webnovel

Tolong Saya

Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Apa masalahnya? Adakah kamu bimbang yang saya tidak akan menunaikan janji saya selepas saya menerima wang kamu? Jangan bimbang, saya pasti akan lakukan apa yang telah saya persetujui." Huo Mian menerangkan dengan gelisah.

"Tidak, ini bukan salah kamu. Ini salah saya. Apa-apa pun…saya minta maaf. Saya sudah terlampau segan untuk berjumpa kamu lagi." Selepas bercakap, Wei Dong segera memutuskan panggilan tanpa memberi peluang kepada Huo Mian untuk membalas.

Dunia Huo Mian ranap. Dia memberikan segala dayanya untuk mendapatkan 300,000 yuan itu dan sekarang, semua usahanya sia-sia.

Dia benar-benar mahu menangis.

Namun, Zhixing masih menunggunya di dalam Bilik Bedah VIP.

Akhirnya, dia membuat keputusan yang dia boleh meminta pertolongan daripada media. Dia tidak kisah jika sesiapa mentertawakannya kerana dia perlu menyelamatkan nyawa Zhixing lebih daripada segalanya.

Sebaik sahaja dia mengambil telefon untuk mencari maklumat bagi menghubungi media, dia menerima panggilan daripada hospital.

"Kamu perlu datang sekarang. Adik kamu sedang tenat."

"Baik, saya akan ke sana dengan segera."

-Setengah jam kemudian. Di luar bilik VIP Hospital Pertama-

"Situasi sekarang benar-benar mendesak. Masa untuk pesakit itu tidak boleh dilengah-lengahkan lagi. Saya cadangkan kita lakukan pembedahan itu sekarang. Tetapi, saya tidak berapa yakin dengannya. Huo Mian, pengarah cakap kamu kenal Doktor Qin? Saya cadangkan kamu minta dia jalankan pembedahan ini. Lebih baik jika dia yang lakukan. Lagipun, kamu tidak mahu melihat sebarang kesan sampingan selepas pembedahan bukan? Ini soal antara hidup dan mati. Apa kata kamu?"

"Biar saya fikirkan tentang ini."

"Tidak ada masa untuk berfikir. Pendarahan serebrum pesakit masih berterusan. Jika kita melengahkan masa, otaknya akan mati."

"Okey, tunggu saya. Saya akan kembali."

Akhirnya, sayang Huo Mian pada Zhixing mengalahkan semua perkara lain. Dia tidak kisah jika Qin Chu mengejeknya atau membuat dia berasa tidak selesa.

Tidak kira apa pun, dia perlu mencuba…demi adiknya yang tersayang.

-Ibu Pejabat GK-

"Encik Qin, ada wanita di luar mahu berjumpa kamu. Nama keluarganya adalah Huo." Meja menyambut tetamu menelefon.

"Izinkan dia masuk." Huo Mian ialah satu-satunya individu yang dikenali Qin Chu dengan nama keluarga 'Huo' yang akan melawatnya pada waktu ini.

-Lima minit kemudian-

Huo Mian mengetuk pintu pejabat Qin Chu.

"Masuk."

Huo Mian menolak pintu itu dan berjalan masuk ke dalam. Qin Chu berdiri menghadap cermin, matanya sarat dengan kelembutan ketika dia berpusing.

Mungkin hanya Huo Mian satu-satunya manusia yang pernah menyaksikan pandangan mata Qin Chu yang begitu lembut.

"Kamu sudah datang?"

"Saya perlu bercakap dengan kamu. Ini satu kecemasan."

"Beritahu saya."

Selepas beberapa detik teragak-agak, Huo Mian memandang Qin Chu sambil perlahan-lahan membuka mulutnya. "Adik lelaki saya terlibat dalam kemalangan dan sedang menerima rawatan kecemasan di hospital. Dia mengalami pendarahan serebrum dan pembedahan untuk merawatnya sangat rumit. Pembedahan kedua diperlukan dan tiada doktor di hospital itu yang cukup yakin untuk melakukannya. Pengarah bercakap dengan saya dan dia mencadangkan kamu menjadi doktor utama untuk pembedahan ini, dan…" Suara Huo Mian mula bergetar.

"Teruskan." Qin Chu merenungnya semasa dia bercakap.

"Dan, kos pembedahan itu ialah 300,000 yuan. Jika kamu jalankan pembedahan itu sekalipun, saya masih perlu membayar semua bekalan dan peralatan perubatan. Saya tidak ada wang. Bolehkah kamu pinjamkan saya sedikit wang?"

Huo Mian menggigit bibirnya. Dia membuat dua permintaan ini dengan sukar.

Dia sangkakan Qin Chu akan mengejeknya dan menjadikannya bahan lawak atau memaksa dia merayu.

Lagipun, dia yang meninggalkan Qin Chu tujuh tahun lalu dan mengumumkan bahawa mereka hanyalah teman sekelas pada Hari Graduasi di hadapan seluruh sekolah. Hal ini melukakan hati Qin Chu. Itulah sebabnya dia ke luar negara.

Dia sangkakan Qin Chu akan menggunakan peluang ini untuk membalas dendam.

Namun, selepas mendengar semuanya, Qin Chu hanya berkata, "Baik, tiada masalah."

"Betulkah?" Huo Mian merasakan hal itu sukar untuk dipercayai.

Sebenarnya, Qin Chu sudah mengetahui apa yang berlaku pada adik Huo Mian. Huo Mian tidak tahu bahawa Qin Chu sudah memerhatikan setiap gerak gerinya dan selepas Liu Siying menghantar mesej WeChat itu kepadanya, dia menyiasat sejarah hubungan Huo Mian dan Wei Dong. Itulah sebabnya dia mengeluarkan waran maut kepada Syarikat Kerja Besi Jaya. Oleh itu, Qin Chu tidak terkejut apabila Huo Mian memberitahunya situasi itu. Sebaliknya, dia menganggap ini satu peluang.

"Saya sendiri boleh menjalankan pembedahan adik kamu dan memberi kamu 300,000 yuan. Tetapi…" Qin Chu berhenti tiba-tiba.

Huo Mian berasa sedikit kecewa. Dia tahu Qin Chu mempunyai syaratnya dan tidak akan menolongnya tanpa sebab.

"Kahwin dengan saya."

"Apa?" Huo Mian terkejut.

Adakah dia benar-benar menyebut isu perkahwinan pada masa kritikal seperti ini?

"Kahwin dengan saya dan saya akan tolong kamu. Atau, benda ini tidak akan jadi." Qin Chu nekad.

Chapitre suivant