webnovel

Cincin Naga Pusar (Bahagian 1)

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Di sebalik matahari yang sedang terbenam, kelihatan awan kemerah-merahan melitupi separuh langit, menyebarkan warnanya ke serata dunia.

'Mudah juga kerja membersih dewan pusaka ini.'

Melangkah keluar dari dewan pusaka, Linley sedar persediaannya melebihi tugas sebenar. Dia menjangka tugas pembersihan itu akan memakan masa satu jam tetapi dalam masa 15 minit dia selesai membersihkan dewan tersebut.

Di benua Yulan, setiap tahun dibahagikan kepada 12 bulan. Setiap bulan pula terdapat 30 hari, setiap hari terdapat 24 jam dan setiap jam pula terdapat 60 minit. Kebanyakan keluarga bangsawan memiliki jam besar berdiri. Oleh hal demikian, mereka dapat mengetahui masa yang tepat. Malah, sesetengah individu yang kaya raya atau berstatus tinggi memiliki jam tangan yang ditentukur dengan teliti.

'Dewan pusaka ini dibersihkan setiap bulan. Sebenarnya, dewan ini tak akan menjadi terlalu kotor dalam masa sebulan. Aku hanya perlu mengelap saja. Ada masa sejam lagi sebelum latihan bermula. Apa yang patut aku lakukan?' Linley yang kebosanan memerhati sekeliling dewan itu.

Manor purba puak Baruch ini memiliki sejarah selama 5000 tahun.

Halaman hadapan manor ini dibersihkan setiap hari tetapi bilik-bilik yang lebih besar di halaman belakang, kecuali dewan pusaka itu, semuanya dipenuhi dengan habuk. Malah, dindingnya juga ada yang sudah retak. Rumput-rumput liar dan kulampair melitupi lantai serta memenuhi dinding.

'Wah!' Mata Linley bersinar-sinar melihat bangunan usang itu. "Banyak tempat di laman belakang tak dilawati sejak berabad yang lalu. Agaknya masih ada barangan purba yang berharga di situ?"

Sebaik saja menyedari perkara ini, hati Linley berbunga-bunga.

'Jika aku berjaya menjumpai barangan berharga dan berikan kepada Ayah, tentu dia gembira.' Linley menarik nafas lantas memasuki bilik usang bersebelahan dengan dewan pusaka. Langkah demi langkah, dia berjalan dengan berhati-hati sambil memegang batang kayu yang digunakan untuk memusnahkan sarang labah-labah supaya dirinya dapat memeriksa setiap bilik dengan teliti.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik itu, Linley terhidu bau yang busuk. Sarang labah-labah yang sudah menebal dapat dilihat di setiap sudut bilik. Terdapat labah-labah yang sedang memanjat sarangnya.

Langsir dan perabot dipenuhi dengan sarang labah-labah. Setelah diteliti, semua langsir di situ daripada kurun lepas. Malangnya, langsir-langsir itu sudah koyak-rabak dan hampir tiada rupa.

'Kalau langsir-langsir ini tak rosak, pasti nilainya tinggi.' Linley menggelengkan kepalanya. Dia kemudian meneruskan pemeriksaan ke atas bilik itu. Dia menggunakan batang kayu di tangannya untuk memusnahkan sarang labah-labah sambil meneliti setiap ruang.

Dia memeriksa lantai, kabinet, malah turut mencari jika terdapat laluan rahsia di dinding-dinding bilik.

'Menurut buku yang aku baca, kebiasaannya, tuil dan laluan tersembunyi dibina di dinding.' Linley mengetuk setiap dinding dengan berhati-hati dan cuba mendengar bunyi yang terhasil.

Linley sangat teruja. Dia seolah-olah sedang mencari harta karun di dalam bilik usang itu. Akan tetapi dia terlupa, jika dia terfikir akan idea ini, tentu Ayah, Datuk, dan orang-orang tua puak Baruch juga terfikir perkara yang sama.

Bilik-bilik lama manor itu telah digeledah seluruhnya oleh orang-orang tua puak Baruch satu ketika dahulu.

Linley baru berusia lapan tahun. Walaupun puaknya sangat menegaskan perihal pendidikan yang berjaya membuat dia cepat matang, terdapat jurang yang besar antara cara dia berfikir dengan orang dewasa. Sudah tentu dia tidak dapat menimbang tara perkara dari sudut yang menyeluruh.

'Tiada apa di dalam bilik ini. Bilik seterusnya pula…' Linley keluar dari bilik pertama dan masuk ke dalam bilik kedua.

Ada banyak bilik di bahagian belakang. Bahagian hadapan manor yang didiami Linley hanyalah satu pertiga daripada keseluruhan manor. Bahagian belakang manor jauh lebih besar. Rasa-rasanya Linley perlukan masa seharian untuk memeriksa seluruh bahagian belakang manor.

