webnovel

Anak Luar Nikah Orang Tidak Dikenali

Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Baik aku beritahu kau kebenaran! Malam itu, aku masukkan dadah dalam wain yang kau minum. Kau sungguh gersang selepas itu. Aku terpaksa mencari dua lelaki yang bagus untuk memuaskan nafsu kau. Tak sangka pula kau langsung tak hargai niat baik aku. Kau terus lari dan menyerbu masuk bilik lelaki yang tak dikenali. Lepas itu, kau bermalam dengan dia…" kata Ning Xueluo dengan jijik, "Abang Yan memang terlalu berlembut hati dan baik terhadap kau. Dia cuma takut kau tak dapat menerima hakikat yang sebenar, bila saja kau bangun dia terus mengaku dirinya sebagai pasangan kau malam itu!"

"Kau…" tubuh Ning Xi mula menggeletar apabila dia mendengar cerita sebenar tentang malam itu. Akhirnya, dia tidak mampu menahan dirinya dan terus menggenggam tangan Ning Xueluo dengan kuat. "Kenapa kau layan aku macam ini? Kenapa?! Tak cukup lagikah apa yang kau buat pada aku?"

Ning Xueluo mengerut dahinya. Hampir saja menolak Ning Xi. Tiba-tiba, dia ternampak Su Yan berjalan ke arah mereka di belakang Ning Xi. Dengan segera, suaranya bertukar lembut dan riak wajahnya bertukar. Dia kelihatan simpati. "Kakak, aku mengaku salah. Kalau kau nak pukul atau tengking, kau lepaskan pada aku. Tolong jangan salahkan Abang Yan…" 

Ning Xi berhenti sejenak. Sebentar kemudian, Ning Xueluo terus jatuh ke tanah seolah-olah ditolak oleh Ning Xi.

"Ning Xi! Apa yang kau —" Tuduh seseorang dari belakangnya.

Ning Xi berpusing ke belakang dan ternampak muka Su Yan yang kelihatan marah.

Tanpa menghiraukannya, Su Yan berlari ke sisi Ning Xueluo untuk memapah dan membantunya. "Xueluo, awak tak apa-apa?"

Ning Xueluo sengaja menyandarkan badannya pada Su Yan. "Abang Yan, saya tak sengaja, saya tahu memang saya yang bersalah…ini semuanya sebab saya menganiaya Kakak…"

"Sudahlah! Jangan salahkan diri awak. Apa-apa pun yang jadi, abang akan selalu berada di sisimu!" Su Yan memujuk dan membantunya masuk ke dalam kereta. "Abang akan jelaskan semuanya kepada Ning Xi."

Ning Xi tergamam apabila dia melihat Su Yan berjalan ke arahnya dan membuka mulutnya untuk menjelaskan segala-galanya.

Lama juga dia bercakap.

Dia bercerita tentang zaman dahulu dan zaman kanak-kanak mereka yang bahagia. Dia menceritakan tentang dilema yang dihadapinya apabila dia mula jatuh cinta pada Ning Xueluo. Dia menceritakan tentang rasa amarahnya apabila dia mendapat tahu rancangan licik Ning Xueluo terhadap Ning Xi. Dia mengaku betapa dia berasa takut dan sesal apabila menerima berita mengenai kehamilan Ning Xi. Dia menceritakan tentang penerimaan permohonan maaf daripada Ning Xueluo...

Akhirnya, dia berkata, "Ning Xi, abang minta maaf. Abang tak boleh berkahwin dengan kamu. Ini bukannya sebab apa yang berlaku pada malam itu, ataupun sebab abang tak mahukan anak itu. Semuanya sebab abang rasa bersalah pada Xueluo dan abang tidak dapat menafikan perasaan abang terhadapnya."

Su Yan dan Ning Xueluo amat rapat sejak beberapa bulan yang lepas. Mereka tidak pernah berenggang dan bagaikan belangkas. Oleh itu, memang susah untuk Su Yan berjauhan dengan Ning Xueluo. Pada mulanya, dia cuma ingin mengurangkan kesakitan hati Ning Xi dengan berpura-pura mengaku bahawa dia mencintai Ning Xi. Namun, dalam hatinya, cuma ada Ning Xueluo.

Oleh itu, apabila dia mendapat tahu tentang berita kehamilan Ning Xi, dia segera ke rumah keluarga Ning untuk menjelaskan segalanya kepada Tuan Kedua. Namun, dia tidak menceritakan kebenaran itu kepada Ning Xi.

"Maksud kau… Su Yan… dari mulanya, kau tahu ini semuanya salah Ning Xueluo. Kau tahu dia yang bubuh dadah dalam wain aku dan menghancurkan kesucian aku? Jadi, sebab kau nak lindungi dia, kau tipu aku bahawa orang dari malam itu adalah engkau?" Ning Xi akhirnya bersuara. Dia terkaku melihat Su Yan.

"Ning Xi, Xueluo tak sengaja. Dia masih muda lagi. Dia banyak bertindak ikut nafsu dan akalnya cetek…"

"Habis itu, aku ini pula macam mana?" Ning Xi melihat Su Yan dengan kecewa dan tanpa harapan. "Tak pernahkah kau fikir akan perasaan aku?"

Su Yan senyap sahaja. Setelah beberapa lama, dia menghulurkan tangannya untuk memegang tangan Ning Xi. "Matahari sangat terik ni, mari kita balik rumah…"

"Jangan sentuh aku —" Ning Xi segera menepis tangannya dan tertawa terbahak-bahak.

Ning Xi berasa seluruh hidupnya kini cuma satu jenaka yang lucu. Demi Su Yan, dia bekerja keras untuk memasuki Universiti B supaya dia dapat mengikut Su Yan ke bandar yang didiaminya.

Demi Su Yan, dia telah meninggalkan impiannya untuk menjadi pelakon.

Dia turut meninggalkan ibu bapa angkatnya dan kembali ke keluarga Ning supaya status keluarga mereka sepadan. Dengan bodohnya, dia telah cuba menggembirakan mereka yang kononnya merupakan keluarga berkelas tinggi.

Namun, hasil dari segala usahanya, dia cuma mendengar ini: "Aku tidak boleh buat salah pada Xueluo."

Ning Xueluo bukan sahaja telah mencuri identitinya dan ibu bapa kandungnya, tetapi hari ini…dia juga telah mencuri orang yang paling dicintainya. Ning Xueluo memang masih muda lagi…namun, bagaimana boleh dia dimaafkan? Jika dia memang dah memaafkan perempuan itu, siapa lagi yang boleh dia salahkan untuk semua nasib malang yang dialaminya? Dia masih tidak tahu siapa lelaki dari malam itu!

Ning Xi menutup mukanya. Badannya menggeletar. Dia sudah melampaui batas kemampuannya dan kini di ambang putus asa.

Su Yan melihat Ning Xi menyeberangi jalan tanpa berfikir. Dia hendak mengejarnya dari belakang. Tiba-tiba, Ning Xueluo menarik lengannya dan bertanya, "Abang Yan nak pergi mana?"

Su Yan dalam dilema. Dalam masa yang singkat itu, kedengaran bunyi dentuman yang kuat.

"Tolong! Tolong! Ada perempuan mengandung dilanggar kereta!"

Di sebalik cahaya, Ning Xi ternampak dua susuk tubuh dan wajah yang membuatnya meluat. Dia terasa perutnya kejang, dan perlahan-lahan, dia tidak sedarkan diri akibat kesakitan yang melampau. Dia mengelip matanya, dan darah yang mengalir dari dahinya masuk ke dalam matanya…dia terus tidak sedarkan diri.

Chapitre suivant