Si Gempal dilanda kegembiraan dan keriangan yang teramat. Walaupun Meng Hao yang berjaya menjadi pengikut Sekta Dalaman, tetapi dia merasakan seolah-olah dia yang berjaya.
Shangguan Xiu berdiri di celah-celah orang ramai dengan muka yang bengis. Setelah beberapa ketika, dia menundukkan kepalanya lalu berpusing dan pergi. Wajahnya menjadi semakin bengis sewaktu dia melangkah pergi, tetapi memang tidak ada apa-apa yang boleh dia lakukan. Meng Hao telah menjadi ahli Sekta Dalaman, maka dia tiada hak untuk menyoal siasat Meng Hao walaupun dengan menggunakan statusnya sebagai Orang Lama. Kini Meng Hao ialah ahli Sekta Reliance sepenuhnya.
"Aku mencapai peringkat ketujuh pemekatan Qi sebelum berumur tiga puluh tahun. Aku pengikut nombor satu dalam Sekta Dalaman. Tapi sekarang..." Shangguan Xiu mengeluh. Dia keberatan untuk berputus asa, tetapi dia tiada pilihan.
Sejurus selepas itu, sesuatu telah berlaku tanpa disedari oleh sesiapa, termasuklah Shangguan Xiu atau Orang Lama Ouyang. Malah Pemimpin Sekta, He Luohua, juga tidak menyedarinya. Jauh dari Sekta Reliance, di puncak gunung hitam yang dilitupi belantara, satu susuk tubuh yang kuat serta penuh misteri berdiri di luar gua yang kosong itu.
Susuk tubuh itu kelihatan samar-samar dan wajahnya tidak jelas. Namun begitu, tubuhnya dilitupi satu aura yang lebih hebat dan sangat berbeza dengan kuasa rohani langit dan bumi. Satu aura yang seolah-olah telah disingkirkan oleh Syurga. Udara di sekelilingnya berubah, dipenuhi retakan yang kabur mengelilingi dirinya...tetapi pada pandangan orang luar, tidak ada apa-apa yang berlaku.
"Sekta Reliance... nama yang koman," Suara pemilik susuk tubuh berwarna merah darah itu garau dan kedengaran seperti bunyi Syaitan menggeram. "Nama itu sengaja diubah seribu tahun lalu untuk menghalang Syurga daripada menjalankan hukuman tidak membenarkan penjelmaan semula. Tapi sekta ini masih lagi... Sekta Pengunci Syaitan! Seorang pengikut Sekta Pengunci Syaitan berani menelan Teras Naga Hujan Bersayap dan menerima Warisannya. Menarik. Nampaknya tidak sia-sia aku membantu kau sebanyak dua kali." Sambil suaranya bergema buas, kilat merah mula sabung-menyabung. Kilat itu memanah tanpa henti, tetapi keadaan ini berlaku lebih tiga ribu meter jauhnya, seolah-olah Syurga sendiri tidak mampu menyentuh tubuh itu.
Susuk tubuh merah itu kelihatan berkerut, kemudian memandang ke langit dengan dingin. "Lambat laun kau akan diingkari, wahai Syurga!" Kemudian dia berpaling ke arah Wilayah Selatan dan mengambil satu langkah ke hadapan.
"Diriku yang sebenar telah lama tidur dan akibat kebosanan, penduaku telah terbang sambil memerhatikan langit dan bumi. Apa yang aku dapat lihat tadi menarik. Sangat menarik."Bunyi gelak ketawa kedengaran dan susuk tubuh itu lenyap dalam sekelip mata.
Tiada siapa pun nampak ketibaan dan pemergian susuk tubuh itu serta deruan langit dan sambaran kilat yang berlaku!
Masa berjalan dengan pantas dan tujuh hari telah berlalu.
Selama tujuh hari itu, semua orang di Sekta Luaran bercakap tentang kenaikan status Meng Hao menjadi pengikut Sekta Dalaman.
Walaupun semua orang melihat sendiri peristiwa itu, hal ini tetap sesuatu yang mengejutkan bagi mereka. Meskipun tujuh hari telah berlalu, mereka selalu mengangkat kepala mereka untuk menatap Gunung Timur dengan pandangan cemburu.
