webnovel

Meng Hao, Kamu Buat Apa Ini?

Editor: EndlessFantasy Translation

"Bapa Reliance, saya alami banyak dugaan dan musibah untuk membawa mereka ke sini. Saya tak kisah jika tidak ada ganjaran, tapi racun ini… " Riak yang marah telah muncul di wajah Meng Hao. Namun, sebelum dia menghabiskan kata-katanya, rekahan di tanah itu tertutup sepenuhnya. Tidak ada langsung kesan kewujudannya. Bapa Reliance tidak kelihatan dan tidak bercakap. Satu-satunya perkara yang masih tinggal ialah tujuh biji pelita yang menyala dan kerdipan cahaya. Tujuh Teras dan satu Pertumbuhan Roh yang baru lahir menghasilkan satu aliran Qi. Namun, aliran tersebut tidak muncul ke atas. Sebaik sahaja ia meninggalkan pelita, aliran itu disedut ke dalam tanah.

"Bapa Reliance, saya membiarkan diri saya diracun kerana Bapa. Bapa daripada generasi lama dan seorang pakar yang kuat. Tergamak orang sekuat Bapa melakukan sesuatu seperti ini?!"

"Aku bukan seorang pakar ataupun berkuasa," jawab Bapa Reliance sambil melepaskan batuk ringan. "Aku sudah seperti ini sejak muda lagi dan itu bukan Batu Rohani biasa, Nak. Asas Pertapaan kamu tidak cukup tinggi untuk mengenalinya. Tunggu sampai kamu berada di peringkat Pemisahan Roh, pasti kamu akan tahu betapa menakjubnya khazanah itu. "

"Bapa... Bapa Reliance, apa yang terjadi? Saya bersusah-payah! Kenapa Bapa buat saya macam ini!?" Meng Hao sangat marah. Namun, semua yang ada di sekelilingnya membisu. Bapa Reliance tidak berkata apa-apa; sebenarnya dia seperti tidak mempedulikan Meng Hao.

"Bapa Reliance, saya tak perlukan ganjaran lain. Saya hanya perlu bantuan untuk menghilangkan racun ini. Bapa Reliance, saya telah melakukan segalanya dan terus-menerus mencari jalan untuk membawa mereka ke sini untuk membantu Bapa memulihkan asas Pertapaan Bapa. Tergamak Bapa buat aku macam ini?!"

Meng Hao berteriak lagi beberapa kali tetapi nampaknya Bapa Reliance tidak mempedulikannya. Meskipun dia hanya seorang sarjana, dia sangat marah pada masa ini. Dia telah ditipu dan mula menyumpah.

"Bapa Reliance memang tak guna!" Meng Hao menuturkan makian yang menunjukkan dia sangat marah.

Tiba-tiba suara Bapa Reliance kedengaran. "Nak, kau fikir siapa yang kau maki? Berani betul kau memaki aku? Aku tampar kau sampai mati nanti!"

"Aku maki kau!" jawab Meng Hao dengan marah. "Kalau kau nak menampar aku, silakan. Aku keracunan, jadi aku akan segera mati. Keluar dari sini!"

Bapa Reliance terbatuk beberapa kali. "Ahhhh. Tak apalah. Angin aku selalu baik. Hei, kaulah pewaris tunggal daripada Sekta Reliance. Pada masa ini, kita saja orang di seluruh Sekta! Aku tak akan marah pada kau. Sebenarnya, ramai orang telah bertahun-tahun memaki aku. Tiada masalah. Kau tak boleh salahkan aku. Aku pun tak boleh keluar lagi! Zon tafakur bersendirian aku telah ditutup. Aku hanya boleh keluar jika kau bawa sekumpulan yang lain. Aku tak boleh menolong kamu sekarang walaupun aku nak buat begitu." Kata-katanya kedengaran semakin meyakinkan semasa dia bercakap. Dia baru sahaja memperbaharui penghadang dan dia memerlukan masa beberapa bulan jika ingin menembusinya.

