webnovel

Keresahan

Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Oh tuhanku, benarkah apa yang saya lihat ini? Lelaki itu... adakah itu Qin Chu?" Bunyi jeritan terperanjat dari seorang gadis kedengaran. Ia mencuri perhatian semua orang dan mengalihkan rasa terkejut yang turut mereka alami.

"Qin Chu… itu benar-benar adalah Qin Chu," seorang lagi gadis mengulang kata-kata tersebut.

Huo Mian sangat terkejut apabila melihat bayangan lelaki tersebut di pintu. Dia kelihatan lebih menawan pada hari ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sinaran yang terpancar dari tubuhnya membuatkan dia mustahil untuk diabaikan. Dia setinggi 185 centimeter, berbaju dan berseluar hitam. Dia kelihatan sungguh memukau dengan pemakaiannya yang ringkas dan rambut pendek. Pipinya yang terpahat, hidungnya yang tajam, bibirnya yang nipis dan matanya yang menggoda telah muncul di dalam mimpi Huo Mian berkali-kali. 

Dia tergamam melihatkan kemunculan lelaki itu di depan matanya. Di saat itu, dia terasa seakan-akan jantungnya hendak melompat keluar.

"Mian, baru sahaja cakap, dia sudahpun terpacul. Situasi ini sudah seperti drama televisyen," Kata Zhu Lingling kepada Huo Mian selepas dia sendiri pulih dari kejutan. Dia menggosok lengan Huo Mian dengan lembut.

Tetapi Huo Mian tidak menjawab langsung. Pandangan dan fikirannya tidak berganjak daripada Qin Chu.

Penampilan lelaki tersebut sedikitpun tidak berubah selepas tujuh tahun, cuma dia nampak lebih matang. Hujung bibirnya membentuk sebuah senyuman ringkas, ini berbeza dengan Qin Chu yang dahulunya lebih dingin dan tidak akan menunjukkan ekspresi seperti itu. Adakah dia sudah berubah, ataupun hanya masa yang berlalu menyebabkan ini berlaku?

 

Qin Chu melihat di sekeliling bilik, tetapi pandangan mata lelaki itu tidak sedikitpun perasan akan kewujudan Huo Mian. Dia dilayan sama sahaja dengan semua rakan sekelasnya yang lain. Perasaan kecewa menyerang hati Huo Mian.

"Sudah terlalu lama," Kata Qin Chu setelah selesai melihat keseluruhan bilik tersebut.

 

"Ya Tuhanku, oh sayang, adakah kamu benar-benar telah kembali? Adakah saya bermimpi? Ke manakah kamu pergi selama ini?" Liu Siying bertanya dengan girang sambil menuju ke arah Qin Chu.

 

Semua orang tahu bahawa Liu Siying sangat menggilakan Qin Chu sewaktu zaman persekolahan. Inilah sebabnya dia tidak bercakap dengan Huo Main walau sekali pun sewaktu zaman tersebut. Dia menganggap Huo Mian sebagai musuh ketatnya, dan permusuhan itu tetap tidak berubah tujuh tahun kemudian. Apabila melihat akan kemunculan Qin Chu, dia tidak menahan dirinya dan menerpa seperti anjing kelaparan mengejar tulang.

Gadis-gadis lain turut serta mengerumuni Qin Chu, kerana semuanya menyukai lelaki idaman sepertinya.

"Saya belajar di Amerika Syarikat sepanjang masa ini," Qin Chu berkata dengan tenang untuk menjawab pertanyaan semua orang.

Sudah tujuh tahun Qin Chu menghilangkan diri. Tiada siapa mengetahui ke mana dia pergi, termasuklah kekasihnya sewaktu zaman persekolahan, Huo Mian.

 

Pada detik itu, presiden kelas, Han Xu melangkah ke arahnya dengan senyuman dan berkata, "Baguslah kamu sudah pulang. Nampaknya kita sudah hampir mengumpulkan seluruh kelas. Mari, Puan Yao, marilah duduk. Kita boleh berbual sambil makan."

 

Qin Chu membantu Puan Yao duduk di kerusi utama sebelum dia sendiri duduk di kerusi sebelah kanan guru tersebut. Baru sahaja Han Xu hendak duduk di kerusi sebelah kiri, dia terdengar Puan Yao memanggil nama Huo Mian.

 

"Ya, Puan Yao?" Jawab Huo Main sambil berdiri.

"Mari duduk di sebelah saya." Puan Yao memanggilnya ke mari.

Han Xu terasa malu. Nasib baik dia sempat untuk memulihkan dirinya dan segera berkata "Mari sini, Mian. Sudah lama cikgu tidak bertemu kamu. Duduklah di sini dan berbual!"

Huo Mian mengangguk dan berjalan menghampiri, sungguhpun dia tidak rela berbuat demikian.

Dengan setiap langkah, hatinya berdegup lebih kencang. Dia semakin menghampiri Qin Chu...

Mungkin dia terlalu cemas, kerana baru sahaja dia duduk, dia terlanggar gelas wain dan ia jatuh berderai di atas lantai.

Chapitre suivant