webnovel

Pertemuan Lain dengan Shangguan Xiu

Editor: EndlessFantasy Translation

"Seorang Dewa!"

Li Dafu seolah-olah membeku di tempatnya dan menggigil dengan kuat. Dia juga kelihatan seolah-olah akan berlutut. Sebelum ini, dia ada merasakan yang orang ini agak luar biasa. Tetapi, dia tidak pernah membayangkan yang orang ini mungkin seorang dewa. Kemudian, dia menjadi lebih teruja bila dia teringat lelaki itu ada mengatakan anaknya kawan daripada Sektanya.

"Jangan cakap... Jangan cakap yang budak yang tak guna itu dah jadi seorang Dewa!?"

Dia baru nak bertanya ketika Meng Hao mengangkat kepalanya dan memandang ke arah tingkap. Kekecohan kedengaran dari luar dan diikuti bunyi retak ketika pintu utama terbuka.

"Li Dafu, keluar ke sini! Adik aku seorang Dewa, dan dia ada sini untuk melawat kamu. Datang ke sini dan tunduk padanya!"

Li Dafu mendongak. Meng Hao berdiri dan berjalan menuju ke pintu. Li Dafu tergesa-gesa mengikutinya dan mereka segera tiba di halaman luar rumah agam. Serpihan pintu berselerakan di merata-rata tempat bersama raungan sekumpulan hamba suruhan. Tuan muda yang sombong itu berdiri di situ. Di belakangnya, seorang pemuda dengan sebelah tangannya di belakang, yang satu lagi di depannya. Seekor Ular Berapi sebesar jari berlingkar di tangannya.

Pemuda muda itu kelihatan bangga dan pantang menyerah. Ular Berapinya itu pula menyebabkan orang-orang di sekelilingnya perlahan-lahan menjauhkan diri kerana ketakutan dan kehairanan.

"Adik, ini Li Dafu," kata Tuan Muda Zhao sambil mengabaikan Meng Hao yang berdiri di belakangnya.

"Kamu rupanya ya?" Zhao Hai mengangkat dagunya saat dia mula bercakap dan tiba-tiba terlihat Meng Hao. Tubuhnya tiba-tiba menggeletar dan matanya dipenuhi dengan rasa tidak percaya. Ular Berapi itu terus menghilang dan wajahnya pucat ketakutan. Tanpa disedari, wajahnya kelihatan tak menyenangkan.

"Li Dafu," teriak Tuan Muda Zhao yang angkuh dan tidak menyedari perubahan raut wajah Zhao Hai, "berani kamu tidak berlutut di hadapan saudara aku? Dengar sini, dia seorang Dewa! Kamu faham tak apa maksudnya tu? Dia boleh musnahkan seluruh keluarga kamu dengan lambaian tangannya!"

"Kamu masih belum membawa gadis itu keluar? Cepat sediakan bilik yang bagus. Jika dia melayan aku dengan baik dan aku gembira, mungkin jika kamu merayu, aku boleh bagi pewaris kepada kamu. Kalau tidak, keturunan kamu akan hilang!" Semakin dia berbicara, semakin dia bersemangat. Namun di belakangnya, wajah Zhao Hai pucat lesi. Dia gementar ketika melihat Meng Hao dan kepalanya pening. Dia terdengar kata-kata yang diucapkan oleh abangnya itu dan hatinya penuh rasa takut.

"Jika tidak," sambung Tuan Muda, "maka, heh heh, kamu akan mati bersama-sama dengan sarjana yang berdiri di sebelah kamu... Hei, siapa dia? Anak angkat kamu? Berani kamu tenung aku. Adakah kamu ingin mati? Saudaraku seorang Dewa..." Sebelum dia sempat selesai berbicara, kata-katanya itu kedengaran seperti guruh di telinga Zhao Hai dan menyebabkannya melompat ke udara. Dengan penuh rasa marah, dia menampar wajah abangnya itu.

"Diamlah!!" Dia berteriak dan berbunyi seperti hendak menangis. Dia sangat mengenali Meng Hao. Dia teringat statusnya semasa dia berada di Sekta Dalaman dan kemenangannya ke atas Wang Tengfei. Tiada orang di dalam Sekta Luaran yang tidak mengenali Meng Hao atau asas Pertapaan tingkat keenamnya. Meng Hao bagaikan gunung yang tinggi yang mampu menghancurkan Zhao Hai sehingga mati tanpa perlu bersusah payah.

Walaupun abangnya menangis kesakitan, Zhao Hai jatuh melutut dan badannya menggeletar. "Hamba Zhao Hai menyampaikan salam... salam kepada Abang Meng..."

Abangnya berdiri di sampingnya sambil ternganga kerana terkejut. Dia menutup wajahnya dengan tangan dan berkata tanpa berfikir, "Adik, kamu panggil dia apa? Abang Meng? Hahaha! Jadi dia saudara kita! Ah, pasti dia minat dengan gadis itu juga. Berikan saja Meng..."

