webnovel

Siasatan

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Huo Mian tidak ingat bagaimana dia kembali ke rumah. Dia duduk berseorangan di dalam gelap untuk jangka masa yang agak lama. Kejadian yang baru berlaku sebentar tadi begitu tidak masuk akal sehinggakan dia merasa perkara itu seolah-olah sebuah mimpi. Kesakitan yang masih membekas pada pipinya adalah kesan tapak tangan yang ditinggalkan oleh Ning Zhiyuan.

Mereka sudah mengenali satu sama lain semenjak kolej. Ning Zhiyuan cuba memikatnya buat masa yang lama. Selepas dia mempertimbangkan perkara tersebut dengan teliti, barulah Huo Mian membuat keputusan untuk berpasangan dengan Ning Zhiyuan. Lelaki itu tidaklah luar biasa, tetapi dia telah melayan Huo Mian dengan begitu baik sekali. Huo Mian menyangkakan yang dia akan terus melayari kehidupan biasa sebegini sehingga ke akhir hayat.

Dia langsung tidak menjangkakan perkara begini akan berlaku di saat-saat kritikal. Kepulangan Qin Chu nampaknya telah menggoncangkan semua perkara menjadi kucar-kacir.

Selepas seketika, apabila Huo Mian kembali bertenang dan fokus, dia memeriksa telefon bimbitnya. Dia mempunyai lebih daripada sedozen panggilan yang tidak diangkat. Semuanya daripada Zhu Lingling.

WeChatnya juga mempunyai tiga pesanan teks yang belum dibaca.

"Mian, kenapa kamu tidak mengangkat panggilan telefon?"

"Mian, Qin Chu pergi sejurus kamu beredar. Apa yang berlaku dengan kamu berdua? Adakah dia cuba berbaik dengan kamu?"

"Mian, cakaplah sesuatu. Kamu okey kah?"

Huo Mian mempunyai beribu perkataan yang ingin diungkapnya tetapi dengan keadaannya yang kehilangan semangat itu, dia tiada keinginan untuk bercakap.

Selepas berfikir seketika, dia membalas pesanan tersebut.

"Saya penat sedikit hari ini. Saya akan ceritakan pada kamu apabila kita jumpa lagi. Saya okey, jangan bimbangkan saya."

Zhu Lingling membalas beberapa saat kemudian.

"Okey, asalkan saya tahu kamu tidak apa-apa. Mian, saya harap kamu faham yang lambat-laun, kamu terpaksa juga menghadapi beberapa perkara."

Tiada orang lain yang mengetahui apa yang berlaku antara Huo Mian dan Qin Chu melainkan Zhu Lingling.

Sebagai kawan baik Huo Mian sepanjang sekolah tinggi, Zhu Lingling menjadi saksi percintaan penuh keasyikan antara dia dan Qin Chu.

Malangnya, mereka memilih haluan masing-masing selepas kejadian tersebut.

Huo Mian mengambil telefonnya sekali lagi dan mendail nombor Ning Zhiyuan. Tetapi, telefonnya sudah dimatikan.

Dia tahu, di mata Ning Zhiyuan, kejadian ini terlampau tiba-tiba dan teramat kejam.

Ini adalah masa lalu Huo Mian, tetapi dia yang terpaksa menerima balasan. Siapakah yang patut disalahkan?

Dalam kegelapan, Huo Mian menghela nafas lembut. Dia tahu sesetengah perkara tidak dapat disimpan selama-lamanya. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan.

Di pinggir bandar, kawasan orang kelas atasan-

Audi R8 berwarna perak itu perlahan-lahan berpusing masuk ke halaman rumah agam yang tersergam. Seramai sedozen atau lebih pengawal keselamatan tunduk hormat pada keretanya.

Dengan bunyi brek perlahan, kereta itu berhenti di hadapan pintu rumah agam tersebut. Qin Chu melangkah keluar daripada kenderaan tersebut tanpa sebarang riak di wajahnya. Dia membuka pintu dan berjalan masuk.

Puan Qin segera berdiri sambil tersenyum dan berkata, "Chu, kamu dah balik. Ayah kamu dan mak sudah lama menunggu kamu untuk makan malam. Cepat, pergi basuh tangan kamu."

Qin Chu tidak memberi sebarang tindak balas. Sebaliknya, dia berjalan terus ke ruang makan dan duduk di sebelah ayahnya, Qin Yumin. Dia merenung ayahnya dengan emosi yang bercampur-baur.

"Ayah, saya ada sesuatu untuk tanya pada ayah."

"Apa perkaranya?" Qin Yumin yang perasan akan renungan kurang mesra anaknya itu mula berasa kurang senang.

"Dahulu, untuk memastikan saya dan Huo Mian berpisah, apa yang ayah dan mak buat pada keluarganya?"

Sebaik sahaja Qin Chu menghabiskan kata-katanya, reaksi kedua-dua Qin Yumin dan Puan Qin berubah dengan mendadak.

"Chu, apa yang kamu cakapkan?" Puan Qin senyum dengan kekok.

Qin Chu tidak membalas dan terus merenung ayahnya, mencari sebarang jawapan di wajah itu.

Qin Chu berada di luar negara tujuh tahun yang lalu dan tidak pernah pulang setakat ini. Dia tidak tahu apa yang berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Namun, sebentar tadi dia dapat mengesan nada Huo Mian yang penuh kebencian.

Dia cukup pandai untuk mengagak bahawa ibu bapanya ada melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap keluarga Huo Mian.

Qin Yumin berasa sangat tidak selesa dengan renungan anaknya sendiri.

Seminit kemudian, Qin Yumin menundukkan matanya. Balasannya seolah-olah cubaan untuk mengelak isu tersebut.

"Benda sudah lama berlaku, kenapa kamu mahu bangkitkan lagi?"

Chapitre suivant