webnovel

Tiga Persatuan Terulung

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Perawakannya yang dingin tidak dapat menyembunyikan bahagian sensitif tubuhnya yang dapat Zhang Yang rasai! Di sebalik pakaian seragamnya, Zhang Yang dapat merasakan buah dadanya yang dalam genggaman tangannya! Benarlah orang katakan yang semakin dingin seseorang wanita itu, semakin sensitif tubuhnya dan polis wanita ini contoh terbaik! Zhang Yang melepaskan genggamannya, bergolek, dan berdiri. Polis wanita itu turut berdiri dan pipinya jelas merah padam seperti bunga ros. Dia bukan sahaja cantik dan comel, malah dia juga penuh daya tarikan! 

Orang ramai sekeliling mereka tiba-tiba riuh-rendah dan Zhang Yang mengambil peluang ini untuk melarikan diri dalam kekalutan. Dia tahu yang dia telah melakukan kesilapan besar serta mungkin dituduh sebagai penyumbaleweng dan ditangkap jika dia masih menunggu di situ! Melihat dia melarikan diri, polis wanita itu menghentak kaki dengan berang dan geram dan menyebabkan dadanya melambung. Dia kemudian berpaling dan menuju ke balai polis bersama 3 sekeluarga penipu tadi. 

Dalam perjalanannya, Zhang Yang membeli beberapa makanan ringan sebelum tiba di rumahnya. Jam menunjukkan waktu 9:30 pagi dan dia cepat-cepat log masuk selepas memakai topi keledar bermain permainan video itu.

"Yang Kecil, kenapa kau lambat sangat bangun? Ke malam tadi… kau dapat berseronok ke malam tadi?! Dengar cakap aku ni, jangan ambil sesiapa dari jalanan! Mereka tu bahaya! Bagi aku beberapa hari dan aku akan bawa kau ke satu tempat menarik dipanggil 'Kota Gadis'! Gadis di sana semua sama tahap dengan bintang handalan!" Zhang Yang terus disapa pesanan peribadi daripada Han Gemuk. Dia seperti biasa berperangai berahi dan menggatalnya itu. Zhang Yang tidak mengendahkan perangai itu dan menghantar pelawaan untuk menyertai pasukan bersama jawapannya, "Uh huh, yalah tu… macamlah aku ni percaya pada kau!"

Si Salji, Drizzler, dan Ratusan Tembakan turut dimasukkan ke dalam pasukannya.

"Maaf, semua, aku lewat. Ada masalah sikit tadi. Jom berkumpul di bahagian Utara Kota!"

Drizzler mula merungut, "Entah apa-apa pak cik ni! Kalau aku tahu kau akan lewat, aku bangun tidur lewat lagi tadi!" Zhang Yang berasa sedikit marah. Namun, dia hanya tersenyum dan berkata, "Kenapa 'pak cik' pula ni? Aku ni taklah tua sangat daripada kau." Walaupun sedikit kebudak-budakan, Zhang Yang tidak suka dipanggil pak cik tua atau budak manja.

"Kau bukan lebih daripada 20 tahun ke?" soal Drizzler.

"Huh… ya. Aku 22 tahun!"

"Betullah tu! Aku baru 17 tahun. Apa aku nak panggil orang yang lima tahun lagi tua daripada aku?"

Han Gemuk kemudian mencelah, "Tak guna! Kalau kau panggil orang yang lima tahun lebih tua daripada kau 'pak cik', jadi kalau 10 tahun lebih tua, kau panggil 'atuk'!"

Raut wajah Drizzler berubah menjadi aura 'bahaya jika diganggu', "Hei Si Gemuk, apa yang kau maksudkan? Kau ingat kau boleh ambil kesempatan pada aku sebab aku baru 17 tahun?"

Han Gemuk yang ketakutan terus menukar topik perbualan, "Ahahha… indahnya cuaca hari ni!"

Masa berlalu dan mereka akhirnya berkumpul. Zhang Yang mengetuai mereka menyelesaikan cabaran syarat kemasukan yang agak mudah. Mereka hanya perlu membunuh beberapa raksasa, mencari NPC berdekatan laluan masuk dungeon, dan mendapatkan kebenaran masuk ke sarang itu. 

