah kerana mereka pemain yang teruk. Komposisi kumpulan mereka sebenarnya agak tidak seimbang. Kumpulan mereka penuh dengan watak yang mengutamakan serangan, tetapi tidak ada watak 'Priest' yang bertugas untuk merawat ahli kumpulan yang cedera. Sewaktu di 'Beginner's Village' lagi, para pemain diingatkan untuk membentuk kumpulan yang mempunyai komposisi seimbang, tetapi kumpulan Seven Fields lebih mengutamakan keserasian berbanding dengan keseimbangan kelas watak. Syukurlah Lord Grim merupakan watak yang mempunyai kebolehan 'Heal' dan juga mampu untuk menyerang dengan kuasa tinggi.

Ye Xiu melihat Chen Guo masih lagi sibuk di kawasan pemain baru, jadi dia memilih untuk memasuki Perkuburan Rangka sekali lagi.

Seven Fields dan rakan-rakannya mula berasa tidak sedap hati. Mereka sedar yang mereka agak membebankan jaguh seperti Ye Xiu. Dengan kemahiran dan bakat yang ada padanya, bukan sukar untuk dia mencari teman-teman yang jauh lebih berpengalaman dan lebih mahir daripada mereka. Mereka khuatir yang Ye Xiu akan meninggalkan kumpulan mereka jika mereka terus bermain dengan teruk.

Disebabkan itu, Seven Fields dan rakan-rakannya memberikan konsentrasi 120% setiap masa. Lama-kelamaan, mereka semakin mahir dan kepantasan mereka menyelesaikan 'dungeon' bertambah dengan berlipat kali ganda.

'Dungeon' Perkuburan Rangka ini mempunyai tiga bos tersembunyi juga, sama dengan Gua Labah-Labah. Mereka dinamakan Skeleton Warrior, Skeleton Mage dan Skeleton King. Perbezaan utama 'dungeon' ini sistem permainan tidak akan membuat pengumuman yang para pemain bakal bertemu dengan bos tersembunyi. Bos tersembunyi tersebut boleh muncul secara tiba-tiba sahaja! Setelah ia muncul, barulah sistem permainan akan mengeluarkan pengumuman. Jika nasib para pemain kurang baik, bos tersebut akan muncul apabila salah seorang ahli mereka telah terbunuh!

Di bawah pimpinan Ye Xiu, kesilapan seperti ini dapat dielakkan. Tetapi, setelah menyelesaikan 'dungeon' buat kali kedua, bos tersembunyi masih belum muncul lagi.

Ye Xiu melihat ke arah Chen Guo sekali lagi. Dia sudah berada pada tahap 4 dan akan mencecah tahap 5 tidak lama lagi.

"Baik saya cepat dan bermula semula!" fikir Ye Xiu dan segera memasuki 'dungeon' buat kali ketiga. Seven Fields dan rakan-rakannya tidak teragak-agak untuk mengikuti jejak langkahnya.

Sedang mereka asyik membunuh, sebuah batu nisan di hadapan mereka bergegar dengan kencang. Seven Fields dan rakan-rakannya tidak perasan dan terus melangkah. Ye Xiu pula segera mengeluarkan arahan, "Cepat berundur semua!"

Mereka bertiga mematuhi arahan Ye Xiu dan segera melangkah ke belakang. Ye Xiu menerpa ke hadapan sepantas kilat, dan batu nisan tadi tiba-tiba menyemburkan tanah ke arah mereka berempat.

"Hati-hati semua!" jerit Ye Xiu.

Seven Fields dan rakan-rakannya berjaya mengelakkan tanah tersebut dari mengenai mereka. Mereka menyaksikan separuh badan raksasa rangka keluar dari lubang di bawah batu nisan tadi. Sudah tentu ini bukanlah sekadar raksasa biasa.

Tiba-tiba, kedengaran suara nyaring dari pengumuman sistem permainan,

"Para pemain sudah memasuki tempat persemadian Skeleton Warrior!" 

"Akhirnya kita bertemu juga!" kata Ye Xiu dengan riang.

"Abang, macam mana kita nak menghadapinya?" tanya Seven Fields serta-merta.

Skeleton Warrior melompat keluar dari lubangnya seperti roket yang dilancarkan ke sasaran. Di tengah-tengah udara, tanah terbang keluar dari tubuhnya dan disasarkan ke arah para pemain. Tangannya memegang sebilah pedang gergasi sebesar tubuh manusia!

"Alamak, malangnya," kata Ye Xiu.

"Eh, kenapa abang?" tanya Seven Fields dan rakan-rakannya serentak.

"Saya terlupa nak merujuk pada panduan," kata Ye Xiu.

Mereka bertiga terasa seperti hendak muntah darah. "Abang jaguh, kamu ini peliklah!"

"Saya boleh tolong abang untuk buat rujukan!" jerit Sunset Clouds.

"Tak sempat! Kalau dia menyerang kamu, kamu akan terus mati," kata Ye Xiu.

Skeleton Warrior sudahpun mendarat. Bumi bergoncang di bawah tapak kakinya, sehinggakan gunung pun turut bergegar juga.

Jarak serangannya juga cukup besar! Tetakannya tepat mengenai Drifting Water yang terlalu lembab untuk mengelak. Dia jatuh tersembam ke tanah.

Skeleton Warrior menumpukan kedua-dua biji matanya ke arah mereka satu persatu, memikirkan siapakah yang harus diserang seterusnya.

"Salah seorang daripada kita perlu menarik perhatiannya! Saya akan periksa panduan!" kata Sunset Clouds.

"Tak payah," kata Ye Xiu. Dia menanggalkan fon kepalanya dan menjerit ke arah Chen Guo.

"Bos, oooo bos!"

"Apa??" jerit Chen Guo.

"Boleh tolong saya rujuk panduan tak?" tanya Ye Xiu.

"Panduan? Panduan apa?" Chen Guo bertanya dengan nada terkejut.

"Panduan Skeleton Warrior!" jawab Ye Xiu sambil terus mengawal Lord Grim dan menunjuk ke arah skrinnya.

"Bila sudah bertemu bos BARU kamu nak merujuk panduan? Selama ni kamu buat apa hah??"