webnovel

Adakah ini Nasi Goreng Telur atau Eliksir Goreng Telur?

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Ini ialah kali pertama suasana Kedai Kecil Fang Fang menjadi sebegini meriah.

Disebabkan kejadian lebih daripada seratus lelaki berbogel cabut lari, Kedai Kecil Fang Fang kini dikenali ramai di kawasan kejiranan itu. Walaupun ramai yang merungut tentang kawasan restoran yang terpencil itu, mereka tetap masuk kerana rasa ingin tahu.

Seorang wanita masuk ke dalam Kedai Kecil Fang Fang sambil mendukung anak kecilnya yang berhingus. Kedai sempit itu berada dalam keadaan bersih, manakala permukaan meja yang dijaga rapi menunjukkan sikap teliti pemilik kedai itu. Layanan baik diberikan di kedai itu bagi memastikan para pelanggan berasa selesa.

Dari hiasan sahaja jelas menampakkan ia sebuah kedai yang berkualiti tinggi.

"Oh, tuan kedai, apa yang kamu jual di sini? Hiasan kedai kamu sangat mengagumkan, setanding dengan dengan bilik suite di Restoran Phoenix Abadi!" Wanita itu berkata sambil mengelap hingus anak yang didukung dan kemudian dikesat pada bajunya. 

Bu Fang merenung tangan wanita itu tanpa emosi.

"Kamu bercakap macam kamu pernah sampai ke Restoran Phoenix Abadi itu! Berhenti bercakap besar!" Lelaki tua itu mendengus.

Wanita itu terus berasa sakit hati dengan kata-kata lelaki tua itu. Dia meletakkan anaknya ke bawah dan terus bercekak pinggang. Dia menjegil mata kepada lelaki tua itu dan bersedia untuk berperang mulut dengannya.

"Maafkan saya, para pelanggan. Sekiranya anda ingin memesan makanan, menu ada di belakang anda. Sekiranya anda ingin bergaduh, sila lakukannya di luar." Bu Fang berkata mudah, meleraikan satu pertarungan hebat yang hampir berlaku di antara dua jiran itu.

Wanita itu mendengus, tetapi hanya berhenti apabila teringat dia berada di kedai orang. Dia terus melihat menu sambil menggumam perlahan, "Saya tahu kamu seorang yang baik dan bukan mudah untuk menjalankan perniagaan, jadi wanita tua ini akan cuba bantu. Saya ingin memesan satu hidangan…"

Wanita itu berhenti bercakap dan merenung menu itu dengan perasaan tidak percaya!

Lelaki tua itu hairan dengan kelakuan wanita itu lalu dia menoleh kepalanya untuk melihat air mukanya. Apabila dia memandang kepada menu, dia hampir muntah darah.

"Oh Tuhan! Satu mangkuk Nasi Goreng Telur berharga satu kristal? Satu pinggan Sayur Goreng berharga beratus syiling emas?! Kenapa kamu tak pergi rompak bank saja?!" Lelaki tua itu begitu terkejut sehinggakan janggutnya hampir tertanggal dek kerana menggigil.

Badan wanita yang montok itu pun menggigil sambil berkata dengan nyaring, "Anak muda, ini tidak beretika! Siapa yang mahu makan di sini dengan harga sebegini?!"

Lelaki tua dan wanita itu yang asalnya bermusuh kini bergabung tenaga untuk menentang Bu Fang.

Sementara, Bu Fang kekal acuh tidak acuh tanpa emosi.

"Ada sebab mengapa harganya sebegitu. Jika anda ingin makan, sila buat pesanan. Sekiranya tidak, sila beredar sekarang."

Sebagai seorang yang bercita-cita menjadi Tuhan Masakan, Bu Fang ada harga diri.

Wanita itu memandang Bu Fang seperti dia orang gila sebelum beredar dengan segera bersama-sama anaknya. Lelaki tua yang bongkok itu menggelengkan kepalanya sambil berjalan keluar dari kedai itu.

Bu Fang tidak terkejut dengan reaksi mereka kerana dia sudah jangka. Harga hidangan itu menyebabkan dia hilang ramai pelanggan kerana ramai yang tidak mampu membayar harga sedemikian.

Ramai yang masuk ke dalam kedai itu memberi reaksi yang sama seperti wanita tadi dan beredar sambil merungut.

Orang ramai dalam kedainya hilang dalam sekelip mata.

