webnovel

Enam Tahun

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Air yang mengalir berterusan berpusar apabila Linley duduk bersila di sebelahnya. Di dalam tangannya, dia memegang sebilah pahat lurus dan seketul batu sebesar tapak tangan.

'Mula daripada asas. Aku akan mulakan dengan batu kecil ini sebagai permulaan latihan aku...'

Linley duduk berseorangan di gunung di belakang Institut Ernst. Di bawah bimbingan Doehring Cowart, Linley mula mempelajari seni mengukir batu. Sebaik sahaja Linley benar-benar memahami seni ukir ini, dia juga akan memahami bagaimana di peringkat akhir nanti, Sekolah Pahat Lurus akan membantu dalam meningkatkan intipati spiritual seseorang.

Apabila orang lain mengukir, mereka memerlukan pelbagai jenis peralatan.

Mereka menumpukan banyak masa dan tenaga mental memikirkan jenis peralatan yang perlu digunakan di kawasan ukiran tertentu. Sudah tentu proses itu menjadi terlalu memenatkan. Setiap satu hasil seni mereka melambangkan darah dan ketelitian usaha mereka.

Jauh bezanya dengan Sekolah Pahat Lurus.

Satu-satunya alat yang digunakan ialah pahat lurus jadi mereka tidak perlu mempertimbangkan peralatan lain. Oleh hal demikian, tahap kesukaran semakin meningkat kerana satu alat sahaja yang digunakan. Sebagai contoh, penggunaan pahat lurus untuk mengukir bahagian yang biasanya memerlukan penggunaan pisau mangkuk jed memerlukan pemahaman yang tinggi terhadap bentuk asas batu.

Selain itu, kekuatan yang sangat tinggi diperlukan.

Jika seseorang hanya menggunakan pahat lurus untuk memotong ketulan besar yang kebiasaannya memerlukan gergaji, dia perlu menggunakan banyak tenaga.

Ahli sihir unsur tanah boleh memanfaatkan hubungan uniknya dengan bumi untuk memahami intipati batu. Akan tetapi, kekuatan pergelangan tangan perlu dilatih. Sebagai ahli sihir tahap kedua, kekuatan pergelangan tangan Linley tidaklah lemah tetapi ia hanya cukup untuk mengukir beberapa kepingan kecil. Jika dia mahu mengukir sesuatu yang lebih besar, kekuatan pergelangan tangannya tidak mencukupi.

Namun begitu…

Sekarang ini, Linley masih mempelajari asasnya terlebih dahulu.

Apabila sesi persekolahan tiba ke penghujungnya, Linley pulang ke pekan Wushan.

Selepas tahun baru, Wharton dan abangnya, Linley hanya ada beberapa hari untuk menghabiskan masa bersama. Selepas itu, di bawah jagaan Pak Cik Hiri, Wharton akan berlepas ke Empayar O'Brien. Linley tidak mempunyai pilihan selain melihat si kecil Wharton pergi. Menangis tidak henti, Wharton yang berusia enam tahun berpisah daripada abangnya, Linley yang berusia 10 tahun.

Waktu berlalu.

Linley berterusan bersendiri di Institut Ernst. Kebanyakan masanya setiap hari dihabiskan dengan berlatih di gunung belakang.

Memasuki fasa remaja, selera Linley semakin meningkat dan tubuhnya pula semakin tinggi. Secara semulajadi, kekuatan fizikalnya dan otot-ototnya juga turut meningkat dengan pantas. Bagi seni ukir batu pula, dengan bimbingan Doehring Cowart dan juga hasil usaha kerasnya, Linley semakin menunjukkan perkembangan.

Musim bunga berakhir, tibalah musim luruh. Bunga-bunga yang berkembang mekar, kini luruh. Dalam sekelip mata, tiga tahun sudah berlalu.

Di air terjun pergunungan belakang Institut Ernst.

*Whush, whushh* Seperti air yang pejal, air terjun itu turun mencurah-curah dan menghempas ke dalam kolam dalam.

Linley berada di sebelah air terjun, menggunakan pahat lurus sepanjang tiga puluh meter di tangannya dia memahat sebuah batu bersaiz manusia tanpa henti. Pahat lurus di tangannya menari-nari bagaikan sebuah ilusi. Serpihan batu akan tertanggal dan jatuh di setiap kawasan yang dilalui pahat batu itu. Satu embrio arca mula terbentuk daripada batu itu.

Dia terus-menerus mengukir dari pagi hingga ke petang, dan arca tersebut mula terbentuk dengan lebih jelas.

Renungan Linley terpaku ke arah batu tersebut. Pada masa ini, sepenuh perhatiannya diberikan dan diresapkan ke dalam batu itu. Jiwanya menjadi satu dengan batu tersebut. Perasaan indah ini membuatkan Linley leka akan waktu yang sudah berlalu. Perasaan bersatu dengan alam semula jadi menyebabkan tenaga spiritual Linley mula tumbuh semula dan meningkat secara organik.

Tetapi Linley tidak menyedarinya kerana dia asyik mengukir arca tersebut menggunakan pahat lurus.