Terdapat beberapa orang yang simpati pada Wang Tengfei, tetapi mereka tidak berkata apa-apa. Seolah-olah setelah pertarungan itu, nama Wang Tengfei telah menjadi sejarah.
Pengikut yang menjadi musuh Meng Hao menjadi lebih tertekan dari sebelum ini dan berasa gusar. Tetapi Meng Hao sudah tiada di Sekta Luaran, jadi mereka hanya boleh membodek Si Gempal.
Kemasyhuran Si Gempal melonjak dalam masa hanya beberapa hari sahaja. Dia pemilik baru kedai di Zon Awam Tahap Rendah setelah mengambil alih kedai itu daripada Meng Hao. Dia menikmati perhatian daripada rakan-rakan seperguruannya, dan sering menghabiskan masa mengikir giginya dengan bangga. Malah dia juga mampu berpindah ke salah sebuah kediaman yang lebih elok di Sekta Luaran.
Meng Hao agak sibuk dalam tempoh masa tujuh hari itu. Sekta Reliance mungkin mengalami zaman kejatuhan, tetapi masih ada undang-undang dan peraturan yang perlu diikuti. Meng Hao mandi dan memakai pakaian baharu. Dia telah menyembah sujud pada gambar Bapa Reliance dan Bapa Sekta yang lain. Terdapat banyak tatacara rumit dan terperinci yang terlibat dalam hal ini.
Sepanjang masa ini, dia tidak nampak Kakak Xu langsung kerana Kakak Xu telah memencilkan diri untuk bertafakur. Namun, dia ada nampak Abang Chen Fan1 dengan jubah peraknya. Sewaktu di Sekta Luaran, tanggapan pertama Meng Hao terhadap Abang Chen ialah dia seorang yang jarang senyum dan agak ketinggalan zaman. Tetapi setelah mengenali Abang Chen dengan lebih rapat, dia mendapati tidak kira apa soalan yang diajukan, Abang Chen akan memberi penjelasan dengan penuh sabar.. Sebenarnya, dia menyukai Abang Chen. Dia teringat kembali khabar angin yang pernah didengarinya iaitu Abang Chen Fan hanya mengambil berat tentang kebenaran dan Tao serta tidak mempedulikan hal dunia fana.
Setelah tujuh hari berlalu, Meng Hao dikurniakan Gua Dewa Sekta Dalaman di Gunung Timur. Mata Air Rohaninya penuh dengan Tenaga Rohani, lebih banyak daripada Gua Dewanya sebelum ini.
Malangnya, angin baiknya berubah sedikit ketika kali pertama dia dapat memegang Batu Rohani dan pil ubat yang disediakan untuk pengikut Sekta Dalaman. Dia berdiri sahaja sambil merenung semuanya dengan kebingungan.
Batu Rohani ini memang lebih baik daripada apa yang disediakan di Sekta Luaran. Saiznya lebih besar dan tidak lutsinar sepenuhnya tetapi dipenuhi isi seperti kabut yang samar-samar. Wajah Meng Hao menjadi pucat.
"Ini Batu Rohani mutu pertengahan?" Meng Hao merungut. "Dan pengikut Sekta Dalaman dapat sebiji setiap tahun... Ini bernilai seratus Batu Rohani bermutu rendah dari Sekta Luaran..." Pening kepala Meng Hao ketika cuba menyerap semua maklumat daripada kepingan jed kuno di hadapannya. Kepingan jed itu menerangkan kaedah pengenalpastian dan perbezaan di antara jenis Batu Rohani yang tersedia untuk Pertapa melibatkan diri dalam Pemekatan Qi.
"Satu tahap di atas Batu Rohani bermutu pertengahan adalah Batu Rohani bermutu tinggi...yang tidak wujud langsung di dalam Negeri Zhao. Sebiji batu itu bernilai sekurang-kurangnya sepuluh ribu Batu Rohani bermutu rendah... Tidak terhitung nilainya." Meng bingung dan dia mengeluarkan beberapa Batu Rohani besar yang masih ada di dalam beg saktinya. Wajahnya kelihatan semakin dahsyat.