"Tak guna!" kata Meng Hao yang akhirnya memahami situasi sebenar. Dia hanya boleh menggertakkan giginya dan terus menyumpah-seranah. Tapi tidak kira apa-apa yang dia katakan, Bapa Reliance tidak membalas. Akhirnya, dia mula menyenandungkan serangkap melodi lagu. Serangkap melodi lagu yang bahagia bergema dan akhirnya Meng Hao menyedari apa yang dia lakukan tidak akan menghasilkan apa-apa pun. Bapa Reliance yang tidak tahu malu itu tidak akan muncul.

Wajahnya dipenuhi kemarahan sambil dia melihat sekeliling. Tidak ada beg sakti yang ditinggalkan para pakar Pembentukan Teras. Bapa Reliance memang sangat kedekut dan telah mengambilnya untuk dirinya sendiri. Pandangan Meng Hao tertancap pada tujuh pelita Syaitan. Sambil menggertakkan giginya dia menepuk beg saktinya. Sepuluh pedang terbang muncul dan terbang menuju ke arah pelita.

Walau bagaimanapun, sebelum ia mendekati pelita, pedang itu bergetar dan memancar terang lalu pecah berkeping-keping.

Meng Hao sangat marah. Melihat Qi daripada pelita minyak meresap ke tanah, dia menepuk beg saktinya sekali lagi dan dua bilah pedang kayu keluar. Kedua-dua pedang itu tidak mengalami sedikitpun tentangan, tetapi ketika ia mencapai pelita, pedang kayu itu melewati pelita tersebut, seolah-olah tiada apa-apa di sana. Tidak ada reaksi sedikit pun daripada kedua-dua pedang tersebut.

"Seorang Pertapa Pertumbuhan Roh dan enam orang Pertapa Pembentukan Teras," kata Bapa Reliance dengan suara yang ceria. "Tenaga rohani mereka melimpah-ruah. Bagi pedang cabuk kamu ini, tujuh pelita syaitan aku boleh menyingkirkan semua barang sakti yang lain. Benda tak hidup tak boleh mempengaruhi pelitaku. Mungkin jika kau lebih mahir, kamu akan mempunyai beberapa pilihan lagi. Tapi maaf, kau tak boleh mencuri barang daripada aku!" Dia terus menyenandungkan serangkap lagu yang ceria. Pada masa ini, dia duduk bersila di depan kompas Feng Shui kecil berukuran tangan. Untaian Qi yang tenggelam dari atas menjadi merah cerah sebelum diserap oleh kompas.

Wajah Meng Hao menjadi sangat tekad ketika dia mengambil pedang kayu itu. Dia tidak pernah membayangkan Bapa Reliance yang berasal daripada generasi pertama dan mempunyai asas Pertapaan yang tinggi sanggup memperlakukan Pertapa Pemekatan Qi dengan sangat biadab dan tidak senonoh. Ganjaran berbentuk Batu Rohani biasa bergred rendah. Lebih teruk lagi, dia mendakwa Batu Rohani itu objek yang luar biasa.

Tidak kiralah dari sudut mana pun Meng Hao memeriksanya, ia nampak sangat biasa. Ia tidak lebih daripada Batu Rohani kelas rendah.

Sebelum ini Meng Hao fikir dia sangat peduli mengenai Batu Rohani tetapi rupa-rupanya, Bapa Reliance seorang yang sangat kedekut seperti tangkai jering! Dia sememangnya seorang yang sangat bakhil!

"Sebiji Batu Rohani bergred sederhana rendah. Tak guna, kau sengaja buat macam ini!" Meng Hao mengepal penumbuknya. Dia berasa seperti hendak menjadi gila. Bukan sekadar kata-katanya tidak sopan, tetapi di dalam hatinya setiap dan semua tanggapan baik tentang Bapa Reliance sudah terhapus.