Pasukan itu membayar upah untuk mendapatkan tunggangan dari Penjaga Gryphon ke Hutan Sinaran Putih untuk menjimatkan masa. Ini salah satu servis pengangkutan yang membantu pemain yang tidak mempunyai tunggangan untuk tiba ke destinasi dengan lebih cepat berbanding berlari sepanjang jalan.

"Seronoknya dapat terbang!" Drizzler mendepangkan tangannya untuk menikmati suasana. "Aku rasa macam aku Pawang Pedang! Whoosh! Pisau Melayang Ribuan Batu! Ahhh… Seronoknya kalau permainan video ni bertukar kepada gaya Xian Xia sebab nanti kita boleh belajar gaya Pedang dan terbang sendiri!"

Zhang Yang tertawa. "Ini komuniti permainan video antarabangsa! Mereka tak akan tukar permainan video ni macam tu sebab gaya tu terlalu ketimuran! Tak sesuai dengan pasaran antarabangsa!"

"Ala, sayang betul! Mereka menukar permainan ni menjadi gaya Barat hanya untuk mendapat keuntungan! Orang licik tak guna!"

"Sudah, sudah. Teruskan perjalanan. Kota Pari-pari Salji betul-betul lepas hutan ni!"

Zhang Yang mendahului perjalanan mereka untuk menyediakan laluan untuk pasukannya melalui hutan itu. Apabila mereka menjumpai laluan keluar, mereka terus ternampak bangunan buatan manusia di hadapan mereka. Kota itu sudah tidak jauh lagi. Dari jarak itu, mereka ternampak pelbagai jenis roh berbeza unsur yang berlegar-legar di kota itu. Kota yang sebelum ini kota manusia kini menjadi tempat roh berunsur Api, Air, Angin, dan Tanah. 

Zhang Yang membuka penerangan cabaran dan memaklumkan pasukannya, "Kita kena bunuh 10 daripada setiap jenis roh untuk menyelesaikan cabaran ni!"

"Gerak! Gerak! Gerak!"

Mereka semua mempunyai peralatan yang hebat dan dapat menewaskan raksasa tersebut. Mudah bagi mereka untuk membunuh raksasa dan menyelesaikan cabaran itu. Mereka kemudian tiba di laluan masuk dungeon.

Sarang Marzerway terletak di satu istana tinggalan buatan manusia di Kota Pari-pari Salji ini. Dungeon itu terbahagi kepada tiga bahagian yang dinamakan Sayap Depan, Sayap Tengah, dan Sayap Utama dengan istana tersebut sebagai laluan masuk ke dungeon. Sayap Depan dan Sayap Tengah mempunyai dua bos setiap satu, sementara Sayap Utama ialah sarang Marzerway, bos yang hanya boleh bertarung dengan pasukan yang mempunyai 20 pemain. 

"Eh?" Zhang Yang dan pasukannya terkejut melihat mereka bukan satu-satunya pasukan di situ. Malah, terdapat 30 pemain yang menganggotai enam pasukan dengan lima pemain setiap satu. Mereka semua dari persatuan berbeza iaitu Pendominasi, Tinggi Langit, dan Amarah Membara. Mereka semua telah mencapai Tahap 20! Mereka juga layak memasuki Papan Kedudukan Tahap, tetapi tiada seorang pun yang melakukannya dengan sebab yang sangat Zhang Yang fahami. Mereka sedang bersungguh-sungguh bertanding antara satu sama lain dan tidak mahu mendedahkan kekuatan sebenar mereka. Walaupun mereka melepaskan peluang untuk bermegah, mereka betul-betul memegang kesungguhan masing-masing. Mereka semua berusaha kuat dan akhirnya berjaya tiba di dungeon Tahap 20 pada waktu yang sama seperti yang lain. 

Mereka terkejut apabila mereka menyedari pasukan Zhang Yang berjalan mendekati mereka. Bagaimana orang lain boleh sampai ke tahap ini untuk menyerang dungeon tersebut?!

Lelaki Beradab yang Rendah Diri dari Pendominasi meneliti pasukannya dan perasan nama Zhang Yang disembunyikan. "Kau ni mesti Zhan Yu, kan?"'Tajam penglihatan ketua persatuan ini!' Zhang Yang hanya mampu tersenyum.