"Kita boleh mengetahui nilai Batu Rohani hanya berdasarkan saiz dan kandungan dalamannya. Batu Rohani bermutu Tinggi ialah yang paling besar dan sekurang-kurangnya separuh bahagian dalamnya dilitupi pembentukan kabut tebal... Tenaga Rohani di dalamnya tidak akan bocor dan hanya boleh digunakan oleh Pertapa yang telah mencapai Pengukuhan Asas." Meng Hao terdiam melihat Batu Rohani di tangannya. Saiznya lebih besar daripada Batu Rohani bermutu pertengahan sekurang-kurangnya tiga kali ganda dan hampir dipenuhi kabut sepenuhnya. Batu ini kelihatan sangat mempesonakan dan tiada satu titik Tenaga Rohani sekalipun yang terpancar keluar daripadanya.
"Biar betul! Tidak mungkin ini Batu Rohani bermutu tinggi! Saya sudah bazirkan dua ribu biji Batu Rohani bermutu tinggi!" Jantung Meng Hao gugur dan dia cuba menenangkan dirinya. Dia terfikirkan pedang kayu luar biasa itu dan betapa sayangnya Wang Tengfei terhadap pedang itu. Kemudian dia teringat tentang harga yang perlu dia bayar untuk cermin tembaga itu membuat salinan. Memang tidak tercapai akalnya harga yang telah dibayarnya menggunakan Batu Rohani...
"Tetapi kenapa Batu Rohani ini kelihatan lebih besar daripada Batu Rohani yang dikatakan bermutu tinggi serta ada lebih banyak pembentukan kabut di dalamnya?" Hatinya bergetar dan dia tidak berani untuk memikirkan tentang perkara itu lagi. Mukanya pucat dan dia dapat merasakan kesakitan mencengkam jiwanya.
Dia mengambil masa yang lama untuk kembali mengawal dirinya. Kemudian dia menyimpan Batu Rohani itu.
"Dua ribu biji Batu Rohani bermutu tinggi yang tidak penting," gumam Meng Hao. "Bukannya bernilai apa-apa." Tetapi kedengaran seperti paksaan sewaktu dia menyebut perkataan 'tidak penting,'
Beberapa hari terus berlalu.
"Adik, Abang sudah lihat pertarungan kamu. Kamu banyak menggunakan barang sakti. Jika kamu kehabisan barang sakti, kamu akan berada di dalam keadaan yang sukar. Kamu perlu selalu pergi ke Astaka Sakti. Ada beribu-ribu tahun rekod Sekta Reliance purba di sana yang kamu boleh pelajari."
"Adik, Abang perasan yang kamu selalu memburu makhluk kecil untuk dimasak dan dimakan. Perbuatan kamu ni salah. Kita sebagai Pertapa sepatutnya menyerap tenaga rohani langit dan bumi dan singkirkan jasad fana kita. Jika kamu selalu makan haiwan, bukankah kamu membazirkan tenaga rohani kamu?"
"Adik, kamu memiliki terlalu banyak beg sakti. Kamu tidak sepatutnya buat begitu. Kamu patut letak semua barang milik kamu di dalam sebuah beg sahaja supaya lebih mudah untuk dikeluarkan."
Hari berganti hari, Meng Hao memaksa dirinya untuk tidak memikirkan tentang Batu Rohani. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk memahami Abang Chen Fan dengan lebih dalam lagi dan tidak lama kemudian dia menghabiskan banyak masa belajar dengan Abang Chen. Abang Chen langsung tidak sama seperti khabar angin yang tersebar di Sekta Luaran. Walaupun dia sangat menumpukan perhatian pada Tao, tetapi dia tidak berat mulut langsung. Malah jika dia mula bercakap, dia akan melakukannya selama berjam-jam, kadang-kala sehingga seharian lamanya.
Tidak lama kemudian tibalah satu tahap di mana jika dia tidak pergi mencari Chen Fan, Chen Fan sendiri akan datang mencarinya di Gua Dewanya dan perbincangan akan bermula.
