webnovel

Untuk Beri Peluang Kamu Bunuh Diri?

Editor: EndlessFantasy Translation

Ou Ming memegang wajah Yu Lili dan memandangnya. Yu Lili mengangkat kepalanya dengan mata yang terbeliak tidak percaya.

Tetapi tiba-tiba, sesuatu yang panas, basah dan melekit keluar dari mulut Ou Ming dan memasuki mulutnya…

Jijik…

Yu Lili hampir muntah. Wajahnya berkerut dan dia cuba menolak Ou Ming, namun gagal.

Ou Ming memegang muka Yu Lili dan sebelah lagi tangannya memegang belakang wanita itu. Apabila menyedari Yu Lili cuba menolaknya, dia menghalang tangan Yu Lili menggunakan sikunya.

Yu Lili sudah tidak tahan dan menutup mata sambil cuba melarikan kepalanya. Ou Ming mengangkat kepala Yu Lili supaya bubur itu masuk ke dalam tekaknya. Yu Lili tertelan bubur itu secara paksa dan berasa loya.

Akhirnya Ou Ming melepaskan Yu Lili. Kemudian dia mengambil sesudu bubur lagi dan memandang Yu Lili lalu bertanya, "Sambung?"

Yu Lili menjeluak dan matanya berair.

Melihat perkara itu, Ou Ming menyuapkan bubur itu ke mulutnya sendiri dan berkata, "Kamu yang tak berus gigi selama beberapa hari, tapi saya belum muntah lagi. Apa yang kamu lakukan?"

"Ou Ming! Kamu dah makin menjijikkan!"

"Kamu pun boleh tahan." Ou Ming merasakan bubur itu agak sedap. "Saya suka cara pelik itu untuk makan, kamu mahu teruskan?"

Yu Lili merenungnya tajam. Tekaknya amat kering jadi dia tidak memuntahkan apa-apa. Ou Ming menyuap bubur ke dalam mulutnya dan mendekati Yu Lili. Yu Lili berpaling ke arah lain dengan jijik dan berkata, "Saya akan makan sendiri!"

Mendengar kata-kata itu, Ou Ming menarik Yu Lili bangun dan meletakkan dua bantal di belakang Yu Lili untuk bersandar. Selepas itu dia menarik meja makan di hujung katil ke arah Yu Lili dan meletakkan mangkuk bubur itu di hadapannya.

Yu Lili memandang bubur kosong di hadapannya dan mengangkat tangannya dengan bersusah-payah. Tangannya masih sakit dan ia menggeletar ketika dia memegang sudu. Yu Lili memandang Ou Ming sekilas. Dia tidak dapat memegang sudu itu dengan stabil dan akhirnya sudu itu jatuh lalu menumpahkan bubur ke atas cadar yang baru dibasuh.

Ou Ming tersenyum. Dia mengambil tisu dan mengelap bubur yang tumpah. Kemudian dia mengambil mangkuk dan sudu bubur itu dan menyuapkannya kepada Yu Lili.

Yu Lili berundur sedikit. Ou Ming mengangkat keningnya dengan pandangan amaran. Yu Lili menjilat bibirnya, kemudian membuka mulut dan makan bubur itu. Ia agak sedap. Pada mulanya dia tidak berasa lapar, tetapi selepas makan beberapa suap, dia baru menyedari perutnya sudah lama tidak selesa.

Laparnya…

Selepas makan separuh mangkuk bubur tanpa berhenti, Yu Lili sudah tidak mahukannya lagi. Ou Ming makan lebihan bubur itu dan menyedari renungan pelik Yu Lili lalu berkata, "Ini minum malam saya."

Dalam kata lain, Yu Lili telah mengambil minum malamnya. Yu Lili menundukkan kepalanya dan berasa ironi.

Bagaimana lelaki ini boleh berkelakuan seperti biasa sahaja? Seperti dahulu. Dia tidak tahukah ini akan membuatkan orang mudah silap faham? Ia juga akan membuatkan… saya berfikir terlalu jauh.

Yu Lili menolak meja di hadapannya dan berkata, "Kalau kamu dah siap makan, pergi keluar."

"Untuk beri peluang kamu bunuh diri?"

Siguiente capítulo