Kedai Kecil Fang Fang yang tadinya meriah kini kembali kepada keadaan asalnya, sunyi sepi dan tiada siapa pun yang ingin membelanja wang mereka di situ.

Xiao Xiaolong membawa pemuda tadi masuk ke restoran kecil itu.

Dia nampak agak teruja. "Disebabkan kakak saya tiada di sini, saya rasa saya ada cukup kristal untuk makan satu mangkuk Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi."

Disebabkan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi hanya boleh dipesan oleh pelanggan di tahap Maniak Pertempuran kelas ketiga, sudah pastinya hidangan ini luar biasa. Sebelum ini, Nasi Goreng Telur biasa pun telah membantunya mengatasi sekatan, jadi sudah pastinya Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi ini akan memberi kesan yang lebih baik!

"Xiaolong, awak kata Nasi Goreng Telur di sini sedap?" Pemuda itu berdiri sambil tangan diletakkan di belakang, memberi aura yang hebat. Dia melihat di sekitar kedai itu sambil berkata mudah.

"Ya betul! Tuan muda ketiga, Nasi Goreng Telur di sini adalah yang paling sedap saya pernah rasa! Cef keluarga saya pun… Tidak! Nasi Goreng Telur yang dimasak cef keluarga tuan pun tidak sehebat restoran ini!"

Sambil Xiao Xiaolong teringat semula rasa Nasi Goreng Telur Bu Fang, dia mengecilkan mata dan jelas kelihatan puas di wajahnya. 

Tuan muda ketiga itu agak terkejut, dia tidak sangka Xiao Xiaolong akan memuji begitu tinggi. Cef kelurganya bukan calang-calang orang tetapi Nasi Goreng Telur yang dimasak di kedai terpencil ini lebih hebat?

Ini menambah minat tuan muda ketiga tadi lalu dia terus melihat menu.

Harga tinggi yang melampau bagi orang biasa itu agak mengejutkan tuan muda ketiga. Dia mengangkat kening dan wajah kacaknya itu jelas kelihatan tidak percaya.

"Nasi Goreng Telur ini dibayar dengan kristal? Versi Tahap Tinggi pula berharga sepuluh kristal? Terdapat juga keperluan minimum untuk pencapaian tahap pertapa?"

Harga dan syarat-syarat dalam menu itu terus mengubah cara tuan muda ketiga itu melihat dunia. Dia tidak menyangka yang Nasi Goreng Telur boleh dijual pada harga yang sangat mahal.

"Tuan muda ketiga, percayalah. Kakak saya makan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi semalam dan dia terpaksa mengasingkan diri hari ini! Pencapaian tahap pertapanya telah meningkat sedikit!" kata Xiao Xiaolong.

"Oh? Begitu?" Tuan muda ketiga berasa kagum. Xiao Yanyu sudah mencapai Semangat Pertempuran Kelas Keempat, jadi bagaimana mungkin semangkuk Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi mampu meningkatkan pencapaian tahap pertapanya?

Adakah ia sekadar Nasi Goreng Telur? Bukankah ia patutnya Eliksir Goreng Telur?

"Tuan kedai, saya ingin mencuba Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi. Pencapaian tahap pertapa saya memenuhi syaratnya, jadi tidak perlu saya diuji." Tuan muda ketiga itu berkata dengan lembut kepada Bu Fang yang acuh tidak acuh berdiri berhampirannya.

"Saya juga mahukan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi!" Xiao Xiaolong segera berkata, tapi dicelah oleh tuan muda ketiga.

Tuan muda ketiga mengecilkan mata dan mengusap kepala Xiao Xiaolong sambil tersenyum lembut. "Xiaolong, ada berapa banyak kristal yang kamu bawa?"

Wajah Xiao Xiaolong tergamam. "Kenapa macam pernah saya dengar kata-kata ini?"

"Se… Sepuluh kristal!"

"Hmmm, cukuplah kalau begitu."

Xiao Xiaolong memandang uncang bunga peonynya dengan suram kerana ia kini berada di tangan tuan muda ketiga. Dia merasakan seperti sepuluh ribu anak panah halimunan menusuk ke dalam dadanya.

"Saya akan belanja kamu lain kali." Tuan muda ketiga itu senyum dan berkata, "Saya lupa bawa duit hari ini."

Mata Xiao Xiaolong bergenang. "Kenapa susah sangat untuk saya makan Nasi Goreng Telur?"

"Tuan kedai, saya mahu satu Mi Campuran Kering dan satu Sayur Goreng."

Bu Fang menangguk tanpa emosi.

