webnovel

Kebingungan

Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Abang Wang, saya sudah periksa secara diam-diam dan bertanya pada beberapa pengikut di dalam Sekta ini. Saya rasa saya tidak tertinggal apa-apa." Pemuda ini juga masyhur di dalam Sekta Reliance, tetapi di hadapan Wang Tengfei, dia merendahkan diri sepenuhnya. Dia tidak pernah melihat Wang Tengfei begini jadi dia sedikit teragak-agak. Dia mula bercakap dengan tunduk hormat. "Malah saya sudah melihat-lihat di sekeliling Penempatan Hamba dan bertanya pada Zhou Kai, Han Zong dan beberapa orang yang lain. Pada ketika itu, ada tiga puluh tujuh orang yang tidak berada di dalam Sekta ini. Daripada tiga puluh tujuh orang itu, saya keluarkan dua puluh sembilan orang daripada senarai yang disyaki. Di kalangan nama yang tinggal, ada enam orang yang tiada bukti menunjukkan mereka berada di gunung hitam. Hanya dua orang sahaja yang pasti berada di sana. Meng Hao dan Han Zong."

Wang Tengfei kelihatan lebih marah lagi. Dia membeliakkan matanya sehingga menyebabkan hati pemuda itu menjadi kecut. Pemuda itu menundukkan kepalanya dengan gementar.

"Han Zong juga berada di gunung hitam itu... Meng Hao?" Wang Tengfei berkerut. Dia macam pernah dengar nama Meng Hao.

"Meng Hao... Orang yang cederakan Abang Lu," sampuk pemuda itu dengan pantas.

Wajah Wang Tengfei semakin bengis dan hatinya terbakar. Dia sudah merancang selama bertahun-tahun dan menghabiskan banyak sumber. Selama ini, dia yakin segalanya akan berjalan lancar sebelum ia bermula. Ini satu kemenangan agung bagi dirinya. Sesuatu yang dia boleh bawa pulang untuk memajukan puaknya. Tetapi, kemenangan ini telah dirampas daripadanya. Wajahnya berkerut kesakitan ketika dia teringat tentang pedang itu. Itu alat yang dia mahu gunakan untuk mengingkari langit dan bumi. Ketika dia teringatkan tentang Warisan Naga Hujan Bersayap, hatinya turut menangis.

Sebelum hari ini, dia sangat berkeyakinan dan amat pasti dengan kejayaannya. Semuanya milik dia dan itu tuahnya. Hanya dia yang layak untuk menerima tuah sebegitu. Namun, dia menghadapi kekalahan yang tidak dijangka. Satu pukulan yang dia tidak pernah terfikir akan terima. Dia sangat sukar untuk menerima hakikat ini, seolah-olah peristiwa menyayat hati ini tidak benar-benar berlaku.

Dengan helaan nafas yang sedalam-dalamnya, Wang Tengfei membuka mulut untuk bercakap, tetapi tiba-tiba dia menggigil akibat rasa sakit terbakar di tangan kanannya. Dia melipat lengan bajunya dan melihat tangannya. Titisan Darah kelihatan lenyap perlahan-lahan. Dia hanya mampu melihat Titisan Darah ini menghilang. Setelah lenyap sepenuhnya, ketampanan wajah Wang Tengfei bertukar menjadi kemarahan dan kekalahan. Warisan itu telah tiada. Dia terbatuk sehingga keluar sedikit darah.

Dia tahu pada saat ini, orang yang merampas khazanahnya kini telah berhubung sepenuhnya dengan Warisan itu. Dia tidak akan boleh menggunakan Titisan Darah lagi untuk mengesan apa-apa kerana Warisan itu telah pun memilih orang lain.

Sewaktu pemuda di hadapan Wang Tengfei melihat perkara ini berlaku, dia menjadi takut. Dia baru sahaja mahu melangkah ke hadapan, tiba-tiba Wang Tengfei mengangkat kepalanya dan menjerit, "Berambus!"

Suara lantang Wang Tengfei bergema dan wajah pemuda itu menjadi pucat. Dia tidak pernah melihat begitu banyak riak wajah berbeza saling bertukar-tukar di muka Wang Tengfei. Tubuhnya menjadi sejuk dan dia terus berlalu pergi.

Di dalam Gua Dewa, mata Wang Tengfei bertukar menjadi merah dan mindanya bergelora memikirkan Han Zong dan Meng Hao. Dia asyik terfikirkan sewaktu dia memandang hina pada semut-semut di dalam medan itu.