'Kesemua hiasan di dalam bilik ini sudah rosak. Tiada satu pun yang berharga.' Linley keluar dari bilik kosong itu.

Dia mendongak ke langit.

'Eh, rasanya masa latihan semakin hampir. Aku ada masa lebih kurang 15 minit lagi.' Linley berpaling dan memandang ke arah sebuah bilik besar. 'Aku akan periksa bilik yang terakhir, bilik yang paling besar. Aku akan luangkan masa 10 minit saja. Kalau aku tak jumpa apa-apa, aku akan terus ke padang latihan.'

Setelah membuat keputusan, Linley bergegas ke bilik yang besar itu.

Bilik lama itu lebih besar daripada ruang utama di bahagian hadapan manor. Linley melangkah masuk dan meneliti segenap ruang. 'Aku yakin seratus tahun lalu, bilik ini digunakan sebagai dewan makan puak Baruch.' Daripada perabut dan hiasannya, Linley pasti ia merupakan ruang melayan tetamu.

Dewan yang besar dan mewah sekali.

'Periksa lantai dulu.'

Seperti sebelumnya, Linley tunduk, membuka matanya seluas mungkin dan mula meneliti setiap ruang bilik. Jika ada sesuatu yang menarik, dia akan mengetuknya dengan batang kayu sebanyak dua kali. Jika ia diperbuat daripada batu, dia akan mengabaikannya. Memandangkan dia tidak mempunyai banyak masa sebelum latihan bermula, dia memeriksa setiap sudut bilik itu dengan pantas.

'Masa untuk memeriksa dinding dan langsir. Ini harapan terakhir aku.' Wajah Linley berkerut ketika memerhatikan ruang bilik itu. 'Nenek moyang puak Baruch, saya berharap kamu tinggalkan satu atau dua barangan berharga untuk saya. Tidak kisahlah jika barangan kecil sekalipun.'

Linley memeriksa setiap dinding dengan teliti. Dia juga mengintai di sebalik langsir-langsir yang koyak-rabak itu.

Di dinding bilik lama itu, terdapat banyak kabinet kayu usang. Setiap satu kabinet mempunyai banyak laci. Linley membuka laci itu satu persatu namun semuanya kosong. Langsung tiada apa-apa. Apa yang banyak di dalam laci itu? Habuk sahaja.

"Aduhai!"

Setelah membuka laci terakhir, Linley berasa sangat hampa.

"Aku tak temui satu pun barang berharga setelah menghabiskan masa yang lama memeriksa ruang ini. Yang aku dapat hanyalah peluh dan habuk," ujar Linley sambil memandang pakaiannya. Kotor betul pakaiannya. Hati Linley sebal.

Matanya sekali lagi memandang sekeliling bilik itu.

'Hum, aku keluarlah.' Linley yang berang menghayun batang kayu ke arah kabinet berhampirannya. Dia seolah-olah melepaskan kemarahannya. Sia-sia saja dia menghabiskan masanya memeriksa setiap bilik.

* Gedebuk! * Kayu itu menghentak kabinet itu dengan kuat.

Kabinet itu sangat usang. Ia sudah hancur dimamah anai-anai selama beratus tahun. Ia tidak mampu menampung apa-apa hentakan. Kabinet itu berkeriang-keriuk dan berkerit sebaik saja dihentak.

Mendengarkan bunyi tersebut, Linley lalu menoleh dengan cemas. 'Oh, tidak! Kabinet ini akan roboh!' Semasa memeriksa bilik-bilik lain, Linley ada memusnahkan beberapa buah perabot. Kini, dia seakan-akan sudah berpengalaman.

Linley segera mengelak.

Kabinet yang dua kali ganda lebih tinggi daripada Linley itu akhirnya roboh. Kabinet itu terhempas ke lantai menghasilkan bunyi yang kuat. Ia berkecai kepada tujuh atau lapan kepingan, menjadikan bilik itu lebih berhabuk. Tetapi di sebalik habuk itu, Linley terlepas pandang sesuatu.

Sebaik saja terhempas, sebentuk cincin hitam yang tersembunyi di sebalik kayu penyokong kabinet tadi terpelanting keluar dan jatuh ke atas lantai.

"Jijiknya, jijiknya!" ucap Linley sambil dia bergegas mengelak daripada habuk yang berterbangan.

'Malang sungguh! Seluruh badan saya penuh dengan habuk. Latihan pula hampir bermula. Saya perlu lekas mandi dan menukar pakaian lain.' Linley menghayunkan tangannya dan membuka pintu lalu keluar dari bilik lama itu.

Chapitre suivant