Nama sebenar Bebola Api Terapung adalah Lu Ming. Dia boleh dikatakan seseorang yang dilahirkan dalam kehidupan yang mewah. Namun, dia tidak meminati kereta, parti, ataupun gadis, seperti mana-mana lelaki kaya lain. Minatnya lebih tertumpu kepada permain video atas talian! Dia akan meluangkan masanya bermain permainan video yang popular dan tidak teragak-agak untuk menghabiskan wang dalam bermain permainan video. Dengan kebolehannya dalam bermain permainan video, dia pasti akan menyebabkan suasana huru-hara dalam mana-mana permainan video yang dia sertai!
Semasa pelancaran 'Keajaiban Tuhan', Lu Ming menyertai permainan video ini dan menubuhkan persatuan 'Megah'. Memandangkan Lu Ming memang terkenal dalam dunia permainan video, dia dapat mengumpulkan sekumpulan besar orang bawahan, tetapi kebanyakan mereka hanya mengikutnya untuk mendapatkan wang.
Hobi utama Lu Ming ialah menunjuk-nunjuk tahapnya! Jika dia inginkan apa-apa peralatan, dia hanya perlu mengeluarkan wang yang banyak dan membelinya di rumah lelong dalam permainan video tersebut! Sebab itu dalam kebanyakan permainan video yang dia sertai, dia memilih watak terbaik untuk penarafan iaitu Ahli Sihir ataupun watak yang terkenal dengan serangan tinggi dan pertahanan rendah iaitu "Ahli Sihir Api"! Memang tidak dapat dinafikan yang dia membuat pilihan yang tepat kerana dia berjaya tersenarai dalam Papan Kedudukan Tahap pada hari kedua selepas pelancaran, dapat mencapai kedudukan teratas pada hari keempat, dan telah mengekalkan kedudukannya sejak itu.
Semasa dia meneruskan grind di Makam Bayangan Ngeri sebelum ini, dia telah mengerahkan ahli Megah untuk mengosongkan kawasan luar makam itu dan memastikan tiada sesiapa yang boleh masuk untuk mengganggu kemajuan penarafannya!
"Pah! Pah! Pah!" Setiap kali Lu Ming menjampi <Bebola Api>, raksasa akan tewas dan mati! Kalau ia bukan kerana kuasa serangannya yang mampu mengenakan serangan KO dengan satu serangan, ia mungkin juga kerana pengikutnya telah terlebih dahulu menyebabkan kerosakan yang mencukupi untuk dia mengenakan serangan terakhir. Dalam situasi yang tiada kaitan dengan pasukan, pemain yang mengenakan serangan terakhir akan dapat menuntut 50% perkongsian mata nilai pengalaman. Sebab itulah Lu Ming akhirnya disenaraikan di kedudukan pertama dalam Papan Kedudukan Tahap dan terus kekal di kedudukan itu.
Akhirnya, selepas satu jumlah raksasa tewas yang tidak terkira, Lu Ming berjaya mencapai Tahap 20 dengan satu cahaya keemasan menyelubunginya! 'Bagus! Heh heh, ini memang bagus!' Dia telah mencapai Tahap 20 sedangkan pemain lain masih lagi pada Tahap 13 ke 15. 'Mendahului mereka memang sesuatu yang mengujakan!' Lu Ming membuka papan kedudukan untuk menikmati perasaan di mana dia jauh meninggalkan sesiapa di kedudukan kedua.
'Eh? Tahap 21? Ini satu keajaiban atau kesilapan sistem?' Selepas bertarung dengan banyak raksasa, dia ingatkan dia tersilap pandang dan tidak dapat membezakan antara 20 dan 21. Dia menggosok matanya dan memeriksa semula senarai itu.
[Papan Kedudukan Tahap] (Pelayan China)
Si Kurus dan Kacak, Elf, Beastmaster, Tahap 21
Lu Ming hampir muntah darah! Dia bukan lagi di kedudukan pertama! 'Dari mana datangnya lelaki jahanam Tahap 21 yang menolak aku ke kedudukan kedua ni?!'
