webnovel

Kunjungan Qin Shuhua

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Kelas pertamanya bermula jam 10 pagi, jadi Su Qianci bangun pada jam 8.30 pagi itu. Li Sicheng sudah tiada sewaktu dia bangun. Selesai mandi, dia turun ke tingkat bawah dan mendapati ada tetamu telah datang.

Sebaik melihat Su Qianci turun, Qin Shuhua kelihatan kecewa. Dia melihat jam dan berkata, "Lewatnya kamu bangun. Nasib baik kamu tak tinggal di rumah lama. Kalau tak, semua jiran akan cakap kamu berlagak seperti seorang puteri dalam keluarga Li."

Su Qianci berasa tertekan tetapi memaksa dirinya untuk tersenyum. "Ibu."

Qin Shuhua mencebikkan bibir dan menjeling Su Qianci sambil berkata, "Sicheng pergi kerja sejak awal pagi. Kalau kamu tak ada kerja, kamu patut buat latihan industri di syarikatnya. Kamu bukannya muda lagi dan tak patut bazirkan masa begini."

Su Qianci berkata, "Saya baru nak ke kelas."

"Oh, lupa kamu masih belajar di universiti. Sekarang tahun pertama kamu? Semasa Tang Mengying di tahun pertama universiti, dia dah belajar buat pelaburan dan bantu keluarganya. Walaupun Ibu bukan orang bisnes, Ibu tahu Sicheng bekerja keras. Sebagai isteri, kamu patut cuba bantu dia."

Su Qianci berasa terkilan. Ia terjadi lagi! Kata-kata Qin Shuhua itu langsung tidak ubah seperti kata-kata yang pernah dilontarkan wanita itu kepadanya pada kehidupan lalu. Ibu mertuanya itu tidak pernah sukakannya dan sentiasa menyukai Tang Mengying. Su Qianci yang berasa sedih membalas, "Pendapatan Li Sicheng dah cukup dan kami akan punyai anak selepas saya habis belajar. Ibu tak perlu risau tentang saya tak buat apa-apa."

Mendengar kata-kata itu, Qin Shuhua kelihatan marah dan membentak, "Kamu dah pandai melawan cakap sekarang? Tak berubah langsung!"

Mata Su Qianci berubah dingin ketika dia berkata, "Ibu, Ibu sendiri tahu sama ada saya berubah atau tidak. Sekarang saya menantu ibu. Tak kira betapa sayang Ibu pada Tang Mengying, Sicheng tak akan terima dia."

Sudah tentu Qin Shuhua tahu tentang itu, tetapi apabila memikirkan kandungan Tang Mengying yang berkemungkinan besar anak Li Sicheng, dia tidak dapat mengelak daripada berasa teruja. Sebaik mendengar kata-kata Su Qianci, Qin Shuhua semakin tidak suka kepadanya. "Ibu rasa Sicheng dah terlalu manjakan kamu. Sekarang kamu dah pandai kurang ajar dengan Ibu."

"Ibu, saya hanya mengingatkan Ibu tentang perkara sebenar. Walaupun Tang Mengying mengandung, hanya dia yang tahu sama ada kandungannya betul-betul anak Sicheng atau bukan. Saya percayakan Li Sicheng dan saya tahu dia tak akan curang kepada saya."

Ketika Qin Shuhua baru sahaja hendak membalas kata-kata Su Qianci, satu suara yang berwibawa mendahuluinya, "Shuhua, apa kamu buat di sini?" Kapten Li menuruni tangga dengan perlahan menggunakan tongkatnya. Walaupun langkah kakinya perlahan, tetapi ada aura yang tidak dapat dinafikan daripadanya. Ia adalah aura seorang lelaki yang berkuasa. Su Qianci tidak dapat mengelak daripada berdiri tegak.

Qin Shuhua menelan kembali kata-kata yang ingin diluahkannya dan berkata, "Ayah, saya datang nak bawa Ayah balik. Ayah tak sihat dan Sicheng sibuk. Saya takut…"

"Kalau kamu tak buat Ayah marah, Ayah tak akan mati dalam masa terdekat." Kapten Li tidak pernah menyukai Qin Shuhua. Wanita itu tidak pernah merantau ke banyak tempat. Dia tidak punyai pengetahuan luas dan sikapnya terlalu sensitif. Walaupun dia sudah berkahwin dengan Li Xiao selama bertahun-tahun, dia masih tidak banyak berubah. Kapten Li yang tahu Qin Shuhua tidak menyukai Su Qianci terus berkata tegas, "Sekarang kamu dah tengok Ayah, kamu boleh pergi balik. Bila Ayah mati nanti kamu akan dimaklumkan untuk ambil mayat Ayah."

Chapitre suivant