Meng Hao tidak boleh menolak. Dia hanya boleh tersenyum paksa dan mendengar. Kadang-kadang dia tertidur sewaktu mendengarnya dan ketika dia terjaga, Abang Chen Fan masih lagi bercakap. Dia berasa simpati terhadap Abang Chen Fan.
"Tidak ramai pengikut Sekta Dalaman, jadi Abang Chen tiada kawan untuk berbual. Oleh itu, dia terbiasa dengan tabiat aneh ini..." Meng Hao kini faham sebab Kakak Xu selalu memencilkan diri untuk bertapa. Malah dia sendiri pun terfikir untuk pergi bertapa supaya dapat mengelakkan diri daripada Abang Chen.
Bila-bila masa dia keluar dari Gua Dewanya, Abang Chen akan berada di situ untuk menemaninya.
"Entah bila agaknya Kakak Xu akan selesai bertapa," Meng Hao berfikir sambil mengukir senyuman. "Saya tidak sabar untuk melihat wajahnya apabila nampak saya." Dia kini memakai jubah perak. Sambil dia sedang duduk di atas ceracak gunung, rambut panjangnya terbuai di belakangnya. Dia merenung matahrai yang sedang terbenam dan tidak menghiraukan bebelan Abang Chen yang tidak berkesudahan.
"Adik mesti tertanya-tanya bila Adik Xu akan selesai bertapa, bukan?" Abang Chen bertanya dengan sambil tersenyum dan memandang ke arah Meng Hao.
"Ya... Eh, apa?"
Perubahan topik Abang Chen secara tiba-tiba membuatkan Meng Hao terkedu.
"Tidak perlu malu, Adik," gurau Abang Chen sambil tersenyum. "Adik Xu Qing2 mempunyai kecantikan asli. Abang faham jika kamu memendam perasaan padanya." Abang Chen mempunyai perwatakan yang tidak rumit dan mudah untuk dibuat kawan. Meng Hao sukakannya. Sebaik sahaja mereka bertemu, dia sanggup mengambil Meng Hao sebagai Adik Seguru.
"Xu Qing?" Meng Hao terbatuk. Dia mahu menukar topik. "Tidak, saya takkan... oh, ya. Abang Chen, tadi abang ada cakap sesuatu tentang apa yang berlaku setelah seorang Pertapa menyempurnakan Pemekatan Qi?
"Setelah Pemekatan Qi disempurnakan, ada Pengukuhan Asas iaitu penyingkiran jasad fana. Inilah yang dinamakan pertapaan rohani dalam perjalanan menjadi Pertapa sebenar." Abang Chen senyum pada Meng Hao sambil menganggukkan kepalanya. Dia tidak lagi bergurau, tetapi memberi nasihat dengan lembut.
"Sewaktu proses pengukuhan Asas Kerohanian, sembilan tiang Tao akan muncul di dalam Tasik Teras kita yang dalam dan tidak berpenghujung itu. Semua tiang itu akan berkembang di dalam tubuh kita dan inilah yang dipanggil Kewujudan Asas. Terdapat beberapa jenis Asas berdasarkan pelbagai kaedah kuasa sakti yang digunakan untuk membentuk tiang Tao itu. Jika terdapat sembilan rekahan, itu Asas Sempurna. Jika terdapat lapan belas rekahan pula, itu Asas Keretakan. Manakala jika lebih daripada lapan belas itu Asas Kepatahan. Antara kesemuanya, Asas Sempurna dianggap terbaik dan Asas Keretakan pula dianggap bagus. Asas Kepatahan yang paling biasa."
"Dahulu Sekta Reliance pernah mempunyai kitab yang menerangkan tentang satu kaedah untuk Mengukuhkan Asas Sempurna yang diperolehi Bapa Reliance. Disebabkan hal ini, dia menjadi masyhur di seluruh Negeri Zhao. Malah namanya turut dikenali di Wilayah Selatan. Malangnya, selepas Bapa Reliance hilang, teknik itu tidak diwariskan pada sesiapa." Chen Fan menerangkan segala-galanya secara perlahan-lahan dan dengan sangat terperinci. Memang sikapnya begini dan Meng Hao sudah membiasakan diri dengannya.
