Kicauan burung dan hembusan angin petang yang sepoi-sepoi bahasa seakan faham dengan perasaan Sheena saat itu. Tiada yang lebih menyakitkan selain daripada dikhianati oleh insan yang kita cintai. Apatah lagi, bila kita sudah meletakkan harapan yang tinggi kepada insan itu. Matahari yang dulunya bersinar terik kini hilang disebalik awan apabila hujan mulai turun dengan lebat. Membanjiri hatinya yang dulu dipenuhi oleh bunga-bunga cinta. Melenyapkan tiap harapan yang pernah ada sebelum ini.
Disebalik pokok, En.Martin sedang memerhatikan anak buahnya itu. Belum berganjak dari kedudukannya sejak dia membawanya keluar dari dalam rumah tengah hari tadi. Sebenarnya, dia juga tidak pasti apakah kebenaran yang sebenar dalam kes hubungan Adam dan Sheena. Adam, bakal menantunya itu mengaku tidak mengenali Sheena tapi Sheena mendakwa yang Adam ialah kekasihnya. Kalau benar Adam kekasih Sheena, kenapa lelaki itu datang bersama rombongan sebagai kekasih Kayla pula? En.Martin bingung sendiri. Namun, setahunya Sheena bukan seorang yang suka mereka-reka cerita. Tidak pernah walau sekalipun gadis tersebut berbohong. Takkan pula hari ini dia berbohong? Kenapa? En.Martin menghela nafas berat, penat memikirkan hal tersebut.
"Sheena! Sheena! Sheena!!"
Jeritan Pn.Biba dari dalam rumah mematikan lamunan Sheena. Dia mengesat air matanya cepat-cepat dan bergegas masuk ke dalam rumah tanpa sempat En.Martin menahannya.
"Ya, auntie! Saya datang."
Dia berlari-lari anak kearah Pn.Biba yang sedang menyeringai seperti singa yang sedia untuk membaham mangsanya.
Pakkk!
Terjelopok Sheena menyembah bumi dek tamparan Pn.Biba. Dia tidak menyangka yang Pn.Biba akan menamparnya, automatik air matanya jatuh kerana menahan sakit. En.Martin yang tadinya berada di luar rumah turut bergegas masuk ke dalam mendengar bunyi tamparan tersebut. Matilah. Dia mengeluh di dalam hati.
"Awak sengaja nak malukan saya tadikan! Sengaja nak malukan Kayla! Sengaja nak rosakkan kebahagiaan Kayla! Perempuan, sial!"
Sheena mengetap bibirnya, dia tahu kalau dia menjawab pasti Pn.Biba akan menamparnya lagi tapi takkan dia mahu berdiam diri sahaja? Apa yang dia lakukan bukan sengaja tapi dia memang kekasih Adam. Dia terlebih dahulu mengenali Adam, bukan Kayla.
"Kalau ikutkan hati, tadi depan orang ramai juga saya nak tampar awak. Nasib baiklah saya masih nak jaga air muka Kayla. Awak nie memang tak tahu kenang budikan. Awak ingat siapa yang besarkan awak selama ini kalau bukan saya? Boleh pula awak malukan saya!"
Panjang lebar Pn.Biba membebel.
"Malam ini awak tak payah makan! Awak tidur kat luar! Awak nak lari dari rumah pun saya tak kisah. Saya tak tahanlah dengan perempuan tak kenang budi macam awak!" Dia menambah lagi, marahnya makin membuak-buak apabila terfikirkan peristiwa tengah hari tadi. En. Martin pula hanya mampu melihat seperti biasa, tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Dia hanya mampu berasa simpati terhadap Sheena.
"Mama, kami dah balik."
Kayla dan Adam masuk ke dalam rumah tapi terhenti apabila melihat Sheena yang masih belum bangun dan Pn.Biba dengan muka singanya. Sedar dengan kehadiran Adam, Pn.Biba pantas tersenyum manis dan berlalu menyambut anak dan bakal menantunya itu.
"Bagaimana dengan pemandangan di ladang? Cantikkan..."
Dia menyapa mesra, berbeza dengan ketika dia berhadapan dengan Sheena tadi. Dia seakan orang lain yang tiba-tiba muncul.
"Oh, iya...tak sangka ladang auntie macam di luar negara. Memang diluar jangkaan saya." Adam menjawab pantas sambil matanya melirik seketika memandang Sheena yang perlahan-lahan berdiri. Pn.Biba yang menyedarinya pantas menarik tangan Adam untuk duduk di sofa sambil kakinya sempat menendang kaki Sheena. Memberi isyarat agar beredar dari situ. Menyibuk. Dia memarahi di dalam hati.
