webnovel

Seni Suci Jalan Syurga

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Tidak perlu diperkatakan bahawa Akademi Hongtian, malah mazhab terhebat pun tidak mempunyai teknik pertapaan tahap dewa ataupun wali. Lagipun, sekiranya mereka mempunyainya, ia akan berada di tempat yang tersembunyi supaya orang biasa tidak akan mampu mendapatkannya.

 

Apa yang ingin dibuat olehnya adalah untuk mencipta satu teknik yang lebih cekap supaya dia boleh meningkatkan kadar pertapaannya dengan mendadak.

 

"Saya tidak mempunyai sebarang teknik pertapaan 4-Dan. Biar saya pergi ke Pavilion Kompendium Guru untuk pergi melihatnya!"

 

Melatih Teknik 9-Dan Hongtian, seorang petapa hanya boleh mengambil kitab suci untuk alam seterusnya hanya selepas dia melepasi alamnya sekarang. Pada saat ini, dia hanya mempunyai teknik untuk tahap 3-Dan. Dia belum lagi melihat walaupun satu untuk tahap 4-Dan.

 

Berjalan keluar, matahari baru sahaja terbenam dan masih ramai yang sedang berkeliaran di jalan tersebut.

 

Cahaya bulan menerangi persekitaran dengan warna kelabu. Beberapa kekasih yang baru sahaja merasai buah terlarang sedang berpelukan di bawah pokok sambil bersembang kosong antara mereka. Walaupun demikian, persekitaran masih sunyi dan senyap.

 

Zhang Xuan tidak menghiraukan perkara yang remeh-temeh. Oleh itu, dia mula mempercepatkan langkahnya ke Pavilion Kompendium Guru yang berada di depannya.

 

Pavilion Kompendium dipecahkan kepada dua bahagian, guru dan pelajar. Di dalamnya terdapat pelbagai kitab rahsia dan teknik pertapaan. Ia antara tempat yang paling penting di seluruh akademi ini.

 

"Tetua Mo!"

 

Berjalan menuju pintu masuk, dia menundukkan kepalanya kepada tetua yang duduk berdekatan pintu gerbang Pavilion Kompendium Guru tersebut.

 

Tetua Mo merupakan seorang penjaga Pavilion Kompendium. Tiada sesiapa yang mengetahui alam mana yang telah dicapainya tetapi dia adalah antara yang terkuat di dalam akademi. Namun, dia telah pun berhenti berlawan untuk beberapa tahun dan sekarang tidak ada orang yang betul-betul tahu akan kekuatannya.

 

"Kamu di sini! Kamu sudah mencapai Peninju 4-Dan?"

 

Tetua Mo melihatnya sambil mengurut janggutnya.

 

"Ia cuma sekadar nasib!" Zhang Xuan berkata tanpa cuba untuk menyembunyikan bahawa dia telah mencapai Peninju 4-Dan.

 

"Bagus, Bagus. Berlatihlah dengan lebih tekun. Akademi masih memerlukan orang muda sepertimu!" Tetua Mo mengangguk kepalanya dengan puas.

 

"Yea!" Zhang Xuan tidak sambung bercakap tetapi terus berjalan masuk ke bilik tersebut.

 

Sejurus sahaja dia masuk ke dalam bilik, Tetua Mo menggelengkan kepalanya dan bercakap, "Dia budak yang baik, cuma dia kekurangan bakat dan sedikit perlahan dalam pertapaannya!"

 

Petapa yang lain mengambil kira-kira dua tahun untuk melepasi tahap Peninju 3-Dan manakala Zhang Xuan mengambil hampir tiga tahun untuk berbuat demikian. Bakatnya sememangnnya kurang.

 

"Selepas mencapai Peninju 4-Dan kemudian dia meneruskan latihannya dengan tekun, dia sepatutnya akan menjadi cikgu yang biasa. Harapannya adalah agar dia tidak mendapat markah yang teruk dalam Peperiksaaan Kelayakan Guru yang seterusnya…"

 

Selepas merungut untuk seketika, Tetua Mo tidak menyambung dan mula melelapkan matanya.

 

Zhang Xuan merupakan antara guru yang paling sopan antara guru muda yang lain. Walaupun dia tidak begitu suka dengannya, namun dia juga tidak membencinya. Dia cuma tidak selesa bahawa bakatnya kurang terserlah.

 

Tanpa menghiraukan bebelan Tetua Mo, Zhang Xuan berjalan masuk ke Ruang Kompendium.

 

Walaupun Pavilion Kompendium Akademi Hongtian adalah amat besar, namun ia amat kecil jika dibandingkan dengan tempat kerja dalam kehidupannya yang lepas dan ia juga lebih kecil berbanding Perpustakaan Jalan Syurga yang ada di dalam mindanya.

 

Ia tidak boleh sama sekali untuk disamakan.

 

Dia berjalan dengan cepat ke bahagian teknik pertapaan dan terus menuju ke rak keempat.