"Kau pun nak serang dungeon ni?"

"KAU!" Zhang Yang terdengar satu suara lantang seperti seseorang yang menjerit sambil mengetap giginya. Seorang gadis cantik bercekak pinggang dengan punggung yang menarik perhatian muncul tiba-tiba. 'Ya, dia gadis yang menerima pertukaran [Bijih Besi Bertapis] aku dengan [Bijih Besi] biasa tu. Ros Berduri namanya.'

"Oh, hai!"

"Lelaki tak guna! Sebab kaulah, aku gagal!" Wajah Ros Berduri merah padam kerana marah. Han Gemuk yang perasan kemarahannya cepat-cepat mencelah.

"Tumpang tanya, gadis muda. Budak ni pernah buat salah pada kau? Dia pernah buat kau mengandung dan tak mahu bertanggungjawab ke?! Yang Kecil tak guna! Sanggup kau buat macam tu?! Sanggup kau gunakan gadis ni dan buang dia ke tepi macam tu saja?! Urgh, cemburunya aku!"

Suasana waktu itu terus menjadi lebih tegang dengan begitu sahaja. Semua orang menumpukan perhatian kepada Zhang Yang dan Ros Berduri. Mereka seperti faham apa yang difikirkan satu sama lain. 

"Pak cik miang! Sekarang aku 100% pasti yang kau ni lelaki miang dan gatal!" ujar Drizzler yang berkongsi fikiran dengan yang lain-lain. Ros Berduri pula cuba menerangkan perkara sebenarnya.

"T-tak! Bukan pasal tu! Lelaki licik ni menipu untuk dapatkan lebih 100 [Bijih Besi] aku! Dia menyebabkan Mei Mei lewat lebih dari setengah hari untuk menghantar cabarannya!"

Jadi itu perkara sebenar! Selepas perkara sebenar itu terdedah, orang sekeliling mula hilang minat. Nampaknya, satu-satu pembohongan itu lebih menarik berbanding kebenaran.

"Ros! Sudahlah tu!"

Seorang wanita dengan aura darjat yang tinggi mendekati mereka dan menenangkan Ros Berduri. Dia kemudian perlahan-lahan merenung Zhang Yang. "Aku dah beberapa kali dengar nama kau. Tak sangka hari ni aku dapat bertemu Zhan Yu, Pelindung legenda yang terkenal. Ini satu penghormatan padaku!"

Pencari Salji ialah ketua persatuan Amarah Membara. Dia satu hari nanti akan tersenarai di kedudukan keempat sebagai 10 Ahli Sihir terbaik dalam pelayan China. Dia juga wakil pemain pasukan 'Merah' yang memasuki pertandingan Kelas S. Zhang Yang sudah tentu tidak akan melayan orang sepertinya dengan buruk.

"Tak, ketua persatuan Salji, ini penghormatan itu pada aku! Aku pun pernah dengar nama kau! Aku memang bernasib baik dapat bertemu kau!"

"Cukuplah dengan kata-kata palsu! Kita semua berkumpul di sini untuk bertanding bagi pencapaian 'Penyelesaian Pertama'! Tak perlu berpura-pura baik macam kau betul-betul baik!"

Kata-kata dingin itu datang daripada Pawang Langit, ketua persatuan Tinggi Langit. Pencari Salji mengalihkan pandangannya dan tersenyum manis. 

"Kami dari Amarah Membara ni semua masih baru. Kami tak mempunyai cita-cita setinggi tu. Kami sebenarnya ke sini untuk mencuba Mod Sukar sahaja!" Tiada sesiapa pun yang mempercayai kata-katanya. Mereka semua tahu kata-katanya sepalsu persekitaran dalam permainan video ini.

Lelaki Beradab yang Rendah Diri yang sedang asyik berfikir tiba-tiba bersuara, "Apa kata kita bertaruh? Siapa yang akan berjaya mendapatkan dua pencapaian 'Penyelesaian Pertama' dalam Mod Paling Sukar?" Pawang Langit sangat yakin yang pasukannya akan memenangi cabaran ini.

