webnovel

Bencana (Bahagian 2)

Éditeur: EndlessFantasy Translation

* Berdebap, berdebup! *

Beberapa bunyi runtuhan masih berterusan di sekitar pekan Wushan. Namun tidak lama kemudian, tiada lagi batu yang jatuh dari langit. Kesemua bongkah gergasi itu telah dimusnah oleh ahli pedang berjubah hijau. Tetapi ketika ini, tiada seorang pun penduduk pekan Wushan yang mempunyai tenaga untuk melihat pertempuran tersebut.

"Tuan Hogg, pekan Wushan kini dalam keadaan yang teruk. Tuan Hogg? Apa yang tak kena?" Hillman bergegas ke manor. Sebaik sahaja dia mula melaporkan keadaan pekan Wushan, dia terlihat Hogg berdiri kebingungan, kaku tidak berkutik.

Badan Hogg menggigil. Hanya selepas itu dia kembali tersedar. "Linley." Hogg berlari ke arah gudang dengan pantas. Melihatkan itu, Hillman dapat meneka apa yang berlaku dan segera mengikuti Hogg.

* Smash! * Sebelum Hogg tiba, runtuhan yang menghempap Hiri, Linley dan Wharton telah pecah.

Penjaga rumah, Hiri berdiri dari dalam runtuhan itu.

"Pak Cik Hiri, bagaimana keadaannya?" Suara Hogg kedengaran menggeletar. Pada masa yang sama, dia melihat ke arah badan yang tertiarap itu. Perkara pertama yang dilihatnya adalah Linley dengan kepala yang dipenuhi darah. Keadaan kepala Linley yang berdarah itu membuat kepala Hogg pening. Badannya seakan melayang hampir tumbang.

Sehingga kini, badan Linley masih lagi terangkat dari tanah. Dia menggunakan penumbuknya dan berada dalam keadaan tekan tubi supaya runtuhan itu tidak terkena badan Wharton.

"Ayah." Suara kanak-kanak kedengaran dari bawah.

Perlahan-lahan Wharton merangkak keluar dari bawah Linley. Badannya kecil, dan dia dilindungi sepenuhnya oleh Linley. Dia tidak mengalami sebarang kecederaan pada tubuh badannya.

"Abang, Abang. Kenapa dengan Abang?" Wharton menggoncang badan Linley.

"Linley. Linley!" Suara Hogg tersekat-sekat.

Penjaga rumah, Hiri berkata dari sisi, "Saya terlewat sedikit. Satu runtuhan telah menghempap kelapa Tuan Muda Linley sebelum sempat saya menghalangnya. Tetapi saya percaya runtuhan tersebut tidak terlalu besar.

"Saya... Saya tak apa-apa," kata satu suara parau dengan perlahan. Linley memaksa dirinya untuk mengangkat kepala dan memandang Hogg. Dia melemparkan satu senyuman lemah.

Melihat senyuman Linley, air mata Hogg mengalir.

Linley meluruskan badannya dan duduk. Pakaiannya dipenuhi darah, begitu juga dengan muka dan rambutnya. Batu yang menghempapnya mengakibatkan dia kehilangan banyak darah. Pada waktu itu, Linley berasa sedikit pening. Pandangannya tidak lepas daripada wajah ayahnya. Linley berkata dengan suara yang lemah, "Ayah menangis."

"Ayah tak apa-apa." Senyuman teruja terukir di wajah Hogg.

"Wharton? Kenapa kamu berdiri di hadapan pintu tadi?" tegur Linley sambil mengusap kepala Wharton.

Wharton tahu dia telah melakukan kesalahan. Dengan kepala yang ditundukkan, dia berkata, "Abang, saya minta maaf."

Penjaga rumah, Hiri di sebelah mereka berkata, "Ini semua salah saya. Bencana ini berlaku secara tiba-tiba. Sebaik sahaja saya membawa Wharton ke dalam gudang, saya nampak Tuan Muda Linley dalam keadaan bahaya. Saya bergegas untuk membantunya. Saya tidak sedar ada batu besar yang sedang menuju ke gudang. Ini semua salah saya."

* Deram derum! *

Tiba-tiba, gegaran yang besar menggoncang bumi.

Riak wajah mereka semua berubah ketika memandang ke langit timur. Gergasi melebihi 10 meter tinggi telah muncul. Ia terapung di langit. Ia memiliki otot-otot yang tegap. Ekspresi wajahnya kejam. Seluruh badannya berwarna kuning tanah. Pada masa ini, gergasi tanah itu terlibat dalam pertarungan sengit dengan lelaki berjubah hijau. Setiap pukulan antara mereka menghasilkan bunyi seperti kilat menyambar atau guruh yang berdentum kuat.

Bunyi pukulan itu bukti kehebatan gergasi tanah itu. Setiap pukulannya lebih kuat berbanding gabungan daya hempasan batu-batu yang banyak sebelum ini.

Linley melihat pertempuran itu dengan kagum. 'Gergasi tanah ini pasti dijelmakan oleh lelaki berjubah hijau itu.' Linley dapat membuat kesimpulan dengan mudah memandangkan lelaki berjubah kelabu itu juga merupakan seorang ahli sihir yang sangat berkuasa.

"Linley, bagaimana keadaan kamu?" Hogg bertanya kebimbangan.

Linley mengukir senyum. "Saya okey. Kepala saya cuma luka sedikit. Saya kehilangan sedikit darah."