"Tak payah nak kisah pasal perempuan tue, Adam. Hati busuk. Tak sudah-sudah nak aniaya sepupu sendiri yang umpama adik dia sendiri." Ujar Pn.Biba lagi seakan faham dengan pandangan Adam tersebut. Kata-katanya disambut senyum tawar Adam. Jauh di dalam hatinya ada rasa kasihan tapi apa boleh buat, cinta itu tidak setanding wang.
"Adam kata dia nak belajar perah susu kambing, mama."
Pn.Biba tersenyum mendengar kata-kata Kayla kemudian melirik memandang suaminya.
"Dengar tue papa, bakal menantu kita nak belajar perah susu kambing. Nanti lain kali bawalah dia ke ladang untuk perah susu, dengan awak sekali tau Kayla. Awak pun bukan pernah pergi kan."
En.Martin tersengih, tidak menjawab.
"Alaa, tak nak lah. Kayla tak nak pergi. Tak biasalah nak ke ladang untuk perah susu. Bersiar-siar bolehlah." Kayla merengek. Seperti biasa dia manalah pernah ke ladang untuk membantu mama atau papanya. Kirim salam.
"Mana boleh awak terlepas...walaupun anak tauke. Anak manja." Adam pula menyakat. Kemudian seisi keluarga itu tertawa dengan gembira. Lupa tentang Sheena yang sedang menangis tidak berlagu di luar rumah. Sakit tamparan Pn.Biba tidaklah sesakit hati yang dia rasai saat ini. Sangat sakit dan terlalu sakit. Perlahan dia melangkah pergi meninggalkan rumah itu. Dimanakah arah tujuannya? Dia juga tidak tahu, yang penting dia perlu pergi jauh dari rumah itu untuk saat ini.
********
"Mbak, bangun mbak, mbak. Kok tidur di sini sih."
Sheena memijat-mijat matanya sambil bangun dari tidurnya. Dia di mana? Kenapa tiba-tiba ada suara Dinar mengejutkannya? Samar-samar dia melihat jejaka itu berdiri di sebelahnya bersama Budi. Dia memandang sekelilingnya, di ladang? Tapi kenapa? Sheena bingung seketika. Takkan dia mengigau berjalan ke ladang semalam?
"Mbak kenapa sih tidur di sini? Kok ngga pulang rumah sih kemarin?" Giliran Budi pula bertanya.
Namun, Sheena masih berdiam diri. Masih berusaha untuk mencantumkan kembali setiap cebisan memori tentang apa yang telah berlaku kemarin. Oh, kemarin hari pertunangan Kayla dan...Sheena memandang Dinar dan Budi silih berganti. Perlukah dia memberitahu mereka? Sudah pasti mereka juga tidak akan mempercayainya. Kemudian dia mengukir senyum semanis yang mungkin.
"Saya tak sedar tertidur di sini pula. Rupanya hingga ke pagi. Saya terlupa barang di ladang kemarin, tue lah datang balik. Tak sangka pula saya terlelap di sini." Dia berbohong. Kedua-dua jejaka itu berbalas pandangan kemudian tersengih, percaya. Mudah sungguh.
"Kok iya mbak...kos kan ada di sana. Masih ada yang kosong di bahagian perempuan. Sinikan bahaya. Dingin lagi." Budi membebel. Sheena membiarkannya, terasa seperti masih ada yang prihatin terhadap dirinya. Terima kasih Budi, Dinar. Dia berbisik di dalam hati.
"Okay, sudah, sudah. Cukup membebel. Sarapan di kantin masih ada?" Pantas dia mengubah topik kerana perutnya kini benar-benar sudah memberontak meminta makanan selepas seharian kemarin puasa tanpa rela. Kalau dia tunggu lebih lama, dia bakal menjadi zombie mencari makanan.
"Oh, masih banyak mbak. Mbak bisa aja..." Belum sempat Dinar menghabiskan kata-katanya Sheena sudah hilang dari pandangan mereka. Pantas sungguh. Kalah-kalah Usain Bolt. Dinar dan Budi saling berpandangan kemudian berlalu untuk memulakan tugasan mereka.
