webnovel

Biarpun Jalan Pavilion Harum dipenuhi orang ramai, Yale, George dan Reynolds dengan jelas dan terang dapat mengecam perempuan yang berada tidak jauh daripada mereka. Disebabkan Linley dan Alice sudah agak lama bercinta, Yale, George, dan Reynolds telah diperkenalkan secara rasmi kepada Alice. Sudah tentu mereka dapat mengecam wajah dia.

"Itu Alice." George berkata dengan suara rendah.

Pada saat itu, Alice sedang berjalan berpegangan tangan dengan seorang pemuda sambil tersenyum nipis. Jika Linley ada bersama mereka, sudah tentu dia dapat mengecam pemuda tersebut. Dia ialah Kalan.

"Haram jadah." Yale memandang mereka dengan renungan maut.

Reynolds juga keberangan. "Sejak dua bulan kebelakangan ini, Linley kerap ke rumahnya, menunggu kehadirannya. Linley juga merakam aktiviti sehariannya di dalam bebola kristal memori macam orang bodoh. Dia juga beritahu kita niatnya untuk mengahwini Alice suatu hari nanti. Celaka!"

"Apa kurangnya Linley?" Darah George mula mendidih.

Yale melepaskan cemuhan. "Kita tak patut campur tangan. Mari kita ke Syurga Jed Air. Kita akan bercakap dengan Bro Ketiga sekembalinya dia ke sana. Apa yang penting sekarang ini ialah kita harus mencari jalan untuk membantu Bro Ketiga bersedia dari segi mental. Jika dia tak bersedia, saya bimbang dia tak akan dapat menerima kenyataan ini."

George dan Reynolds mengangguk bersetuju.

.....

Yale, George dan Reynolds duduk di dalam bilik persendirian mereka di Syurga Jed Air. Wajah mereka berkerut. Mereka tidak meminta mana-mana gundik untuk menemani mereka dan mereka hanya meminum segelas jus. Mereka bimbang mereka akan mabuk dan tidak mampu untuk bertindak sewajarnya ketika berhadapan dengan Linley.

"Saya kenal sangat Bro Ketiga itu." George berkata dalam nada bimbang. "Dia berat mulut tapi seorang yang sangat rajin. Ramai gadis-gadis di sekolah kita yang tergila-gilakan dia. Tapi tiada seorang pun menambat hatinya. Tetapi lelaki macam dia ini, sekali dia jatuh cinta, dia akan sayang bersungguh-sungguh. Lebih dahsyat daripada Bos dan kamu, Bro Keempat."

Yale dan Reynolds mengangguk.

Bagi Yale dan Reynolds, berpisah dengan teman wanita bermaksud mencari teman wanita yang baru. Bagi mereka, itu bukanlah perkara besar. Tetapi dalam setahun kebelakangan ini, setiap hari, apabila mereka mengusik Linley, daripada reaksi Linley, mereka tahu dia tulus mencintai Alice.

"Ini betul-betul menaikkan darah saya." Yale menghabiskan jusnya dengan sekali teguk.

Reynolds mendengus. "Bos Yale, jangan marah sangat. Ini cuma hal perempuan. Bro Ketiga akan benar-benar patah hati, tapi selepas dia melupakannya, semuanya akan baik-baik saja."

Yale mengangguk.

Yale, Reynolds dan George semuanya ahli puak yang besar, jadi mereka telah dipengaruhi sejak muda lagi. Keadaan Reynolds dan George tidaklah seteruk mana kerana puak mereka mempunyai peraturan yang ketat. Akan tetapi, Yale sejak kecil sudah terbiasa dikelilingi wanita.

Masa berlalu. Saat berganti saat, minit berganti minit. Yale dan yang lain menanti dengan sabar.

Pukul satu pagi. Kedengaran bunyi berkeriang-keriut pintu dibuka. Linley melangkah masuk. Badannya berbau busuk wain. "Hei. Kamu semua masih berada di sini?"

Yale ketawa dengan kuat. "Kami semua menunggu kepulangan kamu."

"Bro Ketiga, kamu menunggu Alice sepanjang masa ini?" George berkata dengan gaya bersahaja.