"Tuan Muda Linley, kamu sebenarnya kehilangan agak banyak darah. Jika dibiar terus mengalir, kamu boleh mati." Penjaga rumah Hiri segera mengambil beberapa kain kasa putih dari dalam gudang dan membalut kepala Linley.

Hogg melihat Linley dengan lebih dekat. "Pak Cik Hiri, bagaimana dengan kecederaannya?"

Pak Cik Hiri melemparkan senyuman kepada Hogg. "Tidak terlalu parah. Fizikal Linley dalam keadaan yang baik dan dia juga tak pengsan. Jadi tiada apa yang perlu dirisaukan. Beberapa hari ini, dia perlu mengambil protein yang lebih untuk menambah darahnya. Kemudian dia akan sihat."

Dalam diam Hogg dapat menghela nafas yang ditahannya.

Sewaktu Hogg melihat Linley menuju ke arah Wharton untuk melindunginya, Hogg berasa sangat takut. Dia benar-benar takut kedua-dua anaknya akan mati begitu sahaja.

Setelah menarik nafas panjang, Hogg melihat ke arah Hillman. "Hillman, tadi kamu ada beritahu pekan Wushan dalam keadaan yang teruk. Berapa teruk keadaan tersebut?"

"Saya tidak dapat nyatakan dengan tepat kemusnahan yang berlaku," kata Hillman dengan wajah muram. "Tetapi daripada apa yang saya nampak, beberapa orang telah meninggal dunia, ramai juga yang tercedera malah lumpuh! Bencana ini datang secara tiba-tiba. Walaupun saya telah menjerit meminta semua orang untuk bersembunyi, namun masih ada lagi penduduk yang tidak sempat berlindung di ruang bawah tanah rumah mereka."

"Benar, ia berlaku dengan cukup pantas." Hogg menoleh ke arah langit timur.

Pahlawan tahap Dewa sangat berbeza jika dibandingkan dengan penduduk pekan Wushan. Pahlawan tahap ini mampu menghapuskan seluruh bandar dengan satu libasan tangan. Hujan bongkah batu dan kehancuran bongkah tersebut dihentam pedang lelaki berjubah hijau sebelum ini hanyalah langkah permulaan pertempuran dua pahlawan hebat ini.

Namun kesan sampingan serangan permulaan sudah cukup untuk menimbulkan bencana pada pekan Wushan.

"Sihir berunsurkan tanah tahap kesepuluh yang terkena yang juga mantera terlarang iaitu 'Pelindung Bumi' unsur tanah. Kekuatan Pelindung Bumi ini amat menggerunkan. Ia dianggap sebagai mantera serangan yang paling kuat yang boleh dihasilkan oleh ahli sihir unsur bumi." Melihat gergasi tanah itu, wajah Hogg menjadi semakin dingin sewaktu dia bercakap tentangnya.

Hogg merupakan anggota Puak Berdarah Naga. Walaupun Puak Berdarah Naga ini mengalami kejatuhan, mereka mempunyai sejarah selama lima ribu tahun. Ini bermakna di dalam arkib keluarga mereka, terdapat maklumat tentang semua serangan ajaib yang paling kuat yang digunakan oleh orang yang paling berkuasa dalam sejarah. Hogg boleh memberitahu dengan sekali pandangan sahaja.

"Mantera tahap kesepuluh…" Linley menarik nafas panjang.

Linley juga mahu menunggang naga hitam dan menggunakan mantera membawa malapetaka tahap kesepuluh suatu hari nanti. Fikirannya melayang memikirkan ujian pengambilan ahli sihir. 'Ujian pengambilan tersebut hanya diadakan pada musim luruh di ibu negeri Fenlai. Masih ada setengah tahun berbaki…'

Jauh di sudut hatinya, Linley tidak sabar menunggu ujian sihir yang akan berlangsung dalam setengah tahun lagi.

"Hillman, sebentar lagi teman saya periksa keadaan setiap penduduk di pekan ini," Hogg berkata lalu memandang Hiri. "Pak Cik Hiri, selepas kedua-dua pahlawan tahap tertinggi ini beredar, tolong bawa Linley pulang ke rumah, tukarkan pakaiannya serta pastikan dia berehat."

"Baik, Tuan." Hiri mengangguk.

Hogg berpaling melihat Linley yang masih leka memerhatikan pertempuran antara dua pahlawan tahap Dewa itu. Dia ketawa lalu berkata, "Oh Linley, budak nakal. Walaupun kamu telah cedera kamu masih lagi mahu menyaksikan pertempuran tersebut. Nasib baik, memandangkan pahlawan tertinggi itu telah melepaskan Pelindung Dunia, maka pertempuran ini akan berakhir tidak lama lagi."

Linley tidak sedar apa yang berlaku di sekitar dadanya kerana terlalu leka menyaksikan pertempuran hebat tersebut.

Kepalanya yang tercedera dan berdarah menyebabkan cincin Naga Pusar yang terkalung dalam pakaiannya itu turut terkena darah. Namun, darah di cincin itu lenyap seperti air yang mengalir di lautan. Bahan hitam itu telah menyerapnya secara perlahan-lahan.

Cincin Naga Pusar itu kemudiannya mula bersinar-sinar dalam cahaya yang malap.

Tetapi memandangkan ia berada dalam pakaiannya, tiada seorang pun yang menyedari cahaya samar-samar yang bersinar dari permukaan cincin Naga Pusar itu.

Chapitre suivant