Hari ini merupakan hari ke-3 Mike datang ke Ladang milik En.Martin. Dia datang ke ladang itu untuk mempelajari cara-cara pengurusan ladang yang sistematik dan menguntungkan. Selepas ini dia mahu membuka tanah sebagai ladang kambing pula seperti En.Martin setelah gedung membeli-belah yang dia usahakan selama ini semakin maju. Tidak salah menambah perniagaan lain, yang penting mampu untuk menguruskannya. Dia keluar dari keretanya dengan tenang tapi ketenangan itu hilang apabila melihat badan kereta kesayangannya itu ternoda. Marah yang sudah semakin redah kini datang kembali. Siapalah yang bertuah sangat mencederakan keretanya itu. Kalau nanti dia tahu siapa yang melakukannya awas orang itu dia kerjakan.
"Aaaachu!"
Sheena terbersin tiba-tiba, nasib baiklah dia belum sampai ke kantin. Nanti kesian pekerja-pekerja yang lain dijangkiti virus darinya. Ini mesti kerana semalam dia tidur di pondok yang sejuk itu. Untung saja dia tidak keras menjadi 'olaf' kerana semalaman di luar.
"Pagi, mbak..."
Pekerja-pekerja yang berselisih dengannya memberikan salam. Sheena hanya tersengih, semuanya kelihatan masih segar dan bersih serta masih berbau harum. Tidak seperti dirinya yang belum mandi dari kemarin. Belum mandi dari kemarin? Sheena menghentikan langkahnya. Memalukan. Kalau kemarin dia sudah berbau busuk, saat ini? Dia menepuk dahinya sendiri. Okay, pertama sekali jangan bingung dengan perangai Sheena. Dia memang agak happy go lucky walaupun kemarin dia baru dikecewakan oleh kekasihnya dan dihalau oleh auntie-nya sendiri. Dia bukan seorang yang suka meroyan berhari-hari atau berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Serius. Yang lalu biarkan berlalu. Cuma barangkali, sekali-sekala dia akan bersedih juga apabila teringat kembali nasib dirinya. Namun, hasil daripada pengalaman yang cukup mematangkan selama berbelas tahun ini dia kini semakin kuat. Kuat untuk menghadapi apa pun dengan tenang dan bersahaja (mungkin).
Dia menukar haluannya ke rumah pekerja, dia memiliki salah satu rumah itu (oh dan kini baru dia terfikir kenapalah semalam dia sanggup tidur di pondok yang sejuk itu? Padahal dia mempunyai rumah sendiri di ladang itu? Bodoh). Ini mesti gara-gara kerana dia sangat kecewa dan sedih semalam. Oh, Tuhan bantu dan bimbing saya untuk menjadi lebih kuat dan terima kasih kerana melindungi saya semalam.
Setelah selesai membersihkan dirinya dan menukar pakaiannya, barulah Sheena bergegas ke kantin untuk makan secara percuma (kelebihan si anak buah tauke). Sebelum tiba di kantin, dia juga dapat melihat kereta yang dia kerjakan kemarin berparkir di tempat yang sama. Maafkan saya encik kereta, marah dengan tuan awak yang biadab. Kesian awak pula jadi mangsa. Dia berbisik di dalam hati kemudian meneruskan langkahnya kepada tujuan asal iaitu untuk mengisi perut.
Dia memesan nasi goreng pattaya bersama sup mangkuk besar dan juga milo panas. Tanpa melihat ke kiri atau ke kanan lagi, dia menghabiskan makanannya dengan sekelip mata sahaja. Gara-gara lapar, dia tidak peduli dengan pekerja-pekerja yang datang dan menyapanya. Hatinya bertambah gembira apabila perutnya sudah tidak lagi kosong, ditambah lagi dengan tubuhnya yang sudah segar. Namun, perasaannya sedikit terganggu apabila bayangan Adam tiba-tiba terlintas di fikirannya. Dia melirik memandang telefon bimbitnya, tidak ada mesej yang masuk. Iya, kembali kepada yang sebelum ini. Sebelum dia mengenali Adam. Sunyi kecuali mesej iklan tentang pinjaman atau nombor ekor. Sheena menarik nafas berat, siapa kata dia sudah move on? Hatinya masih sakit tapi dia tahu tiada yang akan mengubatinya kecuali dirinya sendiri.
Sedang Sheena mengelamun, Murad dan lelaki hari itu masuk ke dalam kantin. Murad yang tadinya tidak perasan dengan kehadiran Sheena berpatah balik kearah Sheena apabila melihat gadis tersebut.
"Selamat pagi Cik.Sheena."
Sheena tersentak dari lamunannya, nasib baiklah jantungnya tidak gugur.
