webnovel

Bahaya Menghampiri

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Dia ialah Bo Xiao. Bo Xiao mempunyai ketinggian yang sama seperti Li Sicheng, malah dia kelihatan lebih tegap.

Bo Xiao memakai jaket kasual berwarna hijau askar bersama kerongsang yang bergaya di bahagian kiri. Rambut kerintingnya telah diwarnakan kepada warna kuning coklat. Dia keluar dari keretanya lalu menyapa mereka dengan senyuman yang elegan dan sopan. "Lama tak jumpa, Encik Li, Puan Li. Tak sangka jumpa kamu berdua di sini."

Su Qianci merenung lelaki itu. Gaya dan suaranya jelas seperti seorang lelaki sejati. Tetapi samar-samar Su Qianci teringat tentang seorang lelaki yang ganas dan biadap. Su Qianci terkaku seketika.

Rong Anna berlari keluar dari rumahnya dengan tercungap-cungap dan menghampiri Bo Xiao. "Xiao, Mama dan Papa saya bergaduh lagi. Mari masuk dan cuba bercakap dengan mereka."

Bo Xiao kelihatan berat hati. "Oh, apa yang kita boleh lakukan. Penat betul."

"Mari masuk sebelum ia jadi lebih ganas."

Bo Xiao mencampakkan kaca matanya ke dalam kereta sebelum menutup pintu. Dia mengangguk kepada Li Sicheng dan Su Qianci sambil berkata, "Minta diri dulu." Kemudian dia terus masuk ke dalam rumah itu bersama Rong Anna. Walaupun sedang tergesa-gesa, langkah Bo Xiao masih kemas dan teratur. Ia menunjukkan kebiasaan baik yang memerlukan pemupukan selama beberapa tahun. Orang biasa tidak akan dapat berpura-pura berkelakuan seperti itu.

Selepas Bo Xiao dan Rong Anna masuk ke dalam rumah, Li Sicheng bertanya perlahan, "Apa yang berlaku tadi?"

Su Qianci menoleh ke arah suaminya lalu menggeleng perlahan. "Tak ada apa-apa, sekadar ilusi."

"Apa yang kamu nampak?"

"Mari kita balik dulu, saya akan ceritakan kemudian. Saya mengantuk."

"Okey." Li Sicheng memegang tangan Su Qianci dan berjalan keluar ke jalan utama.

Sebaik sahaja tiba di bilik hotel, Su Qianci terus menanggalkan pakaiannya lalu berbaring di atas katil. Selepas berfikir agak lama, dia berkata, "Sayang, saya rasa…" Kemudian dia tersedar Li Sicheng sudah tiada di situ.

"Sayang?" Su Qianci bangun dari katil dan berjalan ke ruang tamu tanpa memakai selipar. Cuaca pada hari ini kelihatan baik. Matahari bersinar terang dan cahayanya menembusi tingkap besar bilik mereka dan membuatkan bilik itu terasa hangat.

Li Sicheng sedang duduk di sofa sambil menaip sesuatu di laptop yang dibawanya. Kelihatan kod-kod yang langsung tidak difahami Su Qianci terpapar pada skrin laptop itu sambil jari Li Sicheng menari-nari di atas papan kekuncinya.

Su Qianci mahu memeranjatkan Li Sicheng dari belakang. Dia berjinjing dan berjalan dengan sangat perlahan… Kemudian dia berjalan semakin laju. Ketika tangannya baru sahaja menyentuh bahu Li Sicheng, pada masa yang sama kedengaran bunyi kaca pecah yang sangat kuat.

Prang!

Tv di ruang tamu itu meletup dan menghasilkan bunyi yang kuat. Su Qianci memandang TV itu dengan sangat terkejut. Li Sicheng menoleh dan melihat satu lubang berasap di tengah-tengah skrin TV yang telah pecah itu. Itu ialah… kesan tembakan!

Jantung Li Sicheng seakan hampir meletup. Dia terus merebahkan Su Qianci ke lantai sambil memeluk isterinya itu dengan erat dan berguling ke tepi.

Pang!

Satu lubang lain muncul di belakang meja. Jika ia terkena tubuh manusia…

Su Qianci menjerit dan menggeletar. Li Sicheng mengambil sesuatu dan menggunakannya sebagai pelindung, kemudian menarik isterinya dan menjerit, "Ikut saya!" Mujurlah mereka tidak jauh daripada pintu. Li Sicheng melindungi Su Qianci sambil membawanya ke pintu masuk lalu terus menekan butang kecemasan. Loceng amaran terus berbunyi. Li Sicheng melihat ke arah bertentangan mereka.

Chapitre suivant