Serpihan lebihan batu terus-menerus jatuh ke bawah menyebabkan setiap butiran terperinci arca tersebut tampak semakin jelas. Apabila matahari terbenam, pahat lurus di tangan Linley akhirnya berhenti.

*Fuh!*

Linley melepaskan nafas lembut dan membersihkan beberapa serpihan kecil lebihan batu yang masih ada. Seluruh arca itu sudah mempunyai bentuk. Seekor tikus cergas sebesar setengah meter berdiri di hadapan Linley. Sekali pandang, orang mungkin menganggapnya sebagai tikus hidup. Ini menyebabkan Bebe, Tikus Bebayang kecil, berdecit-decit tidak tentu hala.

Daripada mula hingga akhir, arca ini dihasilkan sekaligus!

'Wah, indahnya perasaan ini.' Barulah kini Linley sedar bahawa intipati spiritualnya meningkat secara mendadak.

Doehring Cowart, lelaki tua berjubah putih tersenyum dengan gembira di sisinya. "Linley, hari ini, kamu boleh dikatakan semakin hampir menguasai asas pengukiran. Adakah kamu sudah dapat merasai perasaan istimewa itu? Akan tetapi, hasil kerja kamu hanya boleh dianggap sebagai hasil seni pseudo superfisial. Ia hanya layak diletakkan di dalam dewan biasa di Institut Proulx. Jika kamu mempamerkannya di sana, Atuk akan berasa malu. Musnahkannya."

"Baik, Atuk Doehring."

Pahat lurus di tangan Linley bersinar beberapa kali, dan arca itu tiba-tiba berderai kepada sepuluh kepingan. Tahun ini, Linley akhirnya berjaya menguasai asas mengukir batu!

Dan pada tahun ini, Linley berusia 13 tahun!

Hari berganti hari, tahun berganti tahun.

Selepas menguasai asas mengukir batu, intipati spiritual Linley meningkat dengan pantas. Lebih tepat lagi, sewaktu Linley berusia sembilan tahun, dia ialah ahli sihir tahap kedua dan apabila dia berusia sebelas tahun, dia menjadi ahli sihir tahap ketiga. Kemudian apabila dia mencecah usia tiga belas tahun, Linley berjaya menjadi ahli sihir tahap keempat!

Kebanyakan ahli sihir mendapati bahawa semakin tinggi kuasa mereka, semakin sukar peralihan mereka ke tahap seterusnya. Secara logik, Linley seharusnya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mencapai tahap keenam daripada tahap kelima.

Tetapi realitinya…

Pada tahun 9996 kalendar Yulan, sewaktu Linley berusia empat belas tahun enam bulan, dia sudah mencapai tahap ahli sihir kelima. Daripada tahap keempat ke tahap kelima, Linley hanya mengambil masa setahun setengah sahaja. Peralihan ini lebih cepat berbanding peralihannya daripada tahap ketiga ke tahap keempat.

Inilah kelebihannya memasuki Sekolah Pahat Lurus!

Tahun 9997 kalendar Yulan merupakan tahun ketujuh Linley berada di Institut Ernst. Tahun ini, Linley berusia lima belas tahun.

Dengan jubah biru langit tersarung di tubuhnya, Linley berjalan di sekitar Institut Ernst. Di bahu Linley, berdiri Bebe, si Tikus Bebayang kecil. Walaupun sudah enam ke tujuh tahun masa berlalu, badan Bebe tidak berubah sedikit pun.

Sekarang, dengan ketinggian 1.8 meter, Linley diselubungi aura tenang dan stabil. Intipati unsur tanah dan angin sentiasa menyalurkan tenaga ke badan Linley. Di tambah dengan latihan yang berterusan dan kelebihan sebagai keturunan Pahlawan Berdarah Naga, Linley kini sudah menjadi pahlawan tahap keempat.

Dia dengan mudah boleh mengangkat batu yang seberat ratusan paun dan memecahkan batu dengan tumbukannya.

Ilmu mengukir batu yang dipelajari dari Sekolah Pahat Lurus juga telah menyebabkan peningkatan secara berterusan dalam intipati spiritual Linley sejak usianya tiga belas tahun.

Pada permulaan tahun 9997 kalendar Yulan, Linley memasuki kelas gred lima di Institut Ernst, gred yang sama dengan Dixie, genius nombor satu di Institut Ernst. Dixie mengambil masa selama tiga tahun untuk meningkat daripada tahap keempat ke tahap kelima. Namun begitu, sehingga sekarang, dia masih tidak mampu untuk mencapai tahap keenam.

Lima belas tahun dan sudah mencapai ahli sihir tahap kelima!

Linley dan Dixie kedua-duanya dianggap sebagai keganjilan alam semula jadi. Akan tetapi, majoriti besar merasakan bahawa Linley lebih ganjil. Hal ini demikian kerana, selepas dia mengambil ujian kebolehan bagi tahap keempat, dia hanya menghabiskan masa setahun setengah sebelum masuk ke tahap kelima.

Kadar peningkatan Linley yang menakjubkan mengejutkan semua orang.

Linley kini telah menyaingi Dixie dan orang ramai menggelar mereka 'Dua Genius Unggul' Institut Ernst.