Linley mengangguk tanpa berkata apa-apa. Kemudian dia duduk. "Kamu semua tak minum alkohol malam ini?" Linley membongkok dan mengambil sebotol minuman keras dari dalam peti dan terus menuangnya ke dalam cawan.

"Bro Ketiga, kami ingin bercakap tentang sesuatu dengan kamu." Yale berkata sambil tersengih.

"Cakaplah." Angin Linley tidak baik.

Yale berkata dengan lembut, "Malam ini, sewaktu kami bersiar-siar, kami ternampak seorang gadis. Gadis itu nampak macam Alice. Jujurnya, kami berada agak jauh dan tak dapat melihat dengan jelas. Tapi gadis itu berpegangan tangan dengan pemuda lain."

"Tipu." Linley berkata dengan nada yang keras dan tidak mahu memanjangkan perbualan.

Yale terdiam.

Reynolds menepuk bahu Linley sambil ketawa. "Bro Ketiga, kita semua lelaki. Sebagai lelaki, takkan kita nak biar perempuan pijak kepala kita? Sudah berapa kali Alice tak muncul. Kalau saya berada di tempat kamu, saya dah tinggalkan dia lama dulu. Kalau pun dia melulut di hadapan saya sekalipun, saya tak akan menerima dia semula."

"Bro Keempat, kamu masih budak mentah. Apa yang kamu tahu?" Linley berkata sambil ketawa. Selepas itu, dia meneguk segelas besar minuman keras. "Mari, cukuplah berbual. Angin saya tak berapa baik. Minumlah bersama saya."

Reynolds, Yale dan George saling bertukar pandangan. Mereka tidak dapat melakukan apa-apa selain duduk dan minum bersama Linley.

Awal pagi keesokan harinya, Linley, Yale, George dan Reynolds semuanya tertidur mengelilingi meja. Linley yang pertama bangun.

Dia melihat tiga orang sahabat yang dikasihinya. Senyum pahit terbit di bibirnya. Hatinya berbisik, 'Bos Yale, Bro Kedua, Bro Keempat… kamu semua telah menemani saya dan memberi semangat kepada saya. Saya faham apa yang kamu semua fikir. Alice dah dua tiga kali tak datang janji temu janji kami. Saya sendiri rasa tak enak, tetapi… Saya tak mempercayainya. Saya tak sanggup."

Linley berjalan ke arah tingkap, melihat ke bawah.

Waktu ketika itu pukul lima atau enam pagi. Kota Fenlai juga kelihatan seperti baru terjaga. Hanya ada beberapa orang yang berjalan, bersedia untuk bekerja. Majoriti besarnya masih lagi tidur.

"Linley." Doehring Cowart terbang keluar dari Cincin Naga Pusar.

Doehring Cowart selamanya berjubah putih bersih panjang berjela. Janggutnya juga putih dan panjang.

"Atuk Doehring." Dengan kemunculan Doehring Cowart, Linley tiba-tiba rasa seperti sebuah bot kesunyian yang akhirnya tiba di pelabuhan.

Melirik ke arah geng sebilik Linley yang sedang tidur, Doehring Cowart ketawa. "Linley, kamu ada tiga orang rakan baik. Hubungan hati antara lelaki dan wanita? Cuma ini yang Atuk mahu katakan. Selama 1300 tahun Atuk hidup, daripada apa yang Atuk perhatikan, mungkin hanya satu daripada sepuluh orang yang berjaya dalam cinta pertama mereka."

"Atuk Doehring, saya faham." Linley mengangguk. "Tapi… saya percaya pada dia."

Doehring Cowart mengangguk. Beliau tidak lagi bersuara.

.....

Pada pertengahan bulan November, Linley menggalas begnya, memastikan kedua-dua bebola kristal memori di dalamnya dalam keadaan baik. Kemudian dia sekali lagi menuju ke Kota Fenlai. Akhirnya tiba di hadapan sebuah rumah dua tingkat.

"Pak Cik Hudd, Alice sudah pulang?" Linley bertanya dengan sopan kepada pengawal yang bernama Hudd itu.

Hudd menggelengkan kepalanya. "Belum. Sudah hampir sebulan Cik Alice tak balik. Sekali pun tidak."