 

Sememangnya, teknik pertapaan 9-Dan Hongtian berada di sini.

 

Selepas mengambilnya, dia terus mengimbas buku tersebut.

 

Hu!

 

Buku yang sama muncul didalam mindanya. Apabila diteliti, ia sama dengan 3-Dan, yang terdapat lebih daripada tiga ribu kesalahan.

 

"Terdapat banyak lagi kitab suci di sini. Biar saya melihat yang lain juga!"

 

Dengan pengalamannya dalam melepasi alam yang sebelumnya, Zhang Xuan tidak menumpukan perhatian kepada masalah yang berada di dalamnya tetapi pada rak buku yang dihadapannya.

 

Pada rak buku baris keempat, terdapat pelbagai jenis kitab teknik pertapaan. Kesemuanya merupakan teknik pertapaan 4-Dan dan terdapat banyak nota dan penjelasan yang ditinggalkan oleh penggunanya yang terdahulu. Dengan sekilas pandang sahaja terdapat hampir seribu daripada mereka.

 

Kalau orang lain di tempat dia, mereka tentunya akan pitam kerana terdapat beratus-ratus buku dan di dalamnya beribu-ribu nota. Lebih-lebih lagi, ada teori-teori pertapaan yang bertentangan dengan teori pertapaan yang lain. Oleh hal yang demikian, sungguh susah untuk mengetahui yang manakah betul. Kalau seseorang itu berlatih secara rawak tanpa mengetahui apa-apa, dia mungkin akan hilang kawalan.

 

Namun, Zhang Xuan berbeza. Dia mempunyai Perpustakaan Jalan Syurga. Dia mampu membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Oleh hal demikian, dia tidak takut untuk mengimbas mana-mana buku.

 

Hu!

 

Buku yang sama muncul didalam mindanya.

 

Zhang Xuan tidak berhenti dan mengambil buku yang seterusnya.

 

Dia tidak membaca buku tersebut dan juga tidak meminjamnya. Dia cuma sekadar ingin meningkatkan bilangan buku yang ada di Perpustakaan Jalan Syurga supaya dia boleh merumuskan teknik baru dengan lebih cekap.

 

Hualala!

 

Bunyi muka surat yang diimbas boleh didengari ke seluruh bilik tersebut.

 

"Tidak berkeyakinan. Tidak sabar dan tidak logik!"

 

Mendengar perkataan tersebut, Tetua Mo berkerut.

 

Zhang Xuan telah pun memilih untuk bertapa mengikut teknik 9-Dan Hongtian, dan dia sepatutnya tidak berfikir tentang teknik yang lain. Dia sepatutnya menggunakan masanya untuk menyalin teknik untuk 4-Dan supaya dia boleh menganalisanya dan terus memulakan latihan. Walaupun dia boleh menggunakan kelebihan teknik lain untuk memperbaiki tekniknya, namun lebih banyak teknik yang dipelajari, lebih senang untuk seseorang itu menjadi tidak sabar dan gopoh. Akhirnya, ia perkara yang kecil jikalau tidak ada apa apa yang berlaku. Kalau perkara yang tidak diingini berlaku, berkemungkinan besar pertapaannya akan rosak dan mula hilang kawalan!

 

Tiga puluh tahun dahulu, seorang budak yang berbakat dan pandai sering memandang rendah terhadap orang lain. Dia mendapat idea untuk merumuskan satu teknik yang hebat hasil daripada pelbagai teknik yang sedia ada khas untuk dirinya. Akhirnya, kerana membaca terlalu banyak kitab, dia menjadi tidak tentu arah dan akhirnya pertapaannya hilang kawalan dan dia mula menjadi gila.

 

Ketamakkan membawa padah!

 

Inilah kebenarannya.

 

Dia mengambil tiga tahun untuk melepasi alam Zhenqi, bakatnya terserlah. Dengan bakatnya yang sebegitu, dia sepatutnya terus patuh dengan teknik pertapaan 4-Dan daripada Teknik 9-Dan Hongtian. Namun, dia memilih untuk mengimbas melalui kitab teknik yang lain. Adakah dia sekadar mencari keseronokan?

 

Dengan sekilas pandang, seseorang akan tahu bahawa dia seorang yang tidak masuk akal!

 

Prasangka baiknya terhadap Zhang Xuan hilang begitu sahaja.

 

"Membuat persembahan hanya untuk mendapatkan pujian orang ramai!"

 

Selepas meneliti Zhang Xuan, dia perasan bahawa Zhang Xuan sekadar mengimbas melalui buku tanpa melihat ataupun menelitinya. Tetua Mo menyepetkan matanya dan mula berasa sangsi terhadapnya. Kalau seseorang itu belajar setiap kitab dengan teliti, walaupun mereka tidak masuk akal, mereka tetap boleh mendapat sedikit ilmu. Namun, orang ini sekadar mengimbas melaluinya dan berdasarkan kecepatan muka surat yang diimbasnya, Tetua Mo pun tidak akan mampu membacanya langsung. Kalau dia tidak boleh membacanya, apatah lagi seseorang yang baru mencapai tahap Peninju 4-Dan?