"Diam!!" teriak Zhao Hai. Dia kelihatan seperti sangat takut seolah–olah dia akan mati. Tubuhnya menggeletar dengan kuat sambil dia teringat semula semua perkara yang dia dengar tentang Meng Hao dari pengikut-pengikut Sekta Luaran. Dengan rasa gelisah, dia melompat dan menampar wajah abangnya lagi.

Li Dafu melihat dengan rasa kagum. Dia menarik nafas lalu menatap Meng Hao dengan kaku. Dia ada meneka yang Meng Hao seorang Dewa. Tapi dia tidak pernah membayangkan bila berjumpanya, Dewa berkuasa daripada keluarga Zhao itu akan berasa takut sehingga menggeletar.

Bukan dia seorang saja. Semua hamba suruhan di sekitarnya menyaksikan dengan kehairanan. Pandangan mereka penuh rasa hormat saat mereka melihat Meng Hao.

"Abang Meng..." kata Zhao Hai sambil berlutut sekali lagi. Matanya penuh rasa takut.

Dengan wajah yang suram, Meng Hao menatap Zhao Hai dengan dingin tanpa berkata apa-apa.

Jantung Zhao Hai berdebar dan dia mengetap rahangnya. Dia melihat abangnya berdiri di sebelah dan matanya dipenuhi dengan kemarahan. Dia tidak berani mengeluh kepada Meng Hao. Jadi, dia memutuskan untuk melepaskan rasa marah kepada abangnya.

Dia melambai tangan kanannya dan sekali lagi, Ular Berapi sebesar jari muncul. Ular itu menyerang Tuan Muda Zhao yang tiba-tiba menjerit nyaring. Dia jatuh ke tanah sambil berguling-guling. Dalam beberapa ketika, dia telah berubah menjadi mayat hangus.

"Aku merayu kepada Abang Meng, selamatkan aku," kata Zhao Hai tanpa mengendahkan abangnya. Dia berlutut di depan Meng Hao dan bersujud berulang kali.

"Kamu seperti enggan meninggalkan dunia manusia," kata Meng Hao dengan dingin. "Kerana itu, bermula hari ini, kamu boleh menenangkan fikiran kamu dan hidup sebagai manusia. Dia mengangkat satu jari dan tiba-tiba, wajah Zhao Hai menjadi pucat dan dia memuntahkan darah. Pusat tenaganya hancur dan tahap kedua Asas Pertapaannya musnah. Dia bukan lagi seorang Pertapa, tetapi seorang manusia.

Dia terhuyung-hayang sambil memberi tabik hormat kepada Meng Hao dengan genggaman tangan. Kemudian dia berpusing dan berlalu pergi dengan sedihsambil dipapah oleh orang-orangnya. Lama-kelamaan, dia hilang daripada pandangan.

"Aku tidak mendisiplinkannya dengan cukup baik," kata Meng Hao, tidak memandang semasa Zhao Hai pergi. "Dia hamba suruhan aku yang melarikan diri daripada Sekta. Dia telah memberikan masalah kepada kamu, Pak Cik Li." Dia tunduk kepada Li Dafu dengan tabik genggam.

"Tak ada perkara buruk yang berlaku. Semuanya baik-baik saja," kata Li Dafu sambil menggelengkan kepalanya. "Terima kasih, Dewa." Dia tunduk hormat. Kepalanya masih pening memikirkan yang Dewa dari rumah Zhao ialah orang suruhan Meng Hao.

"Tak perlu, Pak Cik Li," Meng Hao tersenyum. "Si Gempal ... Li Fugui kawan rapatku di Sekta. Aku datang ke sini bagi pihaknya untuk melawatmu. Jadi, sudah tentulah aku tak akan menutup mata terhadap kejadian seperti ini." Dia mundur selangkah, menunjukkan tabik genggam sekali lagi. "Aku minta diri dulu." Dia pergi dengan sekelip mata. Dalam beberapa langkah, dia pergi meninggalkan Li Dafu yang nampak agak murung. Dia memikirkan tentang anaknya. Kemudian, dia tersenyum lagi. Matanya dipenuhi dengan kebanggaan dan harapan.

"Anakku telah berjaya. Dia seorang Dewa! Aku akan bakar colok di dewan penyembahan nenek moyang. Perkara ini telah membawa kemuliaan kepada keluarga dan nenek moyang kita."

Meng Hao meninggalkan Daerah Yunkai. Sekarang sudah tengah hari dan jubahnya meliuk ditiup angin musim luruh. Angin gunung bertiup semakin kuat ketika dia menghampiri Gunung Daqing.

Dia berdiri di tempat yang sama di puncak gunung itu sewaktu dia berada di situ dengan rasa kagum tiga tahun lepas. Wajahnya penuh beremosi. Tiga tahun berlalu dengan begitu cepat. Wajahnya tidak lagi muda dan naif. Dia lebih matang tetapi Gunung Daqing tetap sama seperti biasa. Gunung itu tidak akan pernah berubah dengan sungai besar yang mengalir tanpa henti di bawahnya.