Ratusan Tembakan, Elf, Beastmaster, Tahap 21
'Ajaib! Tak masuk akal! Tak logik! Macam mana boleh lagi satu Pemburu Tahap 21 ni masuk papan Kedudukan? Pemburu memang lagi hebat ke dalam penarafan? Tak guna, aku sekarang di kedudukan ketiga!'
Si Salji, Manusia, Paderi, Tahap 20
Lu Ming kebingungan.
Drizzler, Manusia, Berserker, Tahap 20
Bebola Api Terapung, Manusia, Pyromancer, Tahap 20
'Apa. Apa! APA!? Mereka ni ambil apa-apa pil atau Viagra ke? Macam mana mereka boleh tolak aku ke kedudukan kelima?' Raut wajahnya berubah menjadi muram dan marah. Dia menghantar pesanan di saluran pasukan yang mengatakan, "Si Kurus dan Kacak, Ratusan Tembakan, Si Salji, dan Drizzler. Ada sesiapa yang tahu tentang mereka ni?"
"Abang, kau tak tahu ke? Si Kurus dan Kacak dan Ratusan Tembakan tu dalam pasukan yang dapat pencapaian penyelesaian pertama dalam Makam Bangar, dan Si Salji dan Drizzler pula yang dapat pembunuhan pertama Bos Perak Kelabu dan masuk Papan Pencapaian semalam! Mereka ni semua pemain yang hebat! Kami sendiri tak sangka mereka hebat dalam penarafan juga!"
Raut wajah Lu Ming bertambah berang. Selepas beberapa ketika, dia berkata, "Ketua Khinzir, aku nak kau cari di mana pemain ni semua. Kalau mereka di Bandar Jed Putih, bawa orang kau dan bunuh mereka! Mereka yang jahanam ni tak tahu mereka cari pasal dengan orang yang salah! Mereka tak tahu mereka cari maut!"
Ketua Khinzir menjawab dengan megahnya, "Baik, Abang Api!"
…
Selepas Zhang Yang berehat seketika, dia log masuk semula.
'Ding! Anda telah mencapai Tahap 20. Servis tukaran matawang kini boleh didapati! Adakah anda ingin menggabungkan Servis Debit Negara dengan akaun permainan video anda?'
"Ya!" Zhang Yang serta-merta membuat pilihan.
'Ding! Menyatukan gelombang otak anda dengan maklumat Bank anda. Sila tunggu sebentar!'
'Ding! Servis Debit Negara yang sepadan telah dijumpai. Akaun: 3205XXXXXXXXXXX. Sila semak sekiranya semua maklumat ialah tepat, kemudian pilih 'Terima' untuk meneruskan urusan!'
"Terima!"
'Ding! Akaun anda telah digabungkan dengan Servis Debit Negara. Anda kini boleh menggunakan servis pertukaran matawang untuk menukar matawang dalam permainan video dengan matawang sebenar dan sebaliknya! Servis ini boleh didapati di Bank yang terletak di mana-mana bandar utama. Sila periksa notis Bank untuk maklumat kadar pertukaran matawang yang tepat!'
Zhang Yang tiba di Bank bagi memeriksa kadar pertukaran matawang terkini dan mendapati pertukaran matawang dalam permainan video kepada matawang sebenar ialah pada kadar 1:8. Kadar inflasi matawang dalam permainan video akan pasti meningkat. Tanpa berlengah-lengah, Zhang Yang menyimpan 1,000 kepingan emas untuk membeli herba dan menukarkan baki kepingan emasnya kepada dolar. Dia sebelum ini mempunyai lebih daripada 20,000 kepingan emas, namun selepas pertukaran dilakukan, dia 'jatuh miskin' dalam permainan video itu, tetapi jumlah deposit sebenar dalam akaun banknya meningkat ke 160,000 dalam hanya beberapa hari!
