webnovel

Kamu Layak dengan Harga Ini…

Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Bukan…" Yu Lili berasa agak malu dan tersenyum. "Saya buat kerja sampingan."

"Hebat!" Li memandang Yu Lili kemudian mengeluh. "Pasti sukar. Saya lihat tangan kamu dah jadi kasar. Sebelum ni ia putih dan lembut." Kemudian dia cuba memegang tangan Yu Lili, namun Yu Lili segera menarik tangannya menjauhi lelaki itu.

Yu Lili tersenyum janggal. "Bos, Bos nak beli bunga untuk isteri?"

"Ya, ulang tahun perkahwinan. Selalu kena buat sesuatu." Li tersenyum dan matanya dikecilkan. "Kamu dah sembuh? Boleh datang kerja selepas cuti berakhir?"

"Ya… ya, kerja sampingan ini hanya sepanjang cuti. Bila dah habis cuti, saya akan kembali ke pejabat."

"Hebat. Baguslah kamu rajin. Selepas kamu kembali bekerja, saya akan beri penerangan tentang jawatan baru kamu."

Yu Lili mengangguk dan tersenyum. Dia membungkus bunga-bunga yang ditempah oleh Tuan Li dan menghulurkannya kepadanya. "Dah siap, Tuan Li."

"Terima kasih, terima kasih!" Li mengambil bunga itu dan menyentuh belakang tangan Yu Lili, entah sengaja atau tidak. Senyuman di wajahnya bertambah lebar. "Berapa?" 

Yu Lili tidak begitu memikirkannya. "Enam ratus."

Li mengangguk lalu mengeluarkan dompetnya. Selepas mengira enam keping wang kertas, dia memberikan Yu Lili 300 dolar lagi. "Dibungkus dengan kemas. Ini tip untuk kamu." 

"Tuan Li, ini…"

Senyuman Li bertambah lebar, tetapi kemudian dia berkata, "Ini cuma tip. Biasalah pelanggan akan beri tip. Kamu pandang rendah pada saya?"

"Bukan, cuma saya fikir ini terlalu banyak…" Yu Lili cuba menyerahkan wang lebihan itu kembali.

Walau bagaimanapun, Li memegang tangan Yu Lili dan menolaknya ke belakang. Dia berkata, "Kamu layak dengan harga ini."

Yu Lili tidak sempat memikirkan tentangnya ketika Tuan Li keluar sambil membawa bunganya.

Kamu layak dengan harga ini…

Yu Lili merasakan ayat itu agak pelik dan menoleh ke arah pemilik kedai. Pemilik itu turut memandang Tuan Li dengan riak wajah curiga dan bertanya, "Siapa itu?"

"Bos saya di pejabat. Kak Qin, ini wang yang dia bayar untuk bunga-bunga itu. Kita bahagikan tip ni ya?"

"Bagi Akak 600, tip itu untuk kamu jadi kamu simpan saja. Bukan mudah untuk hidup seorang diri sebagai wanita. Tapi sebagai orang yang lebih tua, Akak nak ingatkan kamu supaya berhati-hati. Nampak macam lelaki itu sukakan kamu. Disebabkan dia dah berkahwin, kamu perlu jauhkan diri daripada dia."

"Dah tentu." Yu Lili tersenyum dan menyimpan wangnya. Kemudian dia berbisik, "Dia itu sangat tua. Kalau saya nak cari, saya akan cari lelaki yang tinggi, kaya dan kacak!"

Kak Qin ketawa kecil. "Hei, tak semestinya perlu cari lelaki yang tinggi, kaya dan kacak. Asalkan dia layan kamu dengan baik. Tengoklah diri kamu. Orang secantik kamu pasti mudah untuk dapat teman lelaki."

Yu Lili gembira dan mengangguk. "Kan!"

"Marilah datang tolong Akak pada hujung minggu juga selepas ni. Kerja ni terlalu berat untuk Akak seorang. Lebih-lebih lagi waktu cuti, sangat memenatkan. Lagipun dengan adanya wanita cantik di sini, perniagaan Akak bertambah baik. Kalau kamu datang bantu lagi lain kali, Akak beri kamu tambahan gaji. Bagaimana?"

"Oh… tapi saya baru saja dinaikkan pangkat dan pasti sibuk dengan kerja. Kak Qin, kalau hujung minggu saya ada masa saya akan datang bantu Akak. Tentang gaji, nanti kita bincang, okey?"

Chapitre suivant