Sambil dia tunduk memandang sungai, Meng Hao teringat labu air yang telah dilemparnya ke dalam sungai pada tahun itu. Dia terfikir bagaimana dia bertemu dengan Kakak Xu, Si Gempal, Wang Youcai dan Si Harimau Kecil.

Diam-diam, dia melompat ke udara dan ke atas pedang terbang. Dia terbang menuruni gunung ke celah di tebing lalu masuk.

Ia betul-betul sama seperti sebelumnya. Meng Hao berdiri dan melihat di sekeliling. Tahun itu, Kakak Xu berada di tahap ketujuh Pemekatan Qi. Dan sekarang, dia seorang Pertapa tingkat ketujuh. Tiga tahun dulu terasa seperti satu lingkaran besar dengan titik permulaan dan pengakhiran yang sama.

"Tetapi, jika tiga tahun itu benar-benar satu lingkaran, mungkin maksud saya kembali ke sini saya telah mencapai titik permulaan yang baharu.... Seperti kata bijak pandai, jika kamu tidak mengambil langkah pertama, kamu tidak akan pernah tahu ke mana arah tujunya." Dia menutup matanya sebentar lalu membukanya.

"Aku sudah mengambil langkah pertamaku yang baharu. Tahun itu, aku kekurangan wang, dan sekarang aku kekurangan Batu Rohani. Nampaknya, tak banyak yang berubah." Meng Hao menggelengkan kepalanya sambil memikirkan jumlah Batu Rohani yang sedikit di dalam beg saktinya. Dia tidak dapat mengelak daripada merasa pedih ketika dia berpaling dan meninggalkan gua. Di atas pedangnya yang terbang, dia menuju ke arah sungai.

Tiba-tiba, matanya mengecil dan dia mengangkat kepalanya. Di atas Gunung Daqing, di tempat yang sama dia berdiri tadi terdapat seorang lelaki memakai jubah berwarna keemasan. Dia menatap Meng Hao dengan dingin.

"Jadi, kamu sudah kembali ke sini," katanya dengan suara jahat yang seolah-olah menjadikan matahari terbenam semakin gelap. Hanya matanya saja yang kelihatan dengan penuh rasa tamak dan ingin membunuh.

Itu Shangguan Xiu!

Pada hari Sekta dibubarkan, dia orang pertama yang melarikan diri. Setelah beberapa hari berlalu, dia muncul kembali. Selepas bertanya sekeliling, dia dapat tahu tentang pembubaran Sekta dan bagaimana Bapa Reliance telah menanamkan rasa takut ke dalam hati seluruh dunia Pertapa Negeri Zhao. Jadi, bagi menutup jejaknya, dia telah beredar. Dia memutuskan sudah tiba masanya untuk menuai beberapa tanaman ubat yang dia tanam secara rahsia dulu.

Walau bagaimanapun, dalam perjalanannya, dia melalui Gunung Daqing yang membuatnya terfikir saat dia menyiasat Meng Hao. Dia tahu ini tempat Xu Qing menemuinya. Jadi, dia membuat keputusan untuk tinggal selama beberapa hari dengan harapan akan bertemu dengan Meng Hao.

Niat membunuh bersinar di mata Meng Hao. Dia berada di tahap ketujuh Pemekatan Qi. Jadi, dia dapat mengesan tahap Pertapa lainnya. Shangguan Xiu berada di tingkat kesembilan. Meskipun asas Pertapaannya tidak lengkap, dia semakin hampir. Kalau bernasib baik, dia pasti dengan segera akan berjaya mencapai Pengukuhan Asas yang akan menjadikannya salah seorang pakar terkuat di Negeri Zhao.

Meng Hao tahu dia bukanlah lawannya meskipun dia memiliki banyak barang sakti. Namun, kini, beg saktinya belum diisi kembali,dan dia hampir tidak memiliki Batu Rohani. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk bertarung.

Tanpa sepatah kata, dia berlalu pergi. Tubuhnya berubah menjadi kabur. Saat dia bergerak pergi, Shangguan Xiu ketawa dingin. Di dalam Sekta, dia takut dengan Orang Lama Ouyang dan tidak berani melawan pengikut Sekta Dalaman. Tapi itu dulu. Keinginannya untuk membunuh Meng Hao dan mengambil khazanahnya berkobar-kobar. Tubuhnya bergerak sepantas kilat dan azimat muncul di hadapannya. Dia memanggilnya dan dia segera mengejar Meng Hao.

"Kali ini, tiada latihan kenaikan tahap khas! Bagaimana kamu nak lepas daripada tangan aku?!" Senyum menyeramkan kelihatan diwajah Shangguan Xiu. Dia bertekad untuk berjaya!

Siguiente capítulo