webnovel

Di hadapan pintu gerbang terakhir di Daerah Utara terletaknya sebuah dataran tanah yang telahpun diliputi salji walaupun kini hanyalah bulan Mei. Angin kencang yang bertiup dari arah utara itu menderu laju bagaikan mampu mencarik-carik kulit wajah semua orang.

"Jom." Zhao Che tersenyum pada Wei Shuye. Walaupun dalam situasi-situasi tegang sekalipun, dia masih lagi tegap berdiri dengan penuh yakin. Susuk tubuh pemuda itu menghadap Zhao Che yang juga berkeyakinan dengan raut wajah yang mencurigakan.

Yan Xun telah menggunakan taktik serangan bertubi-tubi untuk menyerang bekalan makanan pasukan tentera Zhao Che dan juga mencederakan ramai ahlinya. Pada masa yang sama, Zhao Yang yang sememangnya tergila-gilakan kuasa, tiba-tiba telah menyerang pasukan bantuan Zhao Che sementara juga menghalang keretapi Zhuge Yue yang berisi bekalan tambahan itu. Hal ini amatlah membuntukan Zhao Che yang pada ketika itu telah kehilangan hampir 13 wilayah di daerah tengah dan juga ahli tenteranya.

Di saat mereka mengerahkan beberapa lagi orang tentera untuk membuat persiapaan bagi serangan balas, mereka tersedar yang mereka kini telah terjatuh dengan lebih jauh ke dalam gaung kehancuran di mana mereka tidak lagi boleh menukar situasi untuk mencapai kemenangan. Kekalahan itu pasti.

Zhao Che berdiri di atas puing-puing kehancuran pada hari itu sambil berfikir panjang. Putera yang telah melalui begitu banyak onar kehidupan ini akhirnya meletakkan pedangnya ke bawah sebelum berpaling ke arah Wei Shuye dan berkata, "Kita dah kalah."

Pada hari yang sama, semua pegawai empayar tersebut mula menangisi takdir mereka. Sehinggakan Wei Shuye, tuan muda yang suka bermegah dari keluarga bangsawan atasan itu pun telah mengalirkan air matanya. Ia bukanlah kerana mereka langsung tidak mempunyai peluang untuk meraih kemenangan, ataupun kerana mereka sudah tidak berkuasa lagi untuk memulihkan segalanya kepada normal. Mereka telah memberikan segala tenaga dan kekuatan mereka untuk melindungi sebuah empayar daripada terus menjunam ke kemusnahan. Mereka mempunyai keberanian dan keupayaan untuk bersaing dengan dewa maut.

Namun, mereka telah kalah.

Mereka tidak kalah disebabkan oleh pertempuran dengan pihak musuh, namun ia kerana mereka telah dikhianati oleh sekutu mereka sendiri. Empayar Xia telah bertembung dengan pesaing terkuat mereka semasa mereka sedang berada dalam keadaan terburuk.

Putera muda meraih pandangannya semasa kuda pertempuran yang dinaikinya itu menghentak-hentakkan kakinya ke tanah disebabkan ketidakselesaan yang menghurungi tubuhnya. Ia terasa bagaikan pintu syurga pun telah diliputi salji membeku. Selepas mengambil selangkah melepasi pintu gerbang ini, mereka sudah tidak berada di tanah Xia lagi. Tidak akan ada sebarang bendera Xia yang megah berkibaran di udara di tanah yang luas ini. Zhao Che merenung ke langit dan berkata perlahan, "Keluarga Zhao tak akan pernah hilang dari muka bumi ini. Selagi matahari terbit dari ufuk timur, maka ia bermakna ahli keturunan Keluarga Zhao masih lagi berdiri di sini." Dia lantas melibas tali cemetinya ke arah kuda tunggangannya itu, membuatkan ia memecut laju meninggalkan pasukan tentera yang ramai di belakang mereka. Mereka kini sedang meneroka ke arah pergunungan yang memutih.

Penumbuk Zhao Che terasa seperti keluli apabila dia merenung di kejauhan. Mulutnya dibuka sedikit semasa suaranya yang kedengaran bersemangat itu berkata, "Kami akan datang kembali…"

"Cik Puan!" He Xiao tiba-tiba berteriak, matanya sudah mula memerah. "Hamba tak sanggup berbuat begitu!"

"Komander He, ini satu arahan!" Di atas tembok besar Tang Jing, Chu Qiao yang berperisai lengkap itu sedang merenung tajam ke arah pegawai bawahan yang paling dipercayainya. Wanita itu mengutarakan setiap kata dengan jelas.

"Cik Puan, Cik Puan patut pergi dan iring Tuanku Maharaja Tang keluar. Biar hamba saja yang tinggal di sini untuk mempertahankan bandar."