Wajahnya berkerut dan semakin muram. Dia teringat sewaktu Titisan Darah tidak mampu mengesan warisan itu dan telah dilenyapkan oleh pihak lawannya. Tidak kira sama ada Han Zong atau Meng Hao, kedua-duanya tidak sepatutnya mampu untuk melakukannya.

"Siapa kau sebenarnya?" Matanya merah. Dia menepuk beg saktinya dan satu pancaran cahaya perak muncul kemudian bergabung menjadi sebuah alat jampi segi lapan berwarna perak yang terapung di hadapannya.

Dia merenung alat itu untuk beberapa ketika, kemudian dia bertekad untuk membuat sesuatu. Ini alat jampi yang dia sediakan untuk satu daripada gunung-ganang di sekitar gunung hitam. Setelah digunakan, alat inimemerlukan beberapa jam untuk pulih semula sebelum boleh digunakan kembali.

Dia sudah memutuskan untuk menghidupkan alat jampi itu dan walaupun dia boleh tercedera, dia akan menggunakan mata ketiganya untuk menilik orang yang berada di kawasan gunung hitam itu tempoh hari.

Wang Tengfei menggigit hujung lidahnya dan meludahkan sedikit darah sambil melihat alat jampi perak di hadapannya. Sewaktu darah itu terkena pada alat jampi itu, jari-jemarinya meliang-liuk dalam satu corak bacaan mantera dan tiba-tiba telinganya berdengung dan kesedarannya mula bergetar. Di dalam perasaan yang asing ini, tiba-tiba dia dapat mengesan beberapa aura yang memancar dalam bentuk gelombang.

"Satu, dua... sembilan orang yang aku panggil untuk bantu aku dan ini aura mereka..." Wajah Wang Tengfei menjadi pucat. Alat jampi di hadapannya mula bergegar dan permukaannya retak. Tetapi dia tidak menyerah kalah dan terus menggunakan mata ketiganya.

Garisan bentuk kabur mula muncul di dalam mindanya yang dipenuhi dengan beberapa titik cahaya. Dia kenal sepuluh titik cahaya itu dan satu lagi milik Meng Hao.

Di samping itu, terdapat satu lagi cahaya. Wang Tengfei menumpukan perhatiannya untuk seketika waktu dan kemudian dia pasti itu Han Zong. Malangnya alat jampi itu hanya boleh menyimpan maklumat orang yang berada di kawasan tujuh atau lapan gunung di sekeliling gunung hitam itu dan bukan kedudukan mereka dengan tepat.

Dahi Wang Tengfei berkerut dan tiba-tiba dia terperasan garis bentuk di dalam kepalanya mengandungi satu lagi cahaya!

Cahay ini lemah dan jika dia tidak memerhatikan dengan teliti, dia pasti terlepas pandang. Jika dia tidak menggunakan alat jampi itu sehingga ke keupayaannya yang maksimum, dia tidak akan dapat mengesannya.

"Ini..." Hatinya gementar dan dia cuba untuk menumpukan perhatian lagi. Tetapi sewaktu berbuat demikian, tubuhnya menggeletar dan dia batuk darah. Alat jampi itu berkecai. Serpihan alat itu tercampak mengenai dia dan dinding Gua Dewa itu.

Wajahnya pucat. Dia membatukkan lebih banyak darah lagi dan kelihatan sangat takut. Sewaktu dia mengesan cahaya terakhir itu, mindanya mula menggigil seolah-olah pemilik cahaya itu boleh membunuhnya hanya dengan melalui niat.

Alat jampi itu hanya boleh memberi dia jangkaan mengikut tahap aura dan bukan asas Pertapaan sasaran itu. Tetapi tahap aura itu mengakibatkan reaksi sebegitu rupa, membuatkannya menjadi sangat takut.

"Siapa itu tadi?" Wang Tengfei tertanya-tanya sambil menggeletar. Ketakutannya membuatkan dia pasti orang yang menakutkan ini seseorang yang boleh merampas deria Titisan Darahnya dengan sangat mudah.

Hatinya membeku. Dia mengangkat kepalanya dan menarik nafas panjang. Setelah beberapa ketika, dia mula bertenang. Tetapi memori tentang cahaya samar itu telah menekan dia dengan beban seberat gunung.

"Macam mana orang ini tahu tentang hal gunung hitam ini...? Mungkinkah mereka telah mengekori aku sewaktu pencarianku...? Siapakah dia?"