"Sekali pun tak?" Linley berkerut menghasilkan kedutan di dahinya. "Kalau macam itu, saya minta diri dulu ya, Pak Cik Hudd." Linley dengan sopan mengucapkan selamat tinggal.

Linley berjalan sendirian di Jalan Kesang. Dia menuju ke bar berhampiran namun bar itu masih belum buka. Bebe bercakap secara mental dengannya, 'Bos, jangan bimbang. Mungkin Alice ada hal lain, sebab itu dia tak balik. Contohnya, mungkin dia sedang berlatih. Semua itu boleh jadi. Jangan berdiri di sini dan fikir bukan-bukan.'

'Betul tu. Mungkin dia sibuk dengan hal-hal lain dan tak ada masa lapang.' Mata Linley kembali bersemangat.

Melihat reaksi Linley, Bebe tidak dapat menahan diri daripada mengerutkan hidungnya. 'Bos, kamu dilamun cinta sehingga jadi lelaki bodoh. Hanya beberapa perkataan untuk menaikkan semangat, kamu sudah pun teruja."

"Eh, budak ini. Jangan harap kamu akan diberi alkohol hari ini sebagai hukuman.' Linley tidak tahu sama ada ingin ketawa ataupun menangis.

Akan tetapi, Linley akui selepas bergurau senda dengan Bebe, anginnya kembali ceria.

.....

29 November. Hari itu ribut salji melanda. Salji menyelubungi segalanya dengan warna putih. Linley, Reynolds, Yale dan George duduk di dalam sebuah kereta kuda. Pemandu mereka ialah salah seorang ahli puak dagang Yale. Di belakang mereka terdapat beberapa orang kesatria mengiringi arca Linley.

"Bro Ketiga, dalam beberapa hari lagi, peperiksaan akhir tahun akan diadakan. Saya tertanya-tanya sama ada orang yang pernah diangkat sebagai genius nombor satu di institut kita sudah menjadi ahli sihir tahap enam atau belum?" Yale ketawa kecil.

George dan Reynolds berasa sangat bangga.

Kerana pada minggu lepas, Linley sudah mencapai tahap enam.

Sebenarnya, Linley telah mencapai tahap empat semasa usianya 13 tahun, tahap lima semasa berumur 15 tahun dan sekarang, dia hampir mencecah usia 17 tahun. Selepas dua tahun setengah, Linley akhirnya membuat peralihan daripada ahli sihir tahap lima kepada tahap enam.

Dua tahun setengah!

Bagaimana pula dengan Dixie yang sebelum ini turut digelar genius terhebat di institut?

Dixie menjadi ahli sihir tahap lima sewaktu dia berusia 12 tahun tetapi sekarang dia sudah berusia 17 tahun. Sudah lima tahun berlalu. Jujurnya, perkembangan Dixie boleh dikatakan agak cepat. Namun begitu, jika dibandingkan dengan Linley yang dibantu seni mengukir batu Sekolah Pahat Lurus, perkembangannya dikira lebih perlahan.

Jika pada peperiksaan hujung tahun ini Linley sudah mencapai tahap enam dan Dixie belum lagi, tanpa pertikaian, Linley akan dikenali sebagai genius nombor satu Institut Ernst.

"Bro Ketiga, cubalah senyum. Menjadi ahli sihir tahap enam merupakan sesuatu yang menggembirakan." Reynolds memberi galakan.

Linley mengherotkan bibirnya.

"Itu kamu panggil senyum?" Reynolds sengaja mengusik Linley.

Linley akhirnya tersenyum. "Baiklah, Bro Keempat. Biarkan saya seketika." Linley sudah memutuskan, kali ini, tidak kira apa pun yang terjadi, dia akan berjumpa dengan Alice. Jika dia tidak berjumpanya di Kota Fenlai, Linley akan terus ke Institut Wellen untuk mencarinya.

Walau apa pun, dia perlu bersemuka dengan Alice dan menyelesaikan apa pun masalah ini.

Linley membuka tingkap kereta kuda. Dia membiarkan hembusan bayu sejuk masuk ke dalam. Linley mengecilkan matanya. Di luar, segalanya diselimuti salji putih. Langit juga dipenuhi gumpalan salji yang berterbangan bagai bulu-bulu burung. Semasa menikmati pemandangan musim sejuk, masa berlalu dengan pantas. Mereka sudah pun tiba di Kota Fenlai.

