webnovel

Tamparan Kedua (1)

Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Ketika ini Tabib Diraja pasti sudah mengesahkan ketulenan pil itu dan menghantarnya kepada Baginda Maharaja." Jun Wu Xie mengangkat matanya, memandang wajah Bai Yun Xian yang pucat dan kaku itu.

Bai Yun Xian berdiri sambil bibirnya bergetar. Dia benar-benar terkejut.

Wajah Mo Xuan Fei menjadi gelap. Dia langsung tidak menyangka Jun Wu Xie membuat rancangan seperti ini!

Beberapa buah botol Pil Embun Jed sudahpun dihadiahkan kepada Baginda Maharaja sewaktu Bai Yun Xian mula-mula sampai ke Kerajaan Qi. Sebarang ubat-ubatan yang diambil oleh Maharaja perlu dipastikan selamat oleh Tabib Diraja sebelum sampai pada Baginda. Tabib Diraja mungkin tidak boleh mereplikasi pelbagai jenis ubat-ubatan yang dihantar pada mereka tetapi mudah sahaja untuk mereka mengenali ubat-ubat tersebut.

Mo Xuan Fei berniat menyuruh Bai Yun Xian mengatakan pil-pil itu palsu supaya Jun Wu Xie tidak dapat membantah. Lagipun siapa yang akan percayakan kata-kata orang biasa seperti Jun Wu Xie berbanding dengan kata-kata anak murid Kumpulan Qing Yun yang sangat dihormati.

Siapa sangka Jun Wu Xie sudahpun bersedia menghadapi perbuatan khianat, meskipun pil yang dibuatnya belum disahkan tulen lagi.

Pil Embun Jed yang dihadiahkan oleh Bai Yun Xian kepada Maharaja pasti sudah diperiksa isi kandungan dan ciri-cirinya oleh Tabib Diraja. Mudah saja untuk mereka mengesahkan pil yang Jun Wu Xie buat itu ialah pil yang sama.

Berdasarkan reaksi Bai Yun Xian, Mo Xuan Fei dapat mengagak Pil Embun Jed yang Jun Wu Xie bawa itu tulen!

Sejak bila Jun Wu Xie menjadi begitu bijak?

Mo Qian Yuan yang memerhatikan sahaja situasi yang berlaku, menghela nafas lega. Bibirnya menguntum senyuman kecil dan dia merenung Jun Wu Xie.

Gadis yang kelihatan muda dan pendiam ini lebih berkebolehan daripada yang disangka!

Jun Wu Xie boleh sahaja menyuruh Bai Yun Xian menghantar pil itu ke Tabib Diraja untuk dibuat pengesahan, tetapi dia menahan dirinya. Dia mengumpan Bai Yun Xian untuk mengatakan pil itu palsu sebelum mendedahkan yang dia sudahpun menghantar pil itu kepada Maharaja.

Apabila diketahui yang Tabib Diraja sudah menentukan ketulenan Pil Embun Jed itu dan Bai Yun Xian pula mengatakan pil itu palsu, ini bermaksud Bai Yun Xian tidak mempunyai kemahiran untuk memeriksa pil itu, ataupun dia berniat jahat dan telah berbohong!

Apa yang dikatakannya tadi tidak boleh ditarik balik. Ini satu tindakan genius daripada Jun Wu Xie, dan boleh diibaratkan sebagai memberi tamparan ke muka Bai Yun Xian.

Kedengaran bunyi tamparan yang kuat!

Hanya dengan satu pergerakan, Jun Wu Xie sudah menampar Bai Yun Xian dan menghimpit Mo Xuan Fei.

Dia merenung Jun Wu Xie seakan tidak percaya. Gadis ini kelihatan asing padanya.

Bukankah ini gadis yang tergila-gilakan dia, selalu mengekorinya dan dahagakan perhatiannya? Atau gadis yang kasar, tidak beradab dan bodoh?

Kenapa dia merasakan seperti tidak mengenali Jun Wu Xie?

Dia menyangkakan Jun Wu Xie bersikap dingin dengannya kerana dia meninggalkan gadis itu demi Bai Yun Xian. Sangkanya juga, Jun Wu Xie mahu menarik perhatiannya dengan meniru perwatakan Bai Yun Xian yang dingin, kerana memikirkan sikap sebegitu yang disukai oleh Mo Xuan Fei. Nampaknya selama ini Mo Xuan Fei hanya berangan-angan sahaja.

Jun Wu Xie yang dahulu tidak memiliki ilmu perubatan, apatah lagi berkebolehan untuk membuat Pil Embun Jed. Membuat rancangan rahsia dengan menghantarkan pil itu kepada Maharaja, ini bukanlah sesuatu yang mampu dilakukan oleh Jun Wu Xie yang dikenalinya!

Dalam situasi sekarang, Mo Xuan Fei merasakan dia telah menerima tamparan yang meruntuhkan keangkuhannya serta membuatkan dia berputus asa akibat mengalami kekalahan.

Tidak!

Dia tidak akan benarkan perkara ini berlaku!

"Jun Wu Xie, berani kamu berbuat sesuka hati kamu. Bagaimana kamu boleh menghantar pil itu kepada Baginda Maharaja? Pil itu mungkin akan meracuninya! Yun Xian, ikut saya melawat Ayahanda. Kita tak boleh biarkan apa-apa terjadi pada Baginda." Mo Xuan Fei menarik tangan Bai Yun Xian dan bergegas keluar.

Chapitre suivant