"Lihat, itu Linley. Dua tahun lepas, dia menjadi ahli sihir tahap keempat dan setahun selepas itu, dia menjadi ahli sihir tahap kelima dalam masa satu tahun! Sangat menakjubkan. Saya menjangka Linley akan menjadi ahli sihir tahap keenam sebelum Dixie."

"Linley menghabiskan masanya pada setiap hari berlatih di gunung belakang. Saya dengar baru-baru ini, Dixie juga bekerja keras berlatih di pergunungan barisan belakang. Besar kemungkinan, dia dipengaruhi oleh Linley."

"Kemungkinan besar. Melihatkan kadar peningkatan Linley yang mengagumkan, besar kemungkinan dia akan mengambil tempat Dixie sebagai genius nombor satu di Institut Ernst."

Jika terserempak dengan Linley di jalan, ramai orang yang akan mula bercakap-cakap tentangnya. Sebagai seseorang yang dianggap sebagai genius Institut Ernst, tidak kira ke mana dia pergi, orang akan bercakap tentangnya. Namun begitu, walaupun kekuatan Linley meningkat secara berterusan, dia tetap enggan mengambil bahagian dalam kejohanan tahunan.

'Genius?' Linley mengejek dirinya.

Linley tidak pernah menggelar dirinya seorang genius. Kekuatannya datang dari latihan intensif yang dilakukannya pada setiap hari. Selama enam tahun, Linley tetap gigih berusaha sama seperti hari pertamanya di institut. Kegigihannya dan bimbingan daripada Atuk Doehring yang membuat dia berjaya mencapai kejayaan hari ini.

'Tetapi kekuatan aku sekarang masih lebih rendah daripada Bebe.' Linlet melirik ke arah Bebe di atas bahunya. "Bebe, apakah tahap kuasa yang telah kamu capai?"

*Cit cit* Bebe senyum sinis ke arah Linley dan bercakap dengannya secara mental. "Saya pun tak tahu kerana saya tak pernah bertarung dengan mana-mana makhluk ajaib lain. Tetapi kamu memang bukan lawan saya." Bebe sangat berpuas hati dengan dirinya.

Tanpa mengendahkan pandangan memuja orang terhadap dirinya, Linley dengan tenang meninggalkan Institut Ernst melalui pintu belakang dan memasuki kawasan gunung, sekali lagi memulakan latihannya secara bersendirian. Enam tahun yang telah berlalu dijalani seperti hari ini merupakan kunci kejayaannya.

Secara spontan Linley dengan bersahaja terapung merentasi kawasan hutan. Sepanjang waktu itu, Bebe, si Tikus Bebayang kecil, bercakap dalam fikirannya. "Bos, bila kita akan ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib untuk menguji kekuatan kita? Kamu sudah menjadi ahli sihir tahap kelima. Sudah tiba masanya untuk kamu menguji diri sendiri. Dan saya, Bebe, akhirnya dapat menunjukkan kehebatan saya."

"Tak perlu terburu-buru." Linley menjawab dengan ringkas.

"Kamu buat saya terluka, kawan. Saya seekor makhluk ajaib, tetapi saya langsung tak pernah pergi ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Malangnya nasib!" Selepas enam tahun, kebolehan Bebe dalam mengekspresikan dirinya jauh lebih baik.

"Diam. Jika kamu terus membuat bising, hari ini saya tak akan bakarkan daging untuk kamu." Sebaik sahaja mendengar kata-kata Linley, Bebe terus diam membisu.

"Linley." Doehring Cowart tiba-tiba berkata.

Linley menoleh dan senyum ke arah Doehing Cowart dan berkomunikasi dengannya melalui hubungan mental. "Ada apa ya, Atuk Deohring?"

Doehring Cowart senyum. "Berdasarkan hasil seni kamu yang terkini, Atuk secara rasminya ingin memberitahu kamu bahawa kebolehan mengukir batu kamu telah mencapai tahap."

Mata Linley serta-merta bersinar.

Atuk Doehring mempunyai sifat eksentrik. Mana-mana hasil seni yang tidak mencapai kehendaknya yang cerewet, harus dimusnahkan. Seperti kata-kata yang sering diucapkannya, "Jika hasil seni ini dipamerkan di dunia, pasti akan memalukan Sekolah Pahat Lurus dan memalukan Atuk, seorang ahli sihir Agung tahap Dewa."

Oleh sebab itu, Linley terpaksa memusnahkan setiap arca yang dihasilkannya walaupun arca tersebut boleh dijual untuk mendapatkan wang.

"Sudah mencapai tahap? Maksud Atuk Doehring...?" Linley melihat Doehring Cowart kehairanan.

Doehring Cowart dengan gembiranya mengangguk. "Benar. Mulai hari ini, kamu tak perlu memusnahkan hasil ukiran batu kamu. Jika kamu mahu, kamu boleh menghantar hasil ukiran kamu ke Galeri Proulx untuk dijual dan mula membina reputasi Sekolah Pahat Lurus. Pada masa yang sama, kamu juga boleh membuat duit untuk diri kamu sendiri."

Chapitre suivant