webnovel

Memang sudah tidak berguna buatnya untuk berkata apa-apa lagi, jadi Chu Qiao berpaling dengan dingin untuk beredar namun wanita ini telah dihalang oleh Yan Xun yang pantas merentap lengannya. Riak muka Yan Xun yang dingin dan tidak ubah dari seorang pemerintah yang tidak berhati perut itu terus bertukar menjadi marah, "Apa yang awak mahukan? Awak nak pergi cari dia ke? Awak dah jatuh cinta dengan dia ke?"

Chu Qiao berpaling untuk merenung ciri-ciri wajah Yan Xun yang amat dikenalinya. Pada ketika itu, pemuda yang berdiri di pinggir sungai itu mula terlintas di mindanya sekali lagi dan lantas wanita itu menggelengkan kepalanya lemah sebelum menjawab dengan suara rendahnya, "Yan Xun, saya tak tahulah sama ada ini dianggap sebagai cinta. Saya hanya tahu yang saya betul-betul ambil berat tentang awak. Saya tak sanggup tengok awak dilukai disebabkan oleh tindakan orang lain. Semua impian awak itu impian saya juga, jadi saya ikut setiap langkah yang awak ambil. Apa pun yang saya buat, saya pasti akan mendahulukan awak. Kalau awak gembira, bermakna saya juga gembira dan sekiranya awak bersedih, saya turut bersedih. Saya boleh memaafkan segala kesilapan dan kegagalan awak dan tak lupa saya juga boleh membantu awak untuk menebus kesilapan itu. Harapan terbesar saya ialah melihat awak mendapatkan segala apa yang awak mahukan. Saya ini seorang pengembara tanpa kawan atau keluarga jadi selama bertahun-tahun ini, awaklah penyebab buat saya meneruskan hidup. Awaklah orang yang paling penting dalam hidup saya."

Kata-kata Chu Qiao amat menyentuh hati Yan Xun sementara tapak tangan pemuda itu menjadi hangat, memegang lengan Chu Qiao dengan ketat sambil mengigil dan kelihatan sedikit gelisah.

Selepas itu, Chu Qiao meneruskan, "Tapi, saya tertanya-tanya kepada diri saya sendiri. Apa yang saya buat ini berbaloi ke? Saya dah tersalah anggap akan niat awak ke? Yan Xun, awak dah jadi hamba kepada kuasa. Dari saat awak kembali ke Yan Bei lagi, awak mula meragukan semua orang di sekeliling awak termasuklah saya sendiri, Encik Wu, Cik Puan Yu, Garison Utusan Barat Daya, Kesatuan Da Tong dan semua orang yang mungkin mengancam kuasa awak. Saya tak percaya yang awak tak sedar akan kesetiaan saya terhadap awak, macam mana Encik Wu melindungi awak. Awak hanya risau yang kewujudan kami akan mengancam kuasa awak. Oleh itu, banyak alasan yang awak berikan untuk mengecualikan kami. Kebencian dan kebimbangan awak itu hanyalah hasil daripada sifat pentingkan diri awak itu sendiri dan juga alasan untuk awak menyembunyikan segala apa yang awak dah lakukan. Walaupun kalau Zhuge Yue tak datang pada hari ini, awak masih akan cuba mencari kesalahan saya. Yan Xun, saya tak menyalahkan awak kerana membunuh Zhuge Yue. Saya hanya membenci hakikat yang kaedah yang awak gunakan itu terlalu hina. Awak tak sepatutnya mempergunakan kesetiaan saya terhadap awak, dan hubungan kami. Awak tak sepatutnya gunakan taktik hina ini pada saya." Chu Qiao memanjat kudanya namun sebelum dia beredar, dia merenung ke dalam anak mata Yan Xun dan berkata dengan tegas, "Sekarang, mengikut kehendak Tuanku, saya akan pergi mencari dia. Tapi ini amaran terakhir saya. Kalau dia mati di tanah Yan Bei ini, saya tak akan dapat maafkan awak buat sepanjang hayat saya. "

Angin bertiup kencang lantas mengepak-ngepakkan hujung jubah Chu Qiao ke udara semasa dia berteriak, membuatkan kuda pertempurannya itu mula berlari yang diikuti oleh Para Tentera Tentera Xiuli di belakangnya, kian menghilang dalam salji lebat.

Yan Xun berdiri dengan penuh dingin di tempat yang sama bagaikan sebuah tugu batu yang tidak bergerak buat masa yang lama. Dia tiba-tiba merasakan sebahagian daripada hatinya terus hancur; seolah-olah dia boleh mendengar deraiannya. Pada masa itu, sifat pembunuh yang tidak terkawal meletus di dalamnya, menyebabkan matanya merah.