Selepas menghantar arca-arcanya ke Galeri Proulx, mereka berempat makan bersama dan kemudiannya berpecah.

Sekarang ini, pendapatan Linley semakin tinggi. Dia mampu mengumpul sebanyak 20,000 syiling emas hampir setiap bulan. Oleh sebab itu, Linley sudah tidak risau tentang wang. Dia menggalas begnya yang berisi dua buah bebola kristal memori. Linley terus menuju ke kediaman Alice.

'Bos, seingat saya, ini kali keempat kamu ke Kota Fenlai dengan membawa dua bebola kristal memori bersama kamu, bukan?' Bebe menegurnya. 'Apa kata kamu berikan sahaja kepada Delia? Saya lebih suka Delia.'

Dari bulan Oktober sehinggalah sekarang, ini merupakan kali keempat Linley membawa bebola kristal memori itu ke Kota Fenlai.

'Cukuplah, Bebe.' kata Linley sambil berkerut.

Dia berjalan di atas jalan yang dilitupi salji. Bunyi berderap-derap mengiringi setiap langkah Linley. Tidak lama kemudian, dia tiba di sebuah rumah dua tingkat.

Selepas melihat dan bercakap dengan Hudd, Linley berpaling dan meninggalkan kawasan tersebut.

'Sekali lagi dia tak pulang.' Dalam sungguh kerutan Linley. 'Institut Wellen!' Linley segera menuju ke Institut Wellen.

Kota Fenlai. Jalan Pavilion Harum.

Alice sedang berjalan berpegangan tangan dengan Kalan. Kalan berkata dengan lembut, "Alice, kamu tak mahu memberi penjelasan kepada Linley?"

"Nantilah." Alice menggelengkan kepalanya.

Kalan mengangguk dan tidak lagi bersuara.

Matanya tertumpu ke arah Alice yang sedang berpegangan tangan dengannya. Kalan spontan tersenyum. Dia membesar bersama Alice yang merupakan buah hatinya sejak kecil. Di dalam hatinya, dia sentiasa menyukai Alice tetapi dia tidak menjangka Alice akan bersama dengan Linley secepat itu.

Pertama kali dia mendapat tahu hubungan Alice dan Linley, Kalan dipenuhi rasa marah.

Sejak dia kecil lagi, Kalan sentiasa menganggap Alice miliknya. Walaupun sebelum ini Linley pernah membantu mereka, pada Kalan, apabila berkaitan dengan cinta, dia tidak akan mengalah. Malah... dia sanggup menggunakan helah untuk mendapatkan apa yang dia mahu.

'Cinta pandang pertama? Hero menyelamatkan gadis dalam kesusahan?' Kalan dipenuhi dengan rasa benci. 'Apabila berhadapan dengan realiti, semua itu senipis sehelai kertas putih.'

Kalan sangat berpuas hati dapat memegang tangan Alice.

"Alice, agaknya bila kamu mahu beri penjelasan kepada Linley?" Sekali lagi Kalan bertanya. Kalan tidak mahu Alice dan Linley mempunyai apa-apa ikatan lagi.

Alice menggelengkan kepalanya. "Saya pun tak tahu. Tapi saya percaya jika saya tak berjumpa dengan Abang Linley untuk jangka masa yang lama, pasti perasaan itu akan pudar. Ketika itu, kalau saya berpisah dengannya, dia tak akan terlalu terkesan."

"Betul juga kata kamu. Lagipun, Linley pernah menyelamatkan kita." Kalan mengangguk.

Mereka berjalan dan tiba di persimpangan di antara Jalan Kesang dan Jalan Pavilion Harum. Kalan perasan Alice tiba-tiba berhenti. Dia memandang Alice dengan penuh tanda tanya tetapi Alice berada dalam keadaan terpempan. Matanya sedang melihat ke sebuah tempat di Jalan Kesang. Wajahnya pucat. Kalan juga turut menoleh…

Seorang pemuda berjubah putih sedang berdiri di sana. Dia langsung tidak bergerak. Pemuda itu memandang mereka. Dia sendiri terpana. Wajahnya pucat, putih seperti salji.

"Linley!" Kalan segera berkerut.

Siguiente capítulo