webnovel

Tidak Salah untuk Marah

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Tidak salah untuk marah

Su Qianci tidak menyedari gambarnya diambil. Sebaik memasuki kereta, dia melihat dompet dan telefonnya telah diletakkan di atas kerusi kereta. Su Qianci mengambil barangnya lalu membuka pintu dan bersedia untuk keluar semula.

Li Sicheng menahan lengannya dan berbisik, "Apa yang kamu lakukan?"

"Balik ke rumah," kata Su Qianci.

Mendengar kata-kata tersebut, Li Sicheng mengecilkan matanya. "Kamu marah pada saya?"

Su Qianci berasa bingung dan serba salah. Nampaknya dirinya benar-benar telah marah pada lelaki itu. Bagaimana ini boleh terjadi? Li Sicheng pernah berkata dia menyukai perempuan yang lembut dan bertimbang rasa, jadi dia sering cuba untuk menjadi seperti itu. Su Qianci merasa menyesal dengan kelakuannya tadi. Mengapa dia kembali menjadi dirinya pada kehidupan lalu? Itu orang yang paling dibenci oleh Li Sicheng.

Sebentar. Kenapa pula dia perlu kisah? Bukankah dia sedang bersedia untuk bercerai dengan lelaki itu? Memenangi hatinya bukan lagi perkara yang penting. Su Qianci mendongakkan wajahnya dan melihat pandangan mata lelaki itu yang misteri. Su Qianci terdiam. Apa yang perlu dia lakukan? Walau apa sekalipun, dia masih tidak mahu Li Sicheng membencinya. Wajah Li Sicheng mula berkerut apabila melihat Su Qianci telah hilang keberaniannya.

Apa yang perempuan ini fikir? Tidak salah untuk hilang sabar dan marah kepada saya… Su Qianci tidak sesuai untuk cuba berkelakuan seperti orang lain. Sudah terlalu ramai perempuan sebegitu.

"Tali pinggang keledar." Li Sicheng kedengaran sedikit marah.

Su Qianci mengangguk dan mengetatkan tali pinggangnya. Sebaik tiba di rumah, Su Qianci membuka komputernya dan melihat satu dokumen telah diterima daripada Vincent. Dia memeriksanya dan memastikan semuanya betul sebelum dia membalas e-mel Vincent.

Su Qianci meregangkan tangannya ketika dia terlihat seorang kenalan atas taliannya yang selalu di luar talian. Dia menggunakan nama samaran yang ringkas, iaitu hanya huruf L. Su Qianci menghantar mesej kepada L: Kamu ada di sana?

Namun tiada balasan.

Keesokan harinya, Su Qianci pergi ke Universiti. Entah kenapa, dia merasakan seperti semua orang memandangnya dengan pandangan yang aneh. Su Qianci mencari tempat untuk duduk dan dapat melihat semua orang sedang memandangnya.

Kelas itu ialah kelas subjek Kejuruteraan Kewangan. Ia diajar oleh pensyarah yang digelar Nazi. Umurnya sudah melebihi 40 tahun, tetapi dia masih gemar memakai pakaian berwarna merah jambu dan kasut putih tebal. Solekannya yang tebal kelihatan tersangat unik di Jabatan Kewangan. Sebaik sahaja Nazi memasuki kelas, dia terus memanggil, "Su Qianci."

Su Qianci berasa hairan tetapi tetap bangun.

"Kamu dah semakin sihat?"

"Ya prof. Terima kasih kerana bertanya."

"Selepas ini, kamu perlu minta sendiri cuti sakit. Menyuruh orang lain untuk hubungi saya bagi pihak kamu hanya mendedahkan gaya hidup kamu yang tidak elok."

"Apa maksud prof?" Gaya hidup yang tidak elok?

Gadis di sebelah Su Qianci membisik, "Kamu tak tahu? Gambar kamu dah tular di laman forum universiti." Kemudian dia menunjukkan telefonnya kepada Su Qianci.

Terpampang satu artikel bertajuk : Sebab Kenapa Ratu Kampus Tidak Tinggal di Dalam Kampus.

Chapitre suivant