"Oh, selamat pagi."
Dia membalas kemudian matanya bertentang dengan mata lelaki yang diiringi oleh Murad tersebut. Dia berusaha untuk mengingat kembali namanya tapi gagal, ini mesti kes orang tamak nie. Sheena membuat andaian sendiri.
"Cik Sheena duduk seorang ke?"
Murad bertanya, Sheena tersengih sambil mengangguk mahu tidak mahu. Takkan mereka mahu duduk semeja dengan saya pula? Sheena mulai tidak keruan, bukan kerana lelaki itu terlalu tampan (sebab seingat Sheena lelaki itu agak biadab tempoh hari dengannya, sampai hati dia kata saya busuk). Murad menoleh memandang lelaki tersebut dan memberikan isyarat untuk duduk bersama Sheena.
"Kita duduk dengan Cik Sheena sahajalah, En.Mike. Nampaknya meja di sebelah sana masih penuh. Pekerja-pekerja masih belum siap bersarapan semuanya."
Mendengar kata-kata Murad barulah Sheena teringat akan nama lelaki itu, Mike. Mike? Kenapa seperti nama tersebut agak biasa di telinganya? Mike, Mike, Mike, Tuan Mike? Sheena hampir tersembur, nasib baiklah dia sempat menutup mulutnya dengan telapak tangannya. Kalau tidak memang wajah tampan Mike akan menjadi mangsa semburan milo suam segar dari mulut Sheena. Murad yang agak terkejut cepat-cepat menghulurkan kotak tisu kepada gadis tersebut.
"Terima kasih..."
Ujar Sheena sambil terbatuk-batuk sedikit, wajahnya merah padam. Bagaimana kalau lelaki itu tahu yang dia adalah dalang disebalik kes menodai keretanya? Mampus.
"Cik Sheena tak apa-apa?"
Murad bertanya agak risau. Sheena menggeleng pantas sambil tersengih. Setelah memastikan anak buah majikannya itu tidak apa-apa barulah Murad beredar. Tinggallah Sheena dan Mike sendirian di meja mereka. Namun, dari tadi lelaki itu tidak mengangkat mukanya, sibuk sungguh dengan telefon bimbitnya. Sheena pula berperang dengan perasaan sendiri, mahu beredar atau tunggu sehingga mereka selesai bersarapan? Kalau dia beredar, kelihatan agak tidak sopan tapi kalau dia menunggu di situ lain pula jadinya. Okay, lebih saya beredar sebelum Murad kembali.
"Awak anak buah En.Martin ke?"
Mike bertanya sebelum sempat Sheena mengangkat punggungnya untuk pergi. Mahu tidak mahu terpaksa dia membatalkan niatnya itu. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal kemudian mengangguk perlahan.
"Iya, saya."
Pendek jawapannya, dengan harapan hanya itu sahaja soalan yang akan diajukan oleh lelaki itu.
"Boleh awak aturkan temu janji saya dengan dia? Sudah beberapa hari saya datang ke sini tapi belum pernah berjumpa dengan dia."
Okay, kali ini permintaan yang agak straight to the point. Tidak ada simpang-simpang atau bahasa kiasan.
"Boleh. Nanti saya beritahu dia."
Sheena menjawab ringkas.
Lelaki itu meletakkan telefon bimbitnya di sebelahnya kemudian memandang Sheena dengan renungan yang boleh mencairkan ais di kutub utara. Sheena? Hampir menjadi cecair sepenuhnya, almaklumlah tubuh manusia mengandungi 65% cecair.
"Tolong aturkan secepat yang mungkin. Kalau boleh hari ini pun saya tidak kisah."
Dan kali ini Sheena tidak mampu untuk menjawab apa-apa cuma mengangguk perlahan sahaja, akur. Dia bagaikan berada di awang-awangan, dibuai oleh ketampanan lelaki tersebut. Namun, kembali ke dunia nyata apabila Murad kembali ke tempatnya. Baiklah, saya bukan gatal tapi itu adalah hakikatnya. Lelaki itu terlalu tampan untuk dikendalikan oleh mata manusia. Adam? Ketampanan Adam tidak mampu untuk mengalahkannya. Maaf. Walaupun Mike memang agak dingin dan biadab (kes tempoh hari dan kes kemarin) tapi sekurang-kurangnya Mike tidak bermuka-muka seperti Adam. Semoga kalau dia ada jodoh yang disediakan oleh Tuhan, biarlah setampan Mike. Amen.