webnovel

Dia Meninggalkan Hospital

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Rong Rui berhenti berjalan. Dia menoleh ke belakang dan bertanya, "Boleh aku guna telefon kau?"

"Kau nak hempas telefon aku juga?"

"Cuma untuk hantar satu mesej."

Rong Anna menghulurkan telefonnya dengan wajah terpaksa. Rong Rui segera menaip satu nombor telefon dan menaip mesej: "Mengying, aku perlu balik ke rumah sekejap. Nanti aku hubungi kau lagi. Rong Rui." Selepas mesej itu dihantar, Rong Rui memadamnya dan menyerahkan kembali telefon kepada Rong Anna. Kemudian mereka menaiki kereta menuju ke rumah keluarga Rong.

Tanpa melihat sekalipun, Rong Anna sudah tahu siapa penerima mesej itu. Dia ketawa sinis dan berkata dengan benci, "Kau patut buat pemeriksaan otak."

Apabila Su Qianci tiba di rumah, Nenek Rong telah pun balik ke rumahnya. Su Qianci memasukkan kata laluan pada pagar dan masuk ke dalam. Li Sicheng memarkirkan kereta sebelum mengikuti Su Qianci. Tiba di pintu, dia tiba-tiba menarik Su Qianci ke dalam pelukannya. Su Qianci yang dapat merasakan kehangatan tubuh Li Sicheng berasa malu dan berkata dengan suara manja, "Kita belum masuk ke dalam rumah lagi."

Li Sicheng menarik Su Qianci lebih rapat ke tubuhnya sebelum menolaknya masuk. Dia menutup pintu di belakangnya dan berbisik di telinga Su Qianci, "Tiada sesiapa boleh nampak kita."

Wajah Su Qianci bertambah merah dan dia mahu melarikan diri. Tiba-tiba dia menjerit kerana tubuhnya diangkat tinggi oleh Li Sicheng. Su Qianci berasa agak pening. Kemudian dia diletakkan di atas sofa kulit yang lembut. Sebaik teringat 'sesi' mereka yang penuh bersemangat pada pagi sebelumnya, Su Qianci tiba-tiba berasa takut.

Dia memalingkan wajahnya ke tepi dan cuba menolak ajakan Li Sicheng. "Mandi… dulu."

Li Sicheng berasa sukar untuk melepaskan isterinya itu. Walau bagaimanapun, dia mengagak Su Qianci sedang ketakutan disebabkan kecuaiannya pada pagi sebelum ini.

Li Sicheng menarik Su Qianci bangun dan menutup kembali zip bajunya. Dia juga turut berdiri dan kelihatan seperti sedang menahan dirinya. "Baiklah, jom mandi dulu."

Su Qianci mengangguk dengan pipi yang kemerahan dan berbisik, "Mandi dengan air panas…"

Musim panas telah berakhir, jadi jika Li Sicheng mandi menggunakan air sejuk, dia mungkin akan terkena selesema. Melihat wajah Su Qianci yang tersipu malu, Li Sicheng berharap dia dapat menerkam isterinya itu sekarang. Walau bagaimanapun, dia mesti memikirkan masa hadapan. Keadaan mungkin akan menjadi teruk jika dia membuatkan Su Qianci takut.

Setelah Li Sicheng naik ke tingkat atas, telefon Su Qianci tiba-tiba berdering. Ia panggilan dari Hospital Pertama Kingstown.

"Puan Su?"

"Ya."

"Beberapa hari lepas, kawan kamu Encik Lu Yihan minta untuk keluar dari hospital dan kemudian terus pergi tanpa menghiraukan nasihat doktor kepadanya. Luka dia masih belum sembuh dan dia masih perlu menerima beberapa suntikan. Saya harap kamu boleh tolong pujuk dia untuk kembali ke hospital sebelum dia alami keradangan."

"Dia pergi sendiri? Kenapa?"

"Kami pun tak tahu. Tapi saya rasa keadaan dia tak begitu baik. Dia sedang demam sewaktu dia pergi. Saya harap kamu boleh tolong bawa dia kembali ke sini, kalau tidak keadaan dia akan jadi lebih teruk."

"Baik, saya akan bawa dia."

"Terima kasih banyak-banyak."

"Terima kasih."

Su Qianci memutuskan talian dan menelefon Lu Yihan. Namun telefon itu telah dimatikan. Lu Yihan demam ketika dia pergi dari hospital… Adakah dia seorang yang bodoh? Su Qianci berasa agak marah. Apa yang lelaki itu fikirkan? Telefon bimbitnya dimatikan dan dia pergi begitu sahaja dari hospital… Su Qianci tiba-tiba berasa resah. Perkara yang berada dalam fikirannya adalah untuk mencari Lu Yihan.

Walau bagaimanapun, Li Sicheng sentiasa mempunyai perasaan permusuhan dengan Lu Yihan. Jika lelaki itu tahu dia ingin mencari Lu Yihan, adakah Li Sicheng akan marah? Sebaik memikirkannya, Su Qianci mula risau. Selepas berfikir seketika, dia naik ke tingkat atas dan menulis satu nota sebelum meletakkannya di tempat yang dapat segera dilihat oleh Li Sicheng.

"Saya ada sedikit kerja perlu dibuat. Nanti saya balik."

Chapitre suivant