Zhang Yang berasa bersyukur. Jika dia tidak dilahirkan semula, dia tidak akan dapat memperolehi resepi [Perisai Tanah Bulat] itu, tetapi penukaran peralatan lama semakin pantas dilakukan terutamanya selepas Sarang Marzerway mula menjadi perhatian. Selepas perisai Perak Kelabu muncul nanti, [Perisai Tanah Bulat] akan menjadi lebih sukar untuk dijual walaupun pada harga 10 kepingan emas.
Sebab itulah ilmu pengetahuan sangat bernilai! Pengetahuannya pula ialah tentang apa yang terjadi pada masa depan dan itu lebih tinggi nilainya! Selagi dia boleh mengumpulkan lebih banyak herba dan bahan untuk menghasilkan [Posyen Anti Bayangan Pemula], dia akan memperolehi lebih peluang untuk menambah kekayaan apabila pemain mula mencapai Tahap 20 dan seterusnya menyerang Sarang Marzerway!
Zhang Yang memikirkan semua ini sambil dia tiba di Rumah Pahlawan dan dia mengambil keputusan untuk mempelajari kemahiran Tahap 20 yang baru daripada pengajar. Selepas membuat bayaran sebanyak 20 kepingan emas, dua kemahiran baru muncul dalam tetingkap kemahirannya.
[Pelumpuh Pertahanan]: Memusnahkan 10% nilai pertahanan sasaran. Menyebabkan 50% kerosakan jarak dekat pada sasaran. Kesan tindanan maksimum adalah 5. Berterusan selama 30 saat. Kemahiran ini akan menghasilkan sejumlah besar aggro.
Kos Rage: 10
Tempoh bertenang: 1 saat
Keperluan: Senjata jarak dekat.
[Serangan Petir]: Meminjam kuasa petir untuk menyebabkan serangan besar ke kawasan sekeliling dan menyebabkan 100% kerosakan fizikal kepada musuh di sekeliling. Sasaran yang terkesan akan mengalami 50% pengurangan kelajuan selama 5 saat. Kemahiran ini akan menghasilkan sejumlah besar aggro.
Kos Rage: 20
Tempoh bertenang: 8 saat
[Pelumpuh Pertahanan] satu kemahiran am yang dimiliki mana-mana pahlawan, tetapi [Serangan Petir] hanya boleh dipelajari oleh Pelindung. Kemahiran ini sama seperti [Belahan Tornado] yang juga merupakan kemahiran AoE dan hanya boleh diperolehi sesiapa daripada kelas Berserker.
Selepas beberapa ketika, Ratusan Tembakan, Si Salji, dan Drizzler log masuk. Zhang Yang membenarkan Drizzler mula-mula mempelawa Ratusan Tembakan dan kemudian ahli Asap Gurun Terpinggir yang lain untuk menyerang Makam Bangar dalam Mod Paling Sukar. Memandangkan Drizzler dan Si Salji telah mengetahui yang Ratusan Tembakan akan menyertai pasukan yang terdiri daripada lima orang itu untuk serangan esok hari, dia diberi keutamaan dalam pengagihan peralatan. Ahli Asap Gurun Terpinggir itu tidak berkata apa-apa, tetapi raut wajah mereka menunjukkan yang mereka tidak berpuas hati dengan aturan tersebut.
Kadangkala, pemain akan menjadi tamak. Selepas mereka berpuas hati dengan penyelesaian serangan hingga ke Mod Paling Sukar semalam, mereka fikirkan yang peralatan hasil rampasan hari ini akan menjadi milik mereka. Mereka pasti tidak akan menyerahkan peralatan itu kepada mana-mana orang asing. Keadaan antara mereka menjadi semakin tegang disebabkan itu. Mereka jarang berbual antara satu sama lain dan keadaan hanya menjadi meriah semasa balingan dadu untuk peralatan.
Sebelum Zhang Yang sempat memulakan pertarungan dengan bos terakhir, Han Gemuk melepasi perbualan langsung mereka untuk menghubunginya.
"Yang Kecil, aku diserang! Tolong aku, lawan bersama aku!"
"Apa yang terjadi ni? Kau disengat lebah sebab asyik bermain dengan terlalu banyak bunga ke?" Zhang Yang tertawa.
