webnovel

Saya Tak Benarkan

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Sebaik Su Qianci selesai bermain, tepukan gemuruh bergema di restoran itu. Song Yifan telah berhenti bermain sebaik selesai bahagian pertama, jadi ia seolah-olah konsert piano Su Qianci.

"Siapa dia? Hebatnya dia bermain!"

"Saya tak pernah dengar tentang dia. Dan dia sangat cantik!"

"Gadis itu cantik. Saya dengar Song Yifan masih tidak berpunya. Mereka nampak secocok."

"Tak mungkin. Song Yifan jauh lebih tua. Lagipun, dia datang dengan teman lelakinya…"

Sebaik mendengar kata-kata itu, ramai di antara mereka menoleh ke arah meja yang diduduki Li Sicheng.

"Wah, kacaknya!"

"Bukankah itu Li Sicheng?"

"Tak mungkin. Betullah dia."

"Oh Tuhan, seronoknya dapat jumpa ramai selebriti sekaligus."

"Sekejap, jadi gadis itu teman wanita Li Sicheng? Tak, sebenarnya, baik jangan bagitahu saya. Saya tak mahu tahu."

"Tapi saya dengar Li Sicheng dah kahwin."

Mendengar suara-suara itu, Su Qianci merasakan seolah-olah dirinya haiwan di zoo. Wajahnya merah padam ketika dia bangun dari tempat duduknya. Song Yifan turut bangun dan mereka tunduk kepada satu sama lain hampir serentak.

"Pasangan secocok!" Seseorang menjerit, dan membuatkan pelanggan lain ketawa.

Jantung Su Qianci berdegup laju. Dia memandang Song Yifan seketika, lalu memberanikan dirinya dan berkata, "Encik Song Yifan, boleh saya ambil gambar dengan kamu?"

"Sudah tentu. Saya gembira untuk lakukannya." Kata-kata Song Yifan membuatkan gadis-gadis di sekeliling mereka menjerit teruja.

"Saya rasa nak pengsan. Dia lelaki yang budiman."

"Lelaki yang matang ialah lelaki yang paling menarik."

Sebaik sahaja Su Qianci mengeluarkan telefon bimbitnya, tiba-tiba tangan seseorang muncul dan merampas telefon itu. Su Qianci terkejut. Dia menoleh ke belakang dan melihat satu wajah yang jelas tidak gembira. Pada awalnya Su Qianci hampir berteriak marah, tetapi sebaik melihat wajah itu, kemarahannya kembali reda. Bila lelaki itu naik ke pentas? Dia langsung tidak menyedarinya. Walau bagaimanapun, dalam keadaan itu, Su Qianci berusaha mengambil kembali telefonnya daripada tangan Li Sicheng. "Bagi balik telefon saya."

Wajah Li Sicheng semakin dingin. Dia menyembunyikan telefon itu di belakangnya dan menarik Su Qianci ke arahnya.

Su Qianci hanya mahukan telefonnya. Dia cuba mencapai belakang Li Sicheng. "Bagi balik. Kenapa kamu buat begini?"

"Saya tak benarkan." Perasaan tidak gembira jelas kedengaran dalam suaranya.

Su Qianci melenting, "Tak benarkan apa? Itu telefon saya, bukannya saya nak ambil gambar dengan kamu. Kamu tak ada hak untuk rampasnya."

Disebabkan bukan gambar dengan sayalah saya tak benarkan! Sewaktu kata-kata itu muncul dalam fikirannya, Li Sicheng sendiri berasa terkejut.

Namun, dia sememangnya amat tidak senang apabila melihat Su Qianci berada di sebelah Song Yifan.

Li Sicheng tidak menghiraukan rungutan Su Qianci, sebaliknya memeluk pinggang isterinya itu dengan kuat dan berkata, "Mari balik."

Su Qianci baru tersedar betapa mesra mereka berdua kelihatan ketika itu apabila Li Sicheng memeluknya lebih erat. Badan mereka bertaut rapat. Apabila Su Qianci bergerak, dia dapat merasakan kehangatan badan lelaki itu. Semua orang sedang memandang mereka. Dengan wajah yang merah padam, Su Qianci menundukkan kepalanya.

Chapitre suivant