Suara-suara peperangan sudah pun bergema kuat dari bawah Chu Qiao. Bunyi telapuk kaki kuda yang berdentum kuat itu boleh didengari semakin mendekati mereka. Pasukan tentera yang dipimpin oleh Cik Puan Jingan ternyata melebihi pasukan tentera Chu Qiao sebanyak sepuluh persatu. Pasukan tentera berkuda yang sungguh ramai itu terus melancarkan seombakan demi seombakan serangan terhadap ibu negara Tang. Pasukan tentera Cik Puan Jingan terasa bagaikan sebuah tsunami manusia yang sungguh besar dan tidak mampu ditepis oleh sesiapa pun.

Chu Qiao bertanya dingin, "Betul ke awak boleh melindungi tempat ini?"

He Xiao berkerut dan membalas tanpa raga ragu-ragu, "Walaupun kalau hamba ini mati…"

"Kalau awak mati, itu bermaksud yang awak tak boleh lindunginya," Chu Qiao berkata tegas.

He Xiao segera berasa terpana apabila mendengar kata-kata Chu Qiao itu dan sebelum dia mampu membalas, Chu Qiao sudah menyampuk, "Sekarang, ibu negara Tang sedang dikepung oleh pihak musuh. Selain dari itu, kita masih akan bertempur dengan pasukan tentera Yan Xun yang berjumlah beratus-ratus ribu orang askar. Pasukan tentera Tang pula kini sedang meromok ketakutan disebabkan pertempuran-pertempuran lama mereka. Dalam negara ini, kita sahajalah pasukan tentera yang berkeupayaan untuk menentang pihak musuh dan mereka pastinya akan menumpukan perhatian mereka pada kita. Selagi saya masih berdiri di dalam istana ini, mereka tidak akan pecahkan tentera mereka. Di saat mereka nampak saya akan berangkat pergi, mereka pasti akan berhenti menyerang Tang Jing dan akan mengejar saya sedaya upaya mereka. Pada masa itu, kita tak akan mempunyai dinding istana ini untuk melindungi kita. Di hadapan kita terdapat pasukan tentera Yan Bei dan di belakang kita terdapat Pasukan Tentera Jingan. Kita akan bertemu dengan ajal yang menyeramkan!'

Ini semua amat difahami He Xiao yang berkerut tanpa menguturkan sepatah perkataan pun, hanya mengancingkan giginya rapat sahaja.

"He Xiao, saya merayu pada awak, tolonglah bawa mereka keluar dan selamatkan diri. Li Ce dah berbaik budi dengan saya seluruh hidup saya dan saya perlu membalas kebaikan itu dengan cara saya sendiri. Saya tak mampu nak selamatkan negara dia, tapi apa yang saya boleh lakukan ialah menyelamatkan anak-anak dia."

Wajah He Xiao kemurungan sewaktu pemuda ini merenung Chu Qiao sebelum tiba-tiba berkata, "Cik Puan, biar orang lain saja yang pergi. Saya mahu tinggal di sini untuk lindungi Cik Puan."

Chu Qiao menggelengkan kepalanya sebelum membalas ringan, "Saya tak percayakan orang lain."

Anak mata He Xiao yang sedang merenung Chu Qiao itu terasa menikam seperti magma segar yang baru sahaja diludahkan dek gunung berapi. Setelah bertahun-tahun bertempur bersama dan melalui onar-onar kehidupan bersama, mereka telah lebih banyak menghabiskan masa mereka bersama-sama berbanding dengan orang lain. Hubungan mereka juga sudah bertukar melalui peredaran masa di mana ia bermula dari jawatan mereka dalam ketenteraan sehinggalah keakraban sepasang adik-beradik.

Wanita yang berdiri di hadapannya ini seorang yang gagah, berani, baik hati dan juga ikhlas. Namun pada masa yang sama, wanita itu kadangkala berasa takut, dia akan berasa kehilangan dan kadangkala dia juga akan menangis berteriak. Mereka rakan seperjuangan, sahabat dan juga keluarga. He Xiao kini lebih menganggapnya sebagai seorang adik berbanding cik puannya.

Cahaya daripada obor-obor api yang menyala menerangi wajah mereka sementara He Xiao mencapai tangannya untuk mendakap wanita itu. Dengan suara yang serak, seolah-olah mulutnya sudah dipenuhi darah ketidakrelaan, pemuda itu berkata, "Jaga diri!"

"Awak juga!"