Seseorang menghampiri belakangnya dan berbisik, "Tuanku, Jeneral Cheng dah hantar seorang peninjau yang dah laporkan dia dah terperangkap di bertentangan tebing Sungai Moli dan Jeneral Chu yang bertanggungjawab untuk semua itu. Apa yang patut kita lakukan sekarang?"

Pada ketika itu, angin kencang yang meniup lembut lengan Yan Xun membuatkan pemuda itu terkenangkan wajah kedua-dua ayahanda, bondanya dan setiap wajah bangsawan terhormat yang berdiri di hadapan Platform Jiu You itu...

"Maklumkan kepada Cheng Yuan untuk memimpin tenteranya ke Pergunungan Minxi. Kita kena memerangkap Zhuge Yue di tasik ais. "

Lelaki itu teragak-agak dan bertanya, "Macam mana kalau Jeneral Chu juga berjaya bergegas ke sana?"

Sebuah ekspresi tajam tiba-tiba terlintas di mata Yan Xun dan selepas beberapa lama, dia mencemuh beberapa perkataan dengan dingin, "Kita mesti membunuh Zhuge Yue, tak kira walau apapun pengorbanan yang kita perlu lakukan."

Helang pertempuran berterbangan di atas langit yang gelap melepaskan ringkikan mereka yang panjang sementara pantulan cahaya dahsyat mula bersinar terang bersama bunyi tangisan dan rintihan pertempuran yang menyedihkan kedengaran datang dari hadapan. He Xiao, dengan matanya yang merah, bergegas kembali dan menjerit, "Jeneral, tentera Cheng Yuan ditugaskan di hadapan Pergunungan Minxi itu. Tentera Tuanku sedang bergegas ke sana sekarang ini. Jeneral Zhuge berada di permukaan Tasik Qianzhang."

Angin sejuk menghembus tanpa henti lantas membuatkan bunyi angin yang mendesus ganas boleh didengari berulang kali. Chu Qiao mengeraskan bibirnya dengan kepala yang tertunduk untuk melihat He Xiao yang berlumuran darah. Dengan perlahan, dia berkata, "He Xiao, boleh tak kamu membuat laluan untuk saya?"

"Jeneral," He Xiao berlutut dengan ekspresi cekal dan berkata dengan tegas, "Hidup kami ini milik Cik Puan. Cik Puan teruskan saja perjalanan Cik Puan. 2,000 tentera Garison Utusan Barat Daya ini tak akan mengecewakan Cik Puan."

Kata-kata itu sungguh menyentuh hati Chu Qiao apabila dia merenung wajah para askar yang tekun berdiri di belakang He Xiao, wanita ini berasa seolah-olah hatinya telah melecur dengan minyak panas. Chu Qiao hanya menyelamatkan mereka sekali sahaja kerana merisaukan yang rakyat akan hilang keyakinan mereka kepada Yan Xun tetapi para tentera ini telah mengikutinya tanpa sebarang aduan ataupun penyesalan, malah telah menyelamatkannya beberapa kali. Selagi wanita ini mengeluarkan arahan, mereka akan melaksanakannya tidak kira sama ada keputusan itu betul atau salah. Mereka ini pengikutnya, senjatanya, keluarga terdekatnya. Tidak kira apa yang Chu Qiao lakukan, mereka tidak akan pernah meninggalkannya, tetap berdiri di sisinya dengan kesetiaan yang kekal sambil menghalakan pedang mereka pada siapa saja yang mengancam wanita ini. Kesetiaan yang telah diberikan oleh pasukan ini sememangnya terlalu berat untuk dipikul oleh Chu Qiao, menyebabkan dia bagaikan dihimpit oleh bebanannya. Chu Qiao lantas melompat dari kudanya dan memegang tangan He Xiao sebelum melafazkan beberapa perkataan yang tulus sambil menahan air matanya daripada terus berlinangan, "He Xiao, terima kasih."

"Jeneral, keselamatan Jeneral lebih penting daripada seluruh benua Meng Barat ini di mata kami. Langit dan bumi boleh dihapuskan, empayar boleh runtuh, tapi selagi Jeneral masih ada di sini, kami pasti akan ada semangat untuk berjuang. Oleh itu, demi kami semua, Jeneral jaga diri, ya? "

Chu Qiao mengangguk senyap sambil memandang ke arah wajah para askar yang tidak pernah petah atau ekspresif dalam kata-kata mereka. Akhirnya, wanita ini berpaling untuk melihat ke arah Pergunungan Minxi dengan kesungguhan yang membuak-buak di dalam dadanya. Sebuah kuil suci berdiri megah di atas puncak gunung tersebut dengan dua buah patung dewi yang didirikan bersebelahan satu sama lain bagaikan dua buah lampu isyarat yang terang apabila dunia dihurung kegelapan buat setiap rakyat di seluruh tanah Yan Bei ini.