"Satu hidangan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi, satu hidangan Mi Campuran Kering dan satu hidangan Sayur Goreng. Baiklah, tunggu sebentar," Bu Fang mengulangi pesanan tadi dan masuk ke dapur.

Xiao Xiaolong dan tuan muda ketiga duduk di sebuah meja. Tuan muda ketiga berasa puas hati dengan suasana yang elegan itu.

"Saya tidak tahu yang terdapat satu restoran yang elegan sebegini di dalam bandar Diraja. Saya tidak sangka kita tidak perasan sebelum ini. Hmm, mana boneka yang bertarung dengan beratus lelaki tadi?" Tuan muda ketiga itu melihat di sekelilingnya.

Si Putih memberikan kesan yang begitu mendalam terhadap tuan muda ketiga. Dia sangat kagum dengan kebijaksanaan boneka itu.

Di Benua Naga Tersembunyi itu, sekta biasa ditemui manakala empayar merupakan kuasa yang memerintah. Hanya empayar yang diiktiraf, tidak seperti kedua-dua Sekta Ortodoks dan Heterodoks.

Maharaja Empayar Bayu pada masa kini, iaitu Maharaja Changfeng, telah memerintah lebih daripada tujuh puluh tahun. Baginda mengerah secara paksa ahli-ahli sekta ke dalam tenteranya. Sekta-sekta yang menerima pengerahan itu dibahagikan ke pelbagai kumpulan, manakala mereka yang tidak patuh telah diserang.

Empayar Bayu telah diasaskan lebih seribu tahun dahulu. Ia diasaskan apabila kuasa sekta berada pada tahap tertinggi dan mereka sering bertempur. Selepas lebih seribu tahun dibangunkan, sekta-sekta itu semakin lemah di bawah pengaruh empayar. Selepas dua kali percubaan "Pemberontakan Sekta" gagal, mereka terus ditindas oleh empayar.

Di Benua Naga Tersembunyi terkini, terdapat hanya beberapa ratus sekta yang tinggal. Jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan di mana terdapat berpuluh ribu sekta, ianya kini dalam keadaan yang sangat teruk.

Daripada beberapa ratus sekta yang tinggal, hanya terdapat sepuluh sahaja yang masih bertarung memerangi empayar.

Tuan muda ketiga itu pernah sekali berjumpa dengan sekta yang sudah merosot, menghabiskan masa mereka membuat kajian mengenai seni boneka dan sudah pun mencapai tahap yang hebat. Dia terfikir sama ada boneka di dalam kedai ini ada kaitan dengan sekta itu.

Namun, terdapat perbezaan yang agak ketara di antara Si Putih dan boneka-boneka daripada sekta itu kerana tiada daya tulen sebenar di dalam tubuhnya. Jadi, peluang tipis untuk Bu Fang ialah saki baki terakhir sekta itu.

Semasa dia berfikir isu berkenaan, bau harum semerbak datang dari arah dapur.

Haruman itu seperti sehelai kain sutera yang menyentuh lembut wajahnya sehingga menyebabkan tuan muda ketiga itu membuka matanya kerana seleranya telah bangun.

"Baunya sungguh sedap!" ujarnya.

Xiao Xiaolong telah pun hanyut di dalam lautan haruman itu dan matanya semakin kabur.

Tuan muda ketiga merasakan yang bau itu sendiri tidak setanding hidangan yang dimasak cef keluarganya dan ia mungkin lebih baik lagi.

Selepas seketika, Bu Fang muncul dari dapur.

Dengan muka tanpa emosi, dia membawa satu mangkuk porselin berwarna biru putih dan bahagian atas mangkuk itu diliputi haruman yang sangat hebat.

"Ini adalah Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi. Selamat menikmati hidangan anda."

Bu Fang berkata sambil meletakkan mangkuk di hadapan tuan muda ketiga dan kemudian kembali ke dapur.

Tuan muda ketiga menyedut nafas yang dalam sambil haruman itu menusuk ke dalam rongga hidungnya masuk ke dalam badan. Ia membuka lagi seleranya dan rasa lapar mula menyerang dirinya.

Bau yang begitu harum itu memenuhi ruang atas mangkuk. Sambil dia membelah permukaan Nasi Goreng Telur itu dengan sudunya, aroma yang berkumpul itu tersebar seperti meletusnya satu bom aroma.

Hasil letusan bom aroma itu terus menuju ke arah tuan muda ketiga.

Chapitre suivant