Perwira itu melonjak naik ke atas kudanya sementara Li Shuyi berteriak pada Chu Qiao, "Mak Cik! Mak Cik!" He Xiao segera mendukung anak kecil itu ke dalam dakapannya dan tanpa sebarang keraguan lagi, pemuda itu memimpin sekumpulan tentera elit untuk bergerak keluar dari pintu gerbang selatan. Pada masa yang sama, pintu-pintu gerbang di bahagian timur dan barat telahpun dirempuh masuk. Dua kumpulan tentera lantas menyerang pada masa yang sama, sekaligus bercampur aduk dengan pasukan tentera lawan.

"Pemanah! Bersedia!" Teriak He Qi lantang, "Serang!" Dataran yang luas itu bagaikan telah bertukar menjadi sebuah mesin pengisar daging yang kejam sementara menarik nyawa-nyawa para pahlawan dalam sekelip mata. Mata lembing dan pedang disinari dengan warna merah terang manakala bunyi derapan tapak kaki kuda yang memecut laju kedengaran bergema penuh samar.

Chu Qiao yang berdiri di dalam istana itu memerhatikan seluruh adegan pertempuran sementara memori-memori lama terlayang kembali dalam mindanya. Dia telah mempunyai dua kehidupan di mana dia telah mencapai banyak perkara dan berjumpa dengan ramai jenis orang. Dia telah cuba melalui kehidupannya tanpa sebarang aral mahupun kesilapan, namun kadangkala dia gagal juga. Dia tidak pernah menolak peluang untuk bertemu dengan segala jenis manusia, namun pernah berlaku kejam atau tidak bertolak ansur kepada orang lain. Akan tetapi, walau apa pun situasi yang menimpa wanita itu, dia tidak pernah meragui kepercayaan hatinya.

Pada masa ini, kehidupan ini seumpama telahpun dihuraikan. Dia memejamkan matanya untuk membiarkan bayangannya itu untuk terus bermain di minda. Wanita itu dapat melihat wajah-wajah yang dikasihinya, wajah-wajah yang dibencinya, wajah-wajah yang telah dikecewakannya, yang telah dilukainya dan akhirnya, wajah-wajah tersebut akhirnya bercantum untuk menjadi sebuah wajah indah. Semasa wanita itu berpaling, dia dapat melihat akan anak mata yang diselubungi dengan perasaan kasih itu.

"Saya sayangkan awak," Wanita itu berkata ringan. Angin terasa begitu kencang sewaktu ia mengusap wajahnya. Seluruh langit telahpun dicemari dengan warna merah. Sekumpulan musuh meluru ke arah mereka sebelum merempuh masuk ke dalam pintu gerbang kuno itu berkali-kali, menyebabkan bunyi dentuman demi dentuman bergaung lantang.

Wanita itu meletakkan tangannya pada perut yang telah membonjol sedikit itu, membawa bersama bayi di dalam kandungannya. Inilah satu-satunya harapan Chu Qiao yang telah menyokong segala keputusan yang telah dibuat dahulu, memberikannya kekuatan untuk berdiri walaupun lututnya menggeletar dan lemah. Kini, mereka berjauhan dan sudah pastinya pemuda itu tidak dapat mendengar isi hatinya.

Dia lantas meraih pandangannya dengan senyuman kecil yang menghiasi wajah sebelum memerhatikan langit yang kelihatan jelas, "Saya cintakan awak…"

Tapi akhirnya, saya tak dapat menemani awak.

Langit kelihatan sungguh membiru sehingga matanya bagaikan tersinar dengan cahaya tersebut. Air mata berterusan mengalit dari hujung mata wanita itu yang tidak lama kemudian semakin menghilang di sebalik ketebalan topi keledar yang dipakainya. Chu Qiao menghunus pedangnya sementara para musuh semakin mendekatinya. He Xiao pula sudah berjaya melepasi pasukan pertahanan yang sedang menyerang di sebelah sana. Dentuman peperangan secara langsung bergema kuat di seluruh dataran sementara bendera-bendera putih yang dihiasi awan merah itu berkibar megah di udara. Awan merah tersebut itu bagaikan sebuah simbol harapan buat penglihatan orang ramai.

Chu Qiao berpaling dan pandangannya segera melintasi pahlawan-pahlawan muda itu. Di hadapannya berdiri Pasukan Tentera Xiuli yang terkenal di serata dunia. Namun, ia terasa semakin sukar untuk memastikan siapakah ahli tentera mereka yang asli. Setelah tahun demi tahun berlalu, askar-askar ini telah bertungkus lumus mengekori ke mana sahaja haluan wanita itu dan bertempur di seluruh muka benua ini. Mereka telah mengikutinya tanpa sebarang rasa takut mahupun gentar.