Chu Qiao memanjat kudanya dan berkata tegas, "Kalian! Saya meletakkan seluruh harapan saya ke atas kamu semua! "

Tentera bergema bersama, "Jaga diri, Cik Puan!"

Angin membeku itu mengepak-ngepakkan jubah mereka semasa Chu Qiao berteriak lantas menyebabkan kudanya itu menderap laju ke kejauhan, sementara He Xiao pula mengetuai seluruh pasukannya ke arah tanah yang dillitupi salji.

Bunyi hon bergema melintasi keseluruhan landskap tersebut semasa Cheng Yuan bersama Pasukan Tentera Helang Hitam sedang berdiri di sebuah empangan di luar Tasik Qianzhang untuk mengelilingi pasukan tentera Zhuge Yue yang kurang daripada 10,000 orang itu. Sehujanan anak panah turun dengan lebat bagaikan letusan gunung berapi sebelum mendarat ke atas permukaan tasik yang membeku. Anak panah itu telah diubahsuai secara peribadi dan diperbaiki oleh Chu Qiao sendiri, jadi kehebatannya amatlah mengerikan. Manakala, Yue Da sedang memimpin pasukan pengawalnya untuk melindungi Jeneral mereka, dengan pengawal yang ditugaskan di hadapan itu bagaikan telah menjadi penapis manusia dalam menangani tembakan anak panah yang dilepaskan tanpa henti itu, sekaligus menghasilkan banyak lubang pada tubuhnya. Laungan keperitan mula bergema di sekeliling kawasan itu sebelum Yue Jiu melonjak ke hadapan dengan pedangnya dan mengeluarkan laungan pertempuran yang lantang. Namun, tindakan itu langsung tidak diendahkan oleh Cheng Yuan yang merenungnya dengan rasa tidak puas hati, terus memberi arahan untuk melepaskan anak panah.

Sebarisan demi sebarisan Pengawal Yue merebah ke atas tanah bagaikan jerami yang layu. Mereka langsung tidak mempunyai ruang untuk membalas serangan pasukan tentera yang sebegitu hebat, namun, para askar tersebut masih melonjak ke hadapan tanpa sebarang perisai atau perlindungan dan menggunakan badan mereka sebagai perisai manusia untuk melengahkan masa supaya ketua mereka dapat terus bertahan.

Darah yang berlumuran telah mewarnai permukaan tasik tersebut dengan warna merah terang apabila cecair tersebut memercik-mercik di seluruh dataran berais ini. Oleh kerana maklumat Huo An, Tentera Helang Hitam yang terdiri daripada 200,000 orang ini sudah lama menunggu dan bersedia untuk melancarkan serangan hendap mereka. Ini bukan lagi sebuah peperangan, tetapi pembunuhan beramai-ramai. Anak panah melayang seperti sekumpulan lebah dengan bunyi udara yang mendesus laju boleh didengari ke arah tentera Zhuge Yue yang ternyata tidak begitu handal di tempat yang mereka terperangkap, menyebabkan mereka tidak berdaya untuk membalas apa-apa serangan. Aura kematian lantas menyelebungi mereka sementara mayat menimbun tinggi bagaikan sebuah gunung, sementara mereka yang masih hidup namun tercedera itu melepaskan rintihan keperitan mereka, mengakibatkan keberadaan mereka telah dikesan oleh pihak musuh sekali lagi.

Cheng Yuan menjilat bibirnya sedikit dan berpaling untuk melihat Yan Xun yang sedang berdiri di tengah-tengah khalayak ramai. Pemuda itu bakal meraih kemenangan yang sungguh besar apabila ketua marshal tentera Xia yang telah menakhluki Meng Barat dengan sungguh pantas itu akan mati di tangannya tidak lama lagi. Dia yang memikirkan hal ini terus berpeluh.

Tiba-tiba, bunyi telapuk kuda pertempuran kedengaran menderap laju datang dari arah tenggara. Para tentera yang telah memecah masuk formasi tentera Yan Bei ini segera menghunus senjata mereka sambil berpakaian hitam. Ya, mereka tentera Tentera Xiuli.