"Tak! Satu kumpulan daripada 'Megah' tiba-tiba serang aku tanpa apa-apa sebab! Tak guna, aku dah nak mati ni… Jahanam! Aku dah mati!" Han Gemuk merengus kemarahan.
'Persatuan 'Megah'? Mereka ni lagi?' Zhang Yang naik berang dan berkata, "Kau tunggu di situ dan jangan bangkit semula dulu. Sekarang juga aku datang!"
"Baik, tapi cepat sikit! Aku tak akan bertenang selagi aku tak dapat balas dendam. Aku nak bunuh mereka semua!" Naluri Han Gemuk untuk membunuh semakin membara.
Zhang Yang menukar saluran pasukan untuk memaklumkan keadaan kepada yang lain-lain, "Maaf. Ada hal terdesak, aku kena pergi dulu! Kau semua boleh tunggu atau tukar tank dan teruskan serangan dungeon!" Selepas dia menghantar pesanan tersebut, dia terus meninggalkan pasukan, mengoyakkan sekeping [Skrol Merentas Jarak] dan menghantar satu pelawaan menyertai pasukan kepada Han Gemuk.
"Zhan Yu, apa yang terjadi?" Drizzler menghantar pesanan peribadi kepadanya.
"Kawan aku yang gemuk tu, dibunuh orang. Aku nak ke sana dan bunuh mereka!"
Drizzler tiba-tiba menjadi teruja dan berkata, "Wah! Ada pertarungan! Aku nak ikut!"
Zhang Yang fikir jika mereka akan terus kekal sebagai satu pasukan nanti, mereka perlu lindungi satu sama lain, jadi dia juga menghantar pelawaan untuk menyertai pasukan kepada Drizzler.
"Untuk kakak sepupu aku juga!" Drizzler ingin mengajak Si Salji juga.
Ratusan Tembakan turut menghantar pesanan peribadi pada masa yang sama dan selepas mengetahui apa yang terjadi, dia juga mahu turut serta dalam pasukan tersebut. Jadi, pasukan tengahari tadi bersatu semula!
"Gemuk, kau di mana?"
"Bahagian Timur selepas jalan keluar bandar. Sungai Naga Jed, Posisi 12464, 39743."
"Ada berapa ramai di sana?"
"Lebih kurang 10 orang. Tak guna, aku turun satu tahap! Kumpulan bedebah!" Han Gemuk mengetap giginya. Dia kini di Tahap 20 dengan 0% Nilai Pengalaman dan terus jatuh daripada kedudukan pertama ke kedudukan kelima dalam papan kedudukan.
"Baik, tunggu di tubuh kau. Sekejap lagi kami sampai!"
Zhang Yang berjalan dengan lebih laju. Dia sejujurnya tidak berasa yang 10 orang itu satu ancaman buatnya. Dengan kemahiran dan peralatan yang dia telah perolehi setakat ini, dia boleh membunuh ratusan pemain dengan mudah! Zhang Yang akhirnya tiba di lokasi tersebut. Di tepi satu sungai besar, ada 10 pemain yang mengelilingi satu tubuh sambil meludah dan memijaknya. Ada yang mengatakan sesuatu, tetapi dia terlalu jauh untuk mendengarnya.
Mereka langsung tidak menyembunyikan maklumat profil peribadi dan mempunyai tag persatuan 'Megah' di atas kepala mereka dengan setiap seorang berada pada Tahap 13 hingga 15.
Zhang Yang meneliti kumpulan itu dan mengecam beberapa orang antara mereka! Seluar Pendek Berbunga, Nasihat Bermaruah, dan yang lain-lain daripada empat sekumpulan itu. Bulu Dada Berapi tiada di situ kerana mereka telah dibunuh dan terpaksa kembali ke Tahap 3 kerana mereka hanya berada pada Tahap 13 pada waktu itu.
Zhang Yang mengeluarkan Pedang Bersisik Perak miliknya dan matanya jelas menunjukkan naluri membunuh yang membara.