Pertempuran Zhen Huang, Pertempuran Daerah-Daerah Barat Laut, Perlindungan di Chidu, Perlindungan di Beishou, Pertempuran Tasik Qianzhang, Pertempuran Dataran Huolei, Pertempuran Sempadan Longyin, Pertempuran Tang Jing, Pertempuran Sempadan Baizhi dan tidak lupa juga Pertempuran Sungai Teixian…

Dalam masa tujuh tahun yang lalu, pasukan tentera ini telah membuktikan kesetiaan mereka kepada wanita itu dengan keputusan-keputusan pertempuran yang amat memberangsangkan. Mereka telah bertempur dalam terlalu banyak negara, dengan terlalu banyak puak. Namun, mereka hanya akan bertempur atas keputusan mereka sendiri buat wanita itu.

Sekumpulan demi sekumpulan askar yang merebah, namun dengan segera kumpulan tersebut diganti dengan askar yang lain. Walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa rasa cinta terhadap negara yang mereka sedang lindungi ini. Walaupun jika tanah tumpahnya darah mereka itu terletak berbatu-batu jauhnya. Walaupun jika mereka tidak tahu akan nasib yang bakal menimpa diri mereka, namun satu sebab sudah dikira mencukupi buat mereka. Satu perintah daripada wanita itu sudah mencukupi buat mereka. Selagi Chu Qiao berdiri di hadapan mereka, kesetiaan dan kepatuhan mereka dalam menjalani tugasan terasa bagaikan sebuah besi meteor yang telah tertenggelam ke dasar tasik ais. Jika hari itu bertemu dengan kiamat sekalipun, kesetiaan mereka tidak akan pernah pudar.

Tiada sebarang ucapan yang diberikan oleh wanita itu bagi mengobar-ngobarkan semangat para tentera. Dia hanya membuka topi keledarnya saja, membenarkan rambutnya melambai-lambai apabila ditiup angin. Anak matanya kelihatan jernih semasa dia memperhatikan para tentera di hadapannya itu sebelum menghunus pedangnya.

"Kita bertempur demi kemerdekaan!" 2,200 askar Xiuli berlaung!

Dengan dentuman yang kedengaran samar namun boleh terasa impaknya yang kuat, pintu gerbang Tang Jing yang belum lagi ditumbangkan dalam beratus-ratus tahun akhirnya terjatuh.

Para tentera pihak musuh segera menyerbu bagaikan sebuah tsunami.

Angin menderu dengan sungguh kencang sementara bunyi dentang-dentung pertempuran boleh didengari di sebelah mereka. Chu Qiao berlaung lantang, "Semua orang, kamu semua boleh pergi dulu. Saya akan ikut belakang kalian."

"Cik Puan! Jeneral Cik Puan ini ambil diri dulu, ya!" Seorang jeneral segera melonjak naik ke atas kudanya sementara terkekeh. Dia lantas berteriak sambil menghayunkan pedangnya, "Kita bertempur demi kemerdekaan!" Lelaki itu kemudiannya meraih pedangnya tinggi dan meluru ke arah pihak musuh sambil diikuti dengan para askar yang mengekori belakangnya. Pemandangan itu tampak seperti seorang bayi yang sedang mencari masalah dengan seekor raksasa gergasa.

"Serang!" Bunyi pertempuran itu bergaung kuat sehingga mampu mencecah ke pintu syurga.

Pada senjakala yang baru sahaja menjelma, sekumpulan tentera berkuda melancarkan sebuah lagi serangan di dalam arena yang dipenuhi dengan selautan pedang. Keheningan senja itu telah menyaksikan para pahlawan menghunus senjata mereka sebelum meluru ke arah musuh. Tang Jing menjunam ke dalam api-api pertempuran yang amat membahayakan. Beratus-ratus tahun yang lalu, Bendera Ros milik Empayar Tang Megah ini telah memenuhi setiap ruang dan pelosok benua. Kehendak Maharaja Tang dahulu terasa bagaikan kehendak alam semesta ini juga. Namun, pada hari malang ini, di dalam pertempuran yang hiruk-pikuk ini, istana negara yang makmur itu telah diliputi dengan selapisan debu dan juga abu. Bau hamis darah dan juga kematian menyelubungi jalan-jalan yang dihiasi mewah dan indah, sementara boleh terdengar bunyi rintihan kuda-kuda yang sedang nazak sambil diiringi dengan tangisan para rakyat jelata…

Wanita itu meraih kepalanya semasa dia memerhatikan matahari yang sedang terbit di ufuk barat. Para pahlawan ini sedang bertawar-tawaran dengan nyawa mereka kepada si dewa maut dan jika mereka mati sekalipun, nama mereka langsung tidak akan tertulis dalam buku sejarah negara. Mereka akan bersemadi selamanya di sini. Tetapi, walaupun jika mereka menggunakan segala tenaga mereka, mereka masih lagi tidak mampu menghalang kejatuhan Empayar ini.

Chapitre suivant