webnovel

Macam Mana Kamu Nak Jelaskan Tentang Ini?

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Qin Shuhua dan Su Qianci berjanji untuk bertemu di restoran Perancis kegemaran Qin Shuhua. Pada kehidupannya yang lalu, demi mengambil hati ibu mentuanya itu, Su Qianci belajar adab di meja makan gaya Barat untuk makan dengan baik apabila Qin Shuhua menjemputnya makan malam. Walau bagaimanapun, selepas itu barulah dia sedar Qin Shuhua tidak sukakannya bukan kerana dia tidak bagus, tetapi kerana Tang Mengying terlalu hebat. Tidak mungkin Su Qianci dapat menandingi Tang Mengying dalam hati Qin Shuhua.

Qin Shuhua telah menempah satu bilik VIP. Su Qianci dibawa ke bilik itu oleh seorang pelayan dan melihat ibu mentuanya yang anggun berada di dalam. Sebaik melihat Su Qianci, Qin Shuhua memberi isyarat kepada pelayan itu dan berkata, "Kami dah sedia sekarang."

"Ibu." Su Qianci duduk dan membiarkan pelayan itu menyiapkan meja dan meletakkan napkin di atas pahanya.

Qin Shuhua mengangguk lalu minum sebelum berdehem dan berkata, "Kamu tak tinggal di rumah kamu beberapa hari ini?"

"Tidak."

"Kenapa?"

Su Qianci mengetap bibir dan memandang Qin Shuhua. Ibu mentuanya itu kelihatan gembira berbanding biasa. Dia dapat melihat pandangan sinis dalam mata Qin Shuhua. Hati Su Qianci terasa pedih dan dia berkata, "Ibu, apa yang Ibu cuba cakap?"

Pelayan tadi datang membawa makanan. Hidangan pertama ialah kupang yang dimasak gaya Perancis.

"Ibu dah tahu semuanya." Qin Shuhua memandang Su Qianci dengan senyuman kecil. "Kamu masih nak rahsiakannya daripada Ibu?"

"Apa dia?" Su Qianci tidak faham maksud Qin Shuhua.

"Kontrak itu."

Mata Su Qianci terbeliak sebaik mendengar perkataan itu. Dia terus berasa gementar. Kontrak? Kontrak apa? Su Qianci berpura-pura tenang dan memandang Qin Shuhua dengan bingung. "Kontrak?"

Pelayan itu menghidangkan Coquilles St.-Jacques yang kelihatan seperti karya seni. Ia kemudian diikuti oleh sup ikan dan bawang… Su Qianci tiba-tiba ketawa sinis. Semua hidangan itu adalah makanan kegemaran Tang Mengying.

Qin Shuhua menyedari perkara itu lalu berdehem dan berkata, "Ibu agak lapar jadi Ibu pesan makanan yang Ibu mahu dulu. Kalau kamu tak suka, kamu boleh pesan makanan lain."

"Baik."

Qin Shuhua menyuruh pelayan itu beredar dan berkata, "Makan dulu. Kita boleh bercakap selepas ini."

Walau bagaimanapun, Su Qianci tiada selera dengan segala perkara yang membebani hatinya. Lagipun dia tidak menyukai semua hidangan itu. Dia cuba menjamah sedikit sebelum tidak lagi mampu meneruskannya. Dia memutuskan untuk terus ke tujuan sebenar Qin Shuhua. "Ibu, kenapa Ibu suruh saya datang ke sini?"

"Kamu dah kenyang?" Qin Shuhua menjeling makanan yang hampir tidak terusik itu dan berkata dengan puas hati, "Membazirnya. Kalaulah…"

Su Qianci berasa marah dan berkata, "Ibu, Ibu pesan semua makanan kegemaran Tang Mengying. Saya tak suka makanan sebegini. Kalau Ibu tak nak membazir, bukankah sepatutnya Ibu ajak Tang Mengying saja ke sini?"

Qin Shuhua tidak menyangka Su Qianci akan melawan dan merenung menantunya itu dengan terkejut.

Su Qianci melihat jam pada telefonnya dan berkata, "Apa kata Ibu ajak dia datang sekarang? Mungkin dia boleh temankan ibu makan sementara makanan masih lagi panas."

 "Apa maksud kamu?"

"Apa maksud Ibu?"

Qin Shuhua kelihatan terkedu. Dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan satu dokumen sebelum melemparkannya ke arah Su Qianci. Jantung Su Qianci berdegup laju. Kemarahannya terus lesap. Dia tunduk memandang dokumen itu dengan fikiran yang kosong. Kontrak perceraian? Bagaimana ia boleh ada di tangan Qin Shuhua?

"Macam mana kamu nak jelaskan tentang ini?"

Chapitre suivant