webnovel

Kehandalan Bebe (Bahagian 1)

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Linley berdiri di hadapan mayat Matt dan tidak boleh menahan diri dari mengeluh sambil mengurut parut di dadanya.

Parut ini yang hampir meragut nyawanya.

"Kamu lebih lemah daripada Nina [Ni'na]." Linley menggelengkan kepalanya sambil mengeluh. Dia tidak menganggap lelaki bernama Matt ini sebagai sahabatnya. Mereka tidak lebih daripada teman seperjalanan sementara yang bertemu semasa mengembara. Tidak mungkin Linley akan memberi sepenuh kepercayaan kepada dia.

Apatah lagi…

Setelah apa yang dilalui dengan Nina, mana mungkin Linley dengan begitu mudah mempercayai seseorang?

*Cit, cit!* Bebe, Si Tikus Bebayang Kecil membawa beg galas Matt kepada Linley. Ia bergegas berkata kepada Linley menerusi sambungan mereka, 'Bos, cepat tengok ada berapa banyak teras Magicite yang ada dalam ini. Semua teras Magicite milik pembunuh upahan bulan ini jika digabungkan masih tidak dapat menandingi jumlah teras Magicite pembunuh upahan pertama.'

Doehring Cowart juga menjelma ke sisi Linley.

"Linley, nampaknya Tikus Bebayang Kecil yang kamu pelihara ini sangat suka mengira teras Magicite." Doehring Cowart tertawa kecil.

"Nampaknya begitulah." Linley mengambil beg galas yang dihulur oleh Bebe sambil bergurau dengannya, 'Bebe, kali ini kamu bunuh Matt menggunakan kuku dan bukan gigi kamu yang tajam. Kenapa kamu tak guna gigi kecil garang kamu tu?'

Bebe berdiri tegak sambil berdecit penuh angkuh. 'Bos, saya punya keberanian yang tinggi. Kuku tajam saya setanding dengan gigi saya. Dan budak Matt itu terlalu menjengkelkan. Menggigit dia hanya akan mengotorkan gigi saya.' Selepas berkata begitu, Bebe sengaja berlagak seperti 'meludah'.

Lagak Si Tikus Bebayang Kecil meludah yang seakan sama seperti manusia itu mencuit hati Linley. Spontan dia tertawa.

'Cukuplah, Bebe oi. Tengok, budak Matt tu ada banyak teras Magicite dalam beg galasnya. Ada sekitar tiga puluh. Nampaknya dia tak buang banyak masa bulan ni. Tapi teras yang paling bagus dalam ni hanya teras tahap lima.'

Linley kemudian memeriksa semua teras itu dengan teliti.

Selama tiga puluh hari, dia telah membunuh banyak makhluk ajaib dan juga beberapa orang yang mahu membunuhnya. Apabila dijumlahkan kesemuanya, dia mempunyai sekitar tiga ratus teras Magicite. Jumlah semuanya ialah empat puluh ribu syiling emas!

'Empat puluh ribu syiling emas. Kalau Ayah tahu…' Linley tidak boleh menahan daripada berasa sangat gembira apabila membayangkan reaksi ayahnya kelak.

"Sebenarnya, masuk akal kamu berjaya mengumpul sebanyak ini," kata Doehring Cowart. "Selain makhluk ajaib yang kamu bunuh, daripada tiga ratus teras Magicite ini, hampir semua kamu kumpul daripada beg galas orang lain."

Linley mengangguk setuju.

Pembunuh upahan pertama telah mendermakan teras Magicite yang bernilai 15,000 syiling emas. Jika teras lain digabungkan, jumlahnya kurang daripada pembunuh upahan pertama.

"Banjaran Gunung Makhluk Ajaib ini satu tempat yang sangat berbahaya. Tidak pelik jika kebanyakan mereka akan berjalan secara berkumpulan. Akan tetapi, pembunuh upahan jarang menyerang mereka yang berkumpulan, kerana mereka pakar dalam membunuh seseorang secara serta merta. Oleh sebab itu, mereka lebih suka berlawan seorang demi seorang."

Tiba-tiba kedengaran hilai tawa Doehring Cowart, sehingga terjungkit-jungkit kumisnya. "Linley, cuba kamu lihat diri kamu sendiri. Kamu memang tampak ketara tinggi dan kuat, tapi wajah kamu masih nampak keanak-anakan. Dengan misai tak jadi kamu tu? Semua ini membuktikan satu benda…"

"Yang kamu hanya budak-budak!"

Doehring Cowart ketawa dengan begitu kuat. "Linley, dalam banjaran gunung yang besar dan luas ini, apabila pembunuh upahan ternampak seorang budak ke sini untuk latihan pertama, ditambah pula dengan wajah kamu yang kebudak-budakan, mana mungkin mereka tak mahu cuba menyerang? Sebab itu dalam masa sebulan, kamu bertembung dengan begitu ramai pembunuh upahan."

"Tetapi mereka yang bergerak secara berkumpulan mungkin tidak akan bertembung dengan sebarang cubaan membunuh dalam masa sebulan. Namun sudah tentu, mereka berlima yang kita jumpa pada hari pertama itu ialah suatu pengecualian. Satu, mereka terlalu lemah. Kedua, pembunuh mereka terlalu kuat. Akan tetapi, pembunuh upahan itu akhirnya kecundang di tangan Bebe."