Setelah beberapa saat, dia berpusing dengan rahangnya diketapkan. Dia ingin membuang Batu Rohani bergred rendah itu, tapi akhirnya dia memasukkan batu itu ke dalam beg saktinya. Kemudian, dia pergi dengan marah.

"Aiya, kau mahu pergi? Okey, okey. Jangan lupa datang ke sini lagi selepas ini untuk lepak dengan Bapa Reliance! Kau satu-satunya pewaris aku dan sekarang Sekta ini hanya ada kita berdua. Ini rumah kau dan kau boleh kembali bila-bila masa sahaja. Kadang kala aku berasa sunyi, jadi pastikan kau datang ke sini lagi dan temankan aku." Dia terus menyenandungkan melodi lagu cerianya.

Meng Hao tidak berkata apa-apa. Dia berlalu pergi sambil marah dengan melodi lagu Bapa Reliance bergema di telinganya.

"Ai, sayang sekali aku dikunci di sini, kalau tidak aku sendiri akan menghantar kau." Suara Bapa Reliance sangat ceria semasa dia melihat Meng Hao dari dalam bilik tafakur sendiriannya. "Meng Hao, kau budak yang baik. Kau hanya terlalu serius. Semoga pada masa akan datang kau dapat belajar jadi seperti aku."

"Kau memang tak nak keluar?" kata Meng Hao dengan marah. Pada masa ini, dia sedang berjalan melewati kawasan yang ditutup dengan mantera pengekang berwarna kelabu. Tiba-tiba, dia berhenti berjalan.

"Sudah tentu. Dengar sini, aku tak pernah berbohong. Jika aku kata aku tak boleh keluar, maknanya aku tak boleh. Bukannya aku tak nak tolong kau, aku cuma, hei.... Em. Kau buat apa ni?" Di tengah ucapan yang memuaskan hatinya, dia tiba-tiba berhenti bercakap dan matanya melebar.

Meng Hao berpaling dan melihat dengan teliti ke arah mantera pengekang berwarna kelabu. Semasa pertarungan antara Kalam Dewa dan Bapa Reliance, mantera pengekang di dalam seluruh kawasan telah musnah. Ia perlahan-lahan pulih, akan tetapi pada masa yang sama masih terdapat retakan yang dapat dilihat. Terdapat retakan yang cukup besar seperti satu lubang walaupun ia perlahan-lahan ditutup.

Di antara mantera pengekang ini ialah segunung Batu Rohani. Batu itu telah dikumpulkan oleh Bapa Reliance sepanjang hidupnya. Sebahagian besar daripada batu tersebut adalah Batu Rohani gred rendah, tetapi ada beberapa merupakan Batu Rohani gred pertengahan yang jauh lebih berharga.

Tanpa berkata apa-apa, Meng Hao menepuk beg saktinya. Sebilah pedang kayu muncul dan menusuk terus ke dalam lubang tersebut. Pedang itu mempunyai kemampuan untuk menyerap tenaga rohani. Mantera pengekang itu bergegar, ia cuba untuk membaiki dirinya sendiri tetapi gagal. Pedang kayu kedua yang muncul turut menusuk ke dalam lubang. Pedang itu terus merodok ke dalam dan selepas itu lubang menjadi selebar tangan seorang budak kecil.

Kebiasaannya, Meng Hao tidak mampu melakukan sesuatu seperti ini tetapi disebabkan rekahan dan lubang di dalam mantera, dia mempunyai peluang untuk melakukannya.

"Kau buat apa ini?" suara Bapa Reliance bergema dari dalam tanah. Dia memandang dengan terkejut. Dia memiliki sifat yang kedekut, tetapi suka mempamerkan khazanah yang dikumpul seumur hidupnya. Dia suka melihat kemarahan orang ketika mereka hanya dapat melihat tetapi tidak boleh menyentuh khazanah itu. Dia juga sangat percaya dan yakin dengan mantera pengekangnya. Mantera itu mempunyai hubungan dengan kekuatan hidupnya jadi tiada sesiapa yang mampu menembusinya kecuali dia mati.