"Garison Utusan Barat Daya!"

Bunyi desahan tiba-tiba kedengaran dari pasukan tenteranya sementara pandangan mata Cheng Yuan bertukar dingin semasa pemuda ini berseru, "Mereka ini lagi!"

Ketika Cheng Yuan hendak mengeluarkan arahan agar para pemanah menyerang para Tentera Xiuli, suara rendah terdengar di telinganya. Yan Xun yang tiba-tiba muncul di sisinya, memerintah perlahan, "Kepung mereka, tetapi jangan bunuh mereka."

Cheng Yuan menuruti perintah tersebut dan menjawab, "Ya, Tuanku."

"Hentikannya!" Suara tegas tiba-tiba bergema. Semua orang lantas mengangkat kepala mereka dengan penuh terkejut hanya untuk melihat seekor kuda perang yang mendekati mereka dari arah tenggara sebelum ia melompat tinggi di udara, terbang di atas kepala para tentera yang sedang terlibat dalam pertempuran. Ketika ia mendarat di atas tanah, wanita muda itu melompat dari belakang kuda dan berlari ke ruang yang memisahkan kedua tentera itu sambil menjerit, "Hentikannya!"

Pasukan Tentera Helang Hitam yang mengenali wanita ini terus berhenti kerana mereka takut akan mencederakannya, kemudian memandang Yan Xun dalam keadaan panik.

"Yan Xun! Hentikannya! "Chu Qiao berdiri di tengah-tengah medan pertempuran itu dan menjerit sambil memandang anak mata pemuda tersebut dengan ekspresi yang cekal.

Raut wajah Yan Xun serius. Selepas beberapa lama, dia berkata dengan tenang, "Ah Chu, pergilah!"

Chu Qiao mengangkat kedua-dua tangannya dan merenung wajah pemuda itu sambil berkata, "Bunuhlah saya dulu."

"Xing'er, pergi." Suara rendah tiba-tiba bergema dari belakangnya. Chu Qiao lantas berpaling untuk melihat Zhuge Yue yang berlumuran darah sedang berdiri di atas lopak darahnya sendiri. Luka di dadanya telah dibalut, tetapi darah terus mengalir tanpa henti. Pemuda itu memandangnya dengan wajah yang sangat tenang, tidak bermurah hati namun tidak mempunyai sebarang kemarahan kerana telah diserang hendap juga. Dia berdiri dengan penuh bangganya di tengah kumpulan tenteranya yang sedang mengalami kecederaan parah sambil merenung para tentera dari Yan Bei tanpa rasa takut di matanya.

Mata Chu Qiao bertukar menjadi merah apabila dia menggelengkan kepalanya dengan tegas sambil berkata dengan lembut, "Saya dah hampakan awak."

Salji terus menyelimuti seluruh landskap dengan unsur-unsur merah terang yang mewarnai salji memutih, membuatkan ia kelihatan seperti bunga yang sedang mekar penuh mengabaikan iklim yang dingin. Desusan angin berbunyi dekat dengan telinga Chu Qiao sebelum dia melihat sebatang anak panah yang terbang melalui lapisan kabus. Bunyi anak panah emas milik Yan Xun yang membelah udara boleh didengari jelas semasa ia melayang ke arah wanita itu dengan kelajuan yang sungguh dahsyat. Chu Qiao langsung tidak mempunyai tempat untuk bersembunyi dan dia juga tidak dapat menghentikannya. Angin sejuk bertiup lembut pada lengannya membuatkan jantungnya terasa sejuk sementara wanita ini memerhatikan Yan Xun. Pemuda itu telah melepaskan anak panah yang bakal mengabdikan takdir pemuda itu pada sebuah jalan yang tidak boleh diputar kembalii; tangan takdir telah menunjukkan kekuatannya di tengah-tengah ribut salji.

Adegan itu seolah-olah bermain di hadapan matanya secara perlahan lantas melecurkan matanya dengan setiap pergerakan. Anak panah itu telah mengguris lehernya dan meninggalkan jejak darah sebelum menusuk ke dalam luka pada dada Zhuge Yue yang baru saja dibalut. Maka, satu lagi percikan darah dengan hebatnya telah dilepaskan ke udara sehingga membuatkan pipi Chu Qiao terasa hangat apabila diperciknya. Nafasnya terhenti ketika dia berdiri dengan perasaan terkejut sementara anak matanya tertumpu pada bayangan Zhuge Yue yang kelihatan sunyi. Lantas anak mata wanita ini mula memerah, begitu juga dengan adegan di hadapannya.

Chapitre suivant