webnovel

Banjaran Gunung Makhluk Ajaib (Bahagian 2)

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib tersebut terdapat pokok-pokok tua dan hutan-hutan yang tidak terhitung banyaknya. Keadaan itu membuatkan perjalanan merentasi banjaran tersebut semakin sukar. Apa yang membuat keadaan lebih sukar ialah seseorang perlu merentasi puncak dan gaung, atau kemungkinan mengambil laluan yang berselirat.

"Semasa mengembara di dalam banjaran gunung ini, jangan membuat laluan yang memotong duri dan semak-samun sedia ada. Adalah lebih baik jika kamu mengikut laluan lain." Doehring Cowart terus menerus berkongsi pengalamannya kepada Linley.

Linley mendengar dengan penuh teliti sambil berjalan ke hadapan.

"Ingat, kesalahan paling besar yang kamu boleh buat di banjaran gunung ini ialah dengan berterusan membuat bising. Ini boleh menyebabkan banyak makhluk ajaib memberi perhatian kepada kamu. Kalaupun kamu terpaksa membuat bising, kamu perlu segera meninggalkan kawasan itu," sambung Doehring Cowart. "Ingat, jika kamu cedera, kamu perlu berusaha untuk menghentikan pendarahan. Bau darah juga akan menarik perhatian makhluk ajaib. Hidung makhluk ajaib lebih sensitif berbanding manusia."

Linley mengangguk.

Silara pokok-pokok tinggi yang tidak terhitung banyaknya menutupi pemandangan seluruh langit. Apabila melihat ke arah pokok-pokok itu, Linley teringat akan beberapa maklumat yang terdapat dalam buku di Institut Ernst. Di tempat seperti ini, di mana sinaran matahari terhalang, seseorang perlu belajar bagaimana untuk membezakan di mana arah utara, selatan, timur dan barat.

Selincah monyet, Linley melompat untuk mengelak beberapa akar pokok dan pokok menjalar yang berselirat, tetapi sebaik sahaja dia melepasinya…

*Wah.* Linley menyedut udara dingin apabila dia ternampak sesuatu tidak jauh dari situ.

Terdapat mayat tiga orang lelaki dan dua orang wanita beberapa dozen meter darinya. Lima mayat itu belum lagi membusuk, tetapi bekas gigitan pada mereka kelihatan sangat jelas. Mayat-mayat itu semuanya dikerat-kerat. Separuh kaki mayat seorang lelaki telah dimakan, dan ada perutnya berlubang besar kesan dirobek menyebabkan ususnya terburai keluar. Separuh kepala mayat seorang wanita pula telah dimakan, meninggalkan sebelah bebola matanya. Yang tinggal hanya tulang tengkorak putih dengan beberapa helai rambut.

Wajah Linley bertukar pucat dan dia lupa untuk bernafas.

"Kelihatannya, mereka sudah mati tiga ke empat hari lepas." Doehring Cowart muncul di sebelah Linley. Dengan hati-hati dia memeriksa mayat-mayat tersebut. Wajahnya masih tetap tenang. "Linley, cuba lihat dengan lebih dekat. Pada dada setiap mayat ini terdapat luka yang kelihatan sama. Jika tekaan Atuk betul, kelima-lima mayat ini dibunuh oleh manusia dan sepertinya hanya seorang individu."

Linley terkejut.

"Atuk Doehring, maksud Atuk seorang manusia yang membunuh mereka?" Linley memandang ke arah Doehring Cowart dengan riak terkejut.

Doehring Cowart tersenyum tenang. "Linley, ini pertama kali kamu memasuki Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Apabila kamu sudah berada di sini lebih lama, kamu akan sedar bahawa di dalam banjaran gunung ini, selain berhadapan dengan serangan daripada makhluk hutan ini, kamu juga perlu berwaspada dengan serangan manusia."

"Serangan manusia? Kenapa manusia lain mahu menyerang saya?" Linley merasakan kemarahan mula membara di dalam hatinya.

Di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, raksasa hutan ada kelebihan besar disebabkan bilangan mereka yang tidak terhitung banyaknya. Linley tidak menjangka bahawa manusia juga akan bertarung sesama sendiri, daripada saling membantu sesama mereka.

"Ini perkara biasa. Mengapa manusia mengembara ke dalam banjaran gunung ini? Kebanyakannya berharap untuk memiliki teras magicite. Jika mereka bunuh seekor makhluk ajaib, mereka hanya akan mendapat satu sahaja teras magicite. Namun begitu, jika mereka membunuh manusia, mangsa itu mungkin memiliki beberapa teras magicite di dalam beg galasnya. Mungkin lebih." Doehring Cowart mengurut janggut putihnya.