Walau bagaimanapun, disebabkan sesuatu yang sedikit pelik wujud di dalam Kalam Dewa, terdapat sedikit masalah muncul ketika Bapa Reliance menyerapnya. Disebabkan itulah mantera pengekang itu menjadi agak perlahan dalam pemulihannya. Ini kesilapan kecil Bapa Reliance.

"Meng Hao, walaupun ada lubang itu, kau tak akan dapat mengambil semua Batu Rohani yang ada," tawa Bapa Reliance. "Terdapat banyak sangat Batu Rohani. Kau tak akan dapat masukkan semuanya ke dalam beg. Oh, tak apa. Aku seorang yang bermurah hati. Silakan dan ambillah, aku tak kisah."

Meng Hao mendengus dingin. Kini, pedang kayu itu telah membuka satu lubang, dia menyeluk jubahnya dan mengeluarkan beg Kosmos lalu menghalakannya ke arah lubang kecil itu.

Asas Pertapaan Meng Hao bertindak seperti kuda liar. Gunung Batu Rohani mula bergegar dan kemudian satu demi satu batu mulai terbang keluar dari lubang lalu disedut ke dalam beg Kosmos.

Batu Rohani terbang semakin cepat masuk ke dalam beg Kosmos yang mempunyai satu lubang hitam. Bapa Reliance yang melihat perkara yang sedang berlaku itu terpekik geram.

"Beg Kosmos... Tak guna, macam mana kau dapat memilikinya! Ia tidak dapat dilihat oleh Deria Rohani dan dapat mengisi gunung dan sungai. Kau, kau, kau.... Batu Rohani aku! Aku tempuhi pelbagai dugaan dan kesengsaraan untuk mengumpulkan Batu Rohani sebanyak itu. Meng Hao, tinggalkan sedikit untuk aku!" Teriakan kesengsaraannya terus bergema dan tanah mula bergegar. Jelas sekali dia melepaskan sebahagian daripada kekuatannya. Namun, penghadang itu baru sahaja dibuat...

Meng Hao ketawa dingin ketika dia mendengar teriakan sengsara Bapa Reliance. Sejurus selepas itu, gunung Batu Rohani mengecil menjadi sebuah bukit yang kecil. Meng Hao benar-benar melampiaskan kemarahannya.

"Berani kau menipu aku?" Fikir Meng Hao sambil menggertakkan giginya. "Aku akan buat lebih dari itu! Aku akan mengambil semua khazanah kau!"

"Meng Hao, kau pengkhianat! Ini dah melampau!" Bapa Reliance merasa seolah-olah organ dalam tubuhnya akan meletup. Dia ingin keluar dari penghadangnya, tetapi ia baru sahaja dibuat dan memerlukan masa berbulan-bulan sebelum dia boleh memecahkannya.

Dia tidak pernah membayangkan Meng Hao akan mempunyai beg Kosmos atau dia akan merampas Batu Rohani yang dikumpul seumur hidupnya. Pada masa ini, Bapa Reliance terasa seolah-olah pedang raksasa yang tidak kelihatan berpusing mengelilinginya sambil menetaknya untuk setiap Batu Rohani yang hilang.

Dia terasa bagaikan dipotong menjadi berkeping-keping. Hatinya sangat sakit dan pedih.

Dia selalu mempunyai sifat yang aneh. Berbanding dengan Pertapa lain dalam generasinya, dia seorang yang aneh. Ketamakan dan sifat kedekutnya setanding dengan asas Pertapaan dan usianya. Dia bahkan tidak mempunyai sedikitpun aura seorang pakar yang berkuasa. Dia juga tidak mempunyai apa-apa batasan dalam apa-apa hal.

Beberapa ratus tahun dahulu semasa Pemisahannya yang pertama, makrifat Taonya berkait dengan ketamakan. Boleh dikatakan ketamakan telah mempengaruhi semangatnya dan merupakan sebahagian daripada Pertapaannya.

Siguiente capítulo