 

Sekarang dia betul-betul membuat persembahan sekadar ingin mendapat pujian orang ramai!

 

"Budaya akademi kian hari kian merosot dengan setiap generasi!"

 

Selepas berkata demikian, dia menutup matanya tanpa ingin peduli tentang orang tersebut lagi.

 

"Tak nak kisah lagi!"

 

Kelajuan dia mengimbas bukunya amat cepat. DIa mampu mengimbas kitab biasa dengan senafas atau dua. Dalam dua jam, dia habis mengimbas semua kitab pertapaan dan beribu-ribu kitab yang seiras turut muncul didalam Perpustakaan Jalan Syurga.

 

"Masanya untuk pulang dan membacanya!"

 

Apabila matlamatnya telah pun tercapai, dia tersenyum pada diri sendiri dan mula berjalan keluar dari Pavilion Kompendium Guru.

 

"Kamu tidak menyalin atau mengambil sebarang nota?"

 

Melihatnya keluar dengan tangan yang kosong, Tetua Mo terpaksa tanya.

 

Walaupun dia tidak masuk akal, dia sepatutnya mengambil atau pun membuat beberapa salinan kitab rahsia supaya dia boleh membacanya selepas dia pulang ke biliknya. Datang dan pulang dengan tangan yang kosong, adakah kamu datang ke sini untuk bermain-main?

 

"Tak apa, saya sebenarnya datang sini sekadar ingin melihat.."

 

Tidak tahu apa yang difikirkan Tetua Mo, Zhang Xuan sekadar senyum dan berlalu pergi.

 

"Sekadar melihat! Membuang masa! Akademi patut menghukum orang sebegini! Bagaimana orang yang membuang masa sebegini boleh menjadi seorang guru!" Tetua Mo menggoyangkan tangannya dengan marah.

 

Kitab pertapaan menjadi asas untuk setiap petapa dan mereka sepatutnya menghormatinya. Namun, orang ini hanya datang ke sini untuk melihat dan pulang selepas mengimbas kitab-kitab tersebut.

 

Kelakuan sebegini tidak boleh diterima!

 

Nampaknya dia perlu bercakap dengan pengetua untuk menangani guru yang mencemarkan budaya akademi ini.

 

Apabila sampai sahaja ke biliknya, Zhang Xuan mengambil keluar kertas dan pen untuk mengimbas manual teknik 4-Dan dalam teknik 9-Dan Hongtian untuk menyalin bahagian yang betul.

 

Kemudian, dia mengambil buku yang lain dan mula menyalin bahagian yang betul juga.

 

Selepas mengimbas beberapa kitab, Zhang Xuan mengerutkan dahinya.

 

Ia sebenarnya agak menyusahkan dan meletihkan untuk mengimbas melalui beribu-ribu buku sebegitu. Ia tidak semudah yang disangkakan.

 

Sedang dia memikirkan cara untuk mempercekapkan tugasnya, mindanya mula terbuka lagi.

 

Beribu-ribu buku yang telah dirumuskan dalam Perpustakaan Jalan Syurga mula jatuh dan dengan perlahan bergabung menjadi satu.

 

Weng!

 

Beribu-ribu buku bergabung menjadi satu buku.

 

Tidak terdapat nama pada buku yang baru tersebut. Zhang Xuan mengambilnya dan mula mengimbasnya.

 

"Ini…adakah ini rumusan jalan yang betul daripada beribu-ribu kitab suci?"

 

Selepas melihatnya, Zhang Xuan mula berasa sangat ghairah.

 

Dahulu, jika dia teringin mendapatkan jalan yang betul daripada beribu-ribu buku amatlah susah. Ia merupakan sesuatu yang mengambil terlalu banyak masa. Dia tidak terfikir bahawa perpustakaan ini akan merumuskannya dengan sendiri.

 

"Buku ini..tidak ada sebarang kesalahan di dalamnya!"

 

Buku yang tidak bernama itu merupakan rumusan kesemua jalan yang betul dalam pertapaan dan tidak mempunyai satu kesalahan pun di dalamnya.

 

Kandungannya bukan lagi teknik 9-Dan Hongtian ataupun mana-mana kitab yang pernah dirumuskan. Ini suatu teknik yang baru dan belum pernah dilihat olehnya.

 

"Disebabkan ia teknik yang dirumuskan oleh Perpustakaan Jalan Syurga, mari kita memanggilnya Seni Suci Jalan Syurga!"

 

Dia memikiran nama untuk teknik yang tidak bernama tersebut.

 

Weng!

 

Seakan-akan membaca fikirannya, empat perkataan muncul diatas permukaan buku tersebut.

 

Seni Suci Jalan Syurga!

Chapitre suivant