webnovel

Saya Cintakan Kamu Juga

Editor: EndlessFantasy Translation

Yu Lili tidak menghiraukannya. Dia tidak mahu tahu apa yang Shen Manting ceritakan tentang dirinya.

"Ting!"

Pintu lif terbuka dan Yu Lili segera membawa Ou Ming keluar. Dia berpaling ke arah Shen Zhilie dan berkata, "Saya boleh pergi sendiri. Terima kasih, Encik Shen."

Shen Zhilie tidak bodoh. Dia tahu melalui nada suara Yu Lili wanita itu cuba menjadikannya orang yang tidak dikenali, tetapi dia tidak akan melepaskannya semudah itu. Dia berpura-pura tidak menyedarinya dan berkata, "Sama-sama. Tapi disebabkan kita berjiran, agak tidak beradab jika saya tak bantu kamu bawa dia masuk ke dalam rumah."

Sebaik mengatakannya, dia terus mengambil alih Ou Ming dan membawanya ke pintu rumah. Yu Lili memandangnya dengan curiga dan segera memasukkan kata laluan. Dia menyedari Shen Zhilie menunjukkan adabnya dengan berpaling ke arah lain ketika dia menekan kata laluan itu. Yu Lili menarik nafas lega dan membantu Shen Zhilie membawa masuk Ou Ming ke dalam rumah mereka.

Ou Ming membuka matanya sebaik mereka masuk ke ruang tamu. Apabila melihat dia telah tiba di rumah, dia menolak Shen Zhilie dan terus duduk di sofa sambil mengeluh.

Dia menjerit dengan suara yang masih sangat mabuk.

"Saya di sini," jawab Yu Lili sambil bergegas ke arah Ou Ming.

Sebaik melihat Yu Lili, Ou Ming terus ketawa dan menarik Yu Lili ke arahnya. "Kamu dah balik. Saya rindukan kamu," katanya dengan lembut.

Yu Lili terharu tetapi berasa malu apabila Shen Zhilie turut mendengar kata-kata Ou Ming. Pipinya kemerahan dan dia menolak Ou Ming perlahan. "Jangan begitu, ada seseorang di sini."

Tanpa mengendahkan kata-kata Yu Lili, Ou Ming menyambung, "Yu Lili, saya cintakan kamu. Saya sangat cintakan kamu. Apa yang patut saya lakukan? Kamu toksikkah? Hm?"

Suara mabuk Ou Ming membuatkan Yu Lili agak teruja. Jantungnya mula berdegup kencang mendengar Ou Ming merapu. Ou Ming tidak pernah berkelakuan atau bercakap seperti itu sebelum ini.

Betulkah ketika mabuk seseorang akan meluahkan perkara yang dipendamnya ketika sedar?

Ou Ming sedang memandangnya dengan pandangan yang sangat lembut dan penuh kasih-sayang. Yu Lili dapat melihat pantulan wajahnya di dalam mata Ou Ming yang cantik. Ou Ming memegang wajahnya dengan perlahan sebelum terus menciumnya dengan bersemangat.

Yu Lili cuba menghalangnya kerana Shen Zhilie masih ada di situ. Dia memandang ke arah Shen Zhilie dan cuba menolak Ou Ming, tetapi lelaki itu terlalu mabuk dan terlalu berat.

Shen Zhilie berasa malu tetapi tidak pasti apa yang perlu dilakukannya. Dia merenung pasangan itu dan berasa jengkel terhadap mereka secara diam-diam.

Saya adik iparnya. Walaupun saya tahu Ou Ming ada perempuan simpanan, tapi saya tak sanggup lihat dia mencium Yu Lili dengan begitu rakus! Tapi apa yang boleh saya lakukan?

Ketika ini, Shen Zhilie berasa amat janggal bukan hanya kerana situasi itu tetapi juga disebabkan hubungannya dengan Shen Manting. 

Apa yang patut saya lakukan? Adakah saya perlu memukulnya? Tapi saya tidak begitu marah sehingga mahu menumbuknya.

Shen Zhilie juga berasa kasihan kepada dirinya sendiri kerana rupa-rupanya Yu Lili ialah perempuan simpanan Ou Ming. Dia menyukai Yu Lili. Dia memutuskan untuk menunggu seketika sehingga mereka berhenti. Apabila mereka tidak berhenti, dia berjalan keluar dan menutup pintu.

"Saya cintakan kamu juga," kata Yu Lili perlahan sambil mendongak dan menatap mata Ou Ming.

Walaupun sedang mabuk, Ou Ming tahu dia sedang memeluk Yu Lili. Sebaik mendengar kata-kata itu, dia tersenyum lembut dan melakukan perkara yang mahu dilakukannya.

Ou Ming memeluk Yu Lili dengan erat dan berbaring di atas sofa itu. Dia menutup mata dan tertidur dengan senyuman terukir pada bibirnya.

Kepada para pembaca,

Telah diputuskan bahawa terjemahan buku ini akan dihentikan. Terima kasih kerana bersama-sama dengan kami dalam pengembaraan yang indah ini dan semoga berjaya kepada anda semua dalam masa yang mencabar ini. Jumpa lagi!

dracarys3064creators' thoughts
Siguiente capítulo