"Selepas Pengukuhan Asas ialah laluan terbaik ke Pembentukan Teras. Pemimpin Sekta berada di tahap ini. Setelah itu, sewaktu membangunkan Pertumbuhan Roh, kita boleh hidup selama-lamanya dan menjadi Dewa sebenar di tanah ini."
"Tahap apa pula selepas Pertumbuhan Roh?" Meng Hao bertanya. Dia mendengar dengan penuh teliti. Timbul keinginan di dalam hatinya.
"Selepas tahap Pertumbuhan Roh adalah Pemisahan Rohani. Bapa Reliance berada di tahap itu. Ini tahap paling sukar di mana nyawa kita ibarat telur di hujung tanduk. Pemisahan Rohani melibatkan beberapa Pemisahan sebelum berjaya sepenuhnya. Tahun itu, Bapa Reliance meninggalkan Sekta dan mengasingkan diri untuk bertapa. Dia masih belum kembali." Chen Fan bercakap dengan tenang sepanjang penerangannya, tetapi perasaan sayangnya pada pertapaan kelihatan jelas pada riak wajahnya.
"Mungkin satu hari nanti aku akan dapat peluang untuk memasuki tahap Pemisahan Rohani itu," bisik Meng Hao. "Tetapi apa pula selepas itu?"
"Tahap-tahap selepas Tahap Pemisahan Rohani terlalu tinggi," kata Chen Fan dengan bersahaja. "Abang tidak tahu secara terperinci. Kamu perlu pergi ke Wilayah Selatan untuk belajar tentang semua itu. Apa sekalipun, matlamat terakhir adalah Kenaikan Dewa."
"Kenaikan Dewa?"
"Kenaikan Dewa."
Bayu gunung perlahan-lahan menghembus naik rambut kedua-dua pengikut itu, membawa suara mereka bersama-sama.
"Adik Seguru, jika kamu keluar ke dunia untuk menyambung latihan, kamu tidak boleh membataskan diri kamu pada Negeri Zhao sahaja." Abang Chen memandang Meng Hao dengan lembut. "Jangan lupa, Negeri Zhao ialah negeri terpencil dalam Wilayah Selatan tanah Syurga Selatan. Tenaga Rohani di sini tidak banyak dan bilangan Pertapa sedikit sahaja.
"Wilayah Selatan ialah dunia Pertapa sebenar. Walaupun undang-undang rimba dahsyat dan tidak berbelas kasihan di sana, tempat itu benar-benar mewakili puncak kawasan selatan tanah Syurga Selatan. Ada ramai Wira dan juga Insan Terpilih di situ. Berbanding keadaan di sana, Negeri Zhao agak tenang dan damai. Pertapa-pertapa generasi Abang terpaksa memanjat dan memijak-mijak timbunan tulang untuk berjaya." Cahaya aneh terpancar di mata Chen Fan, seolah-olah dia sedang bercakap dengan dirinya sendiri dan bukan pada Meng Hao.
Meng Hao berasa tersentuh dengan kata-kata Abang Chen. Sebelum ini dia jahil, tetapi dengan penerangan yang sangat jelas itu, otaknya seperti diperah-perah. Seolah-olah sebuah peta gergasi tiba-tiba dibentangkan di hadapannya. Di peta itu terdapat Tang Agung di Tanah Timur dan wira-wira di Wilayah Selatan.
"Demi mengikuti jalan kerohanian, kita wajib meninggalkan dunia fana. Kamu bukan lagi seorang manusia biasa. Kamu seorang Pertapa yang telah ditakdirkan untuk mengingkari Syurga. Jika kamu tidak kuat, maka kamu tidak layak wujud. Jika kamu tidak kuat, kamu tidak layak untuk mengamalkan Pertapaan. Jika kamu tidak kuat, maka kamu tidak layak untuk terus hidup, tetapi hanya untuk dipijak-pijak. Kamu sanggup untuk melalui kehidupan begini?" Abang Chen menatap Meng Hao. Kata-kata hikmahnya memasuki telinga Meng Hao dan terbenam di dalam hatinya. Mata Meng Hao mula bercahaya dan dia mula berfikir.