webnovel

Tamparan Keempat (2)

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Kekecohan mula berlaku di dewan utama Istana Diraja seketika kemudian. Para pelayan istana dan sida-sida yang sedang bersembunyi di satu sudut, mula menjerit dengan nyaring apabila mendapati mereka tidak ada ruang lagi untuk lari.

"Hmm? Kau semua datang menyerang aku serentak? Hebat!" Berhadapan dengan lebih sepuluh orang penyerang yang meluru ke arahnya pada masa yang sama, Teratai Mabuk langsung tidak berganjak. Kegilaan ini telah membuatkan aliran adrenalina di dalam badannya mula memuncak. Wain Bulan Jed yang merupakan antara wain terbaik itu diteguk sehingga habis, sebelum balang wain itu dicampakkan ke dinding. Wain yang memabukkan itu mengalir ke seluruh badan Teratai Mabuk dan pipinya menjadi kemerah-merahan. Dia menjerit dengan puas hati, "WHOA! Tuan Teratai Mabuk akan menikmati pembunuhan beramai-ramai ini!"

"Aku nak tengok sejauh mana keangkuhan kau tu boleh bertahan! Kamu semua! Penggal kepalanya!" Jiang Chen Qing merenung marah terhadap Teratai Mabuk sambil mengetap giginya. Dia tidak pernah dimalukan sebegini sepanjang hidupnya. Dia tidak sabar mahu menghancurkan tulang Teratai Mabuk dan menaburkan abunya!

Para pengikut Kumpulan Qing Yun bergabung tenaga dengan pakar-pakar roh biru untuk menyerang Teratai Mabuk. Binatang hitam itu mengambil peluang untuk menyelinap di celah-celah kerumunan orang ramai itu, tetapi dua orang pengguna roh tahap biru perasan pergerakannya dan cuba menghalang laluannya. Binatang hitam yang besar itu ternyata terlalu pantas dan berjaya mengelak cubaan mereka untuk menyekatnya.

[Orang-orang dungu sekalian, berseronoklah bertempur dengan Teratai Mabuk. Aku ada arahan khusus!]

Binatang hitam itu terhendap-hendap dan merapatkan dirinya ke lantai, langsung tidak berniat untuk bertempur dengan pihak musuh sewaktu mendekati sasarannya.

Pakar roh tahap indigo itu memandang ke arah Jun Wu Xie dan mendapatkan bantuan tiga orang pakar roh tahap biru untuk sama-sama menyerang gadis itu. Mereka dapat melihat dengan jelas bahawa gadis muda ini ialah komander kumpulan itu. Untuk membunuh ular, kepalanya perlu diserang dahulu. Selagi mereka boleh membunuh gadis ini, pemuda dan binatang hitam itu akan dapat dimusnahkan.

Namun begitu, mereka langsung tidak memberikan perhatian terhadap lelaki yang tinggi dan tampan yang berdiri di belakang Jun Wu Xie.

Jun Wu Yao hanya tersenyum sahaja selama ini. Melihatkan empat orang pakar itu menjerit sambil menerkam Jun Wu Xie, keningnya bergerak-gerak sedikit. Sebaik pakar roh tahap indigo itu hampir menyentuh Jun Wu Xie, dia memeluk gadis itu dan tubuhnya yang tinggi lampai melayang ke udara. Pergerakannya elegan dan lembut.

"Jangan comotkan baju Sayang aku ni dengan tangan kau yang kotor tu," kata Jun Wu Yao dengan nakal sambil tersenyum. Tetapi senyumannya tidak terlihat di matanya.

Pakar roh tahap indigo itu melompat untuk mengejar mereka. Matanya tertumpu pada wajah Jun Wu Yao yang menawan.

Jun Wu Yao menggerakkan jarinya sedikit dan beberapa pancaran jalur berwarna gelap meluru ke arah muka musuh-musuh yang sedang mengejar mereka!

Sebaik terkena muka mereka, jalur gelap itu berubah menjadi bentuk fizikal. Jalur-jalur itu sebenarnya ialah ular hitam sebesar jari. Sisik pada badan ular-ular ini terbonjol sedikit dan tajam seperti pisau serta mempunyai racun berbisa. Ular-ular hitam kecil ini menoreh muka empat orang musuh itu sehingga berdarah dan satu kabus gelap berterusan menyelubungi ular-ular itu. Empat orang pakar yang amat kuat dan dihormati itu meraung kesakitan!

Daging pada muka mereka dirasakan seperti terbakar, seolah-olah ada besi panas yang ditekan ke muka mereka. Kesakitan ini tidak tertanggung. Mereka kemudiannya menjadi gerun apabila menyedari kesakitan itu kini tersebar ke seluruh tubuh mereka!

"Ular-ular ini beracun! Lindungi tubuh kamu dengan tenaga rohani!" Pakar roh tahap indigo itu bertindak balas melawan keadaan yang dahsyat ini dan dengan cepat melepaskan tenaga rohani daripada badannya. Cahaya berwarna indigo menyelubungi seluruh tubuhnya. Tiga orang pakar yang lain menurut jejak langkahnya.

"Tenaga rohani kau sikit saja dan kau mahu menyingkirkan Ular Dakwat aku?" Jun Wu Yao ketawa.

Empat orang lelaki itu mengeluarkan tenaga rohani mereka dan menyelubungi badan mereka dengan tenaga itu untuk berlindung daripada serangan Ular Dakwat. Tetapi tenaga rohani mereka langsung tidak berkesan terhadap makhluk kecil ini yang sangat pantas dan lincah. Ular-ular ini kemudiannya menyusup masuk di bawah kolar baju mereka. Setiap tempat yang dilalui oleh ular-ular akan menyebabkan daging pakar-pakar ini dikelar, disusuli kesakitan yang memeritkan!

Tenaga rohani yang mereka ada langsung tidak dapat membantu mereka!

Bukan sahaja pakar roh tahap biru, malah pakar roh indigo yang paling kuat di antara mereka sekalipun tidak berdaya menahan seksaan akibat serangan Ular Dakwat ini.

Ular Dakwat itu kecil sahaja saiznya dan begitu tangkas. Sebelum sempat ditangkap, ular-ular ini sudah menyelit masuk ke bawah pakaian mereka. Seketika kemudian pakaian mereka berlumuran darah dan mereka jatuh ke lantai dalam kesakitan.

Lelaki yang melepaskan Ular Dakwat itu memerhatikan mereka sambil memeluk Jun Wu Xie. Ada senyuman yang lebar di wajahnya sewaktu dia menikmati hasil kerjanya ini.

Chapitre suivant