***

Waktu berlalu dan akhirnya mimpi itu tamat. Meng Hao membuka matanya dan tidak pasti sudah berapa hari telah berlalu. Dia juga tidak tahu bagaimana asas Pertapaannya berubah. Dia berasa seolah-olah telah bermimpi untuk satu tempoh yang lama.

Sewaktu mimpi itu berakhir, Meng Hao merasakan seperti dia mempunyai lebih banyak memori berbanding sebelumnya. Memori yang samar-samar dan sudah lama berlalu serta tidak dapat diingat semula. Tetapi keinginan untuk terbang di angkasa masih terpahat kuat di dalam mindanya.

Dia pasti jika satu hari nanti dia benar-benar terbang di angkasa, sewaktu itulah memori di dalam kepalanya akan menjadi jelas.

Setelah beberapa ketika, Meng Hao menarik nafas dan pandangannya perlahan-lahan kembali seperti biasa. Dia merasai asas Pertapaannya setelah derianya kembali, dan dia terhenti sambil terpinga-pinga.

"Peringkat keenam Pemekatan Qi?" Matanya bersinar ganas dan setelah memeriksa dengan teliti asas Pertapaannya, dia hampir jadi gila kerana terlalu seronok. Dia dapat merasai tasik Teras yang agung dan Teras Syaitan terapung di dalamnya. Perasaan kagum mula menguasai dirinya.

"Aku sebenarnya sudah capai... peringkat keenam Pemekatan Qi!" Dia berdiri sambil mengangguk dan kemudian ketawa sekuat hatinya. Gelak tawanya bergema di seluruh Gua Dewa.

Dia kembali duduk bersila dengan rasa teruja, memejamkan matanya dan membuka mata ketiganya. Dia merasakan seolah-olah dapat mengesan semua benda di sekitarnya dengan sangat terperinci. Malah, tiba-tiba dia terdengar suara Si Gempal di luar.

"Meng Hao, awak disumpah dengan nasib malang. Awak makan pil itu, tetapi saya tidak mahu benda itu mengapa-apakan awak. Tolong jangan datang menghantui saya...

"Malangnya nasib saya. Sebenarnya saya lebih teruk disumpah daripada awak. Awak tahu tidak yang perniagaan kita sudah tiada? Perniagaan kita telah dicuri." Si Gempal bertinggung di luar Gua Dewa di hadapan unggun api kecil. Wajahnya berkerut kesedihan sewaktu membakar wang kertas kuning.

"Meng Hao, apabila awak sudah jadi roh, awak perlu kembali bantu saya. Lihatlah betapa banyaknya kertas saya bakar untuk awak." Air mata bercucuran di wajahnya sambil dia teruskan membakar wang kertas itu, menangis dan merintih.

"Awak datang daripada keluarga yang miskin, tetapi jangan risau, saya, Si Gempal, akan menjaga awak. Saya akan datang bakar kertas untuk awak setiap hari supaya dalam kehidupan awak seterusnya awak akan mampu membeli sebuah rumah dan berkahwin. Akhirnya awak dapat capai matlamat awak untuk jadi kaya.

"Oh, Meng Hao, kenapa awak sanggup tinggalkan saya begini..." Rintihan Si Gempal menjadi semakin kuat seperti dia benar-benar patah hati.

Setelah mendengar semua ini, wajah Meng Hao menjadi pelik. Dia membuka matanya. Ini kali pertama ada orang membakar kertas kuning untuk rohnya dan dia tidak pasti sama ada mahu ketawa atau menangis. Dia berdiri dan menolak pintu utama itu dengan bunyi keriang-keriut yang panjang, kemudian keluar dari sana.

Sebaik sahaja dia melangkah keluar, raungan kuat Si Gempal tadi tiba-tiba terhenti dan dia mendongak dengan kehairanan. Dia menegakkan dirinya dan matanya kelihatan takut. Kemudian dia dapat mengecam Meng Hao. Lantas dia terlompat dan ternganga.

Meng Hao melihat Si Gempal dengan pelik. Kemudian dia terbatuk kecil dan berjalan menuju ke anak sungai berhampiran untuk membersihkan dirinya. Dia tidak pernah sebegini kotor sepanjang hidupnya. Setelah selesai membersihkan diri, dia memakai jubah hijau yang bersih dan menggunakan sebilah pedang terbang untuk merapikan rambutnya. Kini, dia rasa seperti dirinya yang dahulu. Dia berpaling dan senyum pada Si Gempal.

Chapitre suivant