"Haha! Cabaran membawa kepada kemajuan! Bagus! Macam mana ketua persatuan Salji dan Zhan Yu? Mari bertanding!"

Pencari Salji hanya tersenyum dan memberi jawapan, "Kami sentiasa mengalu-alukan pertarungan yang bersih dan adil. Aku cuma risau kalau ada sesiapa yang akan melanggar peraturan permainan video ini dan menggunakan taktik kotor untuk menang pertaruhan!" Senyuman Lelaki Beradab yang Rendah Diri dan Pawang Langit hilang setelah mendengar kata-katanya itu. 

Zhang Yang tertanya-tanya. 'Apa yang telah terjadi antara tiga persatuan ni yang membuatkan mereka berdendam dengan satu sama lain?' Selepas persoalan itu terlintas di benaknya, dia akhirnya cuba melupakannya kerana itu bukan urusannya. 

"Kalau kami turut serta dalam pertaruhan ni, apa yang kami akan dapat?" soal Zhang Yang.

Pawang Langit dengan yakinnya memberi cadangan ganjaran yang lumayan. "Haha! Semua akan letakkan 10,000 kepingan emas sebagai taruhan! Siapa kalah kena bayar 10,000 kepingan emas kepada pemenang! Dua dungeon, dua pusingan. Macam mana?"

Pencari Salji menyuarakan bantahannya terhadap idea itu, "Aku dah cakap tadi, Amarah Membara hanya akan cuba menyelesaikan Mod Sukar. Anggaplah kami tidak termasuk dalam pertaruhan! Kami akan mulakan serangan dungeon. Pergi dulu ya!"

Pencari Salji melambai menandakan pemergiannya dan mengetuai pasukannya masuk ke dungeon. Tiada sesiapa di luar pasukan mereka yang tahu mod dungeon yang mereka pilih, tetapi mereka semua tahu yang cabaran syarat kemasukan mesti dilengkapkan sebelum mereka dapat memasuki Sayap Depan dan Tengah. Setiap pasukan mesti menyerang kedua-dua bahagian itu untuk memasuki Sayap Utama, namun syarat itu tidak menyatakan mod apa yang mereka pilih. 

"Lelaki Beradab, Zhan Yu! Macam mana? Kita nak letak pertaruhan?"

"Ya!"

Lelaki Beradab yang Rendah Diri dan Pawang Langit merenung satu sama lain dengan kebencian membara buat satu sama lain. Layanan yang dingin memang cara kedua-dua persatuan itu melayan satu sama lain. Zhang Yang pula hanya tertawa dengan kuat. "Baik, aku ikut Lelaki Beradab ni! Aku pun pilih 'ya'!"

"Baik! Macam nilah bagus!" Pawang Langit menepuk tangannya untuk menarik perhatian ahli pasukannya. "Dengar tak semua? Kita akan bertanding dengan Zhan Yu dan Pendominasi untuk mendapatkan pencapaian 'Penyelesaian Pertama'! Apa pendapat kau semua? Kita akan kalah ke?"

"Mestilah tak!" Pemain dari Tinggi Langit menempikkan jawapan mereka serentak dan semangat mereka terus melonjak.

"Mari, kita mulakan!" Pawang Langit menghayun tangannya dan megetuai pasukannya masuk ke dungeon.

"Baiklah, aku gerak dulu!" Lelaki Beradab yang Rendah Diri mengenyit matanya ke arah Zhang Yang. "Saudara Zhan Yu, kita patut berjumpa pada waktu lain untuk berborak selepas ni! Aku pergi dulu!" Pendominasi turut masuk ke dalam dungeon selepas itu.

"Baik, kita kena cepat-cepat selesaikan cabaran ni dan masuk ke dungeon. Kalau tak, kita kena bayar 10,000 kepingan emas!"

Drizzler menjawab tanpa segan silu, "Hmph! Keputusan tu kau yang buat, bukan kami! Kalau kau kalah, kau kena bayar guna duit kau sendiri. Tapi kalau kita menang, kita kena kongsi hasilnya!"

"Budak tak guna! Duit saja ke yang kau fikirkan?"

"Hehehe!"

Chapitre suivant