Linley akhirnya faham.

Ketamakan!

Semua itu disebabkan ketamakan. Sesetengah orang di sini mahu memiliki teras magicite yang banyak dengan cara mudah. Oleh sebab itu, membunuh manusia lain merupakan cara yang terbaik untuk mendapatkannya.

"Linley, kamu mesti berhati-hati. Berdasarkan apa yang Atuk lihat, orang yang membunuh mereka berlima ini memiliki kebolehan yang agak tinggi. Jika kamu meneliti pakaian mereka, kamu dapat melihat empat daripada mereka merupakan pahlawan dan hanya seorang saja ahli sihir. Walaupun begitu, mereka berlima dibunuh pada masa yang sama dengan sekali serangan di bahagian jantung. Ketepatan serangan ini sangatlah mengerikan. Walau bagaimanapun, tanpa mengetahui kekuatan sebenar lima orang ini, sukar untuk kita meneka kekuatan pembunuh mereka." Doehring Cowart berkerut. "Sungguhpun begitu, jika lima orang ini bersedia dan berani menghadapi bahaya Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, ini bermakna mereka tak lemah. Daripada melihat semua ini, kita boleh menyimpulkan bahawa orang yang membunuh mereka ini tak lebih lemah daripada kamu."

Linley melangkah ke hadapan untuk melihat dengan lebih teliti, kemudian mengangguk setuju.

Serangan yang membawa maut pembunuh ini sangat jelas dan bersih.

"Kita masih berada di perimeter luar gunung. Lekaslah masuk." Doehring Cowart ketawa.

Linley mengangguk dan kemudian meneruskan perjalanannya jauh lebih dalam. Sepanjang perjalanannya, melihat mayat lelaki dan makhluk ajaib sudah menjadi perkara biasa. Begitu juga dengan senjata-senjata karat. Ada kalanya, Linley ada juga terserempak dengan raksasa lemah.

Malam melabuh. Linley dan Tikus Bebayang kecil berehat sambil mengunyah kaki babi hutan panggang. Linley duduk di atas tanah manakala Tikus Bebayang kecil duduk di atas bahunya.

"Pada waktu malam, kamu tak boleh menyalakan api di banjaran gunung ini." Doehring Cowart sekali lagi memberi arahan.

"Faham, Atuk Doehring." Linley tahu serba sedikit tentang asas-asas ikhtiar hidup di sini. Tempat ini bukan hutan biasa, dan makhluk di sini tidak takut akan api.

Duduk di atas tanah, Linley menenangkan dirinya dan memejamkan matanya. Dia mula merasai aliran intipati tanah dan angin di sekelilingnya. Perasaan dikelilingi intipati unsur ibarat seperti berada dalam pelukan keluarga.

Disebabkan dia memiliki daya tarikan luar biasa intipati tanah dan angin, Linley dapat mengesannya aliran itu dengan jelas.

'Nadi Bumi. Aliran Angin.' Senyuman damai terbit di wajah Linley. Tidak lama selepas itu, Linley mula tidur. Linley sangat yakin bahawa sebarang gegaran di bawah tanah disebabkan oleh sesuatu yang menghampiri atau sebarang gangguan dalam angin disebabkan oleh sesuatu yang meluru mendekati, akan segera membangkitkannya.

Ini merupakan kebolehan yang dimiliki oleh ahli sihir unsur tanah dan juga angin.

Malam semakin lanjut. Bebe yang berlingkar di hadapan Linley juga mula lena dan berdengkur perlahan. Bayu malam semakin dingin walaupun pada ketika itu merupakan musim panas di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Hanya pada waktu malam cuaca akan terasa sejuk dan segar. Pada waktu siang, cuaca sangat panas.

Lewat malam. Gelap gelita.

*Kersik kersik* Kedengaran bunyi sesuatu bergerak berkersik-kersik di celah-celah rumput.

Sepasang Serigala Angin yang kuat dengan bulu biru berkilauan sedang mundar-mandir di dalam hutan. Matanya berwarna hijau itu sedang memeriksa dengan teliti kawasan persekitaran hutan sambil kaki-kaki berotot kekar mereka merayau-rayau melalui kawasan itu.

Taring putih yang kejam itu berkilau terkena cahaya dingin malam itu.

Chapitre suivant