Linley ikut sama ketawa dan turut mengangguk.

Lagipun, dia baru berusia lima belas tahun. Walaupun ketinggian dia mencecah 1.8 meter, mereka dengan mata yang tajam pasti boleh meneka dia hanya seorang budak.

"Kebanyakan ahli sihir tahap lima dan enam mungkin hanya mampu mengumpul teras Magicite yang bernilai beberapa ribu syiling emas dalam masa sebulan di sini. Semua ini hanya boleh diperoleh menerusi pergelutan antara hidup dan mati. Lagipun, Banjaran Gunung Makhluk Ajaib ini memang sangat berbahaya."

Linley mengangguk tanda setuju. "Ia memang sangat berbahaya. Saya hanya berada di kawasan luar sepanjang masa ini dan paling banyak saya bertembung ialah makhluk ajaib tahap enam. Tapi saya telah cedera beberapa kali. Jika bukan kerana cincin Naga Pusar, jika bukan kerana saya ahli sihir dua unsur tahap lima dan pahlawan tahap empat, jika bukan kerana saya mempunyai Bebe, saya tak akan sampai sejauh ini seorang diri."

Dia berpaling untuk melihat Si Tikus Bebayang Kecil, Bebe, yang sedang bermain dengan satu teras Magicite.

Sambil menenangkan dirinya, Linley mengutip semua teras itu dan memulakan semula perjalanannya bersama Bebe di sisi. Dia akan meneruskan latihannya di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Lagipun, mengikut rancangan asalnya dia akan berada di sini selama dua bulan.

Setiap hari, Linley akan berlawan dengan makhluk ajaib. Dia semakin cekap menyatukan kebolehan ahli sihir dan kebolehan kepahlawannya. Dia juga semakin berpengalaman dalam menggunakan sihir unsur tanah dan unsur anginnya dalam pertempuran. Hari demi hari, kecederaan yang dialami Linley semakin berkurangan. Dia juga semakin hampir dengan kawasan tengah banjaran di mana makhluk ajaib tahap enam semakin banyak. Linley menjadi lebih berhati-hati.

Pada hari ke-46 Linley berada di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.

*Swish!*

Riak air mula terbentuk di permukaan satu tasik yang sunyi. Kelibat seorang manusia tiba-tiba muncul dari dalam air. Itu adalah Linley. Linley sedang menggunakan sekeping kain untuk mencuci tubuhnya.

Bebe yang berdiri di gigi air sedang melihat Linley dengan pandangan cemburu. Selepas berdecit beberapa kali, ia mula melompat-lompat sebelum terus menyelam masuk ke dalam tasik. Linley tidak boleh menahan diri dari tertawa kecil apabila melihat Bebe dan meneruskan mandiannya.

'Haha, cukup Bebe, haha, cukup!' Linley tiba-tiba ketawa berdekah-dekah.

'Oh Bos, kamu takut digeletek ke?' Si Tikus Bebayang Kecil itu timbul di permukaan air dengan mata hitam tidak bersalahnya berkilau nakal.

Linley berjalan ke gigi air dengan tawa yang masih bersisa. Dia mengeluarkan satu set pakaian bersih dari beg galasnya dan terus menyarung ke tubuhnya. Menukar baju selepas mandi ialah perkara yang paling menyeronokkan. Kemudian Linley membasuh baju yang baru ditanggalkan dan menyidainya ke dahan berdekatan untuk dijemur kering. Linley melompat ke satu lagi dahan dan berbaring sambil melihat Bebe bermain di dalam tasik.

Dia melihat Bebe yang sedang melompat-lompat di dalam air dengan riang. Kadang-kala, Bebe akan menyelam ke dasar tasik dan ada kadang ia akan berbaring di atas permukaan air.

*Deram-derum* *Deram-derum* *Deram-derum* *Deram-derum*

Tanah tiba-tiba mula bergegar perlahan. Berdasarkan rentak gegaran ini, Linley boleh meneka ia berpunca dari satu benda yang berjalan. Dengan perasaan terkejut, Linley menoleh ke arah selatan, punca di mana bunyi itu datang. Dia melihat satu kelibat samar-samar dari arah selatan tasik. Tapi selepas beberapa ketika, Linley boleh melihat dengan jelas kelibat itu.

Ketinggiannya mencecah bangunan dua tingkat dan tubuhnya diliputi sisik besar berwarna merah api ibarat perisai yang melindungi empat belah kakinya dan seluruh tubuhnya. Ekornya kelihatan sama panjang dengan tubuhnya dan nampak begitu lincah dan tangkas seperti tali cemeti. Matanya yang merah bak batu delima nampak menggerunkan dan setiap satunya sebesar tanglung sedang merenung ke permukaan tasik. Asap putih kelihatan terus-menerus keluar dari lubang hidungnya.

Linley terdiam kaku, terpana sepenuhnya. Degupan jantungnya semakin kencang.

"Naga Veloci. Makhluk ajaib tahap tujuh - Naga Veloci!"

Chapitre suivant